Showing posts with label muar. Show all posts
Showing posts with label muar. Show all posts

Monday, January 01, 2018

Pes Mee bandung Agromas

Sebagai penggemar mee bandung muar, aku merasa tekanan kerana mee itu tiada di Dungun.

Kalau balik Johor, sempatlah juga aku merasa mee bandung di Bandar Tenggara, Ayer Hitam atau Parit Raja. Walaupun kurang setanding dari yang asli di Muar, ia masih pada skala tahap sedap.

Di Dungun, ada jual mee bandung di kedai tomyam, tapi rasanya jauh berbeza dari rasa mee bandung dalam kepala otak aku.

Mujur pada zaman IT, zaman teknologi ini, ada jual pes mee bandung muar. Ia tidak setanding dengan yang asli, tapi cukup sekadar melepad rindu.



Ini yang dah siap. Satu pes tu boleh dapat 4 mangkuk macam ni. 3 mangkuk aku bedal. Semangkuk je aku bagi Pn. Nurul.


Jenama Agromas. Boleh didapati di pasar raya besar atau Agrobazar atau pasar tani.


Ini bungkusan pesnya.



Jangan risau kalau kau tak pandai masak. Arahan disediakan. Kau cuma perlu pandai membaca.

Kalau lihat kandungannya, memang rosak rancangan diet aku. Minyak sawit dan gula adalah ramuannya yang paling utama.

---

Post ini asalnya aku letak dalam Facebook aku. Kemudian, ada komen-komen kawan-kawan Johor yang letak gambar mee bandung Muar yang original. Pergh! Ngences!




Saturday, November 17, 2012

Bersih Mengikut Syariat

Dalam memori aku, sewaktu kecil dahulu, menjelang hari raya, arwah Yayi aku akan membeli beberapa peti air botol berkarbonat. Botolnya barangkali sebesar botol kicap saiz kecil. Atasnya ditutup dengan ceper. Botol-botol itu disusun di dalam peti kayu. Kalau tak silap aku, peti itu boleh memuatkan 24 botol.

Masa berlalu. Lama aku tak melihat botol seperti itu. Sekali-sekala, sewaktu hari raya, aku akan berjumpa dengan botol tersebut di kampung-kampung di Pontian dan Muar.

Tetapi, tempoh hari, sewaktu bercuti di Setiu, aku kembali melihat botol itu. Mungkin rupa parasnya tidak sama 100% dengan yang ada dalam nostalgia aku, tapi itu sudah cukup untuk membuatkan aku tertarik.



Aku difahamkan, di Kelantan dan utara Terengganu, botol seperti ini masih popular.

Tapi, paling menarik, tagline pada botol tersebut. "Bersih Mengikut Syariat". Memang terbaik dari kebun! Hahahaha


Friday, June 15, 2012

Nasi Ayam Yong Peng

Yong Peng. Antara pekan atau bandar satelit bagi Batu Pahat. Ia bersempadan dengan daerah Muar dan Segamat.

Yong Peng. Bandar yang sangat sibuk. Terlalu sibuk. Terkadang aku rasa menyampah hendak melalui Yong Peng jika pulang ke Johor melalui Segamat.

Yong Peng. Walaupun sibuk, tapi dahulu Abah aku sangat kerap ke sini untuk memborong buah-buahan. Banyak. Terkadang sampai lori kelihatan senget kerana terlampau sarat dengan buah-buahan. Hingga kini, Yong Peng masih terkenal sebagai pusat borongan buah-buahan.

Yong Peng. Tiada yang menarik, Hanya kesibukan lalu lintas dan deretan pusat borongan buah-buahan. Namun, tempoh hari, aku terjumpa satu gerai nasi ayam.


Gerai ini terletak tidak jauh dari simpang menuju ke Muar, dari Yong Peng. Di hadapan gerai ini ada semacam taman rekreasi.




Nasi ayamnya boleh tahan. Sangat tidak mengecewakan.


Untuk lokasi yang lebih tepat tentang tempat ini, kau boleh rujuk latitud dan longtitud berikut.


Tuesday, January 31, 2012

Kenapa Mesti London? Kenapa Tidak Parit Kasan?

Walaupun sudah lebih 50tahun Inggeris meninggalkan Tanah Melayu, masih ada lagi sisa penjajahan. Inggeris, yang secara rasminya menjajah Tanah Melayu mulai 1786 telah berjaya mempengaruhi minda orang Melayu bahawa Inggeris itu bagus dan Melayu itu tidak.

Hingga kini, masih ramai (kadang-kala termasuk aku juga) yang berangapan bahawa Inggeris itu bagus, dan Melayu itu tidak.

Kerap-kali aku terbaca tajuk akhbar arus perdana
"Kerepek xxx berjaya menebusi pasaran London"
"Minyak urut yyy digunakan orang London"
"Orang London menyukai minyak wangi zzz"

Walhal, sesetengah produk tempatan yang dijual di London itu tidak pernah aku tahu kewujudannya. Jika aku tahu sekalipun, terkadang sukar untuk mendapatkannya di sesetengah kawasan.

Kenapa tidak sesekali tajuk akhbar berbunyi begini
"Kerepek xxx dimakan setiap hari oleh penduduk Parit Kasan"
"Minyak urut yyy digunakan oleh semua nelayan di Sungai Buaya"
"Orang Kuala Betis menyukai minyak wangi zzz"

Untuk info,
Parit Kasan merupakan satu kampung di Bukit Gambir, Muar.
Sg Buaya merupakan satu kampung di Kuala Dungun.
Kuala Betis merupakan satu kampung di Gua Musang.



Barangkali pengusaha tempatan itu merasakan penduduk pendalaman itu tidak akan membeli produknya; kerana tiada wang atau canggung untuk membeli produk itu. Tapi, belum cuba, belum tahu kan?


Sunday, January 01, 2012

Selamat Tahun Baru 2012

Ini julung kalinya post aku pada 1 Januari sejak berblog mulai tahun 2006. Terlebih istimewa, aku jarang mengemaskini blog dan tiba-tiba aku terasa hendak menulis pada hari ini. Hahahahaha

Juga, hari aku aku mula mengira hari untuk ke usia 31tahun. Kembali ke 10 tahun yang lampau, pada masa ini barangkali aku sedang menghidupkan motosikal untuk bersarapan di Parit Bengkok sebelum ke kelas di penghujung sempadan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn. 20 tahun yang lampau pula, barangkali aku sedang berlari-lari mengelilingi padang tatkala subjek Pendidikan Jasmani sedang berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Bandar Tenggara 1.

Aku tak tahu apa yang terjadi pada aku 30 tahun lepas. Barangkali sedang menetek waktu ini. Hahahahaha.

Dalam memori aku, aku tidak pernah begitu bersemangat untuk menyambut tahun baru. Pada aku, hari tahun baru adalah sama seperti hari-hari lain.

Dalam memori aku juga, hanya sekali aku menyambut hari kemerdekaan di khalayak, di Tanjung Agas, Muar. Itu pun sekadar pergi. Tengok kekusutan orang ramai. Menyanyikan lagu Negaraku. Lalu, pulang menikmati mee bandung di Parit Bakar.

Banyak angan-angan aku tahun lepas tidak tercapai. Barangkali tiada fokus. Lalu, tiada usaha ke arah angan-angan itu. Aku rasa rugi setahun. Huhuhuhuhuu.

Harapannya agar angan-angan aku tahun ini tercapai. Bagi permulaan, aku sudah menulis beberapa angan-angan awal di cermin yang mana aku akan menghadapnya setiap pagi.

Tuesday, December 20, 2011

Telur Power

Kalau kau berada di Dungun pada waktu pagi, aku cadangkan kau bersarapan di Power Cafe Batu 48.

Tapi, sebelum itu, aku perlu beritahu kau bahawa Power Cafe Batu 48 bukanlah kedai/cafe milik kompeni Power Root, atau Super Power ataupun Power Rangers.

Seperti namanya, kedai ini terletak jalan besar Kuantan-Kuala Terengganu jalan pantai di Batu 48. Kalau kau dari Kuala Terengganu, kedai tersebut berada di sebelah kiri kau. Kalau kau dari Kuantan, sebelah kiri kau adalah pejabat TNB dan kedai tersebut di sebelah kanan.

Menu makanan di kedai ini adalah seperti kebanyakan kedai sarapan pagi di Terengganu yang menghidangkan menu wajib iaitu masi minyak, nasi dagang, nasi kunyit dan nasi lemak ikan.

Tapi yang terbaik di sini adalah telur power. Sekali lagi ditegaskan bahawa telur itu bukan telur Power Root, Super Power atau Power Rangers. Telur power adalah telur separuh masuk yang ditambah dengan ramuan "power". Setahu aku ramuan "power" adalah terdiri dari herba dan rempah terpilih. Antara ramuannya adalah halia bara dan lada hitam.






Kalau kau kelesuan, aku cadangkan kau makan telur yang power itu.

Kalau kau rasa loya hendak makan telur separuh masak, kau boleh juga mencuba minum air yang ditambah dengan ramuan "power", seperti teh power, nescafe power atau kopi power.

Selain kepoweran yang ditawarkan di kedai ini, kedai ini turut menghidangkan air di dalam cawan yang klasik ini.





Juga, setiap pelanggan yang datang ke sini terus dihidangkan air suam apabila duduk menunggu pesanan. Air suam ini penting tatkala kau menikmati telur atau minuman power. Lupa aku hendak bagitahu kau bahawa ramuan power ini sedikit hangat dan pedas.


Mengenai harga, kau jangan sangkakan makan di Terengganu khususnya di Dungun adalah semurah harga makanan di Muar atau Alor Setar. Kau harus jangkakan ia semahal di Kuala Lumpur.

Tapi, pada aku menikmati sarapan di kedai ini amat berbaloi dengan harga.

Wednesday, December 14, 2011

Pulau Pinang 1: Perjalanan Pergi

Beberapa post selepas ini, akan berkisar mengenai tempat menarik (pada aku) di Pulau Pinang dan sepanjang perjalanan ke sana dan dari sana.

Sebetulnya, aku tidak pernah bersiar-siar, berfoya-foya atau bersuka-ria di Pulau Pinang. Malah, aku juga tidak pernah ke Pulau Pinang atas urusan kerja. Tetapi, adalah dua atau tiga kali aku sekadar melalui negeri Pulau Pinang apabila mahu ke Perlis dan Kedah dari selatan atau timur.

Aku ke sana atas ajakan kakak ipar aku yang sulung. Mulanya terasa malas juga, kerana baru sahaja pulang dari Johor. Tetapi memandangkan aku tidak pernah ke Pulau Pinang dan atas hasutan dari Pn Nurul, aku terima sahaja ajakan itu. Hahahahahaha. Turut bersama dalam rombongan sambil belajar itu adalah abang ipar aku sekeluarga, mak mertua aku dan kakar ipar aku yang masih belum berpunya itu.

Secara rasminya perjalanan kami bermula di Setiu. Bertolak dari Setiu sekitar jam 10.30 pagi. Aku dan Pn. Nurul sekadar menumpang kereta Exora kepunyaan abang ipar aku. Adat menumpang, kena membawa. Hahahahaha. Aku memandu Exora itu kerana abang ipar aku dalam keadaan mengantuk kerana makan ubat selsema.

Dari Setiu perjalanan lancar menuju ke Machang. Dari Machang, kami menuju ke Jeli melalui jajahan Tanah Merah. Singgah sebentar di Masjid Batang Merbau untuk melepaskan hajat dan meregangkan urat yang berbelit.

Kemudian, perjalanan di teruskan melalui jalan Grik yang berliku itu. Ternyata Exora masih gagah untuk mendaki bukit dan menuruni cerunan di jalan Grik, walaupun agak perlahan. Ialah, dengan muatan penuh, dapat melalui jalan itu pun sudah boleh dianggap cemerlang. Jujur, aku amat suka suasana di jalan Grik itu. Tenang dan menyamankan.




Kami cuba berhenti di perhentian Titiwangsa dan Tasik Banding, tetapi penuh. Barangkali kerana musim cuti sekolah sekarang ini. Lalu, kami memutuskan untuk berhenti di Sungai Lebey.



Oleh kerana kami membawa bekal, tempat ini agak sesuai kerana disediakan wakaf yang agak banyak. Juga, terdapat tandas, surau dan juga gerai makan di sini.

Memandangkan kami tiba sekitar jam 1.00 petang di Sungai Lebey dan perjalanan kami adalah pada hari Jumaat, jadi, menjadi kewajipan (bagi yang lelaki) untuk bersolat Jumaat. Walaupun kami bermusafir, akan tetapi memandangkan laluan yang kami lalui terdapat masjid, jadi kami wajib untuk bersolat Jumaat. Ketua rombongan memutuskan untuk berjumaat di Kampung Bandariang, kira-kira 5 kilometer dari hentian Sungai Lebey.



Suasana di masjid itu mengingatkan aku suasana seperti masjid Kampung Parit Kasan, Bukit Gambir, Muar.

Usai solat dan makan, kami meneruskan perjalanan. Melalui Baling, kami terus ke Kulim. Suasana di Kulim agak menarik kerana kami dapat merasai seolah-olah jalan raya merentasi sawah padi. Suasana yang tidak kedapatan di Johor atau Terengganu.



Dari Kulim, kami melalui lebuhraya hingga ke Jambatan Pulau Pinang. Dua kali dikenakan tol sebanyak RM1.60, masing-masing. Juga, dikenakan tol sebanyak dua kali juga akibat sesat sebanyak 5 kupang, masing-masing. Jumlah tol sebelum tiba di Jambatan Pulau Pinang adalah sebanyak RM4.20.

Jambatan Pulau Pinang mengenakan bayaran RM7.00 sehala, dari seberang ke pulau. Dari pulau ke seberang tiada bayaran dikenakan. Tapi, kalau kau ada kad Touch N Go yang dibeli di tol di situ, kau mendapat potongan harga sebanyak 20%. Jadi, kau hanya perlu membayar RM5.60.

Teruja aku melalui jambatan yang terpanjang di Malaysia itu.


Jika tidak sesat, kami tiba jam 5.00 petang. Kerana sesat, kami tiba jam 6.00 petang di rumah abang ipar aku yang lain di kuartes kakitangan awam berhampiran USM.

Letih, malam itu tidak kemana-mana. Hanya berehat-rehat dan beramah mesra. :-)

Monday, January 18, 2010

Jepun - Dekat TapI Jauh



Tahun 1999, sekitar bulan Disember di Parit Kasan, Bukit Gambir, Muar, Johor

(Sila baca perbualan di bawah mengikut loghat Jawa)

Wak: Ngko belajar kat mana sekarang Jam? Kat poli ke?
Aku: Tak la Wak. Itu hari ada cadang juga nak belajar poli. Tapi tawaran ITO datang dulu. Jadinya saya kat ITO la sekarang.

Wak: Wah! Bagusnya ngko. Belajar sampai ITO. Dah bila penerbangan baliknya?
Aku: Penerbangan balik?

Wak: Ye la, balik Jepon.
Aku: Balik Jepon?

Wak: La...bocah ini kok. Ngko kata tadi ngko belajar kat ITO.
Aku: Aaahhh, saya memang belajar kat ITO.

Wak: Habis tu, ngko nak balik ITO mesti la naik kapal terbang pergi Jepon.
Aku: Eh, bukan kat Jepon la wak. ITO kat Parit Raja je.

Wak: La...dekat aje rupanya...

Begitu anggapan sepupu mak aku bila aku mengatakan bahawa aku belajar di ITTHO, singkatan untuk Institut Teknologi Tun Hussein Onn. Kemudian, ia dinaik taraf menjadi Kolej Universiti dengan singkatan KUiTTHO. Kini, ia menjadi universiti penuh dengan singkatan UTHM.

Sepengetahuan aku, ada satu tempat bernama Parit Jepon yang terletak di Ayer Hitam, Muar.
Sepengetahuan aku juga, kenderaan amfibia aku disalin dari sebuah kereta Jepun yang terkemuka.
Sepengetahuan aku lagi, bahawasanya Gaban berasal dari Jepun.
Sepengetahuan aku yang seterusnya, banyak barangan elektronik di rumah kau adalah dari Jepun.
Sepengetahuan aku yang terakhir - gadis Jepun memang putih dan jelita. Huhuhuhuhuhu...

Ternyata Jepun dekat tapi nun jauh di hemisfera utara....

Saturday, November 15, 2008

Nasi Goreng Sepuluh Suap

Ada satu kedai makan baru di buka di jalan pantai Dungun. Cukup menarik kedai tu. Rekebentuknya macam kapal, dan seolah-olah ingin segera berlayar.

Memang nampak gah kedai itu dari luar. Dan namanya juga melambangkan betapa gahnya kedai makan tersebut.

Aku bersama teman serumah aku, Abdullah pergi ke kedai makan ni minggu lepas, selepas empat hari kedai itu dibuka. Orang memang ramai. Semasa mencari tempat duduk yang sesuai, sempat juga kami mengendap bahagian dapur dan waitress

Juga, sempat juga aku meninjau di atas kapal itu. Wah!!! Rupa-rupanya ada tempat makan dibahagian atas (kagum ya amat nih!!!)

Lalu, seorang waitress yang cun tetapi sangat kelat wajahnya mengambil order. Aku pun memesan nasi goreng paprik serta nescafe panas. Manakala Abdullah memesan sesuatu yang aku tak ingat apakah ia.

Memandangkan kami duduk hampir dengan dapur, kami dapat melihat kekalutan yang amat sangat!!! Big boss tak habis-habis memarahi anak buahnya. Dan sesekali anak-anak buahnya merungut.

Setelah beberapa lama, makanan dan minuman yang dipesan masih lagi belum sampai. Dan disedari juga beberapa pelanggan pergi begitu saja dengan perut yang lapar dan hati yang panas. Oleh itu, terdapatlah beberapa makanan yang sudah siap, tetapi pemesannya sudah meninggalkan kedai. Lalu, kami memohon untuk diberikan saja makanan itu. Lalu, aku dapatlah sepinggan "NASI GORENG SEPULUH SUAP". Untuk saiz badan seperti aku ini, amatlah tidak memadai dengan sepuluh suap nasi goreng.

Manakala Abdullah mendapat "NASI GORENG SEPULUH SUAP BESERTA KEPAK AYAM BERBULU". Dan Abdullah makan dengan begitu berselera sekali.

Setelah kami selesai makan, nescafe panas aku pun sampai. Malangnya tidak disediakan sudu untuk melarutkan necsafe, susu dan air. Lalu, aku mencelupkan garfu yang aku gunakan untuk makan kedalam gelas nescafe panasku. Lalu terhasillah menu "NESCAFE PANAS BERSUDU GARFU". Sungguh unik bukan. Sepanjang 27 tahun aku hidup, inilah kali pertama aku bertemu dengan menu seperti itu. Harga makanan dan minuman kami berdua ialah RM12.50

Owh! Sungguh indah pengalaman aku di kedai makan cap kapal yang baru itu.

p/s: Difahamkan servis kedai makan itu telah bertambah baik sekarang
p/s/s: Difahamkan juga, pemilik adalah seorang Datuk yang berasal dari Kelantan, dan isteri beliau, Kak Ina berasal dari Muar, Johor.

Wednesday, October 08, 2008

Drama Meleleh

Aku perasan, setiap kali raya, stesen televisyen di Malaysia berlumba-lumba menyiarkan rancangan yang menarik. Rancangan yang begitu klise sudah pastinya filem-filem, rancangan nyanyian lagu hari raya beramai-ramai dan juga drama meleleh yang tajuknya pasti akan ada perkataan "lebaran", "raya", "takbir" dan seangkatan dengannya.

Terus terang, aku tidaklah begitu teruja untuk menonton rancangan-rancangan tersebut kerana aku lebih suka beraya menziarah saudara dan rakan-rakan di serata pelosok negeri Johor, dari Muar ke Johor Bharu, juga dari Pontian ke Kota Tinggi, dan tidak ketinggalan di Bandar Tenggara.

Menarik, setiap kali aku berkunjung ziarah ke rumah orang, pastinya mereka akan menyalakan suis peti televisyen mereka. Kebetulan, kebanyakan rumah yang aku pergi rancangan drama meleleh sedang ke udara di peti televisyen mereka.

Pemerhatian aku, tidak kurang 10 drama meleleh telah ke udara sepanjang hari raya. Ini menunjukkan para pembikin drama Malaysia amat gemar menerbitkan drama yang pelakonnya mesti menangis. Jika ditanya oleh wartawan hiburan mengapa mereka ini gemar membikin drama meleleh sempana hari raya, barangkali ini jawapan mereka "Itu kehendak penonton. Kita buat drama untuk orang tengok. Tak guna buat drama yang orang tak nak tengok". Barangkali juga mereka akan menjawab begini, "Drama yang saya buat ni akan memberi keinsafan kepada penonton".

Aku setuju dengan pendapat mereka itu. Tapi, kalau sampai sepuluh drama leleh setiap kali raya, apa kejadahnya. Muak! Bukan ke Eidulfitri adalah tentang meraikan kejayaan? Bukan ke Eidulfitri adalah tentang kegembiraan?

Apa kata sekali sekali dibuat pula cerita tentang cabaran mualaf berpuasa, misalnya. Ataupun kisah perjalanan kejayaan seorang ahli perniagaan muslim. Boleh juga dibuat drama tentang kegembiraan seorang anak yang berjaya memajukan ekonomi keluarganya.

p/s: Gue suka bangat sinetron Diari Ramadhan/Raya Rafique.

Wednesday, May 14, 2008

Mengetag

Mazudi telah mengetag aku... pikir punya pikir... dapat juga idea...

LIST OUT THE TOP 5 PRESENTS YOU WISH FOR:

1. Mesin pembungkus kerepek
2. Nissan AD Resort 1st model
3. Rumah kayu ala Johor
4. RM40,000
5. Kerusi urut OSIM


LIST OUT THE REASONS FOR YOUR CHOICES:

1. Aku tokei kerepek. Kecil-kecilan. Penat ooooo bungkus secara manual. Kalau ada mesin kan senang. Siapa-siapa yang nak jual mesin pembungkus kerepak, jual lah kat aku dengan harga berpatutan. Aku serius ni!!

2. Tak tau la kenapa aku suka kereta ni. Macam best je rasanya....

3. Terkenang rumah arwah atuk aku kat Muar, Johor.

4. Aku nak kahwin. Tapi duit tak cukup. Huhuhuhuh. Awek aku dan bakal mak mentua aku selalu tanya. Bila nak masuk meminang? Adus!!!

5. Badan aku selalu lenguh-lenguh. Ingat nak pergi berurut. Tapi mak aku pesan "ko jangan sesekali pergi ke rumah urut!!!"


THE PERSON WHO TAGG-ED YOU IS : Mazudi


5 IMPRESSIONS OF HIM/HER:

1. Beliau satu opis ngan aku. Tapi jarang kami berbual. Just smile and play fool. Uhuhuhuhuh

2. Dulu kat Politeknik Kota Kinabalu setahu aku beliau ni Ketua Kursus. Sampai Politeknik Dungun ni beliau jadi pensyarah biasa je. Pastu beliau buat-buat bodoh (tapi bijak mamat sorang ni). Memang low profile

3. Ilmu blogging beliau amat tinggi

4. Beliau mempunya kereta GEN2 yang laju. Lagi laju dari Iswara 1.3s aku. Korang bayangkanlah berapa laju kereta beliau

5. Beliau suka membawa anak-anak beliau bersiar-siar. Selalu aku terserempak beliau ini bersama anak-anak beliau. Tapi tak tau la beliau perasan akan aku ini.


MOST MEMORABLE THINGS HE/SHE HAS DONE FOR YOU:

Beliau mengetag aku. Sungguh terharu. Huk huk huk!


MOST LOVED INVENTION (doesn’t have to be technically advanced)

Alat pencedok kerepek. Dengan alat ini, akau mampu menbungkus 6 bungkus kerepek seminit. Berbanding dengan menggunakan tangan, aku hanya mampu membungkus 2 bungkus seminit. Sekarang ni aku tengah pikir untuk membina MESIN PEMBUNGKUS KEREPEK!!!! (sila sebut dengan nada Doreamon mengeluarkan barang dari poket ajaibnya)


WHAT DO YOU DESPISE THE MOST:

Orang tikam belakang. Aku selalu kena. Kalau korang tak percaya, boleh tengok tulang belakang dan modula oblogata aku. Memang banyak kesan tikaman..... :-(


6 PEOPLE YOU WANNA TAG:

1. en_me

2. ahcap

3. faizgagahberani (cis! poyolah)

4. gigi aku

5. kambing belaan aku

6. tah la, tak tau sape2 lagi. kawan-kawan aku ramai buta IT. huhuhuhuh