Wednesday, November 20, 2019

Ke Utara Bahagian 17: Medan Selera Taman Tun Sardon

Kami bangun awal pagi itu. Belum pun pukul 7, kami sudah berada di jalan raya. Abang Pn. Nurul sekeluarga mengajak kami sarapan di Medan Selera Taman Tun Sardon.

Harapan keluar awal supaya jalan tidak sesak dan boleh dapat parkir kereta dengan mudah.

Harapan meleset. Harapan hanya tinggal harapan. Jika di pasar besar Dungun pukul 7 pagi; peniaga baru sampai nak turunkan barang jualan.

Awal betul orang Penang bangun. Walhal ini hari Sabtu. Banyak pejabat tutup. Ramai orang cuti. Mujur secara tiba-tiba, betul-betul depan medan selera itu, ada kereta keluar. Lalu, aku, dengan menggunakan kemahiran parkir-tepi-masuk-bontot yang dipelajari di sekolah memandu 21 tahun lepas; berjaya mengesahkan tempat parkir itu. Ternyata, aku dapat lesen kereta yang benar, bukan lesen terbang.

Terus kami serbu medan selera itu. Ia tidak lengang. Orang telah ramai. Lebih separuh meja telah di isi. Ada sekelompok lelaki berkopiah baru balik surau. Ada seorang pakcik sedang membaca akhbar sambil mencicip kopi. Ada satu keluarga yang sedang ketawa mesra. Suasana hingar, tapi menenangkan.

Masuk sahaja ke medan selera itu, aku membuat tinjauan rambang. Jalan dari hujung ke hujung. Melihat-lihat menu yang ada. Ingin rasa semua yang ada, tapi apakan daya, perut aku ada satu sahaja.

Pagi itu aku belajar satu perkara. Orang Penang berdisiplin. Sanggup beratur untuk membeli makanan. Tabik!

Ada satu istimewa, pada aku, ialah nasi lemuni. Pertama kali aku jumpa. Katanya nasi dimasak dengan daun lemuni dan santan. Rasanya lemak. Mirip nasi dagang atau nasi lemak. Ada dua versi aku jumpa di sini, nasi lemuni ikan bilis dan nasi lemuni daging. Ahhh, kedua-duanya sedap. Sebab nasi lemuni sendiri itu sudah sedap dimakan begitu sahaja. Sama macam roti gardenia. :p

Aku juga cuba nasi kacang dhal. Sedap juga. Pertma kali juga. Rasa macam nasi minyak atau nasi kuning Terengganu.

Nasi lemak di sini pun aku cuba. Kecil sahaja. tapi sedap ya ampun.

Murtabak mini pun aku cuba juga. Sedap juga.

Akhir sekali aku cuba lontong. Fuh! Setara lontong masa aku belajar di Parit Raja!

Pendek kata semua sedap. Bukan sebab aku makan semua benda kecuali batu dan kayu. Tapi ke semua tu memang sedap.

Medan Selera Taman Tun Sardon ini tempat kau wajib pergi untuk rasa sarapan pelbagai yang sedap di Penang. Bukan sahaja makanan, di sini kau juga boleh tengok gelagat masyarakatnya.

Sekali lagi aku rasa nak mengesot. Semalam mengesot kenyang di Perlis. Ini hari di Penang pula.
---

Usai sarapan. Kami berpecah. Abang ipar aku sekeluarga ada urusan keluarga. Aku dan Pn. Nurul bergerak ke Bukit Bendera. Pertama kali juga aku nak naik Bukit Bendera.

Menarik ke Bukit Bendera? Entah, kau tunggu bahagian akan datang.

Video Medan Selera Taman Tun Sardon boleh tengok di bawah ni ha.


No comments: