Pages

Saturday, February 13, 2016

Murtabak Mengkasar Mengakibatkan Ketagihan Kronik



Ada satu kedai murtabak di Pekan. Bukan pekan rabu atau pekan puisi. Tidak juga "pekan" yang ditakrifkan sebagai bandar kecil seperti Pekan Air Hitam mahupun Pekan Baling. Jauh sekali nama orang.

Pekan yang aku maksudkan adalah salah daerah di Pahang. Kalau pulang ke Johor dari Dungun, aku gemar melalui LPT2 - Kuantan - Pekan - Mersing - Kluang - Bandar Tenggara.

Kalau aku melalui Pekan selapas jam 3.30 petang, aku akan singgah di kedai Murtabak Mengkasar. Kedai ini buka petang membawa ke malam. Kalau aku lalu 11 pagi, tak tergamak aku nak tunggu sampai petang.

Oleh itu, tidak hairan aku hanya sempat 3 atau 4 kali ke kedai ini.

Kedai ini asalnya di Kampung Mengkasar. Kampung ni tak jauh dari bandar Pekan. Boleh dikatakan juga kampung ini terletak dalam bandar Pekan.

Kedai Murtabak Mengkasar terletak di tepi jalan. Kalau kau dari bandar Pekan, ia terletak sebelum lampu isyarat ke Kuantan/Muadzam; sebelah kiri.

Itu kedai asalnya. Ada cawangannya di Peramu. Dalam daerah Pekan juga. Aku rasa lebih kurang 5km dari kedai asal. Kalau dari bandar Pekan ke Kuantan, kau akan lalu kawasan industri. Selepas kawasan industri, kedai cawangan itu terletak di sebelah kanan. Ia terletak di lot kedai dua tingkat, sebelah Secret Recipe.

Pada tekak aku, mana-mana murtabak sama sahaja. Tapi aku suka murtabak yang tebal dan mewah isinya. Tak kiralah isinya penuh dengan daging atau penuh dengan bawang.

Tapi, istimewanya Murtabak Mengkasar ini adalah pencicahnya. Bawang jeruk cuka dia memang terbaik. Walupun dijeruk cuka, memang tak rasa masam sangat. Sesuai untuk aku yang tak suka masam. Di sebabkan kesedapan jeruk itu, memang tak sempat nak ambil gambar. Semuanya selamat dalam perut aku hatta sebelum murtabak habis.

Hanya ada beberapa sahaja pilihan murtabak di sini. Hanya ada murtabak ayam dan lembu. Kemudian, keduanya ada versi biasa dan special. Yang special lebih kurang sama dengan biasa. Cumanya lapisan luar dibalut dengan telur.

Satu murtabak, tak kira apa jenisnya, kenyang dimakan oleh dua orang. Kalau badan macam Mira Filzah boleh makan 4 orang. Tapi, kalau aku, seorang makan baru cukup. Dan ia cukup untuk mengenyangkan aku selama sehari.

Aku tak ingat secara tepat harganya. Aku rasa antara RM7-RM9 sebiji murtabak.

Kalau bandingkan antara kedai asal dan kedai cawangan, rasanya memang sama. Cuma aku suka ke kedai cawangan. Sebab, aku celaru dan keliru melihat jantina pelayan di kedai asal.

Dalam post aku ni memang takde gambar murtabak. Aku gelojoh. Lepas habis makan, baru teringat nak ambil gambar. Nak ambil gambar kat dapur pula, dah rasa malas sebab kekenyangan. Harap kau boleh google gambarnya sendiri. Hohohohoho.

Friday, February 12, 2016

Kenapa Pasar Malam Ini Hanya Dua Kali Sebulan



Ini pasar malam di kampung aku. Bandar Tenggara. Ya, kampung aku adalah bandar. Tapi, bukan macam bandaraya Johor Bharu mahupun bandar Dungun. Malah, Bandar Baru Uda atau Bandar Tun Razak jauh lebih besar dari bandar aku ni. Mungkin Bandar Tenggara ni macam Bandar Tasik Selatan (Olan) kot.

Sebetulnya, Bandar Tenggara adalah pusat bandar wilayah kemajuan luar bandar Johor Tenggara. Kalau kau perhati, kebanyakan bandar bermula di tepi laut, tepi sungai atau di dataran lembah yang luas. Tapi, Bandar Tenggara ni wujud di tengah- tengah hutan. Ia dikelilingi lebih sedozen perkampungan felda, estet dan orang asal dalam lingkungan 30km radius.

Jauh aku punya intro. Kau memang gigih boleh baca sampai sini. Hohohoho.

Pasar malam di kampung aku ni tidak dipanggil pasar malam. Kami panggil pasar lambak. Tak tahu la aku sebab apa di panggil pasar lambak. Nak kata ada joget lambak, memang takde. Mungkin sebab berlambak orang meniaga dan berlambak orang datang shopping dan cari bini di sini.

Pasar lambak di sini diadakan dua kali dalam sebulan. 9 dan 20 haribulan setiap bulan. Kalau 9 dan 20 haribulan tu jatuh hari Khamis malam Jumaat, ia akan dianjakkan pada keesokan hari. Ini bagi peluang pada masyarakat untuk membuat yasinan. Yasinan ini adalah bacaan yasin dan tahlil beramai-ramai. Ia secara adat dilakukan setiap malam Jumaat.

Selain Bandar Tenggara, pasar lambak juga diadakan dua kali sebulan di perkampungan sekitar 30km radius. Memandangkan ada lebih sedozen perkampungan, memang tak cukup masa untuk rotation dalam tempoh seminggu. Itu sebab kena buat dua kali sebulan. Sebab apa kena buat rotation? Sebab, peniaga yang sama juga yang berniaga di pasar-pasar lambak tersebut.

20 tahun lepas memang meriah pasar lambak ni. Panjang. Memang tak larat nak jalan dari hujung ke hujung. Ialah, masa tu tak ramai mampu ada kereta untuk ke Kluang, Kulai atau Kota Tinggi. Di pasar lambaklah penduduk membeli barang keperluan yang tak ada dijual di kedai-kedai di Bandar Tenggara ketika itu. Juga, ini adalah peluang untuk penduduk berlibur.

Sekarang pasar lambak kurang meriah. Semakin kontot. Penduduk pun dah ramai yang ada kereta. Jadi, bila-bila masa sahaja mereka boleh ke Kluang, Kulai, Kota Tinggi, malah ke Johor Bharu untuk shopping. Pemuda juga sud
ah bosan untuk mencari bini di pasar lambak. Bosan melihat gadis sekampung. Keturunan tak berkembang. Ada baiknya mereka mengorat makwe bandar. Rambut karat, jeans ketat, pakai Myvi, kerja kerani. Keturunan pun berkembang.

Sebelum jauh aku merepek, aku tamatkan artikel ni di sini. Memang anti-klimaks. Tak macam drama laki curang bini derhaka petang-petang tu yang kau boleh agak penamatnya walaupun baru tengok episod pengenalan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin