Thursday, January 30, 2014

Nan Char Kuew Teow Stesen Penang On Gong Pasir

Berbelit lidah nak menyebutnya. Hohohoo.

Ini satu lagi lokasi kedai Char Kuew Tiow di Dungun. Tak jauh dari kedai Orang Mude. Ia terletak di Gong Pasir. Dari lampu isyarat Gong Pasir, kau belok ke kiri, kemudian menyusuri jalan utama hingga ke hujung jalan. Kedai ini terletak di sebelah kanan.



Suasana kedai ini sangat-sangat memikat. Tenang. Lamannya bersih. Meja-meja dibuat sendiri dari kayu dan diletakkan di celah-celah pokok. Asalnya kedai ini adalah rumah. Kemudian menjadi kedai bundle. Dan kini menjadi kedai Char Kuew Tiow.







Kedai ini hanya menjual Char Kuew Tiow, Sizzling Mee dan Laksa. Aku memesan Char Kuew Tiow Special. Manakala Puan Nurul memesan Sizzling Mee.

Ada juga Char Kuew Tiow yang biasa, berharga RM4.50. Tapi, aku ingin mencuba yang Special yang berharga RM6 kerana katanya ada lebih kerang dan udang, serta ada telur mata.



Rasa Char Kuew Tiow dia memang sedap. Menjadi. Namun, udangnya tak berapa nak lebih, sebab hanya ada 3 ekor saiz jari kelengkeng. Kalau tak special bagaimana ya agaknya? Huhuhuhu. Tapi, kerangnya memang mewah. Setiap suduan, pasti ada kerang.

Sizzling Mee pun sedap. Sedikit unik. Biasanya kuah Sizzling Mee agak likat. Tapi, kuahnya di sini agak cair. Walaupun cair, rasanya masih pekat. Rasanya tidak mengecewakan.



Boleh pergi lagi kedai ini. Suasannya agak damai. Sesuai untuk makan di waktu petang sambil berborak atau berbincang santai.

Kedai ini dibuka 5 petang - 11 malam.


Wednesday, January 29, 2014

Desa Murni Batik Kini Di Dungun

Desa Murni, satu nama yang tak asing lagi dalam industri pembuatan batik di Malaysia, lebih spesifik di Terengganu. Boleh dikatakan semua wanita seawal usia baligh mengenali Desa Murni. Bermula di Kampung Pulau Rusa, Desa Murni kini berkembang dengan sekian banyak cawangan di Kuala Berang, Pengadang Baru, Gong Kapas, Batu Enam dan yang terbaru di Dungun. Itu belum lagi dikira cawangannya di luar Terengganu seperti di Kuala Lumpur dan Ipoh.

Desa Murni terkenal dengan pembuatan batik digital. Apa itu batik digital? Ia semacam printer yang besar. Khas untuk print kain batik. Tapi, dengan corak yang eksklusif dan pereka batik yang ramai, Desa Murni mampu menghasilkan batik pada skala besar.

Aku kerap menemani Puan Nurul ke Desa Murni. Samada di Pengadang Baru atau Batu Enam. Dan, pernah juga aku membeli kemeja batik yang murah di Desa Murni. Kenapa aku beli batik murah? Satu, kerana aku bukan orang kaya. Dua, badan aku gatal-gatal kalau pakai batik mahal yang licin kainnya itu. Namun, yang satu "overshadow" yang dua. Hahahaha

Semalam, aku sempat ke Desa Murni Dungun yang baru di buka 2 minggu lepas. Semalam baru aku ada kesempatan walaupun kerap di ajak oleh Puan Nurul. Pada hari pembukaannya dua minggu lepas, ada dijual beberapa barang dengan harga 5 sen!






Desa Murni ini umumnya terbahagi kepada dua kedai berasingan. Kedai pertama khusus menjual produk batik dari kilang Desa Murni. Manakala kedai kedua lebih rencam. Ada dijual bantal, kain ela, tudung singa, karpet, tikar dan pakaian siap. Turut dijual basikal kahwin dua dan kahwin tiga.






Dan, seperti mana Desa Murni yang lainnya, 95% pelanggan adalah wanita. 5% bakinya adalah terdiri dari budak lelaki bawah umur atau lelaki dewasa yang muka kelihatan bosan. Hohohoho.

Apa-apa pun, aku sempat sambar sehelai lagi baju batik murah di Desa Murni Dungun.



Tuesday, January 28, 2014

Menantu Yang Baik Adalah Orang Jawa

Hemat aku, tajuk ini agak kontroversi. Umum mengetahui, di Malaysia orang Jawa banyaknya bermastautin di Johor. Hampir semua daerah di Johor boleh di temui orang Jawa. Johor dan Jawa semacam sinonim.



Umum juga mengetahui pasukan bolasepak JDT juga berasal dari Johor. Pasukan ini menjadi kontroversi kerana mengambil pemain bintang pasukan lain. Ini menyebabkan pasukan ini dibenci. Ramai mengharapkan pasukan ini kalah. Lalu, mereka boleh mengeluarkan kenyataan sebagai "pahlawan papan kekunci" di Facebook 'Harap star je ramai, main kalah juga! Padan muka! Hahahahaha'

Jadi, bila membaca tajuk di atas, pasti ramai yang mencemuh. 'Ini mesti Jawa totok penyokong JDT'.
Hohohohoho

Tapi, sebetulnya, Jawa di Malaysia tidak hanya di Johor. Di Selangor dan Perak juga kedapatan orang Jawa. Malah, MP Bagan Serai kalau tak silap aku juga merupakan orang Jawa dan fasih berbahasa Jawa halus.

Tapi, yang pastinya, dalam radar pengetahuan aku, ada juga beberapa kerat  orang jawa di Terengganu. Lebih tepat di Dungun!

Kabare sedulur sedulur wong Jowo. Monggo mampir Dungun!

Monday, January 27, 2014

Tempeh Jepun

Tempe boleh dikatakan makanan kudapan kesukaan orang Jawa. Diperbuat dari kacang soya yang diperam ragi, tempe dimasukkan hampir kebanyakan masakan orang jawa. Lontong kena ada tempe. Rojak kena ada tempe. Nasi ambeng pun kena ada sambal tempe goreng. Malah, ada juga kerepek tempe. Dan, di gerai tepi jalan yang menjual pisang goreng, ada juga dijual tempe goreng.

Jangan kau tanya kenapa aku obses terhadap tempe. Ini normal. Sama seperti orang Itali obses kepada pizza. Sama juga seperti orang Jepun yang suka sushi. Sama seperti orang Kelantan yang mesti ada stok budu dalam peti ais.

Pada aku, tempe sangat sedap jika digoreng kunyit. Potongan agak tebal. Dicicah sambal kicap. Meleleh! Sedap juga tempe dibuat sambal goreng bersama-sama gorengan kacang tanah, ikan bilis dan kentang.

Di Terengganu, tidaklah sukar untuk mencari tempe. Tapi, lebih sangat mudah mencari tempe di Johor. Juga, di sebelah sini, tempe dibungkus di dalam plastik. Manakala di sebelah sana, jarang ada tempe dibungkus di dalam plastik. Kalau ada pun, sangat jarang. Bagi pemakan tempe sejak kecil seperti aku, tempe harus dibungkus dengan daun, daun pisang misalnya, supaya rasanya lebih mencengkam. Kerana tiada pilihan di sini, tempe plastik pun aku bedal juga! Hahahahaha

Tapi, kualiti bungkusan plastik lebih terjamin. Dengan melihat luaran, kau boleh tahu tempe itu sudah masak atau belum. Berbanding tempe bungkusan daun, kau perlu membuka bungkusan untuk melihat hasil peraman soya tersebut. Melalui sumber internet Facebook, di Jepun, tempe juga ada dijual dan dipasarkan. Ia dibungkus dengan plastik. Sama seperti di Terengganu! Hohohoho


Sunday, January 26, 2014

Aiskrim Goreng Nestle

Jarang sekali aku menikmati aiskrim goreng. Satu, kerana ia bukanlah kegemaran aku seperti labu masak lemak. Kedua, ia agak sukar untuk didapati. Dan ketiganya, ia tidaklah mengenyangkan seperti rojak ayam.

Dalam radar pengetahuan aku, aiskrim goreng hanya boleh dijumpai di medan selera Batu Buruk, Kuala Terengganu. Dengar khabar angin pula, pencetus resepi aiskrim goreng ini telah lama berkelana dan berbisnes di negara atas angin.

Jadi, amatlah tidak logik untuk aku menjejak pencipta resepi yang kini berada di negeri atas angin. Ataupun, amatlah tidak ekonomik jika aku memandu 80km hanya untuk menikmati aiskrim goreng di medan selera Batu Buruk.

Di kedai koperasi tempat kerja aku, ada dijual aiskrim goreng ala-ala frozen food. Jadi, ia amatlah menyenangkan. Hanya dengan berjalan kaki kurang satu kilometer dari pejabat aku, aku boleh mendapatkan aiskrim goreng frozen.


Satu pek diatas mengandungi 6 biji aiskrim goreng. Harganya RM10. Tempoh memasak aiskrim goreng ini hanya lapan saat sahaja. Dan, hasilnya,


Nampak sedapkan? Bukan nampak je, tapi, memang sedap!

Kalau kau rasa, RM10 itu tidak berbaloi, kau boleh buat sendiri. Jom cuba AISKRIM GORENG SODAP LAK AII!!

Saturday, January 25, 2014

Kuantan 7: Teluk Cempedak

Episod untuk siri akhir jelajah ke Kuantan. Hahahahah. Akhirnya habis juga!

Ok, kalau kau ke Kuantan, suka suasana havoc dan meriah, suka mengurat awek, kau boleh ke Teluk Cempedak. Ini merupakan lokasi pelancongan paling popular di Kuatan. Tak kira la samada untuk pelancong tempatan, atau pelancong asing. 



Aku ke sana lewat petang, sekitar jam 6.00 petang. Sebetulnya sudah beberapa kali aku ke sini. Tapi, kali ini aku ke sini kerana memenuhi hajat Pn. Nurul yang tak pernah ke sini.

Sepelaung dari pantai, sudah ada bar dan kelab malam di tepi jalan. Terus lagi ke tempat parkir, jalan sudah sesak. Kurang lebih 15minit perlu beratur memasuki kawasan parkir berbayar. Dua Ringgit. Namun, parkir tetap penuh di dalam.


Masuk ke pantai, suasana makin sibuk. Semacam suasana di pasar malam lagaknya. Kedapatan beberapa gerai menjual cenderahati. 




Lebih menarik, ada beberapa pelukis jalanan. Kebetulan juga pada ketika itu ada pameran lukisan dari setiap negeri di Malaysia.



Suasana pantai memang cantik. Tapi, kami tidak berkehendak untuk menyusuri pantai. Kami memilih untuk berjalan menerusi para ke kawasan pantai yang di sebalik.







Sejujurnya, aku tidak gemar ke sini. Suasana damai, tetapi agak ramai orang. Tambah meluat bila melihat para remaja yang tanpa segan silu bermesraan di khalayak ramai.

Thursday, January 23, 2014

Merantau Ke Deli

Aku mula meminati karya penulis Indonesia. Sebelum ini aku mengikuti kisah-kisah cinta Habiburahman dan tetralogi Andre Hirata. Karya di sana lebih telus, original dan bahasa yang indah. Bukan bermaksud karya tempatan tidak bagus. Aku juga membaca novel karya A Samad Said dan Faisal Tehrani. Tapi, karya mereka berdua sangat sastera bahasanya, kecuali Salina dan 1515.



Merantau ke Deli karya dari ulama tersohor Nusantara, Buya Hamka. Boleh dikatakan bahawa Buya Hamka contoh klasik ilmuan Islam yang mengusai banyak bidang ilmu, termasuk kemampuan beliau menulis novel yang mencengkam!

Merantau ke Deli dimulai dengan kisah suasana di Deli latar 1930-an. Deli, suatu tempat seperti Jakarta sekarang yang menjadi tumpuan seluruh Nusantara untuk mencari rezeki dan menambah baik kehidupan.

Kisah berkembang bilamana Leman, seorang peniaga kecil dari Padang yang jatuh cinta dengan Poniem. Poniem seorang gundik mandur ladang yang berasal dari Jawa. Leman mengajak Poniem lari dari menjadi gundik dan berkahwin.

Setelah berkahwin, Leman semacam mengalami kesulitan dengan perniagaan beliau. Beliau buntu. Leman yang memegang adat Minangkabau keberatan untuk meminta bantuan Poniem. Walhal dalam masyarakat Jawa, suami isteri perlu berganding bahu dalam meningkatkan kehidupan dan ekonomi keluarga.

Poniem menggadaikan barang kemas beliau untuk membantu membesarkan perniagaan Leman. Lama-kelamaan, hasil usaha keras mereka berdua, perniagaan mereka maju dan mampu menyewa kedai yang besar. Mereka mampu menggaji pekerja. Salah seorang pekerja mereka berasal dari Jawa juga, bernama Suyono. Seperti lelaki Jawa yang biasa, Suyono memang seorang yang sangat rajin.

Konflik bermula apabila Leman mengajak Poniem pulang melawat kampung Leman di Padang. Orang kampung Leman menyambut kepulangan mereka berdua dengan meriah. Ialah, orang kaya. Walhal, semasa Leman tidak punya apa-apa dahulu, beliau langsung tidak dipandang.

Semacam ada maksud tersirat oleh keluarga Leman yang menggunakan adat Minangkabau sebagai helah untuk mengaut kekayaan Leman. Mereka menghasut Leman untuk berkahwin seorang lagi dengan orang Minangkabau. Mereka merasakan kekayaan Leman harus jatuh ke tangan orang Minagkabau juga, bukan ke tangan Poniem, gadis Jawa.

Lalu, berkahwinlah Leman dengan Mariatun, gadis Padang. Mulanya Poniem menerima dengan hati yang berat. Akan tetapi, lama-kelamaan sering berlaku perselisihan antara Poniem dan Mariatun.

Poniem diceraikan oleh Leman. Poniem lari ke medan. Suyono yang simpati dengan Poniem, menemani Poniem ke Medan. Di Medan, mereka sama-sama berusaha untuk meneruskan kehidupan. Dari, simpati, timbul rasa cinta dan mereka berkahwin akhirnya. Lalu, dari berniaga kecil-kecilan, perniagaan mereka semakin besar hasil usaha keras Suyano dan kepintaran berniaga Poniem.

Manakala, ekonomi Leman dan Mariatun semakin merosot. Leman dihasut supaya membeli tanah dan sawah di kampung beliau di Padang. Tapi, tanah dan sawah tersebut bukan milik beliau, tetapi menjadi milik keluarga Mariatun. Kehidupan Leman bertambah susah. Pernigaan yang besar semakin mengecil hingga terpaksa berjaja. Lebih teruk dari semasa beliau mula merantau ke Deli.

Entah bagaimana, Leman dan Mariatun berjumpa dengan Poniem dan Suyono. Leman sangat malu dengan Poniem. Beliau sedikit menyesal kerana menceraikan Poniem dahulu dan tidak berlaku adil terhadap Poniem.

Akhir cerita, Poniem dan Suyono semakin maju perniagaan mereka. Manakala Leman dan Mariatun terpaksa pulang ke kampung. Walaupun Leman sudah membeli tanah dan sawah di kampung, tetapi, itu bukan milik beliau. Barangkali, suatu masa nanti beliau akan disisihkan oleh keluarga Mariatun dan menghabiskan sisa hidup di surau buruk...

--------------------------------------------

Sangat banyak pengajaran diperolehi dari novel tersebut. Walaupun ditulis tahun 1930-an, namun ia masih sangat releven dengan suasana kini. Ternyata Buya Hamka memang genius!

Air Terjun Ulu Kekabu

Selain dari memiliki pantai yang cantik dan pulau yang menarik, Terangganu juga mempunyai sekian banyak koleksi air terjun yang terbaik. Antaranya di Cemerong, Lata Tembakah dan Sekayu. Namun, ketiga-tiga lokasi tersebut sering penuh dan kusut terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

Bagi mengelakkan kekusutan, abang ipar aku telah menemui satu air terjun yang menarik di Setiu. Sebetulnya, bukan beliau yang menjumpai, tapi, dalam keluarga Terengganu aku, beliaulah yang pertama sekali menjumpainya. Hohohoo

Air terjun ini agak jauh juga dari Bandar Permaisuri. Lebih dari 20km. Dari Bandar Permaisuri, kau harus menuju ke utara melalui jalan "atas". Kemudian, kau harus masuk kiri ke jalan menuju Panchur Merah atau Pelandang Agro Resert Setiu. Terus, sampai kau jumpa papan tanda Kg Ulu Kekabu.


Belok ke kanan. Kau akan melalui jalan kampung bertar kira-kira 2km. Kemudian, kau perlu melalui pula jalan tidak berturap sejauh 2km lagi.



Jalan agak sunyi. Kau harus bertenang tatkala melalui jalan ini. Kalau kereta kau "lowered" 4 inci dari jalan, adalah lebih baik kau jalan kaki sahaja ke sini. Namun, kesukaran mengharungi jalan yang tidak bertar itu terubat beli tiba ke destinasi.







Nampak air macam keruh je. Tapi, jernih sebenarnya. Kau jangan terpengaruh sangat dengan gambar. Ilusi optik semata-mata. 

Namun begitu, persekitaran tidak begitu bersih. Kedapatan sisa sampah di tinggal pengunjung terdahulu. Ini kelihatan seperti lokasi ini mula menjadi tumpuan. 



Barangkali boleh dicadangkan supaya tempat ini dinaik taraf menjadi salah satu lagi produk pelancongan di Terengganu. Tapi, tidak pasti boleh atau tidak kerana air terjun ini terletak di dalam kawasan hutan simpanan kekal Gunung Tebu.


Apa-apa pun, tempat ini memang terbaik!

Monday, January 20, 2014

Kuantan 6: Lombong Sungai Lembing

Pergh, lama gila nak habis post bersiri Kuantan ni. Cerita tahun lepas, sambung tahun ni pula. Kau boleh follow cerita-cerita yang lepas.
Kuantan 1: Pantai Batu Hitam
Kuantan 2: Hotel Sri Manja
Kuantan 3: Ikan Bakar Tanjung Lumpur
Kuantan 4: Gua Caras
Kuantan 5: Muzium Sungai Lembing

Dari Muzium Sengai Lembing, kau boleh terus sahaja ke Lombong Sungai Lembing. Jaraknya tidaklah begitu jauh, aku kira lebih kurang 500 meter sahaja. Kalau kau ingin bersenam, kau boleh sahaja berjalan kaki mendaki bukit. Tapi, aku lebih selesa untuk berkereta. Hohohooho



Nak masuk kena ada tiket. Agak mahal juga. Tapi, ini harga sebelum diskaun 50%. Bila ditanya kepada penjaga tiket "Diskaun sampai bila?". Beliau menjawab "Entah bang, sampai bila-bila kot" Hohohohoho.



Setelah masuk, kau kena tunggu dulu di sebuah stesen keretapi. Keretapi akan membawa kau masuk ke dalam terowong lombong. Taklah jauh sangat. Lebih kurang 500 meter je kot. Hohoho


Masuk dalam, dah tak boleh ambil gambar. Gelap. Cuma ditemani cahaya suram. Tapi, di dalam, suasana agak nyaman kerana ada blower dihembus dari luar. Suasana di dalam dipaparkan diarama, carta dan booth mengenai perlombongan di Sungai Lembing suatu ketika dahulu.






Jauh juga menyusuri terowong ini. Aku rasa ada lebih kurang 2km sebelum sampai ke The Kiew. The kiew merupakan semacam lif yang membawa pekerja lombong ke dasar atau permukaan lombong. Di sini terdapat simulasi The Kiew. Kau dapat rasa debaran sebenar apabila berada di dalam The Kiew bila menaiki simulasi ini.


Sebetulnya, banyak lagi kawasan terowong yang belum dibuka lagi. Ini disebabkan oleh faktor-faktor keselamatan. Analisis risiko yang mendalam apaila sesuatu kawasan terowong ingin dibuka semula.




Tapi, yang menarik mengenai kisah lubang sejuta. Pada akhir zaman perlombongan, syarikat lombong tak mampu membayar gaji pekerja. Oleh itu, sekumpulan pelombong memasuki lombong (lubang sejuta) yang telah ditutup untuk melombong saki baki bijih besi yang ada. Bijih ini dijual di pasaran gelap. Hasil daripada kegiatan itu membolehkan pelombong-pelombong itu mendapat hasil RM1 Juta dalam tempoh yang singkat. Ini sangat lumayan berbanding ketika mereka bekerja dengan syarikat.


Lama juga aku dan Pn. Nurul berada di dalam lombong itu. Berpuluh juga la. Tapi, menyihatkan! Hohohoho. Di akhir lawatan, aku sempat bermain dengan benda ini. Human powered train!