Selepas 5 minit termanggu-manggu, aku putuskan untuk kami ke Gua Kelam.
Gua Kelam terletak di Kaki Bukit. Ia permulaan sempadan Taman Negeri Perlis; dan kalau kau merentasi Taman Negeri Perlis kurang lebih 5 km dari Gua Kelam, kau akan masuk Thailand.
Jaraknya dari Restoran Kuali Hangat di Kangar lebih kurang 30km. Google Maps tunjuk jalan banyak simpang. Kalau tiada Google Maps, boleh sampai siam agaknya aku sesat.
Aku perasan, di Perlis ni, kalau kita nak kemana-mana, jalannya banyak. Banyak laluan. Aku rasa jalan raya di Perlis lagi ramai dari rakyatnya. Oleh sebab jalannya banyak, kesesakan jalan raya boleh dikatakan hampir mustahil di Perlis.
Sesampai di Gua Kelam, ada semacam pusat penerangan. Tapi nampaknya ia ditutup. Aku tak pasti ditutup selama-lamanya atau ditutup untuk penambahbaikan.
Sampai sini, kalau kau berkereta, kau pandu terus sahaja sampai jalan mati. Pada penghujung jalan mati, ada semacam alor sungai. Boleh mandi di situ.
Masa kami sampai, ada sekumpulan budak remaja umur 12-17 tahun sedang mandi. Aku rasa budak dari perkampungan berhampiran sebab mereka kelihatan biasa dengan persekitaran di Gua Kelam.
Tak jauh dari alor tersebut, pintu masuk ke gua. Kena bayar tiket dulu. Hanya RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Parkir kereta kena bayar juga kalau kau bawa kereta. RM1 sahaja.
Entah apa mimpi Pn. Nurul nak ajak bergambar pula sebelum masuk gua. Tak layan karang merajuk. Kah kah kah. (Rujuk gambar)
Masuk je gua, terus rasa rasa berangin. Nyaman. Terdengar siulan angin. Pada masa yang sama alor sungai mengalir di bawah. Itu menambah kenyamanan. Bunyi aliran air juga mendamaikan.
Tambah kagum bila tengok stalactite dan stalagmite . Kau google maksudnya. Aku malas nak taip. Hohohoho
Tambah kagum, sebahagian dinding gua permukaannya macam beralun. Ia terbentuk berjuta tahun akibat angin yang melalui gua. Menakjubkan!
Jalan depan sikit, ada pula kelawar duk elok tergantung beramai-ramai. Aku rasa ada dalam ratusan ekor.
Kami terus berjalan dan menikmati keindahan gua dan ketenangannya.
Sedang elok kami berjalan, tiba-tiba terbau rokok. Aduh! Babi mana la yang hisap rokok dalam gua. Owh! Bukan babi. Babi mana hisap rokok.
Aku masa merokok dulu tengok juga keadaan sebelum cucuh api. Ini bukan masalah rokok. Ini masalah sikap.
Bukan sahaja aku rasa terganggu, kelawar yang tergantung pun nampak bergerak-gerak. Tadi elok mereka duduk diam. Kalau kelawar tu boleh bercakap, mesti dia sound "Hoi! Babi mana hisap rokok dalam gua ni. Tak senang aku nak tidur"
Kalau kelawar tu sound macam tu, aku balas "Babi mana pandai hisap rokok bang".
Tapi, itulah. Kalau.
Eh, apa aku merepek ni. Kah kah kah.
---
Selepas berjalan lebih kurang 350 m, kami sampai ke hujung. Terbentang luas semacam taman botani di hadapan kami. Taman tersebut ada tasik kecil di tengah-tengahnya. Sebelum kami pusing di taman tersebut, aku ajak Pn. Nurul panjat anak tangga di kiri pintu keluar gua.
Aku tak pasti berapa tingginya, mungkin dalam 50 meter, mungkin. Sepatutnya boleh naik lagi, apa ada had. Tak boleh naik lagi. Laluan berkunci. Tapi, sebelum laluan berkunci itu, ada platform yang kau boleh lihat sekeliling taman. Lawa beb!
Masa kami bersiar-siar di taman, sekumpulan rama-rama putih berlegar-legar di sekeliling Pn. Nurul. Tapi, bila aku datang dekat, semua pakat lari. Aku syak itu rama-rama jantan.
Selepas pusing taman, kami masuk balik ke gua untuk keluar. Laluan masuk dan keluar adalah sama. Sekali lagi kami menikmati keindahan gua. Namun, bau rokok tadi masih belum hilang.
Kalau kau datang ramai, setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 10 ada program eksplorasi Gua Kelam. Akan ada pemandu pelancong. Syok sikit kalau ada orang cerita sambil kita melihat-lihat. Harganya RM80 untuk 10 orang. Kalau tak silap aku.
Jam sudah 2.30 petang. Memang ngam. Kami bergerak kembali ke Kangar untuk beraya rumah pakcik aku. Janjinya pukul 3 petang.
----
Kau boleh tengok video seminit Gua Kelam
Semua yang aku cerita di atas ada dalam video. Kelawar, rama-rama, taman botani, alor sungai, panjat tangga. Cuma, bahagian babi hisap rokok tu takde la.
---
Gua ni aku rasa sesuai untuk peminat Manchester United. Sejuk, nyaman, tenang. Tak perlu kisah orang troll.
Dengar cerita team ni banyak kalah dari menang musim ni? Betul ke?
x
No comments:
Post a Comment
Nak duit bila tinggalkan komen?
KLIK SINI UNTUK KETAHUI LEBIH LANJUT