Monday, February 10, 2014

Mengenang Alma Mater: Kedai Makan Saadiah

Pada kebanyakkan bekas pelajar universiti, mereka sangat mengenang zaman belajar mereka. Sangat mengenang suasana belajar mereka. Sangat mengenang pensyarah-pensyarah mereka. Sangat mengenang tempat-tempat nostalgik dalam kampus mereka. Dan, tentunya mengenang alma mater mereka.

"Alma mater: a school, college, or university at which one has studied and, usually, from which one has graduated"

Aku, masa belajar di Parit Raja dahulu, merupakan seorang yang pasif. Aku kurang bercakap dan kurang bergaul. Memang norma aku sebegitu. Justeru, aku tidaklah tergolong sebagai mahasiswa yang suka berlegar di kampus. Selepas kelas, jarang aku pergi ke perpustakaan, surau kampus, kafeteria kampus atau bilik pensyarah. Malah, pergi ke jamban kampus pun kadang-kadang sahaja. 

Selepas kelas pagi, biasanya aku akan ke Parit Bengkok, lokasi gerai roti canai tepi parit yang tersedap. Rotinya gebu. Karinya lemak rempah. Nescafenya pekat! Paling penting sebagai pelajar, harganya murah.

Atau, kalau kelas habis petang, akan aku singgah di gerai goreng pisang Ewok, sederet pasaraya Wellward; makan gorengan dicicah sambal kicap. Kedai di tepi longkang. Gorengannya rangup. Sambal kicapnya pedas. Paling penting sebagai pelajar, harganya murah.

Kalau kelas malam, sebelum ke kelas, aku  makan malam di kedai makan Adak, sebelah bangunan Peladang. Nasinya banyak dan berlemak. Ayamnya pun banyak. Dan, paling penting sebagai pelajar, harganya murah.

Selepas kelas, terkadang, aku makan kerang bakar di sebuah kedai suram depan kampus. Simpang masuk Parit Hj Rais. Servis kedai memang lambat. Kerangnya taklah berapa sedap. Dan, harganya taklah begitu murah. Mungkin, aku dah kena bomoh dengan kedai tersebut. Hahahahaha

Tapi, paling menarik, makan tengahari. Kedai makan Saadiah. Terletak di Kompleks Parit Raja. Menunya ringkas. Nasi + ayam goreng + kuah kari + sayaur. Atau, nasi + asam pedas + sayur. Dulu, 12 tahun lepas sekali makan lauk ayam, beserta air teh o ais, hanya RM2.50. 






Tempoh hari, aku kembali ke kedai itu. Akak kedai tu masih ingat aku. Beliau tak ingat nama aku. Tapi, beliau cam tahi lalat aku bawah bibir. Hahahahaha. Aku baru perasan aku ada tahi lalat bawah bibir.

Minggu lepas, aku ke sana. Mengenang alma mater. Makan di kedai Saadiah. Nasi + ayam goreng + kuah kari + sayur + air suam sudah RM4.50.

Inflasi.

No comments: