Thursday, January 23, 2014

Merantau Ke Deli

Aku mula meminati karya penulis Indonesia. Sebelum ini aku mengikuti kisah-kisah cinta Habiburahman dan tetralogi Andre Hirata. Karya di sana lebih telus, original dan bahasa yang indah. Bukan bermaksud karya tempatan tidak bagus. Aku juga membaca novel karya A Samad Said dan Faisal Tehrani. Tapi, karya mereka berdua sangat sastera bahasanya, kecuali Salina dan 1515.



Merantau ke Deli karya dari ulama tersohor Nusantara, Buya Hamka. Boleh dikatakan bahawa Buya Hamka contoh klasik ilmuan Islam yang mengusai banyak bidang ilmu, termasuk kemampuan beliau menulis novel yang mencengkam!

Merantau ke Deli dimulai dengan kisah suasana di Deli latar 1930-an. Deli, suatu tempat seperti Jakarta sekarang yang menjadi tumpuan seluruh Nusantara untuk mencari rezeki dan menambah baik kehidupan.

Kisah berkembang bilamana Leman, seorang peniaga kecil dari Padang yang jatuh cinta dengan Poniem. Poniem seorang gundik mandur ladang yang berasal dari Jawa. Leman mengajak Poniem lari dari menjadi gundik dan berkahwin.

Setelah berkahwin, Leman semacam mengalami kesulitan dengan perniagaan beliau. Beliau buntu. Leman yang memegang adat Minangkabau keberatan untuk meminta bantuan Poniem. Walhal dalam masyarakat Jawa, suami isteri perlu berganding bahu dalam meningkatkan kehidupan dan ekonomi keluarga.

Poniem menggadaikan barang kemas beliau untuk membantu membesarkan perniagaan Leman. Lama-kelamaan, hasil usaha keras mereka berdua, perniagaan mereka maju dan mampu menyewa kedai yang besar. Mereka mampu menggaji pekerja. Salah seorang pekerja mereka berasal dari Jawa juga, bernama Suyono. Seperti lelaki Jawa yang biasa, Suyono memang seorang yang sangat rajin.

Konflik bermula apabila Leman mengajak Poniem pulang melawat kampung Leman di Padang. Orang kampung Leman menyambut kepulangan mereka berdua dengan meriah. Ialah, orang kaya. Walhal, semasa Leman tidak punya apa-apa dahulu, beliau langsung tidak dipandang.

Semacam ada maksud tersirat oleh keluarga Leman yang menggunakan adat Minangkabau sebagai helah untuk mengaut kekayaan Leman. Mereka menghasut Leman untuk berkahwin seorang lagi dengan orang Minangkabau. Mereka merasakan kekayaan Leman harus jatuh ke tangan orang Minagkabau juga, bukan ke tangan Poniem, gadis Jawa.

Lalu, berkahwinlah Leman dengan Mariatun, gadis Padang. Mulanya Poniem menerima dengan hati yang berat. Akan tetapi, lama-kelamaan sering berlaku perselisihan antara Poniem dan Mariatun.

Poniem diceraikan oleh Leman. Poniem lari ke medan. Suyono yang simpati dengan Poniem, menemani Poniem ke Medan. Di Medan, mereka sama-sama berusaha untuk meneruskan kehidupan. Dari, simpati, timbul rasa cinta dan mereka berkahwin akhirnya. Lalu, dari berniaga kecil-kecilan, perniagaan mereka semakin besar hasil usaha keras Suyano dan kepintaran berniaga Poniem.

Manakala, ekonomi Leman dan Mariatun semakin merosot. Leman dihasut supaya membeli tanah dan sawah di kampung beliau di Padang. Tapi, tanah dan sawah tersebut bukan milik beliau, tetapi menjadi milik keluarga Mariatun. Kehidupan Leman bertambah susah. Pernigaan yang besar semakin mengecil hingga terpaksa berjaja. Lebih teruk dari semasa beliau mula merantau ke Deli.

Entah bagaimana, Leman dan Mariatun berjumpa dengan Poniem dan Suyono. Leman sangat malu dengan Poniem. Beliau sedikit menyesal kerana menceraikan Poniem dahulu dan tidak berlaku adil terhadap Poniem.

Akhir cerita, Poniem dan Suyono semakin maju perniagaan mereka. Manakala Leman dan Mariatun terpaksa pulang ke kampung. Walaupun Leman sudah membeli tanah dan sawah di kampung, tetapi, itu bukan milik beliau. Barangkali, suatu masa nanti beliau akan disisihkan oleh keluarga Mariatun dan menghabiskan sisa hidup di surau buruk...

--------------------------------------------

Sangat banyak pengajaran diperolehi dari novel tersebut. Walaupun ditulis tahun 1930-an, namun ia masih sangat releven dengan suasana kini. Ternyata Buya Hamka memang genius!

No comments: