Pages

Sunday, January 15, 2017

Cara paling senang download video dari Youtube

Lima belas tahun lepas, sebelum ada Youtube, untuk memahami sesuatu konsep kejuruteraan adalah sukar. Bagi memahami sesuatu konsep, hanya lakaran hitam putih dalam buku menjadi rujukan. Jika bernasib baik, boleh lihat mekanisma sebenar di bengkel atau makmal. Luar dari keadaan itu, adalah mustahil untuk pembelajaran lanjutan di luar kelas.

Pada masa itu juga bahan video untuk pendidikan kejuruteraan sukar diperolehi atas talian. Ini kerana infrastruktur internet pada masa itu tidak mampu untuk menampung bandwith untuk video. Jika ada pun video, ia dikeluarkan oleh syarikat pengeluaran teknologi kejuruteraan.

Zaman berubah, pembelajaran video kini menjadi mudah. Hanya download dari Youtube sahaja. Tapi, masalahnya, macam mana nak download video dari Youtube. Bertenang, ini caranya.

Untuk Firefox (pastikan buka firefox)

1. Taip pada google, "youtube download add on firefox"

2. Fuh! Macam-macam add on keluar. Kau pilih mana yang berkenan.


3. Aku suka yang ringkas dan minimalis. Yang ini.
https://addons.mozilla.org/en-US/firefox/addon/download-youtube/

4. Klik "Add to Firefox". Lepas tu klik "install"

5. Lepas tu kau klik 3 line atas penjuru kanan Firefox kau. Klik "Add-ons". Tengok pada "Extension". Kalau dah ada macam ni, kira sudah la tu.


6. Cara nak pakai senang je. Kau buka video Youtube yang kau nak download. Pada bahagian bawah kiri video, ada butang "Download". Kau klik situ.




Yang aku pilih ini agak ringkas dan minimalis. Pilihan pun kurang. Kalau kau tak suka, kau boleh pilih add-on lain seperti langkah 2.

Untuk lain-lain browser, sama sahaja. Kau cuma buang perkataan Firefox dengan brower yang kau guna.

Selamat mencuba!


Thursday, January 12, 2017

Senarai Harga Servis Kereta Perodua

Sejak beli kereta Perodua Alza enam tahun lepas, aku memang tak pernah servis di bengkel luar. Semua aku buat di Pusat Servis Perodua. Dan 90% darinya aku servis di Perodua Servis Kuala Ibai.

Bukan aku kaya sangat untuk servis di pusat servis. Tapi, aku rasa julat harganya tidaklah terlalu besar, lebih-lebih lagi di Terengganu ini dimana barang alat ganti kereta agak mahal juga harganya. Pusat servis, aku yakin barangnya tulen dan aku tahu dimana aku nak mengadu jika berlaku sebarang masalah selepas servis.

Juga, ada sebab juga kenapa aku memilih Perodua Servis Kuala Ibai. Malas aku nak taip balik. Elok kau baca post Perodua Servis Kuala Ibai.

Tapi, untuk alignment tayar, aku lebih yakin dengan ZR Tyre. Pernah juga buat di pusat servis, makin lari alignment tayar aku. Hohohoho

Selain alignment, pernah juga aku tukar water pump di bengkel luar. Sebab pusat servis tiada stock water pump. Dua minggu lagi akan sampai katanya. Aku tak boleh tahan masa tu. Aku rasa, kalau tunggu dua minggu lagi, mau jahanam enjin aku disebabkan panas lampau.

Aku, seperti biasa intro bukan main panjang. Nak cerita senarai harga servis kereta perodua. Dah ni melalut sampai post 4 tahun lepas.

Ok, sebelum ke pusat servis perodua, elok kau semak harga dulu dan sediakan duit mencukupi. Nanti malu macam muka tu ditampal kulit babi sebab tak cukup bawa duit.

Kau boleh semak harga servis di http://www.perodua.com.my/service-maintenance. Lepas tu, kau pilih jenis kereta dan berapa ribu kilometer kau punya mileage. Macam aku, sebab mileage dah sampai 170,000km, aku pilih yang 50,000 & 70,000km. Sebab, dia sama je barang yang perlu ditukar dan diservis. Kalau kereta kau dah sampai 270,000km, pun pilih yang 50,000 & 70,000km.


Jangan lupa pula kau tekan butang SEARCH yang warna merah tu. Nanti dia keluar macam ni.

 
Jadi, aku sedia duit dalam dompet sebanyak di atas. Tapi, aku bawa juga lebih. Sebab aku perasan minyak hitam aku bocor di antara enjin dan kotak gear. Nak minta pusat servis tengokkan. Manalah tahu boleh dapat enjin sebiji percuma. Hohohooho.

Tuesday, January 10, 2017

Jubah Konvekesyen Untuk Disewa

Ini iklan layanan masyarakat. Aku tak dapat komisyen untuk iklan ini. Cuma sekadar membantu orang nak menyewa dan pihak yang memberi sewa.

Pihak yang memberi sewa adalah Koperasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun Berhad. Mereka ada hampir 1000 helai jubah konvokeyen dari saiz S-XXL yang boleh disewa.

Mungkin kau yang membaca post ini nak menyewa untuk majlis konvokesyen sekolah atau IPT ataupun PhD Chennai International University.

Tapi, hanya jubah sahaja yang ada. Takde topi konvo tu yang entah la apa namanya.

Kalau betul-betul berminat, boleh terus hubungi En. Roduan di talian 011-28422722.

Kalau tak dapat hubungi nombor di atas, ataupun kau membaca post ini pada tahun 2025, kau boleh terus telefon 09-8400800 dan minta sambungkan ke Koperasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun Berhad.




Gambar di atas adalah usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak yang memberi sewa untuk membaiki butang jubah.

Monday, January 09, 2017

Canva: Buat Design Poster Dengan Mudah dan Percuma

Aku bukanlah pro atau pandai sangat design poster atau edit gambar. Kadang tu aku rasa aku lukis tangan lagi cantik. Hohohohoho

Dengan kepandaian tak seberapa, kerap la juga aku edit gambar dan design poster Adobe Fireworks. Software ni paling banyak aku guna. Tapi, kalau nak edit yang simple, aku selesa guna Microsoft Picture Editor sahaja.

Masa zaman muda-muda dulu, 12-14 tahun lepas, biasa juga aku guna Corel Draw. Zaman tu e-card sangat popular. Sempat la juga aku menyumbang e-card pada web yang provide servis e-card. Owh, bagi kau yang tahu, e-card ni kira macam sosial media juga la kot masa tu. Dia lebih awal dari Friendster dan Myspace. Bila wujud dua media sosial ni, kegemilangan e-card terus pudar.

Namun, bila meningkat usia ni, aku macam malas nak buka software untuk design poster dan grafik. Itu yang pertama. Yang kedua, idea kreatif aku dah mula merosot.

Mujur sekarang berlambak online software dan phone apps yang power untuk design poster. Siap ada template yang comel dan cun. Jadi, sekarang ni dah jarang aku buka Adobe Fireworks.

Banyak sebenarnya online software dan phone apps untuk design poster. Tapi, pada aku yang paling best adalah Canva. Canva ni kau boleh guna online di www.canva.com. Ataupun, kalau kau pakai iPhone atau iPad, kau boleh download apps dia di Apple Store. Malang bagi kau yang guna Android, tiada apps ni dalam Play Store.


Canva ni banyak templatenya. Ada yang free, ada yang berbayar. Yang free pun dah cun sangat. Tak payah dah nak pakai yang berbayar.

Tapi, canva ni ada satu kelemahan yang ketara. Dia tiada lasso tool. Lasso tool ni untuk kita pilih bahagian tertentu dalam gambar. Untuk lasso tool sahaja, aku gemar guna https://www.befunky.com/

Sebenarnya, banyak lagi online software dan apps untuk design poster dan edit video. Nah, aku bagi lagi 10. Pandai-pandai la ye nak explore sendiri.

1- Pixlr
2- Fotoflexer
3- Pizap
4- Lunapic
5- Photofunia
6- Freeonlinephotoeditor
7- Bannermaker
8- Malaysiastream
9- Rea_perzs Photoshop
10- Fotor

Sunday, January 08, 2017

Tempat Makan Terbaik di Dungun: Petok Coffee

Pada suatu petang yang lapar, kami suami isteri mencari kedai makan, dalam keadaan mendung, hujan sederhana lebat dan sedikit berangin. Hasratnya untuk mencari kedai yang tak pernah kami pergi.

Lalu, digerakkan kereta dan berhenti di sebuah gerai kontena di Pantai Dungun. Masa sampai tu, tengah hujan sederhana lebat. Dengan pantas, seorang pekerja wanita (mungkin tauke) segera memayungi Pn. Nurul dan mengiringi beliau ke dalam kedai. Tapi, aku dibiarkan kebasahan. Hohohoho. Namun, ini merupakan tanggapan pertama yang baik.

Sistem dia layan diri. Sampai sahaja, kami terus ke kaunter dan melihat menu untuk dipesan. Banyak juga menunya. Tapi, tiada masakan panas ala thai. Yang ada masakan barat dan menu seperti mee udang dan asam pedas.


Sebab sudah bosan makanan Melayu, kami cuba pula untuk menjadi Mat Saleh. Lalu kami memesan Western Talam.


Western Talam ni kami ambil saiz small. Cukup makan untuk dua orang. Atau mungkin 3 orang. Ada chicken chop, french fries, meat ball dan sphegetti carbonara. Sedap!

Disebabkan kami lapar, kami pesan juga mee udang. Fuh! Terasa betul udangnya. Sedap hingga ke titisan kuah terakhir. Tapi, udangnya agak mengkal sikit. Mungkin kena lebih masak lagi


Air pula banyak kopi yang dibru segar. Lagi segar dari Nescafe. Aku tak tahu nak kopi apa. Tapi, tukang jual tu cadangkan aku minum French Coffee. Rasanya? Rasanya macam kopi. Hahahahaha. Lemak pahit manis semua cukup.

Kedai ini agak unik, dibuat dari kontena.



Tapi, paling terbaik di kedai ini adalah kerusinya. Buatan sendiri. Besar tapak duduknya. Sesuai dengan aku.



Kedai ni kau boleh cari di Google Maps. Ataupun, kau boleh klik sini. Kau juga boleh follow Petok Coffee di Instagram dan Facebook.


Owh, lagi satu. Masa kami sampai, tak ramai pelanggan. Jadi para pekerja (dan juga tauke) duduk bersembang. Sembang bukan kosong-kosong. Aku curi dengar. Diorang sembang pasal isu pendidikan negara dan juga masa depan perniagaan atas talian. Fuh! Memang berwawasan!

Saturday, January 07, 2017

Teknik Supaya Bini Bertambah Sayang: Membasuh Tub / Drum Mesin Basuh

Aku tidaklah mempunyai pengetahuan mendalam tentang mesih basuh. Aku tahu pakai sahaja. Bila rosak, pergi hantar untuk dibaiki. Kalau tak boleh baiki, boleh hantar ke tempat pelupusan sampah. Juga, aku juga tidak tahu rupanya mesih basuh juga perlu diservis atau dalam lain kata, perlu juga ia dibasuh.

Barangkali kau yang baca ini pun macam aku. Hohohoohoho.

Entah macam mana, suatu hari, keluar dalam newsfeed facebook aku tentang cara-cara membasuh mesin basuh. Jadi, aku dengan gembiranya hari ini ingin pula berkongsi dengan kau cara-caranya.

1- Kau pergi Cosway, beli benda ini. Harga bukan ahli RM16.90. Dalam dia ada 2 bungkus.




2- Baca arahannya dulu. Orang kita biasanya skip bahagian ni.




3- Masukkan satu paket ke dalam masin basuh. Jangan kedukut. Letak je semua


4- Lepas tu, kau basuh macam biasa. Tapi, tak perlu set spin atau rinse. Hanya wash sahaja. Lepas tu biar tub / drum berendam selama lima jam. Eloknya sebelum tidur kau buat. Bangun tidur dah siap.


5- Esok pagi bila kau bangun kau akan nampak kotoran terampai. Aku nasihatkan untuk kau kaut kotoran tu. Kalau tak, jenuh nanti kau nak bilas. Tapi, siapa yang tangan sensitif, eloknya pakai sarung tangan plastik. Pandai-pandai kau la nak kaut pakai apa. Pakai penapis teh/kopi pun boleh. Tapi, diam-diam. Jangan bagitau bini kau.




6- Lepas tu, kau buat tub / drum hygiene. Tapi, kalau kau set rinse biasa pun boleh. Aku lepas set tub hygiene ni, terus pergi kerja.


7- Bila balik kerja, aku sambung kerja mencuci. Ada lagi sisa di dasar tub. Kena bersihkan manual pakai kain. Lepas tu rinse sekali lagi. Lepas tu bersihkan dasar lagi. Buat ulang kali sampai bersih dan kau puas hati.

Kalau kau tak buat langkah 5, jenuh kau langkah 7 ni.


8-  Jangan lupa untuk kau bersihkan penapisnya.



Siap!

Gambar tub yang bersih aku tak sempat nak ambil gambar. Pn. Nurul bising dah, sebab baju 2 bakul tak basuh lagi. Ialah, kami ni berdua je, basuh baju sekali atau dua kali je seminggu.

Kalau ikut panduan dari kotaknya, membasuh tub / drum mesin basuh ni kena buat sebulan sekali. Tapi, ikut suka hati kau la nak basuh sekerap mana. Tapi, kalau rasa kau basuh baju macam tak bersih, elok cepat-cepat buat.

Kerja ni sebaiknya kau sebagai lelaki buat. Jangan nak duduk terkangkang je depan tv. Ini salah satu teknik bagi bini sayang dekat kau.

Thursday, January 05, 2017

Ini adalah strategi bagi yang malas untuk menanda kertas.

Aku bukanlah jenis pensyarah yang rajin menanda assignment. Pada aku, menanda assignment adalah perkara paling menjemukan dalam kerjaya aku. Tambah lagi jemu, jawapan assignment sama sahaja satu kelas. Aduh, punyalah bosan nak menghadap 40 jawapan yang sama. Itulah penyebab aku malas menanda assignment.

Tapi, sebenarnya orang malas ni bijak. Ada orang malas nak sabit rumput, maka terhasilah mesin rumput. Ada yang malas nak panjat pokok kelapa, maka dilatihnya beruk untuk memanjat.

Oleh kerana kemalasan aku menanda assignment, maka aku gantikan dengan mini projek.  Mini projek (assignment) ini adalah untuk bab pam air. 
Aku suruh pelajar aku buat pam yang menggunakan tenaga manusia. Human powered water pump.

Mula-mula merungut juga bebudak ni. Pada fikiran mereka aku sudah gila isim. Suruh buat pam. Lepas tu mesti kena buat report. Dengan tenang aku bagitau "Korang buat je pam, report tak payah buat. Pam siapa paling cepat sedut air boleh dapat markah paling banyak".

Bukan main seronok bebudak ni. Aku bagi tempoh seminggu untuk buat. Supaya pam yang dihasilkan berkualiti, aku tambah beberapa kriteria pemarkahan. Antaranya esthetic, usability dan efficiency. Harapnya nanti bila mereka ini berada di industri dan masyarakat, tidaklah mereka buat sesuatu asal buat. Biar apa yang dibuat itu berkualiti untuk kegunaan industri mahupun masyarakat.

Pada hari pengujian, macam-macam jenis pam bebudak ni buat. Ada jenis plunger, reciprocate dan siphon. Masa pam diorang diuji, sempat la juga aku beritahu jenis pam yang mereka buat. Jadi, mereka akan faham secara praktikalnya prinsip operasi sesuatu pam. Tidak hanya melalui lakaran pada buku mahupun animasi video.


Selain itu, secara jujur, kalau ada pam yang macam gampang, aku bagitahu juga sebab apa pam itu jadi gampang. Memang mereka diketawakan oleh rakan-rakan yang lain. Tapi, aku beritahu, persetankan dengan orang yang mengetawakan orang lain, sebab dengan kegampangan pam korang, mereka yang mengetawakan dan yang ditertawakan juga mendapat ilmu yang baharu. Ilmu yang jarang ada dalam buku. Dan, kehidupan juga begitu, akan ramai yang mengetawakan kita masa kita jatuh.

Mungkin ada yang kata kaedah aku ini tak mengikut silibus. Tapi, pada aku, kita harus sentiasa bergerak dan berinovatif. Sebelas tahun dulu pensyarah suruh aku buat assignment atas kertas. Tak kan lah sebelas tahun akan datang aku kena buat perkara yang sama? Kereta sebelas tahun lepas dengan kereta sekarang banyak juga bezanya. Oleh itu kaedah pengajaran aku juga harus berubah.

Kerana pada aku, pendidikan bukan untuk menghasil pelajar yang dapat banyak A. Pendidikan seharusnya memberikan pengetahuan dan pengalaman.







Wednesday, January 04, 2017

Pengalaman Membuka Akaun ASB2 di Dungun

Dah tua-tua macam ni, barulah aku ada kesedaran mendalam untuk menyimpan dan melabur di dalam ASB2. Sebab apa ASB2? Sebab aku dah ada ASB, jadi, nak tambah koleksi buku bank (bukan tambah duit dalamnya). Hohohoho

Kau, yang muda-muda, elok menyimpan dan melabur dari awal. Senang masa depan. Memang klise nasihat ini. Tapi, percayalah, bila kau sudah melalui fasa macam aku, kau akan rasa betapa ruginya tidak menyimpan dan melabur dari awal.

Namun, bagi kes aku, better late than never. Kau yang muda 20an, jangan ikut.

Kalau kau di ibu negeri, boleh sahaja kau pergi ke mana-mana pejabat ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) untuk membuka akuan ASB, ASB2, ASN, AS1M dan lain-lain produk saham ASNB. Biasanya boleh siap masa tu juga.

Namun, bagi kes aku, agak jauh juga untuk aku ke Kuala Terengganu, ke pejabat ASNB. Kena ambil cuti, kena batal kelas. Aduh!

Tapi, akaun saham amanah ASNB ni juga boleh dibuka di kaunter ejen-ejen ASNB. Ejen ASNB seperti dalam laman webnya adalah seperti berikut:
- Maybank
- CIMB
- RHB
- Pos Malaysia
- BSN
- Affin Bank
- Alliance Bank
- AmBank


Pada suatu hari, dalam semangat yang membara, aku pergi ke RHB Dungun. Asalnya untuk buat kad bank yang baharu. Alang kepalang, aku terus tanya kaunter nak buka akaun ASB2. Seorang pegawai lelaki mengatakan bahawa untuk membuka akaun ASB2 perlu deposit awal RM200. Aku batalkan hasrat. Sebab, dalam pengetahuan aku RM10 sudah memadai untuk membuka apa-apa akaun ASNB. Barangkali beliau ingat aku ini budak-budak baru nak up. Hohohohooho

Terus aku pecut ke Maybank Dungun. Sebab kebetulan juga aku nak keluar duit di Bank Islam Dungun. Bank Islam dan Maybank Dungun ni bersebelahan. Aku pergi tanya kaunter cara untuk buka akaun ASB2. Seorang pegawai wanita mengatakan bahawa 2 minggu baru siap permohonan buku ASB2. Sekali lagi aku batalkan hasrat. Sepengetahuan aku, lima belas minit sebenarnya boleh siap. Mungkin pegawai itu ingat aku budak fresh graduate yang baru dapat kerja.

Darihal dua bank itu tidaklah mematahkan semangat aku. Terus aku pergi ke CIMB Dungun. Khas. Tiada urusan lain. Hanya semata-mata nak buka akaun ASB2. Sampai, terus aku pergi kauter pertanyaan. Seorang pegawai wanita bagi borong, sambil ajar aku cara nak isi borang. Siapa panggil aku adik lagi. Kah kah kah. Tak sampai 5 minit, nombor aku dipanggil. Hulur IC, borang dan RM10. Dalam masa 15 minit, siap buku ASB2 aku. 15 minit tu pun sebab line slow katanya. Kalau tak lagi laju.

Secara tersuratnya, kalau kau nak buka ASB2 di Dungun, elok kau pergi ke CIMB.

Secara tersiratnya, aku ini kelihatan muda dari usia sebenar. Hohohohoho.

Kau ada pengalaman di tempat kau. Cuba kongsi pada ruangan komen di bawah. :-)


Tuesday, January 03, 2017

Membeli-Belah Cara Moden di Mydin Mall Gong Badak

Beberapa kali aku guna sistem membeli-belah cara moden di Mydin Mall Gong Badak (Dataran Austin). Namanya Alat Pengimbas Layan Diri atau PSS. PSS mungkin singkatan dalam bahasa Inggeris. Personal Self Scanner, mungkin.

Untuk menggunakan PPS ni, kau kena ada kad Meriah Mydin. Kad ini kau boleh dapatkan dengan bayaran RM20 setahun, kalau tak silap aku. Selain untuk guna PPS, Kad Meriah ni kau boleh kumpul point. Hujung-hujung nanti kau boleh tebus point untuk dapatkan pinggan mangkuk kegemaran bini kau. Juga, kau dapat diskaun bagi item-item terpilih.

Bila masuk, kau akan nampak PPS bersusun di sebelah kanan kau.


Lepas tu kau terus scan kad Meriah.


Tunggu 20 saat, lepas tu PPS kau akan menyala lampunya. Ambil yang tu. Jangan ambil yang lain. Bahagian ni aku lupa nak ambil gambar. Gelojoh sangat nak guna.

Kemudian, kau ambil barang kau boleh terus scan. Ini kau kena jujur. Apa yang kau ambil, scan. Jujur. Bangsa berjaya adalah bangsa yang jujur.

Sambil scan, kau boleh terus tahu berapa perbelanjaan kau. Boleh terus nampak jumlah pembelian kau. Kalau kau berubah fikaran, tak nak barang tu, kau tekan tanda tolak, scan balik barang tu.


Tapi, ada satu masalah. Kalau bar code macam cilaka, susah sikit nak scan. Macam kat bawah ni. Bar code printer dia macam nak habis dakwat.




Paling best, masa nak bayar. Kau boleh terus ke kaunter khas. Tak payah beratur. Siap dialu-alukan lagi kedatangan kau. Sebab tak ramai guna alat ni.



Di kaunter ni, juruwang akan scan beberapa barang secara rawak. Lepas tu kau boleh bayar dengan cash atau kad kredit/debit. Proses cepat. Kalau cara biasa, kau kena beratur. Lepas tu juruwang kena scan barang kau semua, satu-persatu. Lambat.

Pada pemerhatian aku, tak ramai orang guna alat ni. Kalau aku guna, banyak mata yang memandang. Aku tak tahu sama ada mereka kagum dengan alat itu atau merasakan aku seorang lelaki yang ego. Hohohohoho

Ayuh sahabat! Mari kita guna alat ini. Aku tengok sistem alat ini dah jadi macam gajah putih. Takde orang nak pakai. Mungkin rasa malu. Atau mungkin rasa macam kuli sebab kena scan barang sendiri.

Kita sering kagum dengan teknologi luar. Kau tengok dua video di bawah. Punyalah maju.


Kita juga boleh ada sistem seperti itu jika kita sokong dan guna sistem yang sedia ada sekarang. Mungkin agak ketinggalan. Tapi, jika ramai yang guna, mungkin suatu masa kelak, Mydin Mall akan mula mimikirkan cara untuk memajukan sistem PPS mereka. Mungkin lebih canggih dari Amazon. Dan inilah masanya kawan untuk kita kagum dengan teknologi di negara kita. Ini tak, asyik nak kutuk je barang tempatan.

Kau ada pengalaman macam ni di tempat lain di Malaysia. Mohon share pada ruang komen.

Monday, January 02, 2017

Tempat Makan Terbaik di Kuala Terengganu: Nasi Kerabu dan Mee Jawa Losong

Mulanya aku tak tahu kenapa orang luar Johor panggil mee Jawa. Sebab aku yang Jawa dan asal Johor panggil makanan itu mee rebus. Tapi, aku ada huraikan tentang perbezaannya di sini.
<<< Beza mee rebus Johor dengan mee rebus Terengganu >>>

Dulu, kerap aku makan mee Jawa ni di kedai Selera Selatan. Mee Jawa di kedai tu sangat minimalis. Hanya mee, tauge sedikit daun bawang serta bawang goreng. Yang mewah adalah kuahnya. Pekat dan berdaging. Memang citarasa mee Jawa yang asli. Mee Jawa yang terbaik di Terengganu pada aku. Dan ia satu-satunya kedai menjual mee Jawa di Dungun; mengikut pengetahuan aku.

Sayangnya kedai itu sudah tutup. Aku rasa sudah 2 tahun. Sejak itu aku semakin ketagih mee Jawa. Aku hanya dapat menikmati hanya tatkala pulang ke Johor. Bersepah kedai menjual mee Jawa a.k.a mee rebus.

Entah macam mana, pada suatu hari semasa aku melalui Jalan Sekolah Sultan Ahmad di Losong, Kuala Terengganu, aku ternampak banner "MEE JAWA UDANG". Fuh, tengok banner je dah ngences air liur aku. Terus aku menanam impian untuk menikmati mee Jawa di kedai itu.



Ditakdirkan aku ke kedai itu dua malam yang lepas. Buka setakat mee Jawa, banyak lagi menunya.


Aku terus order mee Jawa dia. Fuh! Terubat rindu. Walaupun kurang sikit berbanding Selera Selatan atau Johor, tetapi ia tetap sedap. Menghirup juga aku hingga titisan kuah terakhir.



Selain itu, ada juga Char Kuew Tiow. Pun sedap juga. Manis pedas semua cukup.

Mee sup dia pun sedap. Sesedap rasa.

Dan, signature dish kedai itu, Nasi Kerabu tidak mengecewakan. Harganya hanya RM4 sahaja. Macam tak sepadan dengan kualiti dan kesedapannya.

Kedai ini terletak di Jalan Sekolah Ahmad, Losong, Kuala Terengganu. Malas cerita panjang, dalam Google Maps kau boleh cari "NASI KERABU LOSONG".







 Ha, apa lagi? Pergi start enjin kereta. Hohohohoho

Sunday, January 01, 2017

Tempat Makan Terbaik di Paka: Green Cafe

Raya Krismas baru ini, aku tergesa-gesa balik Johor. Tak tergesa sangat pun, seminggu sebelum balik aku rancang nak balik. Biasanya, sebulan sebelum balik aku dan rancang.

Punyalah tergesa sampai Pn. Nurul nak buat projek rahsia dengan kakak dia pun terbantut. Apa punya projek pun aku tak tahu. Memang betul-betul rahsia.

Dari Johor nak balik Dungun, banyak tempat kami menyinggah. Sempat singgah di Parit Raja untuk beli kerepek. Lepas tu makan nasi campur ala Jawa di Jentayu, simpang Parit Sonto. Aduh! Punyalah sedap. Lama tak makan nasi campur ala Jawa ni. Fuh, sambil menulis ni rasa nak meleleh air liur aku.

Kemudian, singgah pula di Kuantan hantar anak saudara aku. Persinggahan tidak tamat di situ. Selepas sejam perjalanan, kami singgah pula di RnR Perasing di LPT2 untuk sembahyang dan minum petang.

Tapi, kalau kau bercadang untuk makan-makan di RnR Perasing, aku cadangkan kau lupakan hasrat kau itu. Kedai yang tutup lagi banyak dari kedai yang buka. Dari kedai yang sedikit itu, tiada kedai yang jual nasi atau makanan berat. Keropok, maggi dan pau antara makanan terberat yang kau boleh beli dan makan di situ.

Sejurus sebelum Maghrib, aku sampai Paka. Hujan renyai membuatkan perut lapar. Boleh sahaja aku tahan kelaparan dan makan di Dungun. Tapi, apalah erti pengembaraan jika balik mengambara makan di kampung sendiri. Lalu, kami memutuskan untuk mencari kedai makan di Paka.

Tak lama kami mencari terus jumpa Green Cafe. Tapi, tak mencari juga sebenarnya. Kiranya nampak kedai tu, terus berhenti. Dari luar kedai ni nampak eksklusif. Tanggapan kami, mesti kedai ini mahal. Walaupun kami memang bukan jenis yang banyak duit, kami masuk sahaja kedai itu. Sambil itu aku berdoa supaya kad kredit aku boleh digunakan kelak. Kah kah kah.




Green cafe ini aku perhati ada 4 ruang makannya. Bahagian luar, open air, sesuai untuk perokok. Kemudian ada bahagian luar berbumbung, sesuai untuk yang ingin menikmati angin pantai. Ketiga, ruang dalam bahagian bawah, ada penyaman udara. Keempat, ruang dalam bahagian atas. Entah apa ada kat atas tu aku tak tahu. Kau kena pergi sendiri.




Aku pilih ruang ketiga. Sesekali nak rasa juga makan dalam air-cond macam dalam drama tu.

Hiasan dalam dan luaran kedai memang menarik. Tema industri. Sesuai dengan degan Paka yang merupakan kawasan industri. Kemudian, aku syak pemilik dia peminat motor besar. Ada 2 biji motor besar vintage dalam kedai itu sebagai hiasan. Syak aku semakin bertambah bila ada quotes mengenai bikers dan aksesori motor dalam kedai itu.



Kedai ini ada jual makanan barat dan timur. Sebab kami orang Melayu bertekak barat (hohohoho), makanya kami memesan makanan berikut.
- Nasi putih- 2
- Ayam mentega saiz medium
- Sup ayam saiz medium
- Sayur campur seorang makan
- Air kosong - 2



Kami fikir saiz medium tu kecik sahaja. Bila sampai, terkejut kami! Saiz medium tu boleh makan 4-5 orang. Makan sampai tersandar pun tak habis lauknya. Sudahnya, kami bungkus untuk makan esok. Dan esoknya, kami makan sampai tersandar sekali lagi baki lauk itu. Memang betul-betul banyak.

Tak habis bukan sebab tak sedap. Sedap! Tapi sebab banyak. Rasanya masakan tidak keterlaluan. Just nice, sesedap rasa. Sup ayam dia tak macam kedai tomyam. Ayam butter dia pun agak pedas berempah rasanya, sesuai dengan tekak orang timur.

Mana nak cari kedai ini? Ini ha, aku bagi screenshot lokasinya dari Google Maps. Kau search GREEN CAFE PAKA.



Ok, selamat mencari dan menjamu selera. :-)

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin