Pages

Saturday, January 30, 2010

Apam Balik Nirwana & Cendol Wan Majdah

Tempoh hari, aku ada menulis mengenai apam balik Dungun. Lalu, ada beberapa pengomen tegar mencadangkan aku mencuba apam balik Nirwana. 

Ini bukan A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana.
Ini bukan Kurt Cobain dan Nirvana.
Ini bukan Nirwana Perpetual Park di Kulai sana.

Tapi, ini adalah kisah gerai apam balik di hadapan premis pasaraya Nirwana Dungun. Ternyata, benar kata-kata pengomen-pengomen tegar itu. Apam balik Nirwana itu tidak kurang sedapnya. Rasanya begitu klasik. Berbanding apam balik Dungun yang rasanya agak hibrid.




Aku membeli tiga biji apam balik itu. Harga setiap satu adalah RM2. Berpadanan harganya dengan kualiti dan saiz apam balik itu.


Semasa menunggu apam balik itu siap, sempat aku menuramah penjual apam balik itu. Tak berapa ingat apa soalan yang aku kemukakan kepada beliau. Cuma, yang aku ingat adalah gerai apam balik Nirwana itu di buka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang.




Sekonyong-konyong aku ingin beredar dari gerai itu, aku terperasan bahawa gerai itu juga menjual cendol. Lalu, aku teringat akan Wan Majdah yang bertanyakan di manakah  lokasi untuk mencari cendol di Dungun pada siang hari. Harus nampaknya aku mewujudkan suatu rancangan "Jalan-Jalan Cari Pasal Makan" versi Dungun.




Jika Wan Majdah membaca post ini, adalah dimaklumkan bahawa kau boleh mendapatkan cendol di hadapan pasaraya Nirwana dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari. Tetapi, hingga stok cendol/santan/gula melaka masih ada. Kesedapannya belum teruji kerana aku belum lagi mengujinya.

Tuesday, January 26, 2010

Buah Pala

Sebelum ini aku hanya mengenali buah pala yang telah diproses menjadi jeruk. Tapi, baru-baru ini mak mentua aku membawa pulang beberapa biji buah pala  segar dan terbaik dari ladang  dari Pulau Pinang.



Baunya agak kurang menyelerakan pada deria rasa aku. Lalu, aku tidak mencuba merasa buah pala itu. Menariknya, biji pala kelihatan amat unik. Warna kelihatan begitu segar dan menakjubkan.




Biji pala ini biasanya dikeringkan untuk menjadi rempah yang istimewa dalam masakan melayu. Aku tidak arif mengenai buah pala ini. Kalau kau mahu maklumat lanjut, ada baiknya kau menggooglekan diri kau. Maklumat kini di hujung jari!!!!

Sunday, January 24, 2010

Idea Bisnes Jagung Bakar

Tempoh hari, aku mendapat panggilan dari seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu. Beliau ingin membeli beg yang dijual oleh aku dan rakan kongsi perniagaan aku. Beliau ingin bertemu di Pantai Batu Buruk.

Sebetulnya, aku sudah lama tidak pergi ke Pantai Batu Buruk. Terasa agak nostalgia suasana di situ. Tempat aku dan Pn. Nurul sering bertemu semasa beliau masih bertaraf Cik.

Suasana di Pantai Buruk pada petang Jumaat masih seperti dulu. Ramai orang. Terkadang-kadang ada mat rempit yang kurang ajar. Juga, kedapatan kanak-kanak bermain layang-layang di pesisiran pantai yang bersih dan memutih.

Cuma, yang baru pada aku ada orang menjual jagung bakar di kaki jalan.



Lalu, aku membeli sebatang jagung bakar yang berharga RM2.50. Sedap juga jagung bakar ni. Barangkali kerana aku sudah lama tidak memakannya.

 


Setelah licin semua biji jagung aku telan dan hadam, terfikir aku untuk menjalankan perniagaan jagung bakar. Bagi pengetahuan kaun semua, ada satu tempat di Merchang, Terengganu menjual jagung manis yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Jagung Merchang itu dijual pada harga 7 biji bagi RM10. Jika semua jagung itu aku berjaya bakar dan jual, aku memperolehi keuntungan kasar sebanyak RM17.50. Agak lumayan!

Selain jagung, aku memerlukan juga arang, majerin, garam dan gula sebagai barang luak untuk membuat jagung bakar. Aku percaya, barang-barang tersebut tidaklah menelan kos yang tinggi.

Selain itu, aku perlukan juga modal pendahuluan untuk membeli meja lipat yang berharga lebih kurang RM50 dan bekas pembakar sate yang berharga RM20. Aku tak perlukan kipas kerana meniaga di Pantai Batu Buruk yang mempunyai angin yang cukup untuk menghidupkan bara.

Namun, idea itu hanya tinggal idea sahaja kerana aku sudah mempunyai pekerjaan tetap sekarang. Kalau kau menganggur, barangkali kau boleh mencuba meniaga jagung bakar di tempat kau sendiri.

Friday, January 22, 2010

Jering Rebus + Kelapa Parut

Walaupun aku bukan seorang tangkai jering, tapi aku adalah penggemar jering yang sejati. Tak dapat digambarkan kenikmatan jering yang agak muda dicicah dengan sambal belacan. Terasa rangup dan berjus!!!

Abang ipar Pn. Nurul berasal dari besut. Kerap juga beliau membawa ke Pulau Rusa makanan yang agak pelik pada pandangan aku. Antaranya jering rebus yang dicecah dengan kelapa parut!!! :-0









Owh! Terasa pelik rasanya. Barangkali aku tidak boleh memakan jering selama setahun!!!
p/s: Jika jering rebus itu dimakan bersama sambal belacan, tentu lebih enak.

p/s/s: Mak aku memanggil jering sebagai "jengkol". Bahasa Jawa barangkali...

Wednesday, January 20, 2010

Mereka Bukan Doktor...

Tahniah kepada pelajar baru yang mendaftar masuk ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun. Kau semua memang hebat. Persetankan kutukan, kejian dan cemuhan yang mengatakan kau hanya layak masuk ke politeknik - IPTA kelas kedua. Apa yang penting, kerjasama kau wajib cemerlang dalam apa sahaja perkara yang memberi manfaat.

Setelah sesi pendaftaran pelajar baru selesai, aku bersiar-siar di sekitar politeknik; sekadar untuk melenguhkan kaki sahaja. Lalu, di beberapa sudut terdapat peringatan seperti berikut:-



Aku merasakan peringatan tersebut sangat masuk akal. Maklumlah kebanyakan petugas di kaunter pendaftaran adalah pensyarah teknologi dan kejuruteraan. Bukanya doktor, atau kakitangan perubatan. Masakan mereka mengerti filem x-ray yang menunjukkan tulang selangka engkau? Barangkali, mereka juga kurang pasti berapa banyak tulang selangka yang patut ada pada seorang manusia. Tapi, mereka sangat hebat merungkai persamaan Laplace songsang atau mentahkik persamaan Bernoulli atau mentakrif petua tangan kiri Fleming atau membaca bahasa pengaturcaraan C++ ataupun mengaplikasikan Teori McCaulay.

Jadi pelajar tidaklah perlu bersusah payah mengelek filem x-ray yang dapat menutupi abdomen dan dada mereka....

Monday, January 18, 2010

Jepun - Dekat TapI Jauh



Tahun 1999, sekitar bulan Disember di Parit Kasan, Bukit Gambir, Muar, Johor

(Sila baca perbualan di bawah mengikut loghat Jawa)

Wak: Ngko belajar kat mana sekarang Jam? Kat poli ke?
Aku: Tak la Wak. Itu hari ada cadang juga nak belajar poli. Tapi tawaran ITO datang dulu. Jadinya saya kat ITO la sekarang.

Wak: Wah! Bagusnya ngko. Belajar sampai ITO. Dah bila penerbangan baliknya?
Aku: Penerbangan balik?

Wak: Ye la, balik Jepon.
Aku: Balik Jepon?

Wak: La...bocah ini kok. Ngko kata tadi ngko belajar kat ITO.
Aku: Aaahhh, saya memang belajar kat ITO.

Wak: Habis tu, ngko nak balik ITO mesti la naik kapal terbang pergi Jepon.
Aku: Eh, bukan kat Jepon la wak. ITO kat Parit Raja je.

Wak: La...dekat aje rupanya...

Begitu anggapan sepupu mak aku bila aku mengatakan bahawa aku belajar di ITTHO, singkatan untuk Institut Teknologi Tun Hussein Onn. Kemudian, ia dinaik taraf menjadi Kolej Universiti dengan singkatan KUiTTHO. Kini, ia menjadi universiti penuh dengan singkatan UTHM.

Sepengetahuan aku, ada satu tempat bernama Parit Jepon yang terletak di Ayer Hitam, Muar.
Sepengetahuan aku juga, kenderaan amfibia aku disalin dari sebuah kereta Jepun yang terkemuka.
Sepengetahuan aku lagi, bahawasanya Gaban berasal dari Jepun.
Sepengetahuan aku yang seterusnya, banyak barangan elektronik di rumah kau adalah dari Jepun.
Sepengetahuan aku yang terakhir - gadis Jepun memang putih dan jelita. Huhuhuhuhuhu...

Ternyata Jepun dekat tapi nun jauh di hemisfera utara....

Saturday, January 16, 2010

Sate Ikan, Ergonomik dan Payung...

Lagi cerita pasal makan. Tak tahulah kenapa kebelakangan ini aku gemar memaparkan post mengenai makanan.

Ok, kali ini cerita aku berkisar dengan sate ikan. Seperti post sebelum ini, aku juga tidak tahu apakah nama sebenar makanan ini. Tapi, secara kasarnya ia adalah bebola ikan yang dicucuk dengan lidi, lalu dibakar.



Ia amat enak bila dicicah dengan sosnya yang tersendiri. Sosnya kelihatan sama dengan sos cili biasa. Cuma, pada hemat aku, ia dibuat sendiri menggunakan bahan-bahan seperti tepung kanji, lada dan gula.

Pn. Nurul amat gemar sate ikan ini. Kerap kali duit aku terbang RM2 apabila beliau menjumpai sate ikan yang berharga 20sen secucuk ini.

Rasanya sate ikan ini banyak kedapatan di Terengganu. Biasanya penjual menjaja menggunakan basikal ataupun motosikal. Peniaga ini misalnya, menggunakan motosikal sebagai gerainya. Ternyata gerainya begitu sistematik susunannya dan mempunyai ciri-ciri ergonomik yang agak bagus. Terdapat bekas atau ruangan yang sesuai untuk sate yang belum dibakar, yang sedang dibakar dan yang telah dibakar. Juga, terdapat bekas khas untuk plastik dan sosnya.

 
 
Tambah menarik, ada payung pada gerai beliau. Lagi menarik beliau hanya mengubahsuai payung yang biasa sahaja.



Thursday, January 14, 2010

Cekur Timun Pauh

Aku tak pasti sama ada ejaan tajuk aku di atas betul atau tidak. Mak aku yang berketurunan Jawa menyebut ia sebagai "ceko". Jadi, aku pun menyebutnya sebagai "ceko". Tetapi, jika di "standard"kan sebutan "ceko", barangkali ia akan jadi cekur. Bagi kepastian, ada baiknya kau selidik menggunakan enjin carian Google atau Yahoo.

Cekur merupakan suatu tumbuhan yang buahnya pada akar. Sama sifatnya seperti kunyit hidup. Rupa parasnya juga seakan-akan kelihatan seperti kunyit hidup. Cuma, warnanya putih, berbeza dengan kunyit yang berwarna kuning atau jingga. Malah, daun cekur juga hampir sama dengan daun kunyit.



Menurut mak mentua aku, di Terengganu, cekur dipanggil sebagai "timun pauh". Menurut beliau, ayah beliau gemar memakan timun pauh muda yang diricih halus dan dijeruk dengan air garam.Menurut beliau kemudiannya, daun timun pauh kerap dijadikan salah satu ulam atau perencah dalam nasi kerabu.

Mengikut pemerhatian aku pula, agak sukar juga untuk mencari cekur ini di pasar. Tak tahu kenapa. Jika aku mempunyai ladang yang luas, mahu juga aku untuk menanam cekur secara komersil dan besar-besaran.

Owh, sebagai penutup post ini, aku sertakan resipi turun temurun mak aku >>> Ayam Masak Lemak Cekur.

1/2 kg ayam dipotong sederhana
2 inci cekur
2 helai daun cekur
3 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 keping asam
1 kotak kecil santan

Ayam digoreng dengan bawang putih dan garam (jangan terlalu garing ye puan-puan). Kemudian angkat.
Panaskan periuk dengan sedikit minyak. Tumis cekur, bawang merah, dan bawang putih yang dikisar sampai naik bau. Masukkan air sikit. Masukkan ayam tadi. Masukkan santan dan asam keping. Kacau hingga masak. Sebelum padamkan api, masukkan daun cekur yang dihiris halus.

Selamat mencuba!!!

p/s: Aku ada menjual kerepok cekur? Nak cuba? Hubungi aku dengan kadar segera!!!

Tuesday, January 12, 2010

Bakso Parit Raja

Bakso adalah sejenis makanan yang berasal dari Indonesia. Orang-orang Jawa gemar memakan hidangan ini pada waktu petang hingga lewat malam.

Bakso merupakan mee hoon sup daging. Sesetengah tempat, mee hoon diganti dengan soo hoon. Manakala daging yang digunakan adalah daging lembu atau ayam yang dilenyekkan dan dibentukkan seperti bebola. Lebih enak lagi dicampurkan sambal kicap atau lada lumat ke dalam bakso.





Semasa belajar di Ittho, Jepun  Parit Raja, suatu masa dahulu, agak kerap aku gerai bakso ini.



Tempeh hari, semasa berkunjung ke Parit Raja, aku sempat singgah kembali ke kedai ini bersama Pn. Nurul, adik aku dan anak saudara aku. Terasa nostalgia. Kembali ke tahun 2002...

Sunday, January 10, 2010

Apam Balik Dungun

Aku penggemar apam balik. Bukan semenjak sudah kahwin ni, tapi, lama dahulu, sejak zaman remaja lagi. Dengan rasanya yang gebu, lemak dan manis; ternyata ianya sangat mengujakan!

Di Dungun, agak sukar untuk mencari apam balik pada hari-hari biasa. Biasanya aku akan beli apam balik di pasar malam hari Isnin berhampiran lampu isyarat Jalan Melati. Juga, aku membeli di pasar malam hari Khamis di hadapan pejabat pos dan perpustakaan awam Dungun.

Tapi, ada suatu hari Jumaat, aku ke pasar awam Dungun. Mencari awek-awek jelita ikan dan sayur bersama Pn. Nurul tercinta. Lalu terjumpa sebuah gerai apam balik yang begitu ramai pengunjung. Memang meriah gerai itu. Terdapat berbelas kuali apam balik dan kira-kira lima orang pekerja. Aku tak pernah jumpa gerai apam balik semeriah itu sebelum ini.




Walaupun ramai pekerja dan banyak kualinya, tetapi aku menunggu hampir 15 minit untuk mendapatkan 2 keping apam balik. Pelanggan gerai itu sangat ramai!!! Menarik lagi, ada lebih sepuluh jenis apam balik yang dijual di gerai ini.

Maaf, aku tak dapat mengambil gambar apam balik yang aku beli. Begitu teruja untuk menikmatinya. Rasanya memang sedap. Fuh!

Friday, January 08, 2010

Muzium Terengganu

Aku percaya ramai orang Kuala Terengganu tidak pernah menjejakkan kaki ke Muzium Terengganu ini. Barangkali mereka menganggap muzium adalah tempat yang membosankan. Barangkali juga mereka beranggapan ianya tempat untuk kanak-kanak sahaja. Tapi masing-masing punya pilihan bukan?

Aku agak gemar ke muzium. Ini merupakan kali kelima atau keempat aku ke Muzium Terengganu.



Ternyata muzium ini memang besar. Dari luar sahaja ternyata kebesaran muzium ini. Ada tiga atau empat tingkat di bangunan utama sahaja.



Di luar muzium juga, terdapat kolam ikan yang menarik. Agak jinak ikan di dalam kolam itu.



Ha, yang di bawah ini adalah tandas. Unik...




Ini adalah antara galeri yang ada di luar bangunan utama. Galeri ini menempatkan sejarah kehebatan pelayar Terengganu. Galeri ini terletak di tebing sungai Terengganu. Pemandangan dan rekabentuk galeri ini memang menakjubkan.




Bangunan ini menempatkan geleri Petronas. Sejarah Petronas, ada di sini.




Di kawasan muzium Terengganu ini juga, disediakan keretapi untuk melihat dan berlegar-legar di seluruh kawasan muzium. Di kawasan muzium Terengganu ini terdapat juga semacam mini zoo, kapal tradisi Terengganu dan rumah tradisi Terengganu. Caj keretapi ini pada tahun 2009 adalah RM1 untuk dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak.




Ini adalah kereta rasmi Menteri Besar Terengganu sehingga zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.




Ini pula adalah kereta Proton yang digunakan untuk mencari bahan dan sumber untuk ditempatkan di muzium Terengganu




p/s: Difahamkan, tiket masuk mulai 1 Januari 2010 adalah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, Kalau tak silap aku la.
p/s/s: Aku melawat muzium pada 2009, jadi tiketnya hanya RM2 dewasa, RM1 bagi kanak-kanak.
p/s/s/s: RM10 agak membebankan. Pasti semakin kurang orang melawat muzium Terengganu.... :-)

Wednesday, January 06, 2010

Ralat Bas

Aku tidak menyokong subjek sains dan teknologi diajar dalam bahasa Melayu.
Aku juga tidak  menyokong subjek sains dan teknologi diajar dalam bahasa Inggeris.

Tapi aku menyokong jika subjek sains dan teknologi diajar dalam kedua-dua bahasa itu. Aku rasa itu lebih memudahkan pelajar dan dapat meningkatkan pengetahuan pelajar. Malah, aku sendiri terdidik sebegitu. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu dapat diperkasakan (pergh! ayat dah macam ahli politik).

Berikut, beberapa beberapa maksud beberapa istilah kejuruteraan dalam bahasa Melayu

Piston - Omboh
Crank Shaft - Aci Engkol
Bleeding - Menjujus
Power Plant - Loji Kuasa
Hydraulic Jack - Bicu Hidraul
Timing Belt - Tali Sawat Pemasa
Combustion Chamber - Kebuk Pembakaran
Clutch - Cekam (bukan bekam ye adik-adik)
Transformer  (bukan Decepticon atau Autobot) - Pengubah
Resistor - Perintang
Nozzle - Muncung
Turbulent - Gelora
Shear - Ricih
Current - Arus
Milling - Kisar
Fitting - Gegas

Plug and Play - Cucuk dan Main?


Monday, January 04, 2010

Gelagat Jawapan Pelajar

Selamat Tahun Baru. Entry pertama pada tahun 2010. Tapi, empat atau lima entry selepas ini masih lagi berkisar pada tahun 2009.

Sekarang, seluruh politeknik dalam fasa berhibernisasi (macam beruang). Politeknik sedang bercuti. Bagi politeknik Dungun, kelas akan bermula sekitar 17 hingga 21 Januari ini. Jadi, masih ada 2 minggu lagi fasa berhibernisasi ini.

Ternyata, di kala ini merupakan saat-saat yang tenang bagi seorang pensyarah. Tiada sangat kekusutan yang melanda. Tiada apa yang perlu dikejarkan sangat. Tetapi, dua minggu yang sudah, merupakan saat yang getir. Terutama sekali tatkala menanda kertas peperiksaan akhir pelajar.

Semasa menanda kertas, sempat juga aku mengambil gambar beberapa skrip yang luar biasa coretannya...

1) Ada yang tidak mahu markah jawapan beliau. Lalu memangkah diruangan markah



 2) Ada yang terlebih jawab, walaupun jawapan yang tersedia dalam kertas soalan hanya ada enam sahaja


3) Ada juga yang menyatakan bahawa mereka tidak sempat menjawab! Ye ke?




Tiap-tiap semester aku akan jumpa perkara yang sama...


LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin