Showing posts with label Pulau Rusa. Show all posts
Showing posts with label Pulau Rusa. Show all posts

Saturday, June 28, 2014

Mesin Jahit Yang Nostalgia

Ini cerita mesin jahit, kasih sayang dan nostalgia.

Ada sebuah mesin jahit usang di rumah mak mertua aku di Pulau Rusa. Jenama Merrit. Ia usang kerana kayunya kelihatan mereput. Badannya kelihatan menggerutu akibat karat dalam. Fungsi mekanikalnya pun sudah tidak efisyen lagi.







Ia masih boleh digunakan. Tetapi, tidak boleh secara lasak dan intensif. Setakat jahit seluar koyak celah kelangkang boleh lagi la kot. Hohohohoho.

Pn. Huda mulanya berkira-kira ingin membeli sebuah mesin jahit industri untuk diletakkan di Pulau Rusa. Katanya, mudah untuk menjahit barut dan bedung apabila pulang ke kampung. Dicadangkan juga untuk dijual sahaja mesin jahit usang itu dan diganti baru.

Aku membantah. Aku membantah kerana aku berfikir secara praktikal dan ekonomi. Pada aku, adalah lebih jimat untuk membaiki mesin jahit itu berbanding untuk membeli yang baharu. Juga, mesin jahit itu dijangka akan digunakan sekali sekala sahaja, jadi pembelian mesin jahit baru adalah tidak praktikal.

Mak mertua aku turut membantah. Beliau sayang dengan mesin jahit itu. Tak tahu kenapa. Tetapi, bila diberitahu Pn. Nurul, barulah aku tahu bahawa mesin itu dibeli oleh bapa mertua aku sebagai hadiah kepada isteri beliau. Ya, sudah tentu ia nostalgik!

Aku tak tahu tahun bila mesin jahit itu dibeli. Tapi, aku jangka sekitar tahun 80-an mungkin. Asalnya mesin ini menggunakan goyangan kaki. Tapi, ada satu set motor tambahan dipasang pada mesin itu. Aku jangka sekali lagi, mungkin motor itu dipasang lewat 90-an.

Mengenangkan praktikal dan ekonomi dari aku, serta nostalgia ibu beliau, Pn. Nurul bersetuju untuk memperbaiki sahaja mesin jahit itu.

Lalu kami hantar ke kedai membaiki mesin jahit di Manir. Meja kayu ditukar dengan kos RM200. Mesin diservis dengan kos RM30. Badan mesin tak boleh buat apa. Redha sahaja dengan badan yang menggerutu itu.

Selesai. Kasih sayang dan nostalgia itu diteruskan..

Friday, June 27, 2014

Borong Ikan di Kompleks LKIM Pulau Kambing

Rajin pula nak menulis masa nak puasa ni. Hohohoho

Kalau pulang ke Pulau Rusa, kadang-kala aku akan menemani isteri dan mak mertua aku ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pulau Kambing.

Kompleks ini lokasinya di muara Sungai Terengganu yang lebar. Kalau menaiki bot menyusuri muara Sungai Terengganu, ia kelihatan sejajaran dengan Pasar Besar Kedai Payang, Hotel Sri Malaysia, Jeti Polis Marin dan Hotel Felda.

Oleh itu, nelayan dari laut yang mewah di Terengganu boleh terus mendarat di kompleks ini. Kemudian ia terus diedarkan secara segar kepada pemborong dan pengguna.

Kalau pembeli runcit, harga yang ditawarkan aku kira tidaklah begitu murah. Hanya murah sedikit dari pasar yang biasa. Tapi, kau boleh dapat ikan yang betul-betul segar di sini. Mata bersinar, badan berkilat dan insang masih merah. Jika bernasib baik, kau boleh dapat ikan yang nyawa-nyawa ikan. Memang segar!

Tapi, dinasihatkan kau pergi awal jika bercadang ke sini. Seeloknya sesudah subuh, sebelum lalat terbang. Ini kerana, tempat letak kereta agak terhad di sini. Kalau kau pergi bermula jam 8.30 pagi, keadaan sudah sesak dan berserabut.






Owh ya, lupa nak bagitahu, sebelum keluar dari kompleks ini, kau akan dikenakan cukai sebanyak 50sen. Kalau kau pemborong ikan, mungkin cukainya tinggi sedikit. Tapi, tidaklah sampai beratus atau beribu ringgit. Mungkin hanya belasan ringgit.

Jadi, kalau nak dapatkan ikan segar, boleh ke sini!


Wednesday, January 29, 2014

Desa Murni Batik Kini Di Dungun

Desa Murni, satu nama yang tak asing lagi dalam industri pembuatan batik di Malaysia, lebih spesifik di Terengganu. Boleh dikatakan semua wanita seawal usia baligh mengenali Desa Murni. Bermula di Kampung Pulau Rusa, Desa Murni kini berkembang dengan sekian banyak cawangan di Kuala Berang, Pengadang Baru, Gong Kapas, Batu Enam dan yang terbaru di Dungun. Itu belum lagi dikira cawangannya di luar Terengganu seperti di Kuala Lumpur dan Ipoh.

Desa Murni terkenal dengan pembuatan batik digital. Apa itu batik digital? Ia semacam printer yang besar. Khas untuk print kain batik. Tapi, dengan corak yang eksklusif dan pereka batik yang ramai, Desa Murni mampu menghasilkan batik pada skala besar.

Aku kerap menemani Puan Nurul ke Desa Murni. Samada di Pengadang Baru atau Batu Enam. Dan, pernah juga aku membeli kemeja batik yang murah di Desa Murni. Kenapa aku beli batik murah? Satu, kerana aku bukan orang kaya. Dua, badan aku gatal-gatal kalau pakai batik mahal yang licin kainnya itu. Namun, yang satu "overshadow" yang dua. Hahahaha

Semalam, aku sempat ke Desa Murni Dungun yang baru di buka 2 minggu lepas. Semalam baru aku ada kesempatan walaupun kerap di ajak oleh Puan Nurul. Pada hari pembukaannya dua minggu lepas, ada dijual beberapa barang dengan harga 5 sen!






Desa Murni ini umumnya terbahagi kepada dua kedai berasingan. Kedai pertama khusus menjual produk batik dari kilang Desa Murni. Manakala kedai kedua lebih rencam. Ada dijual bantal, kain ela, tudung singa, karpet, tikar dan pakaian siap. Turut dijual basikal kahwin dua dan kahwin tiga.






Dan, seperti mana Desa Murni yang lainnya, 95% pelanggan adalah wanita. 5% bakinya adalah terdiri dari budak lelaki bawah umur atau lelaki dewasa yang muka kelihatan bosan. Hohohoho.

Apa-apa pun, aku sempat sambar sehelai lagi baju batik murah di Desa Murni Dungun.



Sunday, June 09, 2013

Bot Penambang Kuala Terengganu

Sudah lebih 7 tahun aku menetap di Kuala Terengganu. Dalam tempoh itu, bermacam perkara telah aku lalui. Yang paling terkesan adalah aku telah "tersangkut" dengan makwe Terengganu. Huyeeh!

Juga, loghat Terengganu aku semakin baik. Malah, terkadang aku lebih cekap mentafsir maksud percakapan orang Hulu Terengganu yang agak pekat dan lebih berdengung berbanding Pn. Nurul sendiri. Huyeeh! Huyeeh! Ini kerana ramai juga pelajar aku berasal dari daerah itu. Cuma, sebutan aku kurang baik, kerana otak aku masih menggunakan Bahasa Melayu Johor-Riau sebagai bahasa rasmi.

Sepanjang tempoh itu juga, aku belum pernah sekali menaiki bot penambang. Bot penambang ni merupakan salah satu pengangkutan orang dari Seberang Takir dan Pulau Duyung untuk ke pusat bandar Kuala Terengganu di Pasar Payang. Ramai orang luar tidak tahu mengenai kewujudan bot penambang ini, kerana ia kurang didedahkan sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu.








Sebetulnya, Pn. Nurul telah lama mencabar aku untuk naik bot penambang. Ialah, mungkin kerana aku seorang yang takutkan air (itu tidak bermaksud aku spesis kambing) maka beliau berani mencabar aku. Cis!

Lalu, minggu lepas, aku menyahut seruan itu. Tapi, bukan aku seorang sahaja. Malah, abang ipar, kaka ipar, mak mertua, anak-anak sedara dan Pn. Nurul sendiri juga kepingin untuk menaiki bot itu. Bukan kerana mereka tidak pernah naik seperti aku, tetapi mereka ingin mengenang masa lampau, tatkala mereka tinggal di Telaga Daing, Seberang Takir, sebelum berpindah ke Pulau Rusa.

Cadangnya, hanya untuk naik dari Jeti Pasar Payang ke Jeti Seberang Takir. Tetapi, atas rundingan yang bijak dari Pn. Nurul, beliau berjaya memujuk pemandu bot untuk menyusuri Sungai Terenggganu, dengan harga hanya RM40.



Harga RM40 itu relatifnya murah. Jika kau naik dengan bot yang sedikit eksklusif beserta pemandu pelancong di Taman Tamadun Islam (TTI), bayaranya adalah RM25 sekepala (kalau tak silap aku). Tapi, diskaun akan diberikan jika naik dalam kumpulan yang ramai. Lebih berbaloi juga kalau ambil pakej sekali dengan masuk melihat monumen replika di TTI.



Ok, bot yang kiranya kami sewa khas itu akan bertolak dari Jeti Pasar Payang ke Jeti Seberang Takir. Ini kerana sebelum kami, sudah ada penumpang hendak ke Seberang Takir. Dalam perjalanan ke Seberang Takir, bot singgah sebentar untuk menghantar seorang pekerja kapal yang sedang berlabuh.



Dari Seberang Takir, bot melintasi Pulau Duyung dan membuat pusingan U di Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Kalau kau nak ke Muzium Terengganu, boleh saja meminta pemandu bot untuk mendaratkan kau di sana.



Dari TTI, bot patah balik kebali ke Jeti Pasar Payang. Perjalanan aku kira lebih kurang 45 hingga 60 minit.

Sepanjang perjalanan, kelihatan banyak limbungan-limbungan kapal milik penduduk tempatan atau syarikat pembuatan kapal. Juga, kelihatan bot-bot nelayan di parkir di beberapa jeti kecil, milik kampung.





Juga, kelihatan Ri Yaz Haritage yang menjadi tempat perlumbaan kapal layar Moonsun Cup.



Menghampiri kembali ke Jeti Pasar Payang, kelihat pelbagai markas penguatkuasa dan jabatan kerajaan berkaitan maritim seperti APNM, Polis Marin dan Kastam.



Memang seronok sesekali menyusuri sungai Terengganu dengan cara ini, pada harga yang lebih murah. Tapi, keselesaan sedikit tergadai. Enjin diesel yang digunakan bot aku terletak di tengah perut bot dan ini menyebabkan orang di dalam bot terpaksa berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Hahahaha.


Thursday, January 03, 2013

Roti Tempayan Kari Kambing

Walau sudah sekian tahun berulang-alik Dungun-Kuala Terengganu, aku masih lagi belum pernah singgah ke kedai ini. Walaupun terkadang tergerak hati untuk berhenti kerana tertarik dengan ramainya orang di kedai itu. Namun, entah kenapa aku masih lagi belum singgah ke kedai itu.

Tapi, tempoh hari, hati terasa ingin makan di kedai itu setelah Pn. Nurul dengan tegas mengatakan bahawa beliau lapar; pada petang itu; dalam perjalanan pulang ke Dungun dari Pulau Rusa. Lalu, pada pertama kalinya aku singgah di kedai itu.



Tak tahu apa namanya kedai itu, tapi pada papan tandanya tertulis 'Roti Tempayan Nan Kari Kambing". Jujur, aku tertarik pada papan tanda itu kerana 2 perkara. "Roti Tempayan" dan "Kari Kambing". Owh! Kombinasi yang bagus kawan!

Jujur juga, aku sebetulnya tidak pasti lokasi sebenar kedai ini. Barangkali di kawasan Merchang. Beberapa kilometer selepas Klinik Kesihatan Merchang dari Kuala Terengganu; pada sisi kiri jalan.

Dengan suasana sejuk renyai-renyai, perut yang kosong memang segera mahu diisi. Aku memesan menu yang klise dengan papan tanda itu - roti tempayan kari kambing. Manakala Pn. Nurul memesan roti tempayan kari ayam. Oleh kerana kami dalam proses yang menguruskan badan yang intensif (intensif la sangat, hahahaha), kami hanya memesan air suam sahaja.



Rasanya roti tempayan dan kari-karinya sangat sedap dan cemerlang! Bukan kerana lapar, tapi memang rasanya betul-betul sedap (sambil menunjukkan ibu jari, keempat-kepat termasuk kaki). Juga, kuantitinya pada kadar yang mengenyangkan. Burp! Alhamdullilah.



Harganya agak mencengkam juga. RM10. Harga yang biasa di Terengganu. Tapi, rasanya berbaloi dengan harga yang dibayar.

Wednesday, May 23, 2012

Pasar Manir

Manir. Tak jauh dari Pulau Rusa. Kalau dulu, sebelum ada jambatan Manir orang Pulau Rusa bersampan ke Manir. Kalau air sungai surut, boleh meranduk saja sungai.

Kini, sangat jarang untuk orang Pulau Rusa bersampan ke Manir. Jika ada pun sekadar untuk memancing. Dengan adanya jambatan Manir, orang Pulau Rusa mudah ke Manir. Terima kasih kerajaan Barisan Nasional! Hahahahaha.

Kalau masuk ke Manir, kau boleh tembus hingga ke Telemung, dalam daerah Hulu Terengganu.

Manir aku kira sangat unik. Kau boleh hampir apa sahaja di sini. Jarang ada 2 kedai yang jual barang yang sama. Setiap kedai mempunyai "niche" jualan yang tersendiri.

Kalau pun tiada barang yang kau kehendaki di kedai-kedai sekitar Manir, kau boleh saja tunggu hari Sabtu untuk membeli belah di Pasar Manir. Pasar ini dibuka setiap hari Sabtu. Macam-macam barang yang boleh kau jumpa. Kadang-kadang barang yang "rare" seperti kraftangan dan ayam kampung hidup kau boleh dapat di pasar ini.

Peniaga pasar ini memang ramai. Aku perhatikan peniaga di sini pacak je gerai diorang. Huhuhuhuu. Jadi, keadaan ada sedikit berserabut.

Kalau kau nak ke sini, aku nasihatkan untuk pergi seawal mungkin. Barangkali sekitar jam 7 pagi, bagi mengelakkan kesesakan. Kalau kau pergi jam 8, memang boleh demam nak cari parkir kereta. Huhuhuhuhu.

Apa-apa pun, layan gambar suasana pasar Manir.