Tapi, sebenarnya orang malas ni bijak. Ada orang malas nak sabit rumput, maka terhasilah mesin rumput. Ada yang malas nak panjat pokok kelapa, maka dilatihnya beruk untuk memanjat.
Oleh kerana kemalasan aku menanda assignment, maka aku gantikan dengan mini projek. Mini projek (assignment) ini adalah untuk bab pam air. Aku suruh pelajar aku buat pam yang menggunakan tenaga manusia. Human powered water pump.
Mula-mula merungut juga bebudak ni. Pada fikiran mereka aku sudah gila isim. Suruh buat pam. Lepas tu mesti kena buat report. Dengan tenang aku bagitau "Korang buat je pam, report tak payah buat. Pam siapa paling cepat sedut air boleh dapat markah paling banyak".
Bukan main seronok bebudak ni. Aku bagi tempoh seminggu untuk buat. Supaya pam yang dihasilkan berkualiti, aku tambah beberapa kriteria pemarkahan. Antaranya esthetic, usability dan efficiency. Harapnya nanti bila mereka ini berada di industri dan masyarakat, tidaklah mereka buat sesuatu asal buat. Biar apa yang dibuat itu berkualiti untuk kegunaan industri mahupun masyarakat.
Pada hari pengujian, macam-macam jenis pam bebudak ni buat. Ada jenis plunger, reciprocate dan siphon. Masa pam diorang diuji, sempat la juga aku beritahu jenis pam yang mereka buat. Jadi, mereka akan faham secara praktikalnya prinsip operasi sesuatu pam. Tidak hanya melalui lakaran pada buku mahupun animasi video.
Selain itu, secara jujur, kalau ada pam yang macam gampang, aku bagitahu juga sebab apa pam itu jadi gampang. Memang mereka diketawakan oleh rakan-rakan yang lain. Tapi, aku beritahu, persetankan dengan orang yang mengetawakan orang lain, sebab dengan kegampangan pam korang, mereka yang mengetawakan dan yang ditertawakan juga mendapat ilmu yang baharu. Ilmu yang jarang ada dalam buku. Dan, kehidupan juga begitu, akan ramai yang mengetawakan kita masa kita jatuh.
Mungkin ada yang kata kaedah aku ini tak mengikut silibus. Tapi, pada aku, kita harus sentiasa bergerak dan berinovatif. Sebelas tahun dulu pensyarah suruh aku buat assignment atas kertas. Tak kan lah sebelas tahun akan datang aku kena buat perkara yang sama? Kereta sebelas tahun lepas dengan kereta sekarang banyak juga bezanya. Oleh itu kaedah pengajaran aku juga harus berubah.
Kerana pada aku, pendidikan bukan untuk menghasil pelajar yang dapat banyak A. Pendidikan seharusnya memberikan pengetahuan dan pengalaman.
No comments:
Post a Comment