Showing posts with label johor bharu. Show all posts
Showing posts with label johor bharu. Show all posts

Friday, February 12, 2016

Kenapa Pasar Malam Ini Hanya Dua Kali Sebulan



Ini pasar malam di kampung aku. Bandar Tenggara. Ya, kampung aku adalah bandar. Tapi, bukan macam bandaraya Johor Bharu mahupun bandar Dungun. Malah, Bandar Baru Uda atau Bandar Tun Razak jauh lebih besar dari bandar aku ni. Mungkin Bandar Tenggara ni macam Bandar Tasik Selatan (Olan) kot.

Sebetulnya, Bandar Tenggara adalah pusat bandar wilayah kemajuan luar bandar Johor Tenggara. Kalau kau perhati, kebanyakan bandar bermula di tepi laut, tepi sungai atau di dataran lembah yang luas. Tapi, Bandar Tenggara ni wujud di tengah- tengah hutan. Ia dikelilingi lebih sedozen perkampungan felda, estet dan orang asal dalam lingkungan 30km radius.

Jauh aku punya intro. Kau memang gigih boleh baca sampai sini. Hohohoho.

Pasar malam di kampung aku ni tidak dipanggil pasar malam. Kami panggil pasar lambak. Tak tahu la aku sebab apa di panggil pasar lambak. Nak kata ada joget lambak, memang takde. Mungkin sebab berlambak orang meniaga dan berlambak orang datang shopping dan cari bini di sini.

Pasar lambak di sini diadakan dua kali dalam sebulan. 9 dan 20 haribulan setiap bulan. Kalau 9 dan 20 haribulan tu jatuh hari Khamis malam Jumaat, ia akan dianjakkan pada keesokan hari. Ini bagi peluang pada masyarakat untuk membuat yasinan. Yasinan ini adalah bacaan yasin dan tahlil beramai-ramai. Ia secara adat dilakukan setiap malam Jumaat.

Selain Bandar Tenggara, pasar lambak juga diadakan dua kali sebulan di perkampungan sekitar 30km radius. Memandangkan ada lebih sedozen perkampungan, memang tak cukup masa untuk rotation dalam tempoh seminggu. Itu sebab kena buat dua kali sebulan. Sebab apa kena buat rotation? Sebab, peniaga yang sama juga yang berniaga di pasar-pasar lambak tersebut.

20 tahun lepas memang meriah pasar lambak ni. Panjang. Memang tak larat nak jalan dari hujung ke hujung. Ialah, masa tu tak ramai mampu ada kereta untuk ke Kluang, Kulai atau Kota Tinggi. Di pasar lambaklah penduduk membeli barang keperluan yang tak ada dijual di kedai-kedai di Bandar Tenggara ketika itu. Juga, ini adalah peluang untuk penduduk berlibur.

Sekarang pasar lambak kurang meriah. Semakin kontot. Penduduk pun dah ramai yang ada kereta. Jadi, bila-bila masa sahaja mereka boleh ke Kluang, Kulai, Kota Tinggi, malah ke Johor Bharu untuk shopping. Pemuda juga sud
ah bosan untuk mencari bini di pasar lambak. Bosan melihat gadis sekampung. Keturunan tak berkembang. Ada baiknya mereka mengorat makwe bandar. Rambut karat, jeans ketat, pakai Myvi, kerja kerani. Keturunan pun berkembang.

Sebelum jauh aku merepek, aku tamatkan artikel ni di sini. Memang anti-klimaks. Tak macam drama laki curang bini derhaka petang-petang tu yang kau boleh agak penamatnya walaupun baru tengok episod pengenalan.

Tuesday, April 29, 2014

Dah Lapuk Dek Hujan, Dah Lekang Dek Panas

Dulu, masa aku sekolah rendah, sekitar akhir 80an tiada istilah iPad. Bukan sahaja iPad, telefon di rumah juga adalah sesuatu yang janggal. Hanya orang yang agak mewah sahaja memiliki telefon di rumah. Pada masa itu, tak pernah terfikir apakah keperluan telefon. Akal kecil aku pada waktu itu merasakan seseorang itu adalah bangang kerana memiliki telefon di rumah. Dia nak buat apa dengan telefon tersebut?



Masa senggang aku pada masa itu tidak hanya terperuk di rumah. Walaupun sejak azalinya aku seorang yang pendiam, ia tidak membuatkan aku hanya memerap di rumah. Boleh jadi bosan. Boleh jadi bingung jika tiada apa yang perlu dilakukan di rumah.

Aku memulakan persekolahan di Sarawak. Kami sekeluarga menetap di kem askar, kuartes kelamin. Di tepi kuartes itu, ada padang yang sederhana luas. Boleh dikatakan setiap petang aku main "rounders" di situ. "Rounders" ini sejenis permainan seperti bola lisut. Cuma, kayunya boleh jadi apa-apa sahaja benda keras dan leper. Manakala bolanya adalah bola tenis. Walaupun pasukan aku sering tewas dan menjadi belasahan, aku tetap tidak serik untuk bermain setiap petang.

Kalau sudah merasa puas menjadi mangsa belasahan "rounders" sesekali aku bermain layang-layang. Lidi penyapu, kertas surat khabar dan benang sudah cukup untuk kehidupan petang aku lebih seronok.

Adakalanya, aku turut menyertai kanak-kanak yang lebih tua bermain perang-perang. Batang kayu, penyepit baju, paku, getah dan tali pinggang lama sudah cukup untuk menjadi selaras senapang. Aku tak pernah membuat senapang itu. Atas ihsan kanak-kanak yang lebih tua itu aku boleh menyertai platun mereka. Dengan syarat, aku mengutip kembali guli yang dijadikan peluru.

Pada waktu rehat sekolah, memandang aku ketua darjah, maka sering aku menghasut rakan-rakan sekelas untuk lawan pemadam. Ataupun bermain kad dengan pelbagai kaedah permainan.

Kemudian, kami sekeluarga berpindah kembali ke Semenanjung. Tinggal di Johor Bahru, bandar besar. Suasana berbeza dengan Sarawak. Namun, ia tidak menghalang aku untuk melakukan pelbagai aktiviti petang.

Biasanya, aku akan berjalan di lorong-lorong belakang kedai. Menyelongkar tong sampah untuk mencari setem terpakai. Kalau ada pekedai yang baik, mereka akan menyimpan dan memberi setem untuk aku jika aku lalu di belakang kedai mereka. Pada waktu itu, tidaklah mak bapa aku risau pasal penculikan atau kes jenayah. Cuma, aku sering risau dengan anjing. Boleh dikatakan sebulan sekali pasti aku di kejar anjing. Cis!

Di sini juga selain lawan pemadam, aku mula belajar main ceper. Juga, permainan menguji minda seperti dam haji, catur, SOS dan pangkah bulat.

Tapi, suasana di sekolah kurang menyenangkan. Kami, anak tentera sering dipandang seperti second class citizen. Biasanya golongan kami kurang cerdik dan agak pasif. Berbanding dengan anak-anak profesional yang kelihatan cerdik dan berkeyakinan.

Bapa aku bersara tentera, lalu kami sekeluarga memulakan kehidupan di Bandar Tenggara. Aku darjah 4 rasanya. Pada masa itu, aktiviti peleseran aku mulai mengurang. Tiada lagi aktiviti petang kerana aku perlu bersekolah agama pada waktu petang. Pada hujung minggu pula aku akan samada menolong bapa aku berniaga di Pasar Tani atau di kebun.

Owh, jauh rupanya aku melalut. Sampai ke laut. Tahniah kepada kau kerana membaca sehingga perenggan ini. Hahahaha

Cerita sebenarnya adalah mengenai gambar di atas. Gambar Pn. Nurul bermain congkak dengan anak saudara beliau. Aku kurang cekap bermain congkak. Aku tidak ingat bila kali terakhir aku bermain congkak sehingga aku berkahwin dengan Pn. Nurul. Beliau yang mengingatkan aku tentang cara bermain congkak.

Masa aku kecil dahulu, kerap juga aku lihat kanak-kanak perempuan bermain congkak atau batu seremban. Tapi, aku rasa kini semua permainan yang aku cerita di atas sudah lapuk dek hujan, dah lekang dek panas.

Kanak-kanak sekarang lebih seronok bermain dengan tablet atau telefon pintar. Mereka boleh diam bila menghadapnya. Tapi, mereka jadi pelik bila berhadapan kehidupan sebenar. Mereka merasakan kehidupan itu mudah, semudah swipe di tablet. Mereka mahukan respon pantas, sepantas respon telefon pintar bila di tekan.

Tapi, masalah ini bukan hanya kanak-kanak yang menghadapi. Malah, orang dewasa!

Tuesday, May 22, 2012

Ikan Giant

Indah khabar dari rupa.

Hujung minggu lalu, aku ke pasaraya besar Giant Kuala Terengganu. Kebetulan ada urusan di situ, lalu kami memutuskan untuk membeli belah serba sedikit di situ.

Aku tidaklah gemar atau kerap ke Giant. Tapi, aku, sekali sekala suka beli roti perancis di Giant. Juga aku suka suasana kawasan jual sayur di Giant. Kemas dan bersih.

Sedang Pn. Nurul membelek-belek sayur, aku terpandang kawasan menjual ikan di Giant itu. Lalu, aku tergerak hati untuk hampir lebih dekat ke kawasan menjual ikan.



Ikan selar mata merah RM14! Fuyooo! Mata ikan selar itu lagi merah dari ikan selar yang dijual di pasar Bandar Tenggara. Umum mengetahui bahawa Bandar Tenggara terletak di kawasan dalam dan sangat jauh dari pantai/laut. Manakala kalau kau di Giant Kuala Terengganu angin pantai yang sepoi masih kau boleh rasa. Hahahahahaha

Paling tekejut mak (sila letakkan tangan dekat bahu dan lentikkan tangan itu dan juga badanmu), bawal yang sebesar separuh tangan aku harganya RM23! Fuyoooo!

Aku tak pasti ada tak orang nak beli. Huhuhuhuhu

Cerita lain. Dulu, masa aku tolong bapak aku di pasar borong Pandan, Johor Bharu, aku sering lihat peniaga ikan menyimpan dan mengawet ikan supaya ia tahan lama. Ikan yang tak habis dijual, mereka akan letakkan dalam tong yang diletakkan ais pada dasarnya. Ais itu kemudian ditabur garam. Kemudian, ikan diletakkan pada lapisan seterusnya. Lapisan ais-garam-ikan akan diulang sampai tong ikan penuh.

Kembali ke tajuk. Selepas Pn. Nurul selesai memilih sayur, kami ke kaunter bayaran. Di atas pintu keluar berhampiran kaunter bayaran, aku terlihat papan tanda ini.


Ikan dalam gambar tu nampak sangat segar! Fuyoooo!

Sunday, December 18, 2011

Pulau Pinang 5: Pantai Batu Feringgi

Pagi, hari ketiga di Pulau Pinang, kami merancang untuk berpiknik di Pantai Batu Feringgi. Dengan membawa bekalan nasi lemak dan keropok lekor kami bergerak ke Pantai Batu Feringgi seawal jam 8.00 pagi.

Mulanya, dalam bayangan fikiran aku, aku menjangkakan Pantai Batu Feringgi adalah seperti Pantai Port Dickson atau Pantai Batu Burok yang mempunyai jalur pantai yang panjang dan luas. Rupanya, kawasan Pantai Batu Feringgi agak terhad dan sempit. Owh!





Walaupun begitu, aku tetap merasakan Pantai Batu Feringgi adalah pantai yang unik dan cantik. Lain dari yang lain.

Mulanya juga, kami merancang untuk bermandi-manda. Akan tetapi, sewaktu tiba, ombak agak bergelora. Barangkali kesan gerhana malam semalam belum hilang sepenuhnya.

Lalu, kami putuskan untuk makan sahaja dan bersuka-ria di pesisir pantai


Jalan sepanjang Batu Feringgi ini juga agak berliku. Teringat aku seprti jalan di Bukit Putus, cumanya Batu Feringgi ini terletak di tepi laut.

Di sekitar Batu Feringgi juga, kedapatan banyak kediaman dan hotel mewah. Sama situasinya seperti di Batu Buruk-Kuala Ibai, Kuala Terengganu atau Tanjung Puteri-Stulang di Johor Bharu.


Friday, June 24, 2011

Pasar Tani Stadium Larkin

Tempat agak biasa juga di kalangan warga Johor Bharu. Pasar Tani Larkin. Terletak di tempat letak kereta Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, pasar tani ini boleh dikatakan antara yang terawal di Malaysia.


Di sini juga antara punca rezeki Abah aku. Jadi, sangat kerap aku ke sini. Sekitar tahun 1991/92 aku sudah mula membantu Abah berniaga di sini. Dari hanya satu tapak berkembang hingga mampu menyewa lima tapak dan kembali menyusut kepada dua tapak sahaja.


Dulu, Pasar Tani ini sangat meriah dan sangat ramai orang. Seingat aku, pernah dulu Abah terpaksa berulang-alik sebanyak sehingga 3 kali  dari Bandar Tenggara ke Pasar Tani Larkin sejaun 60++km pada setiap Sabtu bagi memenuhi permintaan yang sangat menakjubkan.


Namun, dengan pertambahan pasaraya besar dan peraturan kerajaan Singapura dan kastam Malaysia, jumlah pengunjung semakin berkurangan, terutama dari Singapura. Tapi, suasana Pasar Tani Larkin ini semakin meriah dengan kehadiran Pasar Minggu yang betul-betul terletak di sebelah Pasar Tani Larkin.


Dan, tempoh hari Pn Nurul beria-ia mahu melihat keadaan Pasar Tani Larkin. Tapi, bukan Pasar Tani yang menjadikan beliau teruja. Pasar Minggu yang banyak gerai menjual tudung dan blouse menjadikan belia teruja!






Pn. Nurul berkata "Abbaaaannnggg....cantik-cantik tudung kat sini. Kat Terengganu takde macam ni".
Aku: Ye ke? Abang tengok sama je.
Pn. Nurul: Lain la Bang. Tengok ni, cantik-cantik. Murah pula tu! Murah giler. Tak dapat harga dan design macam ni kat Terengganu.
Taukey gerai: Ha..betul kak. Lagipun tudung ni kami design sendiri.
Aku: (Dalam hati) Cis!


Terlintas juga untuk mengimport tudung-tudung itu ke Terengganu. Tapi, aku fikir kami perlu dulu fokus ke bisnes kami sekarang. :-)

Saturday, March 12, 2011

Anjing Bersepah

Aku duduk di Taman Permint, Dungun, Terengganu. Suasana di situ agak ok. Jiran-jiran ok, dekat dengan tempat kerja dan agak dekat dengan bandar Dungun.

Tapi, yang tak menariknya di sini, banyak anjing-anjing berkeliaran. Aku tidak pasti sama ada anjing tersebut bertuan atau tidak. Tapi, yang pastinya kehadiran anjing-anjing tersebut sedikit meresahkan aku dan penduduk muslim di sekitar penempatan itu.

Sebetulnya aku agak fobia dengan anjing. Dulu, semasa kecil, keluarga aku pernah tinggal di Taman Pelangi, Johor Bahru. Di kelilingi ramai jiran berbangsa Cina, jadi banyaklah anjing yang berkeliaran di taman perumahan itu. Tapi, ini tidak bermaksud aku membenci orang Cina. Malah, jiran-jiran bangsa Cina kami di Taman Pelangi amat baik. Kebetulan Uncle sebelah rumah kami ada seorang pemborong buah-buahan, maka, kerap juga beliau memberi buah-buahan kepada kami. Manakala Uncle depan rumah pula pernah memberi basikal kepada aku.

Sebelum kehadiran basikal itu, aku akan tercungap-cungap hampir setiap hari akibat dikejar anjing tatkala mahu melalui jalan pintas ke sekolah agama. Tapi, dengan adanya basikal itu aku dengan tenang dapat melarikan diri dari anjing-anjing tersebut sambil "menganjing" kepada mereka. Hahahahaha.

Kembali ke kisah anjing Taman Permint. Anjing-anjing itu sngat gemar melepak di tengah jalan raya. Ada jua niat untuk melanggar sahaja anjing itu. Tetapi memikirkan anjing adalah najis berat, dibatalkan sahaja niat keji itu. Hahahahahahaha.

Sunday, June 21, 2009

Mohd Sani Yang Gagah Berani Serta Kacak

Hari ini hari bapa. Selamat hari bapa kepada Abah, Mohd Sani Supar. Semoga Abah semakin gagah berani, kacak dan murah rezeki. Semoga juga Abah panjang umur.

Walaupun aku tahu bapak aku tidak membaca blog ini, aku berterima kasih kepada bapak aku kerana beliau secara tidak langsung membolehkan aku menulis di blog. Semasa kecik, aku sedikit terkebelakang dalam aspek pembelajaran. Atau, dalam bahasa yang "gelap" aku boleh dikatakan sebagai seorang budak yang lembap, bongok, mundur dan tiada masa depan. Huhuhuhuhuhu. Menginjak ke darjah dua aku masih lagi tergagap-gagap tatkala membaca dan tidak mampu menulis dengan baik. Aku sukar membezakan huruf m dengan n, p dengan q, b dengan d. Juga, aku sukar membezakan bunyi huruf e, antara ei dengan ea.

Oleh kerana kelemahan aku itu, bapak aku sering mendorong aku untuk mahir membaca dan menulis. Kebetulan pada waktu itu, bapak aku bertugas menguruskan perpustakkan tentera di Kem Majidee, Johor. Maka, setiap hari bapak aku akan membawa buku dari perpustakaan itu untuk aku baca. Atau, bapak aku sering membeli buku-buku siri penyiasatan kanak-kanak seperti Nancy Drew dan Hardy Boys yang dialih bahasa; hanya Rm1.90 sebuah. Juga, setiap sabtu dan cuti sekolah, bapak aku akan membawa aku ke perpustakaan tentera itu untuk membaca dengan selesa. Tidak ketinggalan bapak aku membeli majalah Bintang Kecil (berbentuk akhbar tabloid pada waktu itu) saban minggu. Dan, bapak aku menggalakkan aku menyertai pertandingan menulis dan menjawab teka silang kata yang terdapat dalam majalah itu.

Kesungguhan dan kegarangan bapak aku menjadikan aku mampu membaca dengan lancar apabila menginjak ke darjah tiga, seterusnya menjadikan aku ketagih membaca hingga kini.

Terima kasih juga pada bapak aku kerana menjadikan aku seperti sekarang. Aku tahu bapak aku bangga dengan pencapaian aku sekarang, walaupun beliau tidak menyebut "Abah bangga dengan kau Zam"

Semasa dalam perkhidmatan tentera, bapak aku pernah juga bertugas di Kor Jurutera. Bukan sebagai jurutera tentera, tetapi hanya sebagai pencacai sahaja. Tapi, dengan dengan didikan beliau, aku layak menjadi jurutera dan kini mendidik puluhan bakal jurutera setahun.

Kalau nak tulis pasal bapak aku, mahu terjilid sebuah buku. Huhuhuhuhuhu. Terlalu banyak kenangan terhadap bapak aku yang segar malar dalam otak aku. Kenangan itu yang membuatkan sifat, ketrampilan dan cara aku berfikir tak banyak beza dengan bapak aku.

p/s: Aku terasa sebak juga menulis post ini, tapi tidaklah sampai mengalirkan air mata...

Tuesday, March 31, 2009

Iklan Layanan Masyrakat 5: Telur Pindang

Jalan-jalan di Johor Bahru yang keliru tempoh hari.

Dalam perjalanan pulang melalui Kota Tinggi untuk ke Bandar Tenggara, aku singgah di Hentian Rehat Panti. Atas meja di salah sebuah kedai, terdapat telur pindang. Memang klasik beb. Lama aku tak makan telur pindang. Dulu, kalau pergi kenduri kawin, mesti tuan rumah beri telur pindang sebagai bontrot/berkat/buah tangan. Sekarang susah nak jumpa. Biasanya tuan rumah beri kek/gula-gula/jajan.

Memang sedap sekali telur pindang tu. Memang kena dengan bakso yang aku pesan di gerai itu.

Kalau kau orang Johor, untuk mendapatkan telur pindang itu dalam kuantiti banyak, kau boleh hubungi En. Jalil di talian 019-7416610. Gerai beliau nombor 11.

Kalau kau orang Terengganu, aku boleh tolong kau belikan telur pindang itu dari En. Jalil. Tapi, hulur sikit la duit minyak kat aku. Huhuhuhuhu

Sunday, March 22, 2009

Papan Tanda Yang Mengusutkan Keadaan

Seminggu aku tak online. Ada tugas rasmi yang perlu dilakukan di Johor Bharu dan Kota Tinggi. Sudah lama kiranya aku tidak ke Johor Bharu. 3 tahun barangkali. Nyata, Johor Bharu banyak berubah. Banyak flyover telah wujud, antaranya di persimpangan ke Pontian/UTM Skudai. Juga di Taman Perling ada flyover menuju lebuhraya ke Gelang Patah/Nusanjaya.

Walaupun dulu kerap aku ke Johor Bharu, tapi aku sesat juga. Bukan kerana banyak jalan yang berubah, tetapi kerana papan tanda jalan yang mengelirukan. Ada juga papan tanda yang dilindungi pokok sepenuhnya.

Masalah papan tanda jalan ni bukan hanya berlaku di Johor Bharu, malah di seluruh Malaysia. Pada hemat aku, papan tanda di Malaysia ni hanya ditujukan pada mereka-meraka yang amat biasa dengan sesuatu tempat tersebut. Erm...

Mujur aku membawa google maps bersama, walaupun tidak 100% membantu, namun ia amat membantu tatkala aku kusut membaca papan tanda jalan yang mengelirukan. Kelemahan utama google maps: dia tak kira jalan rosak, jalan ada divider, jalan sesak, ataupun jalan berubah, dia main bedal je. Kalau aku mempunyai kereta terbang, mungkin google maps 100% boleh membantu. Ermm...

Thursday, January 08, 2009

Polis Angkasa Gaban

Teringat aku masa aku umur 9-10 tahun. Masa tu aku duduk di Taman Pelangi, Johor Bharu. Tahun 1990 atau 1991 kalau tak silap aku. Masa tu juga, pelbagai siri tv menjadi kegilaan budak-budak sebaya aku. Antaranya Tranformers, Saber Rider, Ultraman, dan paling aku suka Gaban! Aku tak tau kenapa, tetapi aku memang gila Gaban. Aku sanggup mengikut jalan pintas yang banyak anjing liar (dan sudah pasti aku akan dikejar) selepas balik dari sekolah agama. Korang bayangkanlah, cerita Gaban tu mula 3.30 petang, aku habis sekolah agama pun 3.30 petang. Sekalipun mengikut jalan pintas, jarak sekolah dengan rumah aku hampir 1km jugak. Fuh!

Sekarang, mari kita lihat aksi-aksi Gaban yang gagah itu.


Naga Gaban

Kapal Angkasa Gaban

Gaban bersedia untuk melompat longkang

Gaban di planet Marikh

Gaban terkena renjatan elektrik

Awas! Gaban sedang marah!

Mainan Gaban

Aksi Gaban sebelum melaksanakan Hikmat Potong Dua

Poyolah kau Gaban

Gaban meminjam pedang Jedi dari En. Yoda

Gambar IC Gaban

Gaban bersama Moto Gaban

Gelagat Gaban dan rakan-rakan di set penggambaran

Gambar Gaban ini diambil semasa beliau dalam tahanan polis Israel. Israel peduli apa ko Gaban ke, ko polis angkasa ke, dia main bedal je.

Ni Gaban ke Darth Vader?

Eh? Mana satu Gaban ni?

Apa kau buat tu Gaban? Mana ada rasaksa sekarang ni.

Patung lilin Gaban

Gaban terbang

Kapal Angkasa Gaban sedang berlepas

Wajah Gaban sejurus selepas menukarkan diri beliau dalam masa 0.005 saat

Kapal Angkasa Gaban bersedia untuk menggerudi. Dipercayai Inul mendapat idea gelek gerudi melalui Gaban.


Selain aksi Gaban yang begitu hebat, aku juga menyukai lagu tema Gaban. Korang boleh muat turun lagu Gaban di sini. Lagu Gaban ni menjadi nada bunyi utama bagi henpon cap kambing gurun aku. Boleh juga korang berkaraoke lagu Gaban kerana aku turut menyertakan sekali liriknya.

-----------------------------
Tajuk: Uchuu Keiji Gavan Op
Penyanyi: Kushida Akira
——————————————–

otoko nandaro! guzuguzu suru na yo
mune no enjin ni hi wo tsukero
ore wa koko daze hito ashi osaki
hikari no hayasa de ashita e dasshu sa

wakasa wakasatte nanda furimukanai koto sa
aitte nanda tamerawanai koto sa
gaban! abayo namida
gaban! yoroshiku yuuki
uchuu keiji gaban!

warui yatsura wa tenshi no kao shite
kokoro de tsume wo toideru mono sa
ore mo omae mo namonai hana wo
fumitsukerarenai otoko ni naru no sa

wakasa wakasatte nanda akiramenai koto sa
aitte nanda kuyamanai koto sa
gaban! abayo kinou
gaban! yoroshiku mirai
uchuu keiji gaban!

wakasa wakasatte nanda furimukanai koto sa
aitte nanda tamerawanai koto sa
gaban! abayo namida
gaban! yoroshiku yuuki
uchuu keiji gaban!

Wednesday, October 08, 2008

Drama Meleleh

Aku perasan, setiap kali raya, stesen televisyen di Malaysia berlumba-lumba menyiarkan rancangan yang menarik. Rancangan yang begitu klise sudah pastinya filem-filem, rancangan nyanyian lagu hari raya beramai-ramai dan juga drama meleleh yang tajuknya pasti akan ada perkataan "lebaran", "raya", "takbir" dan seangkatan dengannya.

Terus terang, aku tidaklah begitu teruja untuk menonton rancangan-rancangan tersebut kerana aku lebih suka beraya menziarah saudara dan rakan-rakan di serata pelosok negeri Johor, dari Muar ke Johor Bharu, juga dari Pontian ke Kota Tinggi, dan tidak ketinggalan di Bandar Tenggara.

Menarik, setiap kali aku berkunjung ziarah ke rumah orang, pastinya mereka akan menyalakan suis peti televisyen mereka. Kebetulan, kebanyakan rumah yang aku pergi rancangan drama meleleh sedang ke udara di peti televisyen mereka.

Pemerhatian aku, tidak kurang 10 drama meleleh telah ke udara sepanjang hari raya. Ini menunjukkan para pembikin drama Malaysia amat gemar menerbitkan drama yang pelakonnya mesti menangis. Jika ditanya oleh wartawan hiburan mengapa mereka ini gemar membikin drama meleleh sempana hari raya, barangkali ini jawapan mereka "Itu kehendak penonton. Kita buat drama untuk orang tengok. Tak guna buat drama yang orang tak nak tengok". Barangkali juga mereka akan menjawab begini, "Drama yang saya buat ni akan memberi keinsafan kepada penonton".

Aku setuju dengan pendapat mereka itu. Tapi, kalau sampai sepuluh drama leleh setiap kali raya, apa kejadahnya. Muak! Bukan ke Eidulfitri adalah tentang meraikan kejayaan? Bukan ke Eidulfitri adalah tentang kegembiraan?

Apa kata sekali sekali dibuat pula cerita tentang cabaran mualaf berpuasa, misalnya. Ataupun kisah perjalanan kejayaan seorang ahli perniagaan muslim. Boleh juga dibuat drama tentang kegembiraan seorang anak yang berjaya memajukan ekonomi keluarganya.

p/s: Gue suka bangat sinetron Diari Ramadhan/Raya Rafique.

Friday, August 22, 2008

Bila Pak Lah Naik LRT

Aku tengok Buletin Utama TV3 malam tadi. Pak Lah yang berjiwa rakyat itu telah mencuba untuk menaiki LRT. Barangkali itu kali pertama beliau menaiki LRT dan beliau terkejut melihat kesesakan di stesen dan dalam LRT. Dan beliau juga terkejut apabila mendengar keluh kesah pengguna LRT. Dan beliau berjanji akan memperbaiki sistem pengangkutan di ibu negara.

Barangkali juga, Pak Lah perlu turun ke seluruh negara bagi melihat sendiri sistem pengangkutan di seluruh negara. Jika di ibu negara Pak Lah merasakan bahawa sistem pengangkutan begitu teruk, di tempat yang bukan ibu negara keadaan barangkali lebih teruk!!!

Barangkali Pak Lah perlu turun ke Bandar Tenggara misalnya. Pak Lah boleh cuba menunggu bas untuk samada ke Kulai/Johor Bahru, atau ke Kluang, atau ke Kota Tinggi di stesen bas Bandar Tenggara. Barangkali Pak Lah boleh menulis sebuah novel sementara menunggu ketibaan bas.

Barangkali juga Pak Lah boleh cuba menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur dari bandar Dungun. Barangkali juga Pak Lah boleh meminta pengawal peribadi beliau membawa payung dan kerusi lipat sebagai persediaan untuk menunggu ketibaan bas.

Barangkali juga Pak Lah boleh mendengar rungutan pelajar Politeknik dan UiTM Dungun yang tiada kenderaan sendiri tatkala mereka perlu dengan segera ke bandar Dungun. Mereka perlu membayar RM2 sehala, dan RM4 untuk pergi dan balik. Dan barangkali lebih menjimatkan jika mereka menyewa kereta kancil selama sejam dengan bayaran RM5 dan boleh dinaiki seramai 5 orang yang mempunyai berat badan kurang 50kg. Barangkali juga bisnes kereta sewa di bandar Dungun mempunyai masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Err...cuba korang kira berapa banyak "barangkali" yang aku guna dalam post ni, termasuklah "barangkali" dalam ayat ini.

p/s: Barangkali cikgu Apis17 boleh menggunakan post ini sebagai contoh penggunaan perkataan "barangkali" dalam karangan Bahasa Melayu darjah 5.

Saturday, July 26, 2008

Apabila Harga Minyak Naik...

Rizam sahabat lama aku yang berada di Melaka telah menghantar satu emel yang menarik...



Barangkali ini bahana apabila harga minyak naik. Huhuhuhuhu

Barangkali juga kejadian tersebut berlaku di Kuala Lumpur.

Dan amat pasti aku tak pernah balas emel-emel yang dikirim oleh Rizam.