Sebetulnya, aku tidak pernah bersiar-siar, berfoya-foya atau bersuka-ria di Pulau Pinang. Malah, aku juga tidak pernah ke Pulau Pinang atas urusan kerja. Tetapi, adalah dua atau tiga kali aku sekadar melalui negeri Pulau Pinang apabila mahu ke Perlis dan Kedah dari selatan atau timur.
Aku ke sana atas ajakan kakak ipar aku yang sulung. Mulanya terasa malas juga, kerana baru sahaja pulang dari Johor. Tetapi memandangkan aku tidak pernah ke Pulau Pinang dan atas hasutan dari Pn Nurul, aku terima sahaja ajakan itu. Hahahahahaha. Turut bersama dalam rombongan
Secara rasminya perjalanan kami bermula di Setiu. Bertolak dari Setiu sekitar jam 10.30 pagi. Aku dan Pn. Nurul sekadar menumpang kereta Exora kepunyaan abang ipar aku. Adat menumpang, kena membawa. Hahahahaha. Aku memandu Exora itu kerana abang ipar aku dalam keadaan mengantuk kerana makan ubat selsema.
Dari Setiu perjalanan lancar menuju ke Machang. Dari Machang, kami menuju ke Jeli melalui jajahan Tanah Merah. Singgah sebentar di Masjid Batang Merbau untuk melepaskan hajat dan meregangkan urat yang berbelit.
Kemudian, perjalanan di teruskan melalui jalan Grik yang berliku itu. Ternyata Exora masih gagah untuk mendaki bukit dan menuruni cerunan di jalan Grik, walaupun agak perlahan. Ialah, dengan muatan penuh, dapat melalui jalan itu pun sudah boleh dianggap cemerlang. Jujur, aku amat suka suasana di jalan Grik itu. Tenang dan menyamankan.
Kami cuba berhenti di perhentian Titiwangsa dan Tasik Banding, tetapi penuh. Barangkali kerana musim cuti sekolah sekarang ini. Lalu, kami memutuskan untuk berhenti di Sungai Lebey.
Oleh kerana kami membawa bekal, tempat ini agak sesuai kerana disediakan wakaf yang agak banyak. Juga, terdapat tandas, surau dan juga gerai makan di sini.
Memandangkan kami tiba sekitar jam 1.00 petang di Sungai Lebey dan perjalanan kami adalah pada hari Jumaat, jadi, menjadi kewajipan (bagi yang lelaki) untuk bersolat Jumaat. Walaupun kami bermusafir, akan tetapi memandangkan laluan yang kami lalui terdapat masjid, jadi kami wajib untuk bersolat Jumaat. Ketua rombongan memutuskan untuk berjumaat di Kampung Bandariang, kira-kira 5 kilometer dari hentian Sungai Lebey.
Suasana di masjid itu mengingatkan aku suasana seperti masjid Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir, Muar.
Usai solat dan makan, kami meneruskan perjalanan. Melalui Baling, kami terus ke Kulim. Suasana di Kulim agak menarik kerana kami dapat merasai seolah-olah jalan raya merentasi sawah padi. Suasana yang tidak kedapatan di Johor atau Terengganu.
Dari Kulim, kami melalui lebuhraya hingga ke Jambatan Pulau Pinang. Dua kali dikenakan tol sebanyak RM1.60, masing-masing. Juga, dikenakan tol sebanyak dua kali juga akibat sesat sebanyak 5 kupang, masing-masing. Jumlah tol sebelum tiba di Jambatan Pulau Pinang adalah sebanyak RM4.20.
Jambatan Pulau Pinang mengenakan bayaran RM7.00 sehala, dari seberang ke pulau. Dari pulau ke seberang tiada bayaran dikenakan. Tapi, kalau kau ada kad Touch N Go yang dibeli di tol di situ, kau mendapat potongan harga sebanyak 20%. Jadi, kau hanya perlu membayar RM5.60.
Teruja aku melalui jambatan yang terpanjang di Malaysia itu.
Jika tidak sesat, kami tiba jam 5.00 petang. Kerana sesat, kami tiba jam 6.00 petang di rumah abang ipar aku yang lain di kuartes kakitangan awam berhampiran USM.
Letih, malam itu tidak kemana-mana. Hanya berehat-rehat dan beramah mesra. :-)
No comments:
Post a Comment