Saturday, December 31, 2016

Alat Memasang Wallpaper Untuk Dijual

Ini projek pelajar yang aku selia semester ini. Ini merupakan kumpulan yang keempat mendapat A sepanjang aku mengajar dan menyelia projek akhir pelajar diploma sepanjang 10 tahun.

Keempat-empat kumpulan ini mempunyai ciri dan karekter yang hampir sama.

1- Mereka ini asalnya pelajar yang sederhana di sekolah. Malah, ada antara mereka tidak pernah mendapat A dari darjah 1 sampai tingkatan 5 di sekolah.

2- Kebanyakkan ibu bapa mereka adalah orang biasa. Tergolong dalam M40 atau B40. Tetapi, keluarga mereka akan sokong apa yang mereka buat.

3- Kesemua mereka ini kreatif, walaupun ada mereka tidak begitu pintar dan sedikit malas. Namun, kerana mereka ini kreatif, sering sahaja mereka cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang paling mudah, cepat dan murah. Walaupun kadang-kadang hasilnya macam haram.

4- Mereka ini berdikari. Banyak keputusan mereka akan buat sendiri. Cuma, mereka akan rujuk aku untuk minta pandangan.

5- Setiap ahli dalam kumpulan akan ada kebolehan masing-masing. Ada yang boleh bagi idea, tapi haram tak pandai nak buat. Ada yang pandai bertukang, tapi haram tak pandai buat laporan. Ada yang tak tahu apa-apa, tapi bila bercakap dah macam Sukarno.
Mereka akan melengkapi satu sama lain.

6- Mereka ini senang nak diajar. Bagitahu sikit sahaja terus tahu apa yang perlu dilakukan.

7- Mereka ini akan cuba buat yang terbaik.

Yang nombor 7 tu sebenarnya buat aku risau. Mereka ini akan buat yang terbaik dan sudah tentu mengharapkan keputusan yang terbaik.

Aku risau, bila mereka buat yang terbaik, tapi hasilnya menghampakan. Aku khuatir mereka akan kecewa. Aku khuatir mereka berputus asa dan menyalahkan orang lain.

Jadi, dalam pada mereka bersungguh-sungguh untuk mencapai hasil yang terbaik, sering aku ingatkan mereka untuk menjangkakan yang terburuk.

Contohnya macam kumpulan ini. Mulanya, semasa buat projek ini mereka mensasarkan tidak hanya dapat A, tapi untuk menang pertandingan projek akhir dan mendapat geran RM5000 dalam pertandingan @myinovasikpt.

Malangnya, mereka tidak memenangi dan gagal mendapat geran itu. Tapi, barangkali sentiasa mereka diingatkan untuk jangkakan yang terburuk, mereka jadi redha.

Itulah kehidupan. Kita rancang bukan main baik. Kita buat dengan bersungguh-sungguh. Tapi sebenarnya bukan kita yang menentukan hasilnya. Sebab dunia ini Yang Esa punya.

Keseronokan bukan pada hasil. Tapi pada prosesnya. Proses itu yang memberi keseronokan, pengajaran dan pelajaran. Hasil yang baik hanyalah bonusnya.

Sebab, jadi pendidik bukan untuk menghasil pelajar yang dapat banyak A, tetapi perlu memberitahu dan mengajar tentang kehidupan.

p/s: Projek ini untuk dijual dan dikomersilkan. Kalau kau berminat, kau cari budak projek aku ni. Nombor telefon mereka ada dalam video youtube tu.



No comments:

Post a Comment

Nak duit bila tinggalkan komen?

KLIK SINI UNTUK KETAHUI LEBIH LANJUT