Masa senggang aku pada masa itu tidak hanya terperuk di rumah. Walaupun sejak azalinya aku seorang yang pendiam, ia tidak membuatkan aku hanya memerap di rumah. Boleh jadi bosan. Boleh jadi bingung jika tiada apa yang perlu dilakukan di rumah.
Aku memulakan persekolahan di Sarawak. Kami sekeluarga menetap di kem askar, kuartes kelamin. Di tepi kuartes itu, ada padang yang sederhana luas. Boleh dikatakan setiap petang aku main "rounders" di situ. "Rounders" ini sejenis permainan seperti bola lisut. Cuma, kayunya boleh jadi apa-apa sahaja benda keras dan leper. Manakala bolanya adalah bola tenis. Walaupun pasukan aku sering tewas dan menjadi belasahan, aku tetap tidak serik untuk bermain setiap petang.
Kalau sudah merasa puas menjadi mangsa belasahan "rounders" sesekali aku bermain layang-layang. Lidi penyapu, kertas surat khabar dan benang sudah cukup untuk kehidupan petang aku lebih seronok.
Adakalanya, aku turut menyertai kanak-kanak yang lebih tua bermain perang-perang. Batang kayu, penyepit baju, paku, getah dan tali pinggang lama sudah cukup untuk menjadi selaras senapang. Aku tak pernah membuat senapang itu. Atas ihsan kanak-kanak yang lebih tua itu aku boleh menyertai platun mereka. Dengan syarat, aku mengutip kembali guli yang dijadikan peluru.
Pada waktu rehat sekolah, memandang aku ketua darjah, maka sering aku menghasut rakan-rakan sekelas untuk lawan pemadam. Ataupun bermain kad dengan pelbagai kaedah permainan.
Kemudian, kami sekeluarga berpindah kembali ke Semenanjung. Tinggal di Johor Bahru, bandar besar. Suasana berbeza dengan Sarawak. Namun, ia tidak menghalang aku untuk melakukan pelbagai aktiviti petang.
Biasanya, aku akan berjalan di lorong-lorong belakang kedai. Menyelongkar tong sampah untuk mencari setem terpakai. Kalau ada pekedai yang baik, mereka akan menyimpan dan memberi setem untuk aku jika aku lalu di belakang kedai mereka. Pada waktu itu, tidaklah mak bapa aku risau pasal penculikan atau kes jenayah. Cuma, aku sering risau dengan anjing. Boleh dikatakan sebulan sekali pasti aku di kejar anjing. Cis!
Di sini juga selain lawan pemadam, aku mula belajar main ceper. Juga, permainan menguji minda seperti dam haji, catur, SOS dan pangkah bulat.
Tapi, suasana di sekolah kurang menyenangkan. Kami, anak tentera sering dipandang seperti second class citizen. Biasanya golongan kami kurang cerdik dan agak pasif. Berbanding dengan anak-anak profesional yang kelihatan cerdik dan berkeyakinan.
Bapa aku bersara tentera, lalu kami sekeluarga memulakan kehidupan di Bandar Tenggara. Aku darjah 4 rasanya. Pada masa itu, aktiviti peleseran aku mulai mengurang. Tiada lagi aktiviti petang kerana aku perlu bersekolah agama pada waktu petang. Pada hujung minggu pula aku akan samada menolong bapa aku berniaga di Pasar Tani atau di kebun.
Owh, jauh rupanya aku melalut. Sampai ke laut. Tahniah kepada kau kerana membaca sehingga perenggan ini. Hahahaha
Cerita sebenarnya adalah mengenai gambar di atas. Gambar Pn. Nurul bermain congkak dengan anak saudara beliau. Aku kurang cekap bermain congkak. Aku tidak ingat bila kali terakhir aku bermain congkak sehingga aku berkahwin dengan Pn. Nurul. Beliau yang mengingatkan aku tentang cara bermain congkak.
Masa aku kecil dahulu, kerap juga aku lihat kanak-kanak perempuan bermain congkak atau batu seremban. Tapi, aku rasa kini semua permainan yang aku cerita di atas sudah lapuk dek hujan, dah lekang dek panas.
Kanak-kanak sekarang lebih seronok bermain dengan tablet atau telefon pintar. Mereka boleh diam bila menghadapnya. Tapi, mereka jadi pelik bila berhadapan kehidupan sebenar. Mereka merasakan kehidupan itu mudah, semudah swipe di tablet. Mereka mahukan respon pantas, sepantas respon telefon pintar bila di tekan.
Tapi, masalah ini bukan hanya kanak-kanak yang menghadapi. Malah, orang dewasa!
2 comments:
Bro ade tau tak kt mana ada mozarella cheese kat dungun ni? cari dh kat nirwana n aneka dua dua tarak.
terasa nk buat piza sendiri piza hut mahal.
Cuba pergi kedai kek sebelah kedai spare part kong dekat taman permint
Post a Comment