Tuesday, November 12, 2019

Ke Utara Bahagian 9: Ramly Halal Kiosk Gurun Arah Utara

RnR Gurun arah utara lengang hari tersebut. Ialah, hari bekerja. Tak ramai orang barangkali melakukan perjalanan.

Lalu, banyak kedai yang ditutup.

Masa aku sampai, kerja-kerja pembersihan lantai secara besar-besaran sedang dilakukan oleh pihak Plus. Bukan setakat menyapu dan mengemop sahaja. Siap berus lantai. Bau semacam klorox memenuhi udara.

Itulah sebab Kiosk Halal Ramly menggamit kami. Selain itu faktor lapar kerana hujan sepanjang jalan juga menjadi sebab kami ingin ke Kiosk Halal Ramly.

Tapi, yang paling penting, pengalaman pertama kami di Kiosk Halal Ramly dua tahun lalu memanggil kami kembali.

Sewaktu kami tiba, aku rasa ada sepasang pelanggan. Kami pelanggan ke 3 dan ke 4 waktu itu. Suasana lengang dan tenang.

Jangan kau anggap kiosk ini macam kiosk jual minyak wangi One Drop Perfume (eh ada lagi ke jenama ni?) di pusat beli belah.

Kiosk Halal Ramly adalah sejenis restoran makanan segera. Layan diri. Masuk pintu, terus ke kaunter. Kau dongak atas. Nampak senarai menu, set, combo dan sebagainya. Pesan, bayar dan ambil makanan di situ.

Aku memilih set sate. Sate lapan cucuk, siap dengan kuah, timun dan bawang. Sebab ambil set, ia bersekali dengan air berkarbonat.

Pn. Nurul pilih set nasi ayam bakar. Ada nasi. Ada ayam bakar disirami kuah yang sedap. Ada timun. Ada salad dua helai. Ada tomoto beberapa hiris. Sekali dengan air berkarbonat.

Harga semua, RM30.97. Anggapan pertama - harga Yahudi.

Tapi, jika difikirkan balik, itu memang harga setara restotan makanan segera.

Dua dinner plate KFC. Berapa harganya?
Pizza Hut regular. Berapa harganya?
Dua Big Mac McD. Berapa harganya?
---------

Tapikan, pada aku sate di sini adalah definasi sate yang sebenar.

Rempah sederhana namun rasanya istimewa. Selalu aku makan sate rasa rempah. Tak rasa ayam. Yang ini rasa ayam, rempah hanya penambah rasa.

Daging sahaja pada batang lidi. Ia ini benar. Tiada lemak mahupun kulit tercucuk sekali.

Kuahnya tidak cair, tidaklah terlalu pekat. Ia juga tidaklah terlalu manis sampai terasa mencucuk gigi seperti mana kuah sate di Pantai Timur. Kacangnya dikisar sempurna. Tidak kasar, tidaklah halus.

Dihidang sekali cara lama. Sate. Kuah. Timun. Bawang. Ringkas namun sedap.

Lapan cucuknya lagi besar dari sate kajang. Kenyang. Menyandar.

Selain sate, nasi ayam bakarnya juga bukan main dia punya sedap. Puas hati ayamnya. Besar. Gebu. Lembut dan masak hingga ke dalam. Nasinya pula guna beras basmathi. Membukit pula tu. Fuhhh! Entah untung entah tidak Ramly ni meniaga.

Restorannya juga selesa, dan susunannya seperti restoran makanan segera terkenal.

Menariknya, ada bahagian dalam restoran menjual barangan keluaran Ramly. Kebanyakkan sejuk beku. Ada juga sos-sos. Pendek kata macam stokis barang jual burger.

Jangan kau ingat Ramly upah aku tulis post ni. Ini pandangan jujur dari aku.

Yang tak seronoknya, servisnya agak lambat sikit. Taklah lambat sangat, tapi aku kira lambatlah juga. Mujur tak ramai pelanggan waktu itu.

Tengok, perenggan di atas bukti aku tak dibayar. Sebab aku kutuk. Kalau paid review mana maunya nak kutuk.

Kan?

Aku ada rakam video Kiosk Halal Ramly ni. Video kontot je. Seminit. Tak luak data kau.


Jangan lupa subscibe channel aku tu.
Ok, aku janji, post akan datang sampai Perlis.

Nizam Sani,
Yang Bininya Pantang Sate Ayam Ada Kulit.

No comments:

Post a Comment

Nak duit bila tinggalkan komen?

KLIK SINI UNTUK KETAHUI LEBIH LANJUT