Showing posts with label parit kasan. Show all posts
Showing posts with label parit kasan. Show all posts

Tuesday, January 31, 2012

Kenapa Mesti London? Kenapa Tidak Parit Kasan?

Walaupun sudah lebih 50tahun Inggeris meninggalkan Tanah Melayu, masih ada lagi sisa penjajahan. Inggeris, yang secara rasminya menjajah Tanah Melayu mulai 1786 telah berjaya mempengaruhi minda orang Melayu bahawa Inggeris itu bagus dan Melayu itu tidak.

Hingga kini, masih ramai (kadang-kala termasuk aku juga) yang berangapan bahawa Inggeris itu bagus, dan Melayu itu tidak.

Kerap-kali aku terbaca tajuk akhbar arus perdana
"Kerepek xxx berjaya menebusi pasaran London"
"Minyak urut yyy digunakan orang London"
"Orang London menyukai minyak wangi zzz"

Walhal, sesetengah produk tempatan yang dijual di London itu tidak pernah aku tahu kewujudannya. Jika aku tahu sekalipun, terkadang sukar untuk mendapatkannya di sesetengah kawasan.

Kenapa tidak sesekali tajuk akhbar berbunyi begini
"Kerepek xxx dimakan setiap hari oleh penduduk Parit Kasan"
"Minyak urut yyy digunakan oleh semua nelayan di Sungai Buaya"
"Orang Kuala Betis menyukai minyak wangi zzz"

Untuk info,
Parit Kasan merupakan satu kampung di Bukit Gambir, Muar.
Sg Buaya merupakan satu kampung di Kuala Dungun.
Kuala Betis merupakan satu kampung di Gua Musang.



Barangkali pengusaha tempatan itu merasakan penduduk pendalaman itu tidak akan membeli produknya; kerana tiada wang atau canggung untuk membeli produk itu. Tapi, belum cuba, belum tahu kan?


Wednesday, December 14, 2011

Pulau Pinang 1: Perjalanan Pergi

Beberapa post selepas ini, akan berkisar mengenai tempat menarik (pada aku) di Pulau Pinang dan sepanjang perjalanan ke sana dan dari sana.

Sebetulnya, aku tidak pernah bersiar-siar, berfoya-foya atau bersuka-ria di Pulau Pinang. Malah, aku juga tidak pernah ke Pulau Pinang atas urusan kerja. Tetapi, adalah dua atau tiga kali aku sekadar melalui negeri Pulau Pinang apabila mahu ke Perlis dan Kedah dari selatan atau timur.

Aku ke sana atas ajakan kakak ipar aku yang sulung. Mulanya terasa malas juga, kerana baru sahaja pulang dari Johor. Tetapi memandangkan aku tidak pernah ke Pulau Pinang dan atas hasutan dari Pn Nurul, aku terima sahaja ajakan itu. Hahahahahaha. Turut bersama dalam rombongan sambil belajar itu adalah abang ipar aku sekeluarga, mak mertua aku dan kakar ipar aku yang masih belum berpunya itu.

Secara rasminya perjalanan kami bermula di Setiu. Bertolak dari Setiu sekitar jam 10.30 pagi. Aku dan Pn. Nurul sekadar menumpang kereta Exora kepunyaan abang ipar aku. Adat menumpang, kena membawa. Hahahahaha. Aku memandu Exora itu kerana abang ipar aku dalam keadaan mengantuk kerana makan ubat selsema.

Dari Setiu perjalanan lancar menuju ke Machang. Dari Machang, kami menuju ke Jeli melalui jajahan Tanah Merah. Singgah sebentar di Masjid Batang Merbau untuk melepaskan hajat dan meregangkan urat yang berbelit.

Kemudian, perjalanan di teruskan melalui jalan Grik yang berliku itu. Ternyata Exora masih gagah untuk mendaki bukit dan menuruni cerunan di jalan Grik, walaupun agak perlahan. Ialah, dengan muatan penuh, dapat melalui jalan itu pun sudah boleh dianggap cemerlang. Jujur, aku amat suka suasana di jalan Grik itu. Tenang dan menyamankan.




Kami cuba berhenti di perhentian Titiwangsa dan Tasik Banding, tetapi penuh. Barangkali kerana musim cuti sekolah sekarang ini. Lalu, kami memutuskan untuk berhenti di Sungai Lebey.



Oleh kerana kami membawa bekal, tempat ini agak sesuai kerana disediakan wakaf yang agak banyak. Juga, terdapat tandas, surau dan juga gerai makan di sini.

Memandangkan kami tiba sekitar jam 1.00 petang di Sungai Lebey dan perjalanan kami adalah pada hari Jumaat, jadi, menjadi kewajipan (bagi yang lelaki) untuk bersolat Jumaat. Walaupun kami bermusafir, akan tetapi memandangkan laluan yang kami lalui terdapat masjid, jadi kami wajib untuk bersolat Jumaat. Ketua rombongan memutuskan untuk berjumaat di Kampung Bandariang, kira-kira 5 kilometer dari hentian Sungai Lebey.



Suasana di masjid itu mengingatkan aku suasana seperti masjid Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir, Muar.

Usai solat dan makan, kami meneruskan perjalanan. Melalui Baling, kami terus ke Kulim. Suasana di Kulim agak menarik kerana kami dapat merasai seolah-olah jalan raya merentasi sawah padi. Suasana yang tidak kedapatan di Johor atau Terengganu.



Dari Kulim, kami melalui lebuhraya hingga ke Jambatan Pulau Pinang. Dua kali dikenakan tol sebanyak RM1.60, masing-masing. Juga, dikenakan tol sebanyak dua kali juga akibat sesat sebanyak 5 kupang, masing-masing. Jumlah tol sebelum tiba di Jambatan Pulau Pinang adalah sebanyak RM4.20.

Jambatan Pulau Pinang mengenakan bayaran RM7.00 sehala, dari seberang ke pulau. Dari pulau ke seberang tiada bayaran dikenakan. Tapi, kalau kau ada kad Touch N Go yang dibeli di tol di situ, kau mendapat potongan harga sebanyak 20%. Jadi, kau hanya perlu membayar RM5.60.

Teruja aku melalui jambatan yang terpanjang di Malaysia itu.


Jika tidak sesat, kami tiba jam 5.00 petang. Kerana sesat, kami tiba jam 6.00 petang di rumah abang ipar aku yang lain di kuartes kakitangan awam berhampiran USM.

Letih, malam itu tidak kemana-mana. Hanya berehat-rehat dan beramah mesra. :-)

Monday, January 18, 2010

Jepun - Dekat TapI Jauh



Tahun 1999, sekitar bulan Disember di Parit Kasan, Bukit Gambir, Muar, Johor

(Sila baca perbualan di bawah mengikut loghat Jawa)

Wak: Ngko belajar kat mana sekarang Jam? Kat poli ke?
Aku: Tak la Wak. Itu hari ada cadang juga nak belajar poli. Tapi tawaran ITO datang dulu. Jadinya saya kat ITO la sekarang.

Wak: Wah! Bagusnya ngko. Belajar sampai ITO. Dah bila penerbangan baliknya?
Aku: Penerbangan balik?

Wak: Ye la, balik Jepon.
Aku: Balik Jepon?

Wak: La...bocah ini kok. Ngko kata tadi ngko belajar kat ITO.
Aku: Aaahhh, saya memang belajar kat ITO.

Wak: Habis tu, ngko nak balik ITO mesti la naik kapal terbang pergi Jepon.
Aku: Eh, bukan kat Jepon la wak. ITO kat Parit Raja je.

Wak: La...dekat aje rupanya...

Begitu anggapan sepupu mak aku bila aku mengatakan bahawa aku belajar di ITTHO, singkatan untuk Institut Teknologi Tun Hussein Onn. Kemudian, ia dinaik taraf menjadi Kolej Universiti dengan singkatan KUiTTHO. Kini, ia menjadi universiti penuh dengan singkatan UTHM.

Sepengetahuan aku, ada satu tempat bernama Parit Jepon yang terletak di Ayer Hitam, Muar.
Sepengetahuan aku juga, kenderaan amfibia aku disalin dari sebuah kereta Jepun yang terkemuka.
Sepengetahuan aku lagi, bahawasanya Gaban berasal dari Jepun.
Sepengetahuan aku yang seterusnya, banyak barangan elektronik di rumah kau adalah dari Jepun.
Sepengetahuan aku yang terakhir - gadis Jepun memang putih dan jelita. Huhuhuhuhuhu...

Ternyata Jepun dekat tapi nun jauh di hemisfera utara....