Pages

Sunday, January 13, 2013

Roti Tempayan Line Clear Kelulut

Sebelum ini aku dah makan roti tempayan kari kambing. Entah kenapa, secara tiba-tiba aku obese kepada roti tempayan dan kari kambing.

Khamis lepas, dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari Dungun, aku singgah di Roti Tempayan Line Clear di Pantai Kelulut. Aku rasa kebanyakan orang Terengganu kenal kedai ini. Barangkali kedai ini boleh dianggap lagenda roti tempayan.



Macam biasa, aku memesan roti tempayan dan kari kambing. Owh kawan! Itu kombinasi yang baik. Macam Uda dan Dara, Keluang Man dan Tiong Man, tempe dan sambal kicap atau penampar dan sakit. Selain itu aku dan Pn Nurul turut memesan 3 keping lagi roti tempayan bersama dua hidangan kari ayam. Juga, sebungkus rojak keling.



Sementara menunggu tempahan siap dibungkus. Aku sempat merakam pakcik yang buat roti tempayan tu. Fuh! Gerakan dia laju beb. Sampaikan kamera 'DSLR' aku tidak dapat menangkap gambar pegunnya kerana pakcik itu bergerak pada kecepatan umpama Gaban.



Kalau kau tak tahu bagaimana roti tempayan dibakar, inilah dia!



Puas menunggu semua hidangan itu berharga RM21.50. Erk!

Saturday, January 12, 2013

Kamdar Dungun

Kini, Makcik Semah, Kak Jah dan Nek Wok tidak perlu lagi menaiki bas SP Bumi ke Kuala Terengganu semata-mata untuk membeli kain di Kamdar.

Juga, Nurul, Huda dan Normala Samdin tidak boleh lagi memberi alasan ingin melihat kain di Kamdar, walhal ingin menonton wayang di Mesra Mall.

Kini, Kamdar telah dibuka di Dungun. Lokasinya bersebelaha Masjid Biru dan sejalan dengan Imtiyaz Dungun. Atau kalau kau susur keluar dari Mydin Dungun, kau akan berjumpa dengan Kamdar Dungun.

Sebelum ini orang Dungun terpaksa pergi ke kedai kain Rose yang harganya murah tapi kainnya agak seperti kain era awal 2000-an. Juga terpaksa pergi ke kedai kain Selamat yang harganya tak selamat untuk poket kau. Kemudian ada juga Laila Rawas yang kalau aku datang dengan berselipar dan seluar senteng sebelah dengan kelat mereka akan melihat kau atas ke bawah, 4 kali.




Tidak tahu bagaimana prestasi Kamdar Dungun. Tapi, pada hemat aku selama berkecimpung dalam urus niaga kain, mana-mana Kamdar lebih kurang sama. Jurujualnya biasa sahaja, tapi pilihan kain banyak dan harganya sedikit murah. Kedai kain terbaik pernah aku pergi adalah kedai kain Maideen, di hadapan Pasar Besar Kedai Payang.

Owh, lupa nak beritahu ada SALE sempena pembukaan Kamdar Dungun. Juga, ada DJ yang akan menghiburkan kau semasa membeli-belah di sana!

Friday, January 11, 2013

Pusat Servis Tayar ZR Dungun

Jujur, aku lebih suka pergi ke kedai orang yang seagama dengan aku, walaupun dalam banyak keadaan sebenarnya lebih baik pergi ke kedai yang lain.




Tapi, di kedai tayar ini merupakan kedai tayar yang terbaik pernah aku pergi. Dan lebih terbaiknya, pemilik kedai ini seagama dengan aku.




Tempoh hari, tayar kereta aku mengalami keadaan botak sebelah. Bukan botak tengah atau botak disebabkan oleh hormon tidak stabil. Kalau kedua-dua jenis botak itu kau perlu pergi ke Yun Nam Hair Care dan pakai syampu Bawang. Dan, pemilik kedai itu memberi aku sedikit tips tentang tayar.

1) Kalau nak tayar tahan lama cari "thread wear" yang tinggi. Barangkali nilai 400 sudah cukup bagus. Dari kilang, kereta aku dibekalkan tayar yang "thread wear" nya 200 lebih sahaja.

2) Perodua Alza memang akan mengalami sindrom tayar depan botak sebalah. Jadi, sila rajin tukarkan posisi tayar setiap 10,000 km.

3) Tayar yang lebih tebal lebih bagus menyerap hentakan dan mengelakkan rim bengkok.

4) Kalau rim bengkok, bersegeralah membaiki atau menukarnya. Ini memastikan jangka hayat tayar lebih lama.


Namun, malangnya kedainya agak tersorok. Kedai ini satu jalan dengan Courts Mammoth Dungun dan berhadapan dengan Kedai Tayar P8 yang lama (kini sudah menjadi restoran macam Mama Chop Papa Grill). Kedai ini bersebelahan dengan sebuah pasar mini.

Thursday, January 10, 2013

Ulasan Buku: Edensor

Ini buku ketiga tetralogi Lasykar Pelangi yang aku baca. Kau boelh lihat ulasan dua buku sebelum ini di sini dan di sini.

Kalau kau membaca buku pertama, ada satu plot percintaan antara Ikal dan A Ling. Namun, cinta monyet mereka berakhir apabila A Ling keluar dari Belitong untuk memdapatkan pelajaran yang lebih baik. Perpisahan itu, A Ling telah menitipkan kepada Ikal sebuah buku. Kerana terlalu rindunya Ikal kepada A Ling, beliau berulang-ulang membaca buku itu, perkataan demi perkataan, ayat demi ayat. Dan, ada satu bahagian dalam buku itu menceritakan tentang kedamaian sebuah desa di Eropah, desa Edensor.



Keinginan Ikal untuk mencari A Ling yang disangkanya ada di Edensor, ditambah dengan mimpi-mimpi yang dijelmakan oleh guru sekolah menengah beliau mengenai Sorbone, telah membawa Ikal juga Arai sampai ke Eropah melanjut pengajian peringkat sarjana.

Permulaan mereka tiba di Eropah amat mencabar, dengan layanan buruk orang di sana. Cerita berkembang, dan mereka akhirnya selesa berada di Universiti Sorbone dikelilingi oleh rakan-rakan seantero dunia. Pada satu tahap, mereka merasa hidup mereka membosankan. lalu, mereka bercadang untuk menjelajah Eropah secara back pack. Mereka mula menjelajah Eropah Barat, kemudian ke utara, ke negara-negara Scandinavia. Kemudian, mereka ke timur Eropah merentasi dataran Russia yang luas. Dan penjelajahan Eropah mereka berakhir apabila mereka ke Selatan Itali, Pulau Sicily.

Di suatu kesempatan di Itali, mereka mula meneroka Afrika melalui Maghribi. hajat mereka untuk menjelajah hingga Afrika Selatan tidak kesampaian. Mereka hanya sampai ke separuh Afrika, Zaire. Dan, dalam setiap tempat yang di singgahi, Ikal tidak lupa untuk mencari A Ling.

Habis penjelajahan Eropah dan separuh Afrika, mereka kembali ke Sorbone untuk menyelesaikan sarjana mereka. Tapi, pada satu tahap, Arai yang sudah ada penyakit lelah, mengalami kejutan musim sejuk. Beliau jatuh sakit dan terpaksa dihantar pulang ke Indonesia. Tinggal Ikal seorang menentukan takdirnya.

Owh, panjang lagi sebenarnya cerita ini, Lenguh aku taip. Apa kata kau baca sendiri novel ini. Hahahahahaha!

Tuesday, January 08, 2013

Ulasan Buku: Sang Pemimpi

Tetralogi kedua Lasykar Pelangi. Jika Novel pertama berputar sekitar pengalaman Ikal di sekolah rendah, pada Sang Pemimpi Ikal menginjak dewasa, lebih tepat situasi sewaktu beliau di sekolah menengah. Kisah bermula apabila bapa Ikal yang pendiam mengambil Arai, sepupu jauh yang sebaya dengan Ikal menjadi anak angkat. Arai yang berusia lapan tahun ketika itu kematian bapanya. Oleh kerana beliau sebatang kara, lalu bapa Arai mengambil beliau sebagai anak angkat.

Mereka berdua, beserta Jimbrom si peminat kuda tinggal menyewa di sebuah bilik kecil berhampiran pasar. Mereka bangun sebelum ayam berkokok untuk bekerja sebagai kuli ngambat. Menjelang siang mereka terus ke sekolah.

Walaupun begitu, dengan pengaruh guru-guru di sekolah itu, mereka bermimpi. Hanya dengan mimpi boleh membebaskan mereka dari menjadi kuli. Hanya dengan mimpi mereka boleh menerjah ke Sorbonne dan Zaire.



Tamat sekolah, dengan mimpi, mereka mudik ke Pulau Jawa. Pelbagai pekerjaan cuba dilakukan untuk menampung hidup dan menyambung pelajaran. Akhirnya, Ikal diterima bekerja sebagai pekerja pos. Manakala Arai yang tidak layak membawa diri ke Kalimantan. Ikal, sambil bekerja sebagai kerani pos, turut menyambung pelajaran. Arai juga begitu di Kalimantan.

Akhirnya, setelah sekian tahun berpisah, mereka berjumpa kembali apabila masing-masing ditemuduga untuk mendapat biasiswa melanjutkan pengajian sarjana di Sorbonne. Ya, dengan mimpi akhirnya mereka berjaya ke Sorbonne!

Yang pastinya, novel kali ini lebih lucu dan mencengkam. Bila membaca novel ini serasa seperti aku berada di situasi itu. Juga, semangat setiakawan Arai-Ikal-Jimbron sangat mengesan. Juga ketabahan Arai dalam mengharungi kehidupan boleh memberi inspirasi kepada mereka-mereka yang patah hati.

Monday, January 07, 2013

Ikan Zombie

Musim tengkujuh mula melanda pantai timur. Amat biasa, apabila musim tengkujuh, kau tidak dapat melihat matahari selama seminggu. Air dalam tangki rumah menjadi sejuk walaupun pada jam 1.00 tengahari. Baju yang kau basuh tak kering-kering seminggu lamanya. Ya, itu perkara biasa bila musim tengkujuh melanda di pantai timur, selain banjir.

Apabila tiba musim ni, laut bergelora, amat bergelora dan kelihatan menggerunkan. Di Dungun, air laut bukan sahaja boleh menghempas pantai, malah jalan raya dan tembok pun runtuh dihempasnya. Oleh itu tidak hairan jika nelayan gentar untuk turun ke laut. Dan kegentaran itu bermaksud kurangnya ikan di pasaran.

Oleh itu, yang hanya dijual hanyalah ikan-ikan zombie. Merah matanya. Ingingkin otak manusia! Hahahahaha. Entah sudah berapa lama agaknya ia diawet.


Harganya juga relatifnya "murah". Tapi, dengan harga dan keadaan ikan, ternyata sangat amat lebih enak menikmati ikan sardin dalam tin.


Sunday, January 06, 2013

Ulasan Buku: Lasykar Pelangi

Lama sudah cerita ini laku dan meletup di Indonesia. Sama ada novelnya atau filem. Kemunculan novel ini di Indonesia amat mengejutkan, pada masa yang sama mengujakan. Ternyata, dalam nuasa sastera, novel ini mampu menjadi buku yang laris jualannya, mengatasi buku cerita cinta-pop.

Lama juga, versi Bahasa Melayu buku ini dijual di Malaysia. Tahun 2009. Tapi, malangnya, aku hanya mula membacanya pada tahun 2011. Versi e-book bahasa Indonesia. Kemudian, aku membaca versi bahasa melayunya pada tahun 2012. Dan hanya pada tahun 2013 baru aku boleh membuat ulasan! Hahahahaha.

Buku laskar pelangi adalah siri satu dari tetralogi. Itu bererti ia mempunya empat siri. Siri kedua Sang Peminpi. Seterusnya Endensor. Dan yang penghabisan adalah Maryamah Karpov. Dan Maryamah Karpov masih lagi aku menekuninya kini. Dan lagi, keempat-empat novel itu ditulis oleh Andrea Hirata, seorang ekonomis telekomunikasi yang meminati sastera.

Tetralogi itu adalah kisah benar Encik Andrea. Yang namanya dalam novel ini Ikal. Dalam siri pertama ini, ia mengisahkan semangat 12 orang anak melayu Belitong - sebuah kawasan perlombongan timah - di kawasan yang dikatakan mundur. Namun, itu tidak menghalang 12 kanak-kanak itu untuk belajar dan bermimpi untuk mengubah nasib keluarga mereka yang rata-ratanya miskin.

Paling menyentuh hati kisah Lintang. Anak yang pintar dan berpotensi. Berbasikal berpuluh kilometer hanya untuk ke sekolah. Kadang-kala perjalannannya dihalang oleh buaya dan menyebabkan beliau hanya mampu untuk tiba saat rakan sekelas menyanyi menandakan sesi persekolahan hari itu akan tamat. Juga, beliau akan membaca apa sahaja buku yang ada padanya. Walaupun buku itu adalah buku astronomi yang tinggi bahasanya.



Tapi, menyedihkan, Lintang tidak dapat meneruskan pengajian apabila bapanya meninggal dunia. Dengan desakan hidup untuk mencari rezeki untuk adik-adik beliau, ibu beliau, datuk nenek beliau dan bapak saudara beliau yang kurang upaya,; beliau terpaksa berhenti belajar. Satu kehilangan bagi Sekolah Muhammadiyah. Satu kehilangan bagi Cikgu Muslimah. Dan satu kehilangan bagi anggota Lasykar Pelangi. Pengakhiran cerita, beliau hanya mampu menjadi operator mesin di perusahaan timah di Belitong.

Itu hanya sebahagian cerita ini. Ada banyak lagi kisah dalam cerita ini selain Lintang. Kisah Mahar yang genius hasil seninya, kisah Flo yang sangat mempercayai paranormal, kisah A Ling yang menjadi idaman hati Ikal dan banyak kisah lain.

Lasykar Pelangi boleh membuatkan kau ketawa pada perenggan ini tapi menyebabkan kau menangis pada perenggan berikutnya. Kalau kau mahukan inspirasi, semangat dan motivasi tatkala kau rasa jatuh, inilah bukunya yang perlu kau baca!

Saturday, January 05, 2013

Burger Bakar Che'gu Dungun

Dulu, tujuh tahun lepas, apabila mula-mula menjejak kaki ke Dungun, aku merasa sangat sukar mencari kedai makan yang menarik di Dungun. Mungkin kerana tekak Jawa aku tidak berapa selesa menerima makanan Pantai Timur yang terkadang kental manisnya.

Detik demi detik beranjak. Dan, peralihan detik itu semakin mengubah persepsi aku terhadap makanan Pantai Timur, tentu sekali makanan Terengganu. Boleh dikatakan hampir semua makanan Terengganu aku telah cuba. Dan, yang sangat mencandukan tentunya nasi kunyit dan laksam. Namun, kerana perlu menjaga kalori makanan, aku harus sedikit mengurangkan kecanduaan tersebut.

Kini, di Terengganu, mula melanda demam makanan segera dari barat. Setelah sekian lama KFC dan Pizza Hut bertapak, sudah mula ada gerai yang menjual chicken chop dan fish n chip. Tidak ketinggalan kedai tiruan Mama Chop Papa Grill di Pak Sabah yang rasa makanannya entah apa-apa itu. Orang Dungun makin kecanduan makanan barat apabila McDonald dibuka. Walaupun serata dunia galak memboikot, burger McDonald di Dungun kelihatan sangat laku laris.

Tapi, bagi kau yang ke Dungun, memboikot McDonald dan meleleh air liur tatkala mendengar perkataan "burger", aku cadangkan kau ke Burger Bakar Che'gu Dungun. Kedai ini terletak di jalan tepian pantai Dungun. Pelbagai variasi masakan burger diberi nama. Nama barat semuanya. Dan memandangkan aku hanya mendapat P8 subjek Bahasa Inggeris semasa SPM dulu, jadi, aku tidak tahu bagaimana harus menulis dan menyebut koleksi Burger Bakar Che'Gu Dungun. Tapi, kualiti, rasa dan servis kedai ini memang sedap. Kau akan terdiam tatkala menikmatinya walaupun kau jenis yang hanya berhenti bercakap ketika tidur.




Bagi mendalami lagi maklumat tentang Burger Bakar Che'Gu Dungun, kau boleh ketik DI SINI

Friday, January 04, 2013

Ulasan Buku; Cinta Suci Zahrana

Entah kenapa, sekarang ini aku suka membaca novel. Entah kenapa pula, penulis-penulis kesukaan aku suka menulis cerita tema cinta. Lalu, secara tidak langsung aku sekarang suka membaca novel-novel cinta. Oyeh!

Baiklah, kali ini aku membaca novel Cinta Suci Zahrana, karya novelis pembangun jiwa dari Indonesia, Habiburahman El Shirazy.



Cerita ini mengisahkan ego seorang wanita yang sangat mengejar ilmu dan sering terkehadapan dalam bidang ilmunya. Oleh sebab itu, beliau masih tidak lagi berkahwin selepas usia beliah menjangkau 30 tahun. Dan, nama watak itu adalah Zahrana.

Walau mencapai kegemilangan dalam eksplorasi ilmu beliau, namun, hidup beliau kurang lengkap tanpa suami di sisi. Itu menyebabkan ibu bapa beliau bimbang terhadap masa depan satu-satunya anak mereka. Lalu, segala usaha dikerahkan untuk satu tujuan - mencari jodoh Zahrana.

Konflik bermula bila Pak Sukarman, dekan merangkap bos Zahrana menaruh hati pada Zahrana. Walaupun Pak Sukarman itu sudah naik haji, tapi perangai beliau amat keji. Ramai pelajar perempuan menjadi mangsa nafsu serakah Pak Sukaman. Oleh itu pinangan Pak Sukarman ditolak oleh Zahrana. Pak Sukarman menaruh dendam.

Jodoh Zahrana sampai akhirnya, dengan seorang pemuda penjual keropok yang kacak, baik, berilmu agama dan mampu membimbing Zahrana. Tapi jodoh mereka tidak sampai. Bakal suami Zahrana terbunuh dalam satu kemalangan yang dirancang oleh Pak Sukarman.

Zahrana terpana. Bapa beliau terkejut lalu meninggalkan alam yang fana. Apa terjadi seterusnya? Ha! Itu kau kena baca sendiri. Kalau nak pinjam novel ini dari aku pun boleh. Tapi jangan lupa pulangkan!

Thursday, January 03, 2013

Roti Tempayan Kari Kambing

Walau sudah sekian tahun berulang-alik Dungun-Kuala Terengganu, aku masih lagi belum pernah singgah ke kedai ini. Walaupun terkadang tergerak hati untuk berhenti kerana tertarik dengan ramainya orang di kedai itu. Namun, entah kenapa aku masih lagi belum singgah ke kedai itu.

Tapi, tempoh hari, hati terasa ingin makan di kedai itu setelah Pn. Nurul dengan tegas mengatakan bahawa beliau lapar; pada petang itu; dalam perjalanan pulang ke Dungun dari Pulau Rusa. Lalu, pada pertama kalinya aku singgah di kedai itu.



Tak tahu apa namanya kedai itu, tapi pada papan tandanya tertulis 'Roti Tempayan Nan Kari Kambing". Jujur, aku tertarik pada papan tanda itu kerana 2 perkara. "Roti Tempayan" dan "Kari Kambing". Owh! Kombinasi yang bagus kawan!

Jujur juga, aku sebetulnya tidak pasti lokasi sebenar kedai ini. Barangkali di kawasan Merchang. Beberapa kilometer selepas Klinik Kesihatan Merchang dari Kuala Terengganu; pada sisi kiri jalan.

Dengan suasana sejuk renyai-renyai, perut yang kosong memang segera mahu diisi. Aku memesan menu yang klise dengan papan tanda itu - roti tempayan kari kambing. Manakala Pn. Nurul memesan roti tempayan kari ayam. Oleh kerana kami dalam proses yang menguruskan badan yang intensif (intensif la sangat, hahahaha), kami hanya memesan air suam sahaja.



Rasanya roti tempayan dan kari-karinya sangat sedap dan cemerlang! Bukan kerana lapar, tapi memang rasanya betul-betul sedap (sambil menunjukkan ibu jari, keempat-kepat termasuk kaki). Juga, kuantitinya pada kadar yang mengenyangkan. Burp! Alhamdullilah.



Harganya agak mencengkam juga. RM10. Harga yang biasa di Terengganu. Tapi, rasanya berbaloi dengan harga yang dibayar.

Wednesday, January 02, 2013

Ulasan Buku: Memoir Tun Dr Mahathir

Sejak aku berusia 5 bulan, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjadi Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, tidak hairan aku menjadi pengkagum beliau. Dengan idea, wawasan den keberanian beliau, tidak hairan Malaysia menjadi begitu maju duniawi kini.

Dalam memoir ini, Dr. M menceritakan dengan mendalam kisah hidup beliau, dari semasa zaman kecil, terlibat dengan gerakan kemerdekaan, dibuang UMNO, menjadi Perdana Menteri, memecat DSAI hinggalah perletakan jawatan beliau.

Aku paling suka membaca kisah pada zaman muda beliau. Zaman beliau bersekolah dan berniaga di pasar. Zaman peneyertaan beliau dalam politik tempatan di Kedah. Juga, zaman beliau  belajar di Singapura dan bertemu dengan Dr. Hasmah.

Aku paling kagum bila membaca bagaimana tercetusnya idea beliau terhadap pelbagai projek kemajuan negara. Putrajaya dan Cyberjaya antara yang sangat mega dan berjaya hingga kini. Juga, diceritakan rasional disebalik projek-projek mega tersebut.

Aku paling bingung apabila membaca ulasan beliau mengenai Islam. Kelihatan agak liberal. Dan aku tidak berani mengulasnya di sini kerana aku bukan siapa-siapa.

Aku juga bingung kisah beliau memecat DSAI. Kelihatannya semacam tidak rasional dan hanya berdasarkan spekulasi dan khabar angin. Saksi yang dikatakan itu pula semacam meragukan. Erm....

Aku cadangkan kau baca buku ini. Baca tentang pemikiran negarawan ini. Susah rasanya nak berjumpa orang yang sangat idealistik seperti beliau. kalau tanak beli, pinkam dengan aku pun boleh. Hahahaha


Tuesday, January 01, 2013

Hari ini 1 Januari 2013

Hari ini 1 Januari 2013.

Hari ini aku tidak cuti.

Hari ini aku perlu mengajar selama empat jam.

Hari ini aku tidak boleh bermalas-malasan seperti orang Lembah Kelang yang bercuti pada hari ini.

Hari ini pertama kali aku menulis pada 1 Januari.

Hari ini hujan turun dijangka hingga esok.

Hari ini umur aku bertambah.

Hari ini harapnya lebih baik dari hari semalam.

Hari ini pertama kali juga aku minum susu kurus.

Hari ini aku telah menulis 10 ayat yang bermula dengan kata "Hari ini".

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin