Thursday, March 12, 2015
Kalau Kau Ke Dungun, Kau Patut Menginap di Homestay Ini!
Kau pernah ke Dungun? Kalau belum, aku cadangkan kau ke sini. Punya la best sangat Dungun ni, sedar tak sedar, sudah 9 tahun aku duduk sini. Ini testimoni betul punya. Bukan rekaan. Malah, YB Dungun pun tak bayar aku untuk mengatakan bahawa Dungun best. Cuma, ada la juga rakan-rakan Dungun yang pernah belanja aku makan. Hohohoho.
Paling best di Dungun pada pandangan aku adalah pantainya. Panjang. Membiru. Kadang-kala menghijau. Kalau rasa letih dan lesu, boleh lepak di pantai. Boleh singgah di gerai kerepok lekor sepanjang pantai. Menikmati kopi dengan angin sepoi-sepoi.
Sepanjang pantai ini juga, kedapatan banyak hotel. Antaranya, Hotel UiTM, Tanjung Jara Beach Resort, Ulek Beach Resort, Mayangsari dan beberapa lagi hotel berbintang. Kalau poket tebal, percutian pendek dan pergi berdua, tidak salah untuk tinggal di hotel. Lebih praktikal dengan layanan yang baik.
Tapi, jika kau datang ke Dungun secara berkumpulan, dengan percutian agak panjang dan berniat untuk berjimat pada zaman GST ini, aku cadangkan kau memilih homestay. Selain hotel yang banyak, di Dungun terdapat lebih banyak homestay berbanding hotel. Cuma mungkin kerana kurang promosi dan branding, homestay di Dungun semacam sukar untuk dicari.
Ok. Sebenarnya, homestay yang aku maksudkan bukanlah seperti idea penubuhan homestay pada awalnya. Sebetulnya, bila dikatakan homestay, bermaksud, tetamu duduk sekali dengan tuan rumah. Kalau tuan rumah makan, tetamu pun makan. Kalau tuan rumah menangkap ikan, tetamu turut juga keluar menangkap ikan. Idea awal homestay adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada tetamu menikmati gaya hidup yang berbeza dari gaya hidupnya selama ini.
Tetapi, istilah homestay sekarang yang diketahui ramai adalah semacam hotel. Cuma layanan, pengurusannya dan organisasinya tidak secanggih homestay. Dan, harganya pasti lebih jimat dari hotel dengan luas yang sama.
Banyak-banyak homestay di Dungun, aku amat mencadangkan kau menginap di HOMESTAY SOLEHAH DUNGUN. Walaupun pengurusannya tidak semacam hotel, tapi aku lihat ada usaha ke arah itu. Boleh dikatakan ia merupakan sebuah rangkaian homestay. Sebab, Homestay Solehah Dungun ini hingga kini sudah ada 3 buah rumah yang dijadikan homestay. Dari risikan aku dari Facebook pemilik homestay ini, dan khabar angin yang bertiup kencang, dikatakan pemiliknya mahu menambah lagi beberapa buah homestay dalam tahun ini juga.
Ketiga-tiga Homestay Solehah Dungun ini berada di tepi pantai. Malah, salah satu darinya sangat dekat dengan pantai. Buka pintu, terus nampak laut. Kalau Usain Bolt lari pecut, kurang 5 saat dah sampai di gigi pantai!
Manakala dua buah homestay lagi terletak berhampiran. Kalau bawa rombongan sebuah bas, boleh muat dua buah rumah itu dengan kadar selesa seadanya. Kalau setakat rombongan meminang 6 buah kereta, memang selesa sangat untuk tinggal di dua buah homestay tersebut. Tak perlu menyewa dua buah homestay yang berjauhan. Jadi, mudah untuk berbincang menyusun ayat pantun untuk meminang!
Apa macam? Berminat ke? Nak tempah sekarang?
Sabar kawan. Jangan gelojoh. Tengok dulu website dan Facebook page Homestay Solehah Dungun ni. Dapatkan maklumat dulu.
Website: http://www.homestaysolehahdungun.com/
FB Page: https://www.facebook.com/Homestaysolehahdungun
Macam mana? Berminat? Dah tak sabar? Boleh isi borang tempahan pada website. Sebelah kiri. Cuba tengok balik.
Owh, lupa nak bagitau. Harganya boleh dirunding. Tapi, kalau tidur semalam; kalau aku jadi kau; segan juga nak minta kurang harga! Hohohoho
Kalau nak minta kurang juga walaupun tidur semalam sahaja, sila runding dengan tauke homestay. Nah, ni no telefonnya. Save tau!
013-9326751 - Pn. Nor
013-7686751 - Abg Wan
Kalau telefon Abg Wan tu, bagitau dia yang kau kenal aku. Walaupun aku tak kenal kau. Hohohoho.
Kalau sebut nama penuh aku 3 kali, Insya Allah dia boleh bagi diskaun.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Apa pasal kau scroll bawah ni? Pergi la call Abg Wan tu. Kata tadi nak diskaun. :p
Credit gambar: http://www.visit-terengganu.net/
Friday, March 06, 2015
Orang Johor Ini Telah 9 Tahun Berkelana Ke Terengganu
Hari ini, pada 9 tahun lepas, aku mula melapor diri di Politeknik Dungun. Sehari sebelum itu, aku memandu seorang diri dari Bandar Tenggara ke Dungun dengan hanya menaiki Kancil 850. Berhenti beberapa kali sebab enjin panas. Itu belum kira sesat beberapa kali sebab tak tau jalan arah. Hohohoho
Terasa jauh waktu itu negeri Terengganu. Ditambah lagi dengan keadaan jalan yang tidak sebaik sekarang. Perjalanan terasa amatlah lama!
Mujur juga ada rakan yang lebih awal beberapa tahun tinggal di Dungun. Dapatlah aku menumpang kasih. Hahahahaha. Kalau tak, satu hal pula nak cari rumah sewa.
Mulanya, aku sangkakan kerja mengajar ini senang. Rupanya tidak seperti dijangka. Memang sangat letih ketika mula mengajar. Seingat aku, selama 6 bulan aku sering tidur awal; sekonyong-konyong lepas isyak kerana keletihan mengajar di siang harinya.
Lama kelamaan, kerja mengajar itu menjadi biasa. Sekarang ni, kalau kelas 6 jam sehari pun aku masih gagah lagi untuk meniaga atas talian di malam hari.
Mulanya juga, aku agak kekok untuk memahami loghat Terengganu.
"Hodoh sepang"
" Nipis nayang"
"Dok rok chetong"
"Gelenyar"
"Berayuk"
"Jirit"
"Supik rok rak"
"Copong"
Itu antara perkataan loghat Terengganu yang buatkan aku terpinga-pinga.
Tapi, setelah berkahwin dengan Pn. Nurul yang jatinya Terengganu, kini aku boleh berloghat Terengganu dengan mudah. Malah sesetengah orang tidak percaya aku asal jatinya dari Johor.
Namun, sebetulnya semasa bercinta, aku tak pernah dengar Pn. Nurul cakap loghat Terengganu. Lepas akad nikah "tubik" habis keterengganuannya. Hohohohoho.
Hingga kini, aku masih seronok dengan suasana di Terengganu. Tapi, atas beberapa faktor yang rasanya Pn. Nurul pun tak tahu, aku dah mula terlintas untuk kembali ke dagang; seperti sirih.
Tapi, tidaklah dalam masa terdekat ini. Barangkali 9 tahun lagi!!!