Sunday, February 07, 2010

Pensyarah terpinggir

Oleh Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my
2010/02/06

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun usaha mencari penyelesaian dan berunding dengan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menemui kegagalan, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) akhirnya mendedahkan ‘derita’ dialami pensyarah politeknik dan kolej komuniti, petang semalam.

Seramai 8,499 pensyarah membabitkan 6,406 bagi politeknik dan 2,093 bagi kolej komuniti terbabit apabila Politeknik dan Kolej Komuniti dipindah dari Kementerian Pelajaran ke KPT sejak awal 2008 dan NUTP mendakwa, mereka tidak memperoleh apa yang dijanjikan serta dipinggirkan berbanding rakan seangkatan dalam bidang perguruan di sekolah menengah atau Kolej Matrikulasi dan Institut Perguruan. Presiden NUTP, Leftenan Komander (B) Hashim Adnan, mengakui pensyarah di politeknik dan kolej komuniti mengalami tekanan berhubung dua perkara iaitu perubahan sistem cuti serta kenaikan pangkat atau gred gaji dan terhadap desakan serta ugutan daripada individu tertentu supaya isu berkenaan tidak didedahkan kepada umum. “Sejak perubahan ke KPT, pensyarah wanita dan senior paling ramai mengalami tekanan sehingga mereka ingin kembali ke Kementerian Pelajaran berikutan membantah perubahan sistem cuti daripada semester kepada cuti tahunan kerana pentadbir hanya meluluskan cuti ketika keadaan tiada pengajaran dan pembelajaran, atas alasan kepentingan perkhidmatan. “Dari segi gred gaji pula, ia hanya indah khabar dari rupa kerana susah diperoleh berikutan syarat kenaikan pangkat amat ketat termasuk terpaksa membuat penyelidikan, penerbitan, kursus serta dan temuduga seperti pensyarah universiti sedangkan jawatan itu sama berbanding guru. “Walaupun ada dua laluan iaitu kenaikan pangkat secara hakiki dan secara mengisi kekosongan jawatan, mereka tidak diberi pilihan sebaliknya ditawarkan kenaikan secara hakiki dan sebahagian besarnya terpaksa dipindahkan ke tempat lain termasuk Sabah dan Sarawak bagi mengisi jawatan pegawai kanan di kolej lain,” katanya dalam sidang akhbar, semalam. Hashim berkata, NUTP sudah berusaha beberapa kali berbincang dengan pegawai KPT mengenai masalah itu dan sudah dua kali bertemu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin termasuk secara rasmi pada 2008 dan pertemuan biasa tahun lalu, tetapi isu berkenaan masih belum diselesaikan. “Apabila isu ini berlarutan, pensyarah terbabit mendesak NUTP dan mendakwa kami tidak menjalankan tugas.

Walaupun pada awalnya cuba menyembunyikan perkara ini, akhirnya kami membuat pilihan untuk membuat pendedahan kepada media. “Menteri melayan kami dengan baik dan memberitahu akan membantu tetapi kami tidak pasti pegawai KPT di peringkat mana boleh menyelesaikan masalah ini.

Malah, kita tidak pasti sejauh mana kecairan maklumat mengenai perkara ini apabila ia sampai di peringkat lebih bawah. “Dua minggu lalu, kami menghubungi pegawai KPT tetapi mereka kata tiada masa dan sibuk...selain memberi alasan ia berkaitan dasar dan di luar bidang kuasa serta memerlukan kelulusan pihak atasan untuk menyelesaikannya,” katanya. Hashim berkata, pensyarah terbabit seolah-olah kelas dua dan banyak masalah disuarakan mereka hanya diberikan janji tanpa penyelesaian sedangkan kebajikan golongan terbabit perlu dijaga bagi memastikan mutu tugas lebih berkesan sekali gus melahirkan graduan cemerlang. Beliau berkata, guru sekolah menengah mendapat banyak kelebihan dari segi kenaikan pangkat dan gred gaji walaupun mengajar untuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sedangkan pensyarah terbabit mengajar pelajar bagi diploma dengan sukatan pelajaran lebih susah.

Dari http://www.hmetro.com.my/
 Akses pada 7/2/2010
 

4 comments:

  1. walaupon aku x perasan ngan kekecewaan para pensyarah politeknik ni,tapi aku kagum ngan buat muka macam biasa je time mengajar pelatih.mengajar tetap mengajar walaupon dalam hati ada benci.x reti nak cakap lain cuma harap kan bersabar je laa..rezeki masing2.

    ReplyDelete
  2. bro, aku nak kopes ( kopi n pes) entri ni!

    ReplyDelete
  3. boleh, takde hal. bukan aku yang tulis. kredit pada harian metro

    ReplyDelete

Nak duit bila tinggalkan komen?

KLIK SINI UNTUK KETAHUI LEBIH LANJUT