Showing posts with label Bandar Tenggara. Show all posts
Showing posts with label Bandar Tenggara. Show all posts

Saturday, September 15, 2018

KFC Mex Twister: Indah Iklan Dari Rupa

Akibat pengaruh iklan, Pn Nurul ajak aku ke KFC untuk mencuba Twister Mad Mex.
Bagi pengetahuan kau yang tak tahu, Twister ini merupakan jejari nuget campur salad sikit campur entah sos apa entah yang warna kuning, lalu dibalut dengan tortilla.
Tortilla ini apa pula?
Kau google je la. Malas aku nak taip.
Twister ini kemudiannya dihispsterkan dengan versi Mad Mex. Kalau tengok pembungkusan, aku syak Mad Mex ini kononnya bercitarasa Mexico.
Menurut adik yang ambil pesanan aku, beliau kata, Mad Mex ni sama sahaja dengan Twister biasa, tapi ia ada tambah jagung, kacang merah dan kacang kuda.


Bukan main dia punya gambar. Nampak ayam dengan segala isi terkeluar dari tortilla.

Hakikatnya, sekali imbas macam tortilla kosong digulung.


Tu dia isinya. Jauh di dasar!


Setelah 3 kali gigit, baru rasa isi.


Tengok kekacang dan jagung. Boleh dibilang dengan jari.



Ini isi ayamnya. Lebih kecil dari sudu KFC yang kita sedia maklum kecil. Ada tiga ketul. Ini paling besar kot.


Ini Twister yang biasa. Macam popia dah sekali imbas.

Sabar je la (baca dengan nada sajat).

Nampaknya iklan KFC Malaysia misleading.

Kesimpulannaya, Pn Nurul buat lagi sedap dan menyelerakan.


Fuh. Ini puas hati kalau dapat. RM6 sahaja. Kau PM Lidayaz Raz.


Friday, February 12, 2016

Kenapa Pasar Malam Ini Hanya Dua Kali Sebulan



Ini pasar malam di kampung aku. Bandar Tenggara. Ya, kampung aku adalah bandar. Tapi, bukan macam bandaraya Johor Bharu mahupun bandar Dungun. Malah, Bandar Baru Uda atau Bandar Tun Razak jauh lebih besar dari bandar aku ni. Mungkin Bandar Tenggara ni macam Bandar Tasik Selatan (Olan) kot.

Sebetulnya, Bandar Tenggara adalah pusat bandar wilayah kemajuan luar bandar Johor Tenggara. Kalau kau perhati, kebanyakan bandar bermula di tepi laut, tepi sungai atau di dataran lembah yang luas. Tapi, Bandar Tenggara ni wujud di tengah- tengah hutan. Ia dikelilingi lebih sedozen perkampungan felda, estet dan orang asal dalam lingkungan 30km radius.

Jauh aku punya intro. Kau memang gigih boleh baca sampai sini. Hohohoho.

Pasar malam di kampung aku ni tidak dipanggil pasar malam. Kami panggil pasar lambak. Tak tahu la aku sebab apa di panggil pasar lambak. Nak kata ada joget lambak, memang takde. Mungkin sebab berlambak orang meniaga dan berlambak orang datang shopping dan cari bini di sini.

Pasar lambak di sini diadakan dua kali dalam sebulan. 9 dan 20 haribulan setiap bulan. Kalau 9 dan 20 haribulan tu jatuh hari Khamis malam Jumaat, ia akan dianjakkan pada keesokan hari. Ini bagi peluang pada masyarakat untuk membuat yasinan. Yasinan ini adalah bacaan yasin dan tahlil beramai-ramai. Ia secara adat dilakukan setiap malam Jumaat.

Selain Bandar Tenggara, pasar lambak juga diadakan dua kali sebulan di perkampungan sekitar 30km radius. Memandangkan ada lebih sedozen perkampungan, memang tak cukup masa untuk rotation dalam tempoh seminggu. Itu sebab kena buat dua kali sebulan. Sebab apa kena buat rotation? Sebab, peniaga yang sama juga yang berniaga di pasar-pasar lambak tersebut.

20 tahun lepas memang meriah pasar lambak ni. Panjang. Memang tak larat nak jalan dari hujung ke hujung. Ialah, masa tu tak ramai mampu ada kereta untuk ke Kluang, Kulai atau Kota Tinggi. Di pasar lambaklah penduduk membeli barang keperluan yang tak ada dijual di kedai-kedai di Bandar Tenggara ketika itu. Juga, ini adalah peluang untuk penduduk berlibur.

Sekarang pasar lambak kurang meriah. Semakin kontot. Penduduk pun dah ramai yang ada kereta. Jadi, bila-bila masa sahaja mereka boleh ke Kluang, Kulai, Kota Tinggi, malah ke Johor Bharu untuk shopping. Pemuda juga sud
ah bosan untuk mencari bini di pasar lambak. Bosan melihat gadis sekampung. Keturunan tak berkembang. Ada baiknya mereka mengorat makwe bandar. Rambut karat, jeans ketat, pakai Myvi, kerja kerani. Keturunan pun berkembang.

Sebelum jauh aku merepek, aku tamatkan artikel ni di sini. Memang anti-klimaks. Tak macam drama laki curang bini derhaka petang-petang tu yang kau boleh agak penamatnya walaupun baru tengok episod pengenalan.

Friday, March 06, 2015

Orang Johor Ini Telah 9 Tahun Berkelana Ke Terengganu

Hari ini, pada 9 tahun lepas, aku mula melapor diri di Politeknik Dungun. Sehari sebelum itu, aku memandu seorang diri dari Bandar Tenggara ke Dungun dengan hanya menaiki Kancil 850. Berhenti beberapa kali sebab enjin panas. Itu belum kira sesat beberapa kali sebab tak tau jalan arah. Hohohoho

Terasa jauh waktu itu negeri Terengganu. Ditambah lagi dengan keadaan jalan yang tidak sebaik sekarang. Perjalanan terasa amatlah lama!

Mujur juga ada rakan yang lebih awal beberapa tahun tinggal di Dungun. Dapatlah aku menumpang kasih. Hahahahaha. Kalau tak, satu hal pula nak cari rumah sewa.

Mulanya, aku sangkakan kerja mengajar ini senang. Rupanya tidak seperti dijangka. Memang sangat letih ketika mula mengajar. Seingat aku, selama 6 bulan aku sering tidur awal; sekonyong-konyong lepas isyak kerana keletihan mengajar di siang harinya.

Lama kelamaan, kerja mengajar itu menjadi biasa.  Sekarang ni, kalau kelas 6 jam sehari pun aku masih gagah lagi untuk meniaga atas talian di malam hari.

Mulanya juga, aku agak kekok untuk memahami loghat Terengganu.
"Hodoh sepang"
" Nipis nayang"
"Dok rok chetong"
"Gelenyar"
"Berayuk"
"Jirit"
"Supik rok rak"
"Copong"
Itu antara perkataan loghat Terengganu yang buatkan aku terpinga-pinga.

Tapi, setelah berkahwin dengan Pn. Nurul yang jatinya Terengganu, kini aku boleh berloghat Terengganu dengan mudah. Malah sesetengah orang tidak percaya aku asal jatinya dari Johor.

Namun, sebetulnya semasa bercinta, aku tak pernah dengar Pn. Nurul cakap loghat Terengganu. Lepas akad nikah "tubik" habis keterengganuannya. Hohohohoho.

Hingga kini, aku masih seronok dengan suasana di Terengganu. Tapi, atas beberapa faktor yang rasanya Pn. Nurul pun tak tahu, aku dah mula terlintas untuk kembali ke dagang; seperti sirih.

Tapi, tidaklah dalam masa terdekat ini. Barangkali 9 tahun lagi!!!

Tuesday, April 29, 2014

Dah Lapuk Dek Hujan, Dah Lekang Dek Panas

Dulu, masa aku sekolah rendah, sekitar akhir 80an tiada istilah iPad. Bukan sahaja iPad, telefon di rumah juga adalah sesuatu yang janggal. Hanya orang yang agak mewah sahaja memiliki telefon di rumah. Pada masa itu, tak pernah terfikir apakah keperluan telefon. Akal kecil aku pada waktu itu merasakan seseorang itu adalah bangang kerana memiliki telefon di rumah. Dia nak buat apa dengan telefon tersebut?



Masa senggang aku pada masa itu tidak hanya terperuk di rumah. Walaupun sejak azalinya aku seorang yang pendiam, ia tidak membuatkan aku hanya memerap di rumah. Boleh jadi bosan. Boleh jadi bingung jika tiada apa yang perlu dilakukan di rumah.

Aku memulakan persekolahan di Sarawak. Kami sekeluarga menetap di kem askar, kuartes kelamin. Di tepi kuartes itu, ada padang yang sederhana luas. Boleh dikatakan setiap petang aku main "rounders" di situ. "Rounders" ini sejenis permainan seperti bola lisut. Cuma, kayunya boleh jadi apa-apa sahaja benda keras dan leper. Manakala bolanya adalah bola tenis. Walaupun pasukan aku sering tewas dan menjadi belasahan, aku tetap tidak serik untuk bermain setiap petang.

Kalau sudah merasa puas menjadi mangsa belasahan "rounders" sesekali aku bermain layang-layang. Lidi penyapu, kertas surat khabar dan benang sudah cukup untuk kehidupan petang aku lebih seronok.

Adakalanya, aku turut menyertai kanak-kanak yang lebih tua bermain perang-perang. Batang kayu, penyepit baju, paku, getah dan tali pinggang lama sudah cukup untuk menjadi selaras senapang. Aku tak pernah membuat senapang itu. Atas ihsan kanak-kanak yang lebih tua itu aku boleh menyertai platun mereka. Dengan syarat, aku mengutip kembali guli yang dijadikan peluru.

Pada waktu rehat sekolah, memandang aku ketua darjah, maka sering aku menghasut rakan-rakan sekelas untuk lawan pemadam. Ataupun bermain kad dengan pelbagai kaedah permainan.

Kemudian, kami sekeluarga berpindah kembali ke Semenanjung. Tinggal di Johor Bahru, bandar besar. Suasana berbeza dengan Sarawak. Namun, ia tidak menghalang aku untuk melakukan pelbagai aktiviti petang.

Biasanya, aku akan berjalan di lorong-lorong belakang kedai. Menyelongkar tong sampah untuk mencari setem terpakai. Kalau ada pekedai yang baik, mereka akan menyimpan dan memberi setem untuk aku jika aku lalu di belakang kedai mereka. Pada waktu itu, tidaklah mak bapa aku risau pasal penculikan atau kes jenayah. Cuma, aku sering risau dengan anjing. Boleh dikatakan sebulan sekali pasti aku di kejar anjing. Cis!

Di sini juga selain lawan pemadam, aku mula belajar main ceper. Juga, permainan menguji minda seperti dam haji, catur, SOS dan pangkah bulat.

Tapi, suasana di sekolah kurang menyenangkan. Kami, anak tentera sering dipandang seperti second class citizen. Biasanya golongan kami kurang cerdik dan agak pasif. Berbanding dengan anak-anak profesional yang kelihatan cerdik dan berkeyakinan.

Bapa aku bersara tentera, lalu kami sekeluarga memulakan kehidupan di Bandar Tenggara. Aku darjah 4 rasanya. Pada masa itu, aktiviti peleseran aku mulai mengurang. Tiada lagi aktiviti petang kerana aku perlu bersekolah agama pada waktu petang. Pada hujung minggu pula aku akan samada menolong bapa aku berniaga di Pasar Tani atau di kebun.

Owh, jauh rupanya aku melalut. Sampai ke laut. Tahniah kepada kau kerana membaca sehingga perenggan ini. Hahahaha

Cerita sebenarnya adalah mengenai gambar di atas. Gambar Pn. Nurul bermain congkak dengan anak saudara beliau. Aku kurang cekap bermain congkak. Aku tidak ingat bila kali terakhir aku bermain congkak sehingga aku berkahwin dengan Pn. Nurul. Beliau yang mengingatkan aku tentang cara bermain congkak.

Masa aku kecil dahulu, kerap juga aku lihat kanak-kanak perempuan bermain congkak atau batu seremban. Tapi, aku rasa kini semua permainan yang aku cerita di atas sudah lapuk dek hujan, dah lekang dek panas.

Kanak-kanak sekarang lebih seronok bermain dengan tablet atau telefon pintar. Mereka boleh diam bila menghadapnya. Tapi, mereka jadi pelik bila berhadapan kehidupan sebenar. Mereka merasakan kehidupan itu mudah, semudah swipe di tablet. Mereka mahukan respon pantas, sepantas respon telefon pintar bila di tekan.

Tapi, masalah ini bukan hanya kanak-kanak yang menghadapi. Malah, orang dewasa!

Sunday, February 09, 2014

Dah Macam Kena BOM!

Aku jarang balik Johor. Tapi, tidaklah terlalu jarang. Barangkali setahun, paling kurang empat kali aku akan pulang ke Johor. Menziarah orang tua yang utamanya. Membeli kerepek jatuh nombor dua.

Biasanya aku akan beli kerepek di sekitar Air Hitam - Parit Raja - Senggarang. Ada beberapa kedai yang mana aku telah menjadi pelanggan tetap selama beberapa tahun.

Jika dahulu, untuk membeli kerepek, dari Bandar Tenggara, aku akan melalui bandar Kluang, melalui Bandar T6. Tapi, beberapa tahun lepas, telah ada jalan potong ke Renggam, sebelum Felda Bukit Tongkat. Melalui jalan itu, ternyata lebih dekat. Dari Bandar Tenggara, boleh sahaja aku melalui jalan itu ke Renggam. Dari Renggam, terus ke Simpang Renggam dan sampai ke Air Hitam.

Walaupun jalan itu baru, tetapi, jalan tersebut telah mengalami kerosakan. Sama keadaanya seperti jalan Felda Inas ke Kulai. Dipercayai jalan tersebut bertar nipis dan dilalui oleh lori.

Memandu di jalan seperti itu, amat menguji kecekapan memandu. Harus sentiasa berwaspada dengan keadaan jalan dan kenderaan terutama lori yang dipandu laju.

Terkadang, aku rasa kadaan tidak aman kerana rupa paras jalan seperti di bom!





p/s: Semasa melalui jalan tersebut tempoh hari, jalan sedang dibaiki. Tapi, tak pasti berapa lama ia boleh bertahan.

Saturday, February 16, 2013

Sup belut Dungun

Lama tak makan sup belut. Slurrrpppp!

Tempoh hari, kerana Pn. Nurul keletihan sebab menjadi co-pilot dari Bandar Tenggara ke Dungun, lalu kami memutuskan untuk makan malam di kedai sahaja. Memandangkan mood cuti masih lagi terasa di Dungun, lalu, banyak kedai makan tutup di Dungun.

Kami lalu di Jalan Lapangan Terbang. Lalu terjumpa kedai ini. Rezeki.



Nampak biasa sahaja. Tapi, ia menyajikan masakan panas dan juga sup. Bukan sup semalam atau minggu lepas. Sup yang dibuat memang fresh, on the spot dia buat, ala-carte. Ada pelbagai jenis sup. Antaranya sup perut, sup daging, sup tulang dan tidak ketinggalan sup belut!

Kuah sup dia memang terbaik! Masam, manis, pedas dan berempah. Memang pekat! Sangat sesuai dengan belut yang diletak di dalam sup itu. Slurrppp!



Selain sup, belutnya boleh juga dimasak paprik atau kunyit. Lain kali nak cuba yang tu pula!

Owh, lupa nak beritahu lokasinya. Kalau kau dari jalan besar Kuantan-Kuala Terengganu, ambil jalan ke UiTM Dungun. Lepas bulatan stor JKR, ada sebuah kedai makan di sebelah kanan. Berkembar dengan kedai runcit. Cubalah!


Friday, February 15, 2013

Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan

Pekan, salah satu daerah di selatan Pahang. Juga, seperti mana bandar-bandar di Pahang yang lain, ia tenang dan mendamaikan. Tambah syok, bila ia berada di muara lembah Sungai Pahang, lalu membentuk geografinya yang unik.

Ada beberapa jalan boleh dilalui jika aku dari Dungun hendak pulang ke Bandar Tenggara. Tapi, jujurnya aku gemar laluan pantai Dungun-Kuantan- Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi- Bandar Tenggara. Walaupun bukan laluan yang terpendek atau tercepat, tetapi ia laluan yang mendamaikan! Kurang lebih 450km sahaja.

Kalau lalu laluan itu, Pekan pasti akan aku singgah. Singgah menikmati condol mamak yang pekat atau rojak atau kedua-duanya di tepi hiruk pikuk jalan raya; di pinggir sungai. 

Tempoh hari, kerana petang masih awal, aku lantas singgah di Muzium Sultan Abu Bakar. Hanya kira-kira 300 meter dari lokasi van mamak cendol. Memandangkan aku bukan rakyat Pahang, aku dikenakan caj RM5. Kalau kau rakyat Pahang, kau hanya perlu membayar RM4. Kalau nak masuk percuma ke muzium ini, kau perlu berpakaian sekolah. Hahahaha









Aku suka muzium. Begitu juga dengan muzium ini. Lanskap luarnya memang terbaik! Ada monumen jentera perang lama. Juga, ada arca haiwan yang diperbuat dari kayu. Dengan laman yang luas dan hijau, juga kolam pancutan yang minimalis, ia kelihatan hebat kawan!

Sebetulnya, muzium ini adalah istana lama. Istana Kota Baram.



Ada pelbagai segmen di muzium ini. Ada segmen tentang fabrik dan fesyen, ada segmen tentang orang asli di Pahang, ada segmen tentang kesultanan Pahang, juga, ada segmen tentang seni dan budaya Pahang. Klise bagi sebuah muzium. Tapi, di muzium ini banyak skrin interaktif disediakan.





Muzium ini banyak gambar, artifak dan replika. Tapi, malangnya tiada penerangan mengenai objek-objek tersebut. Agak mengecewakan. Kalau tengok sesebuah gambar tu, aku tak tahu gambar itu mengenai apa. Atau, kalau melihat patung pakai baju, aku tak tahu apa patung itu lakukan atau pakai. Jadi, masuk muzium tu hanya lihat-lihat sahaja. Tanpa banyak ilmu yang boleh diserap.

Barangkali kerana muzium ini baru, jadi perkara tersebut barangkali akan ada. Barangali. Aku bersangka baik ni. Hahahahaha.


Monday, October 01, 2012

Melaka 23: Tangki Air Tengkolok

Ini episod akhir siri Melaka. Perginya 3 hari sahaja. Tapi kena 3 bulan baru habis cerita. Hahahahaha. Macam haram.

Dalam perjalanan pulang, dari Melaka ke Bandar Tenggara, aku melalui Lebuhraya AMJ. Lalu, terlihat sebuah tangki air.


Sebetulnya, aku tidak pasti beza antara tengkolok, tanjak dan destar!

Tuesday, May 22, 2012

Ikan Giant

Indah khabar dari rupa.

Hujung minggu lalu, aku ke pasaraya besar Giant Kuala Terengganu. Kebetulan ada urusan di situ, lalu kami memutuskan untuk membeli belah serba sedikit di situ.

Aku tidaklah gemar atau kerap ke Giant. Tapi, aku, sekali sekala suka beli roti perancis di Giant. Juga aku suka suasana kawasan jual sayur di Giant. Kemas dan bersih.

Sedang Pn. Nurul membelek-belek sayur, aku terpandang kawasan menjual ikan di Giant itu. Lalu, aku tergerak hati untuk hampir lebih dekat ke kawasan menjual ikan.



Ikan selar mata merah RM14! Fuyooo! Mata ikan selar itu lagi merah dari ikan selar yang dijual di pasar Bandar Tenggara. Umum mengetahui bahawa Bandar Tenggara terletak di kawasan dalam dan sangat jauh dari pantai/laut. Manakala kalau kau di Giant Kuala Terengganu angin pantai yang sepoi masih kau boleh rasa. Hahahahahaha

Paling tekejut mak (sila letakkan tangan dekat bahu dan lentikkan tangan itu dan juga badanmu), bawal yang sebesar separuh tangan aku harganya RM23! Fuyoooo!

Aku tak pasti ada tak orang nak beli. Huhuhuhuhu

Cerita lain. Dulu, masa aku tolong bapak aku di pasar borong Pandan, Johor Bharu, aku sering lihat peniaga ikan menyimpan dan mengawet ikan supaya ia tahan lama. Ikan yang tak habis dijual, mereka akan letakkan dalam tong yang diletakkan ais pada dasarnya. Ais itu kemudian ditabur garam. Kemudian, ikan diletakkan pada lapisan seterusnya. Lapisan ais-garam-ikan akan diulang sampai tong ikan penuh.

Kembali ke tajuk. Selepas Pn. Nurul selesai memilih sayur, kami ke kaunter bayaran. Di atas pintu keluar berhampiran kaunter bayaran, aku terlihat papan tanda ini.


Ikan dalam gambar tu nampak sangat segar! Fuyoooo!

Sunday, April 29, 2012

Kren terbalik di projek jambatan Teluk Kalong

Kejuruteraan, suatu bidang yang sangat menarik. Ia sangat berkaitan dengan kehidupan kau seharian. Melalui kemajuan dalam bidang kejurteraan, sesetangah perkara menjadi sangat mudah. Cuba kau bayangkan hingga kini kereta masih belum dicipta, pasti memakan masa berbulan lamanya untuk aku sampai ke Dungun dari Bandar Tenggara. Hahahahaha.

Tempoh hari, aku berpeluang ke Kuantan dengan menaiki bas. Aku agak teruja. Bukan kerana aku tidak pernah menaiki bas. Bukan juga kerana aku tidak pernah ke Kuantan. Tapi, kerana aku ingin melihat dari pandangan "atas" pembinaan jambatan di Teluk Kalong, Kemaman.






Selalunya, dengan menaiki kereta, aku tidak dapat melihat dengan jelas kerana pemandangan dihalang oleh kon atau konkrit setinggi 1.5-2meter. Aku agak kagum. Kagum dengan Ilahi kerana mencipta makhluk yang mampu membina jambatan seperti ini. Juga, kagum dengan keberanian pembina jambatan itu demi sesuap nasi.

Sedang ralit melihat dan mengambil gambar, aku terperasan sebuah kren yang terbalik.





Bagi pengetahuan kau, perlu ada lesen khas untuk mengendalikan kren. Selain itu, pemandu kren biasanya mempunyai pengetahuan matematik dan kejuruteraan. Bagi pengendali kren, mereka perlu fasih konsep trigonometri, phytagoras, daya dan kekuatan. Setiap beban yang diangkat, ia perlu sudut angkatan kren yang tertentu bagi mengelakkan kren terbalik.

Aku pasti pengendalikan kren itu tidak silap dalam analisis matematik dan kejuruteraan beliau. Pada hemat aku, tanah disitu agak lembut dan jerlus, lalu menyebabkan kren terbalik.

Manusia punya asa, Allah punya kuasa.


Thursday, April 26, 2012

Bumi hijau di Bandar Tenggara

Post ini untuk diri aku sendiri. Sebagai motivasi untuk mengusahakan kebun di laman rumah sewa aku di Dungun ini.

Adik aku, roshaizul juga namanya merupakan bakal pewaris perusahaan kebun pisang bapak aku. Beliau amat berbakat dalam hal tanam menanam ini. Juga, berbakat dalam hal ketukangan dan kerja tangan.

Di belakang rumah mak bapak aku di Bandar Tenggara, beliau dengan mudahnya berjaya menanam beberapa spesis kacang dan cili. Aku, di Dungun ini macam nak rak menanam. Tapi, hingga kini hanya ubi kayu yang kelihatan bugar. Kangkung, kacang botol, cili, kacang panjang semua tak jadi. Pucuk pun tak tumbuh. Cis!

Namun, aku berazam untuk membuat kebun seperti kebun adik aku ini. Hahahahahaha




.
Kawan-kawan, doakan aku berjaya!

Tuesday, April 24, 2012

Jambu air simpang Inas

Tak sampai 10 minit perjalanan pulang dari Bandar Tenggara ke Dungun, Pn. Nurul sudah merengek minta berhenti. Aiseymen.

Macam orang mengidam, beliau kelihatannya amat kepingin makan buah jambu air. Lebih menambahkan kepinginan beliau, gerai jambu air itu kelihatan meriah dengan buah jambu air kemerahan bergantungan.

Sebetulnya, gerai itu tidak terletak di simpang Inas. Tapi, ia terletak di simpang menghala ke Kota Tinggi. Berubah dari lokasi asalnya yang sebelum ini di simpang Inas. Kedua-dua simpang itu amat hampir, kiranya kurang lebih 30m sahaja. Juga, kedua-dua simpang itu terletak kurang lebih 4-5km dari Bandar Tenggara.

Menariknya, buah jambu air yang dijual itu ditanam sendiri di halaman rumah sipenjual, di Felda Sungai Sibol, kurang lebih 2-3km dari lokasi gerai.

Ada 3 jenis seingat aku jambu yang dijual di situ. Jambu air biasa. Jambu air madu tempatan. Jambu air madu taiwan. Oleh kerana Pn. Nurul tidak pernah ke Taiwan, beliau membeli 2kg jambu air madu Taiwan. Tak dapat pergi Taiwan, dapat makan jambu pun jadi la. Untuk pengetahuan kau juga, betik Taiwan juga ada di Malaysia. Walaupun namanya "Taiwan" ia tidak diimport terus dari Taiwan, cuma baka dari Taiwan yang ditanam di sini.  Aku dah mula melalut cerita pasal Taiwan. Nanti aku melalut sampai Zimbabwe pula. Sebelum aku melalut lebih jauh, aku tamtkan sahaja post kali ini. Sebelum berpisah, saksikan gambar gerai jambu simpang Inas. Hahahahahahaa





Monday, April 23, 2012

Festival Mersing

Ini cerita minggu lepas. Tatkala sedang bersenang-lenang di Bandar Tenggara, terbuka tv9. Rancangan Nasi Lemak Kopi O (NLKO) sedang bersiaran dari Mersing, sempena Festival Mersing 2012. Kebetulan, aku akan melalui Mersing apabila pulang ke Dungun keesokan harinya, lalu, aku memutuskan untuk singgah di Festival Mersing bagi tujuan berfoya-foya bersama Pn. Nurul tercinta.



Sebetulnya, amat lama aku tidak masuk ke bandar Mersing. Biasanya aku sekadar melalui pinggiran bandar Mersing. Jadi, bila masuk ke dalam bandar, aku agar keliru. Mujur GPS banyak membantu.



Festival Mersing 2012 berlangsung di Dataran Pulau. Iaitu dari jeti mersing menganjur hingga lebih dan melepasi Hotel Sri Malaysia Mersing. Kalau tengok dalam tv, seperti yang dipaparkan dalam NLKO dan berita di saluran Media Prima, kelihatannya festival itu kelihatan sangat meriah.



Tetapi, bila tiba di sana, suasana agak lengang,tidaklah sesibuk seperti yang dipaparkan di televisyen. Lagaknya macam suasana pasar lambak di Bandar Tenggara. Huhuhuhuhuhu. Tetapi, barangkali, aku tiba pada waktu yang lengang. Waktu itu menunjukkan jam 12-1 tengahari.


 Tak ada apa yang menarik sangat aku rasa. Pada hemat aku, festival ini diadakan bagi tujuan promosi pembangunan Mersing Laguna yang akan dibina oleh syarikat Radiant Starfish. Cuma ada gerai jualan, gerai media prima dan tidak ketinggalan gelangang Supa Dupa.

Berita Harian

Aduan Rakyat. Lou Tung Siang di sebalik kerumun orang ramai

Pang Chin Fei agaknya sedang berlintas langsung.

Harian Metro

Gelanggang Supa Dupa
Kami sekadar berjalan-jalan sahaja, memerhati gelagat orang dan membeli berang tiruan.


 Pada aku, yang paling best adalah gerai pameran orang asli. Jarang jumpa macam ni.


Tapi, yang paling super best adalah jamban mudah alih. Bila lalu depan jamban ni, bau wangi je. Rasa nak macam nak rembat satu jamban tu bawa balik rumah. Hahahahaha

Disebabkan jamban itu wangi, budak-budak itu berebut untuk masuk ke dalam jamban.

Tapi, apa pun Mersing memang cantik.




Mersing akan lebih cantik lagi jika papan tanda ini tak dipasang. Masing-masing sendiri ingat.