Juga, loghat Terengganu aku semakin baik. Malah, terkadang aku lebih cekap mentafsir maksud percakapan orang Hulu Terengganu yang agak pekat dan lebih berdengung berbanding Pn. Nurul sendiri. Huyeeh! Huyeeh! Ini kerana ramai juga pelajar aku berasal dari daerah itu. Cuma, sebutan aku kurang baik, kerana otak aku masih menggunakan Bahasa Melayu Johor-Riau sebagai bahasa rasmi.
Sepanjang tempoh itu juga, aku belum pernah sekali menaiki bot penambang. Bot penambang ni merupakan salah satu pengangkutan orang dari Seberang Takir dan Pulau Duyung untuk ke pusat bandar Kuala Terengganu di Pasar Payang. Ramai orang luar tidak tahu mengenai kewujudan bot penambang ini, kerana ia kurang didedahkan sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu.
Sebetulnya, Pn. Nurul telah lama mencabar aku untuk naik bot penambang. Ialah, mungkin kerana aku seorang yang takutkan air (itu tidak bermaksud aku spesis kambing) maka beliau berani mencabar aku. Cis!
Lalu, minggu lepas, aku menyahut seruan itu. Tapi, bukan aku seorang sahaja. Malah, abang ipar, kaka ipar, mak mertua, anak-anak sedara dan Pn. Nurul sendiri juga kepingin untuk menaiki bot itu. Bukan kerana mereka tidak pernah naik seperti aku, tetapi mereka ingin mengenang masa lampau, tatkala mereka tinggal di Telaga Daing, Seberang Takir, sebelum berpindah ke Pulau Rusa.
Cadangnya, hanya untuk naik dari Jeti Pasar Payang ke Jeti Seberang Takir. Tetapi, atas rundingan yang bijak dari Pn. Nurul, beliau berjaya memujuk pemandu bot untuk menyusuri Sungai Terenggganu, dengan harga hanya RM40.
Harga RM40 itu relatifnya murah. Jika kau naik dengan bot yang sedikit eksklusif beserta pemandu pelancong di Taman Tamadun Islam (TTI), bayaranya adalah RM25 sekepala (kalau tak silap aku). Tapi, diskaun akan diberikan jika naik dalam kumpulan yang ramai. Lebih berbaloi juga kalau ambil pakej sekali dengan masuk melihat monumen replika di TTI.
Ok, bot yang kiranya kami sewa khas itu akan bertolak dari Jeti Pasar Payang ke Jeti Seberang Takir. Ini kerana sebelum kami, sudah ada penumpang hendak ke Seberang Takir. Dalam perjalanan ke Seberang Takir, bot singgah sebentar untuk menghantar seorang pekerja kapal yang sedang berlabuh.
Dari Seberang Takir, bot melintasi Pulau Duyung dan membuat pusingan U di Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Kalau kau nak ke Muzium Terengganu, boleh saja meminta pemandu bot untuk mendaratkan kau di sana.
Dari TTI, bot patah balik kebali ke Jeti Pasar Payang. Perjalanan aku kira lebih kurang 45 hingga 60 minit.
Sepanjang perjalanan, kelihatan banyak limbungan-limbungan kapal milik penduduk tempatan atau syarikat pembuatan kapal. Juga, kelihatan bot-bot nelayan di parkir di beberapa jeti kecil, milik kampung.
Juga, kelihatan Ri Yaz Haritage yang menjadi tempat perlumbaan kapal layar Moonsun Cup.
Menghampiri kembali ke Jeti Pasar Payang, kelihat pelbagai markas penguatkuasa dan jabatan kerajaan berkaitan maritim seperti APNM, Polis Marin dan Kastam.
Memang seronok sesekali menyusuri sungai Terengganu dengan cara ini, pada harga yang lebih murah. Tapi, keselesaan sedikit tergadai. Enjin diesel yang digunakan bot aku terletak di tengah perut bot dan ini menyebabkan orang di dalam bot terpaksa berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Hahahaha.
No comments:
Post a Comment