Showing posts with label ulasan makan. Show all posts
Showing posts with label ulasan makan. Show all posts

Wednesday, November 20, 2019

Ke Utara Bahagian 17: Medan Selera Taman Tun Sardon

Kami bangun awal pagi itu. Belum pun pukul 7, kami sudah berada di jalan raya. Abang Pn. Nurul sekeluarga mengajak kami sarapan di Medan Selera Taman Tun Sardon.

Harapan keluar awal supaya jalan tidak sesak dan boleh dapat parkir kereta dengan mudah.

Harapan meleset. Harapan hanya tinggal harapan. Jika di pasar besar Dungun pukul 7 pagi; peniaga baru sampai nak turunkan barang jualan.

Awal betul orang Penang bangun. Walhal ini hari Sabtu. Banyak pejabat tutup. Ramai orang cuti. Mujur secara tiba-tiba, betul-betul depan medan selera itu, ada kereta keluar. Lalu, aku, dengan menggunakan kemahiran parkir-tepi-masuk-bontot yang dipelajari di sekolah memandu 21 tahun lepas; berjaya mengesahkan tempat parkir itu. Ternyata, aku dapat lesen kereta yang benar, bukan lesen terbang.

Terus kami serbu medan selera itu. Ia tidak lengang. Orang telah ramai. Lebih separuh meja telah di isi. Ada sekelompok lelaki berkopiah baru balik surau. Ada seorang pakcik sedang membaca akhbar sambil mencicip kopi. Ada satu keluarga yang sedang ketawa mesra. Suasana hingar, tapi menenangkan.

Masuk sahaja ke medan selera itu, aku membuat tinjauan rambang. Jalan dari hujung ke hujung. Melihat-lihat menu yang ada. Ingin rasa semua yang ada, tapi apakan daya, perut aku ada satu sahaja.

Pagi itu aku belajar satu perkara. Orang Penang berdisiplin. Sanggup beratur untuk membeli makanan. Tabik!

Ada satu istimewa, pada aku, ialah nasi lemuni. Pertama kali aku jumpa. Katanya nasi dimasak dengan daun lemuni dan santan. Rasanya lemak. Mirip nasi dagang atau nasi lemak. Ada dua versi aku jumpa di sini, nasi lemuni ikan bilis dan nasi lemuni daging. Ahhh, kedua-duanya sedap. Sebab nasi lemuni sendiri itu sudah sedap dimakan begitu sahaja. Sama macam roti gardenia. :p

Aku juga cuba nasi kacang dhal. Sedap juga. Pertma kali juga. Rasa macam nasi minyak atau nasi kuning Terengganu.

Nasi lemak di sini pun aku cuba. Kecil sahaja. tapi sedap ya ampun.

Murtabak mini pun aku cuba juga. Sedap juga.

Akhir sekali aku cuba lontong. Fuh! Setara lontong masa aku belajar di Parit Raja!

Pendek kata semua sedap. Bukan sebab aku makan semua benda kecuali batu dan kayu. Tapi ke semua tu memang sedap.

Medan Selera Taman Tun Sardon ini tempat kau wajib pergi untuk rasa sarapan pelbagai yang sedap di Penang. Bukan sahaja makanan, di sini kau juga boleh tengok gelagat masyarakatnya.

Sekali lagi aku rasa nak mengesot. Semalam mengesot kenyang di Perlis. Ini hari di Penang pula.
---

Usai sarapan. Kami berpecah. Abang ipar aku sekeluarga ada urusan keluarga. Aku dan Pn. Nurul bergerak ke Bukit Bendera. Pertama kali juga aku nak naik Bukit Bendera.

Menarik ke Bukit Bendera? Entah, kau tunggu bahagian akan datang.

Video Medan Selera Taman Tun Sardon boleh tengok di bawah ni ha.


Saturday, November 16, 2019

Ke Utara Bahagian 13: Restoran Kuali Hangat

Selepas berpeleseran di Nat Pokok Getah, kami balik hotel. Sambung tidur sejam. Hohohoho.


Beberapa minit sebelum pukul 12 tengahari, kami check out.

Tak tau nak pergi mana. Pukul 3 petang karang nak raya rumah pakcik aku. Ada 3 jam lagi ni.

Mujur ada google. Terus cari “tempat makan Perlis”. Pergh! Banyak ya ampun. Lebih 30.

Setelah buat sedikit crowdsourcing, kami pilih Restoran Kuali Hangat. Ia restoran nasi campur dan kepakaran gulai kawah.

Restoran ini terletak tak jauh dari pusat bandar Kangar. Aku rasa dalam 2-3 km sahaja. Kau cari sahaja restoran ini di Google Maps.

Sampai waktu makan tengahari, jadi suasana sedikit sibuk.

Kami masuk. Terpegun tengok lauknya. 5 minit berlegar tengok lauk. Ada lebih 30 lauk. Kebanyakkan kami tak pernah jumpa. Tapi, semuanya nampak menyelerakan.

Hayati lauk pauknya di bawah ni ha.



Kami lupakan azam untuk berdiet. Kami ambil nasi sesenduk seorang. Tapi masing-masing ambil lima lauk.

Pn. Nurul paling gemar peria celup tepung. Siap bungkus untuk bekalan ke Penang petang nanti. Tapi, tak keluar Perlis lagi, bekalan peria gereng dah habis. Kah kah kah.



Menyadar kami lepas makan. Rasa nak mengesot keluar restoran.

Keluar kedai dekat pukul 1 petang. Ada 2 jam lebih lagi ni sebelum pukul 3.

Nak buat apa ek?

Ketahui pada episod akan datang.
x

Sunday, July 07, 2019

Ke Utara Bahagian 1: Nasi Ulam Cikgu

Selepas cuti raya tempoh hari, aku dan Pn. Nurul melakukan penjelajahan ke utara semenanjung. Bermula di Dungun, singgah di Kuala Terengganu, ke Kelantan ke Perlis ke Penang melalui Kedah, ke Perak dan kembali ke Dungun dengan singgah di Genting Highland.

Enam hari lima malam. Melihat negeri orang juga melawat dua bapa saudara aku di Kangar dan Kulim.

Ini siri pertama dari sepuluh, mungkin berbelas, mungkin 12 kisah perjalanan ke utara.

Semua kisah akan disertakan dengan video log satu minit. Vlog-vlog  boleh dilihat di sini. Jangan lupa subscribe. :D

------

Ini kali ketiga aku ke kedai Nasi Ulam Cikgu. Aku tahu banyak tempat makan sedap di Kelantan, khususnya Kota Bharu. Tapi, niat aku ke Kelantan kali ini untuk pergi ke muzium. (Ya tuan puan, pergi muzium. Ini hobi biasa bagi orang yang membosankan macam aku.) Memandangkan Nasi Ulam Cikgu berada di kawasan muzium, lalu aku ke sini. Juga, gorengan ikan keli dan ayam Nasi Ulam Cikgu masih aku teringat-ingat.

Kunjungan kali ketiga ini, aku sedikit terkejut, sebab kelihatannya kedai yang terletak di sebelah Kampung Kratangan kelihatan lengang. Sangat lengang. Walhal ketika itu adalah waktu puncak makan tengahari.

Jangkaan awal aku kedai ini sudah tidak sedap masakannya. Ataupun viral oleh sebab musabab yang negatif. Ataupun pemilik sudah bertukar. Malah, lalu juga di fikiran aku kedai ini kena bomoh. Kah kah kah.

Selepas makan di situ, kami melawat Muzium Jahar dan Muzium Istana Batu. Ini aku akan cerita kemudian. Selepas keletihan pusing dua muzium ini, kami membasahkan tekak bawah di Muzium Kraf di Kampung Kraftangan.

Rupanya-rupanya, kedai itu juga adalah kedai Nasi Ulam Cikgu. Punyalah dekat cawangannya. Satu di dalam Kampung Kraftangan, satu lagi di luar. Boleh masuk Malaysia Book of Record agaknya; kategori cawangan kedai paling dekat.

Kedai di dalam Kampung Kraftangan ini lebih ramai pengunjung. Suasana yang sedikit nyaman dan agak tertutup barangkali menyebabkan ia menjadi pilihan.

Nasi Ulam Cikgu seperti biasa tidak mengecewakan. Kena cuba keli goreng atau ayam gorengnya. Tepung salutan dan rempahnya lain macam sedap. Tak jumpa di tempat lain.

Nama pun nasi ulam. Pelbagai jenis ulam. Menariknya, siap ada label. Jadi, boleh jadi medium pembelajaran mengenal ulam-ulaman. Kalau tiada label ni, tak kenal aku daun sambung nyawa.

Kena cuba juga budunya. Aku bukan penggemar budu. Kalau ada, aku makan. Kalau takde budu pun,  tiga pinggan nasi aku boleh makan. Namun, budu di Nasi Ulam Cikgu ni boleh menyebabkan kau makan lima pinggan nasi. Budunya tidak masin. Mewah rasa ikan. Juga, yang penting tidak berbau menyengat seperti budu-budu lain. Aku siap beli budunya untuk di bawa balik. Menurut makwe yang jaga kaunter, budu itu di buat sendiri.

Kenyang perut, kami terus ke Muzium Jahar. Tunggu episod seterunya untuk cerita Muzium Jahar. Ada macam mistik sikit cerita akan datang.


Monday, March 04, 2019

Tempat Makan Terbaik di Kuala Terengganu: Roti Tempayan @ Machang Lada Seafood




Aku tak ingat bilakah kali pertama aku mencuba roti tempayan. Tapi, kini roti tempayan menjadi menu kesukaan aku. Ia satu hidangan yang ringkas. Sekadar adunan tepung gandum yang dibakar dalam tempayan, lalu dicicah dengan kuah gulai. Ringkas dan seadanya.

Tapi, versi cicahan dengan kuah gulai popular di Pantai Timur dan kedai Melayu. Versi mamak, roti tempayan dimakan dengan ayam andori. Sambil dicicah dengan kuah dhal dan kari kosong; antaranya. Mamak juga tidak menamakan ia dengan roti tempayan. Ia dikenali dengan nama roti nan.

Melalui carian di Google, mat saleh menamakan roti tempayan sebagai tandoor bread. Ia dinamakan sempena tempayan yang nama asalnya adalah tandoor. Masuk akal. Sebab ayam tandori dimasak dalam tempayan yang sama dengan roti tempayan.

Itu sedikit trivia pasal roti tempayan atau roti nan atau tandori bread. Owh ye, orang Terengganu memanggilnya dengan nama "roti payang". Panjang pula intro aku. Ialah, menulis dengan komputer riba, dalam persekitaran blogspot, memang automatik akan tertulis panjang. 

Sebelum ini aku ada ulas beberapa kedai roti tempayan. Kau boleh cari pada bahagian "search" atas penjuru kanan dalam blog aku ni. Tapi, kali ini aku nak ulas pasal roti tempayan di Machang Lada Seafood.

Machang Lada terletak di Bukit Payung. Kalau kau dari Kuala Terengganu, sesampai di lampu isyarat Padang Midin, kau belok kiri, ke Paya Resak. Masuk je simpang tersebut, itulah Machang Lada. Kau kedalam sikit dalam 500 meter, kau akan jumpa kedai Machang Lada Seafood di sebelah kiri kau. 

Macam payah je penerangan aku. Senang-senang, kau buka Google Maps dan cari "Machang Lada Seafood".



Kedai ini asasnya makanan gaya siam. Tapi, ada juga makanan barat dan roti tempayan. Abang ipar aku kata roti tempayan di sini sedap, lalu aku cuba.

Umph! Rotinya memang sedap! Ia tidak tebal. Tidak juga terlalu nipis. Ia tidaklah terlalu besar. Tidak juga terlalu kecil. Sedang-sedang sahaja. Portion yang sesuai untuk kau yang berdiet. Pada sesetengah bahagian roti, ia rangup. Tapi, pada sesetengah bahagian ia gebu. Jadi, sensasi makan roti tempayannya sangat mengancam.



Kuahnya; aku mencuba gulai ayam dan kambing. Gulai ayamnya secukup rasa. Sedap. Kena dengan roti. Lagi sedap kalau kau cubit daging ayam, gulung dalam cubitan roti, cecah kembali kedalam kuah dan nikmatinya! Fuh! Sambil menaip ni ngences aku rasa.



Gulai kambingnya pula tidak hanyir. Pandai mereka basuh daging kambing. Dagingnya pula pejal, tetapi tidak liat. Tak hancur bila dicubit, tetapi sedap apabila dikunyah. Luar biasa!



Kedai ini kedai keluarga. Maknanya kau boleh bawa keluarga kau yang selera lain-lain. Mungkin kau suka roti tempayan, bini kau suka tomyam dan anak kau suka chiken chop. Pergi kedai ini. Lalu semua orang gembira.



Thursday, February 28, 2019

Tempat Makan Terbaik di Parit Raja: Asam Pedas Bonda

Tempoh hari, aku ke Parit Raja. Atas urusan Kerepek Rangup. Walaupun tak beli sangat kerepek, tapi kena tunjuk muka pada tokey kilang. Ini antara strategi peniaga-picisan-setahun-sekali-untung-seringgit macam aku.  Tapi, tak sempat nak jumpa ayahanda kawasan Parit Raja, Mohammad Kamil Abdullah.

Walaupun kecil-kecilan sahaja, perlu buat bersungguh-sungguh. Kita kalau hendak buat sesuatu, buatlah dengan bersungguh-sungguh. Nikmat dan kepuasannya lain macam kalau kau bersungguh-sungguh. Kerja biar bersungguh. Belajar biar bersungguh. Bermain biar berungguh. Makan biar bersungguh. Berak biar bersungguh.

Begitu juga dengan Asam Pedas Bonda Parit Raja. Fuh! Asam pedasnya memang dimasak dengan bersungguh-sungguh. Asam pedas di sini bukan biasyer biasyer  (sila baca dengan nada DS Najib). Ia dimasak bila pesanan dibuat. Bukan jenis masak banyak-banyak letak dalam tray ala buffet.

Lebih luar biasa, asam pedas ini dimasak dan di hidang di dalam periuk tanah liat (claypot). Bila pelayan hantar asam pedas, periuknya masih tertutup. Lepas letak atas meja, dia buka penutupnya. Semerbak bau! Menggoda!

Godaan tidak sampai di situ. Memandang ia dimasak dalam periuk tanah liat, haba tersimpan lebih lama. Kalau kau terus terkam, alamat melocot lidah kau. Silap-silap boleh hilang deria rasa seminggu. Kau kena tunggu sejuk kurang lebih lima minit, barulah boleh kau mencicip kuahnya. Baru boleh mencicip ya. Belum boleh menghirup, apatah lagi mencubit dan menikmati ikan. Lalu kau hanya terkebil-kebil melihat wap berkepul keluar dari asam pedas periuk tanah liat itu...

Kuahnya pekat. Sekali hirup melekat rasa pedas-masam. Terasa aroma lengkuas, bunga kantan dan daun kesom ditekak. Segar. Terasa lawas salur pernafasan aku bila menghirup kuah asam pedas yang bersuhu 50 darjah celcius yang cukup ramuannya.

Ikannya masak sempurna. Tidaklah separuh masak. Tidaklah juga terlalu masak. Sedang-sedang saja. Sebab ia di masak segar, terasa kemanisan ikan. Lebih sedap kerana kuah asam pedas masuk memasuki liang-liang daging ikan.

Ikannya memang besar puas hati. Macam-macam cara makan ikan asam pedas itu aku gayakan. Makan begitu sahaja. Makan sekali dengan hirup kuah. Makan dengan nasi. Makan dengan nasi, telur masin dan ulam. Tidak ketinggalan, makan dengan ulam.

Aduh! Nikmat!

Kedai ini hanya 100 meter dari Fisherman's Asam Pedas. Kalau kau dari Parit Raja menuju ke Kluang, kau akan jumpa kedai ini di sebelah kanan kau. 100 meter kemudian, kau akan jumpa pula Fisherman's Asam Pedas di sebelah kiri kau.

Ah, cerita banyak tak guna. Jom tengok video ni. Bagi kau ngencesssss......


Follow FB dan IG Asam Pedas Bonda Parit Raja.

Ternyatalah, bukan asam pedas Melaka kalah dengan asam pedas Parit Raja.

Tuesday, February 19, 2019

Kedai Makan Terbaik di Dungun: Warung Wook Bo'Ki Batu 50 Dungun

Ada hikmahnya kantin tempat kerja aku ditutup sementara. Jadi, ada peluang untuk aku jelajah kedai-kedai makan di luar sana.

Aku suka pergi kedai yang tak ramai orang dan dekat dengan tempat kerja aku. Aku bukan jenis yang sanggup memandu 20km lebih sehala hanya untuk makan tengahari.

Ada satu kedai di Batu 50, Dungun. Ia betul-betul bersebelahan dengan Kedai Tayar Azhar (Waze kedai ni). Warong Wook Bo’Ki. Kedai ini sederhana, nampak biasa-biasa sahaja dari luar. Tapi, masakannya sedap. Macam mak mak yang masak. Lauknya banyak pilihan, tapi tiap satunya dimasak dalam kuantiti sedikit.

Aku dan Pn. Nurul dah dua hari berturut-turut pergi ke kedai ni. Esok mungkin kali ketiga. Berikut beberapa menunya yang kami dah rasa.

Gulai ayam kampung.
Semalam rasanya agak masin. Tapi hari ini masinnya ngam. Ayam dibelah empat. Tapi, ayam kecil je la. Namun, kalau sorang makan, cukup puas! Harganya RM5 sahaja.

Ayam percik.
Ini ayam bandar. Belah empat juga. Ayam dibakar dahulu. Bila nak nak dihidang baru kuahnya disiram.
Makan dua orang memang kenyang sangat. Hanya RM6.50. Ayam ternak sendiri agaknya.

Patin tempoyak.
Aku tak suka makan patin tempoyak yang ikannya macam tiga suku masak dan kuahnya menenggelamkan ikan. Patin tempoyak kedai ni masak sempurna dan kuahnya macam disiram sahaja.
Kuahnya pekat. Harga RM5 juga.

Menu lain aku akan cuba lain kali. Ada sup tulang, kerutuk kambing dan ayam goreng rangup. Ada juga ikan selayang besar dua jari aku, yang bakar. Hanya 80 sen seekor. Ya tuan puan, hanya 80 sen. Nasi dikira RM1 sepinggan. Tapi, aku ambil nasi sikit je. Kalau kau ambil nasi seperiuk, mungkin harga lain.

Harga yang aku bagitau di atas mungkin akan berubah. Manalah tau kau pergi, sekali tu ikan selayang jadi RM1, jangan pula kau tularkan kata aku penipu.

Ok, kau boleh serbu kedai ni. Tapi minggu depan la. Minggu ni aku nak makan puas-puas kat kedai ni.






Saturday, February 16, 2019

Tempat Makan Terbaik di Parit Raja: Fisherman’s Asam Pedas

Masa belajar di Parit Raja 18 tahun dahulu, kompleks niaga Parit Raja menjadi tumpuan budak marhaen macam aku menikmati makan tengahari.

Antara menu yang sedap di situ adalah asam pedas.

Oleh itu, apabila sekali sekala ke Parit Raja atas urusan Kerepek Rangup, aku akan mengenang alma mater aku di kompleks niaga Parit Raja. Menikmati kembali zat yang membesarkan aku sebagai johan.

Masa berlalu, pemilik-pemilik asal kedai sudah tiada dan perniagaan mereka diwarasi. Sejak itu kualiti dan kesedapan makanan di beberapa kedai di kompleks niaga itu semakin berkurangan. Bahasa mudah, dah tak sedap. Terutamanya asam pedas.

Ya, seantero dunia sedar bahawa asam pedas Melaka adalah yang terbaik. Namun, pada aku asam pedas Johor ada rasa tersendiri.

Lalu misi tergempar mencari asam pedas bermula. Usai bertemuramah dengan anak Wak Asmon, tauke kilang kerepek, aku bertanya beliau mana kedai asam pedas Johor yang paling sedap di Parit Raja.

Beliau mencadangkan beberapa kedai. Kedai pertama aku pergi adalah Fisherman’s Asam Pedas. Terletak di simpang masuk Pt Haji Ali Laut.

Kedai lain aku akan pergi dan review kemudian, Insya Allah.

Ini ha kedainya. Tiada papan tanda, ada gegantung sahaja.

Namun begitu, kedai ni ada dalam Google Maps, Facebook dan Instagram. 

Kau search Fishermans Asam Pedas

Asam pedas tau, bukan ubat batuk.

Kedai ni betul-betul terletak di simpang parit ini. Lebih kurang 2-3 km dari bandaraya Parit Raja.

Ini kaunter untuk order makanan. Hipster gituw.

Ini senarai menu. Telus. Cuma ikan harganya berubah.

Telur masin. Oren warnanya. Tapi bukan Amanah.

Telur dadar. Tak lawa pula gambar aku kali ni.

Kailan ikan masin. Naik darah aku!

Ini dia menu utama. Asam pedas. Entah ikan apa aku lupa. Ikan mayong agaknya. Besar tapak tangan aku ni.

Ikan dimasak segar. Kau order baru dimasak. Bukan main masak banyak-banyak dalam periuk besar.

Makan 2 orang dengan air dan lauk-lauk di atas dalam belas-belas ringgit sahaja. Sesuai sangat dengan bajet pensyarah gred rendah macam aku.

Tuesday, February 12, 2019

Tempat Makan Terbaik di Dungun: Popia Sayur Gemuk

Selain dari karipap inti angin dan sandwich inti hujung, popia inti 3 helai tauge turut berleluasa di pasaran.
Walaupun kadang-kala aku dah tahu keadaan kuih-kuih tersebut, namun aku tetap membelinya. Mungkin sebab kena bomoh atau memang dah teringin nak makan.
Ialah, nak makan seketul dua sahaja, jadi tidak ekonomik untuk membuat sendiri.
——
Berkenanan post aku sebelum ini, ada juga yang berkeinginan untuk beli popia cendawan yang Pn. Nurul buat.
Tapi, beliau masih teragak-agak untuk menjualnya. Kau tunggu dulu.
Dalam post itu, Pengerusi Anak Johor Perantauan cawangan Dungun, En. Azwan Nawawi mencadangkan aku mencuba popia sayur di Gong Pasir.
Tanpa membuang masa, terus aku mencubanya.



——
Fuh, ini adalah penanda aras popia terbaik di Dungun. Tahap JDT dalam bolasepak Malaysia.
Kulitnya rangup. Bila dah sejuk tetap rangup. Aku syak kulit popia ini dibuat sendiri.
Isinya mewah, walupun cuma sekadar kobis dan lobak merah. Gemuk popianya. Boleh tiga kali gigit. Kalau popia biasa-biasa sekali gigit je.
Selain popia, kedai ini menjual juga keropok, ayam leper, pisang goreng, pau dan kuih muih lain. Pau dia nampak sedap. Lain kali aku beli.
Tapi, bila aku tanya Pn. Nurul sedap atau tak, beliau jawab “Sedap. Tapi kalau Bi buat sedap lagi”.
Hmmmm. Aku dah terbayang kena paksa makan popia seminggu.



Ini dia. Gemuk bukan? Tapi bukan gemuk angin ni.

Ini gemuk isi.

Banyak la juga sayurnya dari popia yang biasa-biasa.

Longgokan popia = Longgokan kalori..Namun, terbeli juga 10 biji. Aduh!

Ini kedainya. Sederhana sahaja. Tapi nampak bersih.