Sunday, January 06, 2013

Ulasan Buku: Lasykar Pelangi

Lama sudah cerita ini laku dan meletup di Indonesia. Sama ada novelnya atau filem. Kemunculan novel ini di Indonesia amat mengejutkan, pada masa yang sama mengujakan. Ternyata, dalam nuasa sastera, novel ini mampu menjadi buku yang laris jualannya, mengatasi buku cerita cinta-pop.

Lama juga, versi Bahasa Melayu buku ini dijual di Malaysia. Tahun 2009. Tapi, malangnya, aku hanya mula membacanya pada tahun 2011. Versi e-book bahasa Indonesia. Kemudian, aku membaca versi bahasa melayunya pada tahun 2012. Dan hanya pada tahun 2013 baru aku boleh membuat ulasan! Hahahahaha.

Buku laskar pelangi adalah siri satu dari tetralogi. Itu bererti ia mempunya empat siri. Siri kedua Sang Peminpi. Seterusnya Endensor. Dan yang penghabisan adalah Maryamah Karpov. Dan Maryamah Karpov masih lagi aku menekuninya kini. Dan lagi, keempat-empat novel itu ditulis oleh Andrea Hirata, seorang ekonomis telekomunikasi yang meminati sastera.

Tetralogi itu adalah kisah benar Encik Andrea. Yang namanya dalam novel ini Ikal. Dalam siri pertama ini, ia mengisahkan semangat 12 orang anak melayu Belitong - sebuah kawasan perlombongan timah - di kawasan yang dikatakan mundur. Namun, itu tidak menghalang 12 kanak-kanak itu untuk belajar dan bermimpi untuk mengubah nasib keluarga mereka yang rata-ratanya miskin.

Paling menyentuh hati kisah Lintang. Anak yang pintar dan berpotensi. Berbasikal berpuluh kilometer hanya untuk ke sekolah. Kadang-kala perjalannannya dihalang oleh buaya dan menyebabkan beliau hanya mampu untuk tiba saat rakan sekelas menyanyi menandakan sesi persekolahan hari itu akan tamat. Juga, beliau akan membaca apa sahaja buku yang ada padanya. Walaupun buku itu adalah buku astronomi yang tinggi bahasanya.



Tapi, menyedihkan, Lintang tidak dapat meneruskan pengajian apabila bapanya meninggal dunia. Dengan desakan hidup untuk mencari rezeki untuk adik-adik beliau, ibu beliau, datuk nenek beliau dan bapak saudara beliau yang kurang upaya,; beliau terpaksa berhenti belajar. Satu kehilangan bagi Sekolah Muhammadiyah. Satu kehilangan bagi Cikgu Muslimah. Dan satu kehilangan bagi anggota Lasykar Pelangi. Pengakhiran cerita, beliau hanya mampu menjadi operator mesin di perusahaan timah di Belitong.

Itu hanya sebahagian cerita ini. Ada banyak lagi kisah dalam cerita ini selain Lintang. Kisah Mahar yang genius hasil seninya, kisah Flo yang sangat mempercayai paranormal, kisah A Ling yang menjadi idaman hati Ikal dan banyak kisah lain.

Lasykar Pelangi boleh membuatkan kau ketawa pada perenggan ini tapi menyebabkan kau menangis pada perenggan berikutnya. Kalau kau mahukan inspirasi, semangat dan motivasi tatkala kau rasa jatuh, inilah bukunya yang perlu kau baca!

2 comments:

  1. mimpi adalah kunci untuk kita...
    sila sambung wahai pensyarah poli...

    ReplyDelete
  2. mimpi adalah kunci untuk menggapai bintang.

    ReplyDelete

Nak duit bila tinggalkan komen?

KLIK SINI UNTUK KETAHUI LEBIH LANJUT