Showing posts with label indonesia. Show all posts
Showing posts with label indonesia. Show all posts

Thursday, January 23, 2014

Merantau Ke Deli

Aku mula meminati karya penulis Indonesia. Sebelum ini aku mengikuti kisah-kisah cinta Habiburahman dan tetralogi Andre Hirata. Karya di sana lebih telus, original dan bahasa yang indah. Bukan bermaksud karya tempatan tidak bagus. Aku juga membaca novel karya A Samad Said dan Faisal Tehrani. Tapi, karya mereka berdua sangat sastera bahasanya, kecuali Salina dan 1515.



Merantau ke Deli karya dari ulama tersohor Nusantara, Buya Hamka. Boleh dikatakan bahawa Buya Hamka contoh klasik ilmuan Islam yang mengusai banyak bidang ilmu, termasuk kemampuan beliau menulis novel yang mencengkam!

Merantau ke Deli dimulai dengan kisah suasana di Deli latar 1930-an. Deli, suatu tempat seperti Jakarta sekarang yang menjadi tumpuan seluruh Nusantara untuk mencari rezeki dan menambah baik kehidupan.

Kisah berkembang bilamana Leman, seorang peniaga kecil dari Padang yang jatuh cinta dengan Poniem. Poniem seorang gundik mandur ladang yang berasal dari Jawa. Leman mengajak Poniem lari dari menjadi gundik dan berkahwin.

Setelah berkahwin, Leman semacam mengalami kesulitan dengan perniagaan beliau. Beliau buntu. Leman yang memegang adat Minangkabau keberatan untuk meminta bantuan Poniem. Walhal dalam masyarakat Jawa, suami isteri perlu berganding bahu dalam meningkatkan kehidupan dan ekonomi keluarga.

Poniem menggadaikan barang kemas beliau untuk membantu membesarkan perniagaan Leman. Lama-kelamaan, hasil usaha keras mereka berdua, perniagaan mereka maju dan mampu menyewa kedai yang besar. Mereka mampu menggaji pekerja. Salah seorang pekerja mereka berasal dari Jawa juga, bernama Suyono. Seperti lelaki Jawa yang biasa, Suyono memang seorang yang sangat rajin.

Konflik bermula apabila Leman mengajak Poniem pulang melawat kampung Leman di Padang. Orang kampung Leman menyambut kepulangan mereka berdua dengan meriah. Ialah, orang kaya. Walhal, semasa Leman tidak punya apa-apa dahulu, beliau langsung tidak dipandang.

Semacam ada maksud tersirat oleh keluarga Leman yang menggunakan adat Minangkabau sebagai helah untuk mengaut kekayaan Leman. Mereka menghasut Leman untuk berkahwin seorang lagi dengan orang Minangkabau. Mereka merasakan kekayaan Leman harus jatuh ke tangan orang Minagkabau juga, bukan ke tangan Poniem, gadis Jawa.

Lalu, berkahwinlah Leman dengan Mariatun, gadis Padang. Mulanya Poniem menerima dengan hati yang berat. Akan tetapi, lama-kelamaan sering berlaku perselisihan antara Poniem dan Mariatun.

Poniem diceraikan oleh Leman. Poniem lari ke medan. Suyono yang simpati dengan Poniem, menemani Poniem ke Medan. Di Medan, mereka sama-sama berusaha untuk meneruskan kehidupan. Dari, simpati, timbul rasa cinta dan mereka berkahwin akhirnya. Lalu, dari berniaga kecil-kecilan, perniagaan mereka semakin besar hasil usaha keras Suyano dan kepintaran berniaga Poniem.

Manakala, ekonomi Leman dan Mariatun semakin merosot. Leman dihasut supaya membeli tanah dan sawah di kampung beliau di Padang. Tapi, tanah dan sawah tersebut bukan milik beliau, tetapi menjadi milik keluarga Mariatun. Kehidupan Leman bertambah susah. Pernigaan yang besar semakin mengecil hingga terpaksa berjaja. Lebih teruk dari semasa beliau mula merantau ke Deli.

Entah bagaimana, Leman dan Mariatun berjumpa dengan Poniem dan Suyono. Leman sangat malu dengan Poniem. Beliau sedikit menyesal kerana menceraikan Poniem dahulu dan tidak berlaku adil terhadap Poniem.

Akhir cerita, Poniem dan Suyono semakin maju perniagaan mereka. Manakala Leman dan Mariatun terpaksa pulang ke kampung. Walaupun Leman sudah membeli tanah dan sawah di kampung, tetapi, itu bukan milik beliau. Barangkali, suatu masa nanti beliau akan disisihkan oleh keluarga Mariatun dan menghabiskan sisa hidup di surau buruk...

--------------------------------------------

Sangat banyak pengajaran diperolehi dari novel tersebut. Walaupun ditulis tahun 1930-an, namun ia masih sangat releven dengan suasana kini. Ternyata Buya Hamka memang genius!

Thursday, January 10, 2013

Ulasan Buku: Edensor

Ini buku ketiga tetralogi Lasykar Pelangi yang aku baca. Kau boelh lihat ulasan dua buku sebelum ini di sini dan di sini.

Kalau kau membaca buku pertama, ada satu plot percintaan antara Ikal dan A Ling. Namun, cinta monyet mereka berakhir apabila A Ling keluar dari Belitong untuk memdapatkan pelajaran yang lebih baik. Perpisahan itu, A Ling telah menitipkan kepada Ikal sebuah buku. Kerana terlalu rindunya Ikal kepada A Ling, beliau berulang-ulang membaca buku itu, perkataan demi perkataan, ayat demi ayat. Dan, ada satu bahagian dalam buku itu menceritakan tentang kedamaian sebuah desa di Eropah, desa Edensor.



Keinginan Ikal untuk mencari A Ling yang disangkanya ada di Edensor, ditambah dengan mimpi-mimpi yang dijelmakan oleh guru sekolah menengah beliau mengenai Sorbone, telah membawa Ikal juga Arai sampai ke Eropah melanjut pengajian peringkat sarjana.

Permulaan mereka tiba di Eropah amat mencabar, dengan layanan buruk orang di sana. Cerita berkembang, dan mereka akhirnya selesa berada di Universiti Sorbone dikelilingi oleh rakan-rakan seantero dunia. Pada satu tahap, mereka merasa hidup mereka membosankan. lalu, mereka bercadang untuk menjelajah Eropah secara back pack. Mereka mula menjelajah Eropah Barat, kemudian ke utara, ke negara-negara Scandinavia. Kemudian, mereka ke timur Eropah merentasi dataran Russia yang luas. Dan penjelajahan Eropah mereka berakhir apabila mereka ke Selatan Itali, Pulau Sicily.

Di suatu kesempatan di Itali, mereka mula meneroka Afrika melalui Maghribi. hajat mereka untuk menjelajah hingga Afrika Selatan tidak kesampaian. Mereka hanya sampai ke separuh Afrika, Zaire. Dan, dalam setiap tempat yang di singgahi, Ikal tidak lupa untuk mencari A Ling.

Habis penjelajahan Eropah dan separuh Afrika, mereka kembali ke Sorbone untuk menyelesaikan sarjana mereka. Tapi, pada satu tahap, Arai yang sudah ada penyakit lelah, mengalami kejutan musim sejuk. Beliau jatuh sakit dan terpaksa dihantar pulang ke Indonesia. Tinggal Ikal seorang menentukan takdirnya.

Owh, panjang lagi sebenarnya cerita ini, Lenguh aku taip. Apa kata kau baca sendiri novel ini. Hahahahahaha!

Tuesday, January 08, 2013

Ulasan Buku: Sang Pemimpi

Tetralogi kedua Lasykar Pelangi. Jika Novel pertama berputar sekitar pengalaman Ikal di sekolah rendah, pada Sang Pemimpi Ikal menginjak dewasa, lebih tepat situasi sewaktu beliau di sekolah menengah. Kisah bermula apabila bapa Ikal yang pendiam mengambil Arai, sepupu jauh yang sebaya dengan Ikal menjadi anak angkat. Arai yang berusia lapan tahun ketika itu kematian bapanya. Oleh kerana beliau sebatang kara, lalu bapa Arai mengambil beliau sebagai anak angkat.

Mereka berdua, beserta Jimbrom si peminat kuda tinggal menyewa di sebuah bilik kecil berhampiran pasar. Mereka bangun sebelum ayam berkokok untuk bekerja sebagai kuli ngambat. Menjelang siang mereka terus ke sekolah.

Walaupun begitu, dengan pengaruh guru-guru di sekolah itu, mereka bermimpi. Hanya dengan mimpi boleh membebaskan mereka dari menjadi kuli. Hanya dengan mimpi mereka boleh menerjah ke Sorbonne dan Zaire.



Tamat sekolah, dengan mimpi, mereka mudik ke Pulau Jawa. Pelbagai pekerjaan cuba dilakukan untuk menampung hidup dan menyambung pelajaran. Akhirnya, Ikal diterima bekerja sebagai pekerja pos. Manakala Arai yang tidak layak membawa diri ke Kalimantan. Ikal, sambil bekerja sebagai kerani pos, turut menyambung pelajaran. Arai juga begitu di Kalimantan.

Akhirnya, setelah sekian tahun berpisah, mereka berjumpa kembali apabila masing-masing ditemuduga untuk mendapat biasiswa melanjutkan pengajian sarjana di Sorbonne. Ya, dengan mimpi akhirnya mereka berjaya ke Sorbonne!

Yang pastinya, novel kali ini lebih lucu dan mencengkam. Bila membaca novel ini serasa seperti aku berada di situasi itu. Juga, semangat setiakawan Arai-Ikal-Jimbron sangat mengesan. Juga ketabahan Arai dalam mengharungi kehidupan boleh memberi inspirasi kepada mereka-mereka yang patah hati.

Friday, January 04, 2013

Ulasan Buku; Cinta Suci Zahrana

Entah kenapa, sekarang ini aku suka membaca novel. Entah kenapa pula, penulis-penulis kesukaan aku suka menulis cerita tema cinta. Lalu, secara tidak langsung aku sekarang suka membaca novel-novel cinta. Oyeh!

Baiklah, kali ini aku membaca novel Cinta Suci Zahrana, karya novelis pembangun jiwa dari Indonesia, Habiburahman El Shirazy.



Cerita ini mengisahkan ego seorang wanita yang sangat mengejar ilmu dan sering terkehadapan dalam bidang ilmunya. Oleh sebab itu, beliau masih tidak lagi berkahwin selepas usia beliah menjangkau 30 tahun. Dan, nama watak itu adalah Zahrana.

Walau mencapai kegemilangan dalam eksplorasi ilmu beliau, namun, hidup beliau kurang lengkap tanpa suami di sisi. Itu menyebabkan ibu bapa beliau bimbang terhadap masa depan satu-satunya anak mereka. Lalu, segala usaha dikerahkan untuk satu tujuan - mencari jodoh Zahrana.

Konflik bermula bila Pak Sukarman, dekan merangkap bos Zahrana menaruh hati pada Zahrana. Walaupun Pak Sukarman itu sudah naik haji, tapi perangai beliau amat keji. Ramai pelajar perempuan menjadi mangsa nafsu serakah Pak Sukaman. Oleh itu pinangan Pak Sukarman ditolak oleh Zahrana. Pak Sukarman menaruh dendam.

Jodoh Zahrana sampai akhirnya, dengan seorang pemuda penjual keropok yang kacak, baik, berilmu agama dan mampu membimbing Zahrana. Tapi jodoh mereka tidak sampai. Bakal suami Zahrana terbunuh dalam satu kemalangan yang dirancang oleh Pak Sukarman.

Zahrana terpana. Bapa beliau terkejut lalu meninggalkan alam yang fana. Apa terjadi seterusnya? Ha! Itu kau kena baca sendiri. Kalau nak pinjam novel ini dari aku pun boleh. Tapi jangan lupa pulangkan!

Sunday, June 17, 2012

Ulasan Buku: Ketika Cinta Bertasbih Episod 2

Walaupun aku tak romantik, tapi aku baca novel cinta. Hahahahahaha

Sebelum ini aku ada ulas mengenai novel ini episod 1. Kau kena baca dua-dua episod, baru best. Kalau kau baca salah satu sahaja, kau akan rasa semacam kencing tak lawas. Huhuhuhu



Dalam episod ini, dipaparkan kehidupan Azam setelah tamat pengajian di Al-Azhar dan pulang ke Indonesia. Di kampung halamannya, dipaparkan kisah beliau yang tidak malu menjual bakso, walaupun berkelulusan Al-Azhar. Bermula kecil-kecilan, perniagaan bakso beliau yang dikenali sebagai "Bakso Cinta" semakin laris dari hari ke sehari.

Selain menjual bakso, Azam turut mengajar secara sambilan disebuah sekolah pondok milik Pak Kiyai Lutfi. Cerita tambah menarik bila Azam turut menaruh hati ke atas anak Pak Kiyai Lutfi, Anna. Malangnya Anna merupakan tunangan orang. Tunang kepada rakan Azam sendiri, Furqan.

Furqan akhirnya berkahwin dengan Anna, namun perkahwinan mereka gagal kerana Furqan telah disuntik darah HIV/AIDS. Anna diceraikan dengan status janda berhias.

Anna sebetulnya mengkagumi sosok Azam. Rajin, rendah diri, berilmu dan ada minda bisnes yang bagus. Tapi, kerana Furqan terlebih dulu melamarnya, beliau terpaksa melupakan Azam.

Manakala, Azam pula, semenjak Anna telah menjadi tunangan orang, seringkali lamaran beliau terputus di tengah jalan. Namun, beliau redha akan ketentuan Ilahi.

Hinggakan, akhirnya Azam meminta Kiyai Lutfi mencarikan jodohnya. Kebetulan, Anna telah habis edah. Lantas, Pak Kiyai terus meminta Azam mengahwini Anna. Owh! Happy ending. (Aku sedang mengesat air mata kegembiraan, hahahaha)

Tapi, sub plot novel ini agak longgar. Tidak diceritakan bagaimana keadaan adik bongso Azam yang berusia 9 tahun apabila mereka kehilangan ibu mereka.

Tidak dinyatakan juga kesudahan kawan adik Azam (aku lupa namanya) yang mengandung anak luar nikah dan menyebabkan bapanya mati akibat serangan jantung.

Juga, tiada pengakhiran bagimana kisah percintaan watak-watak lain seperti Fadhil dan  Cut Mala.

Tapi, pada aku novel ini memang terbaik. Banyak pengajaran, kata hikmah dan motivasi diselitkan dalam novel ini. Aku masih boleh bagi 3 thumbs up!

Wednesday, June 13, 2012

Ulasan Buku: Ketika CInta Bertasbih - Episod 1

Ini buku ketiga karya Habirurrahman yang aku baca setelah Bumi Cinta dan Ayat-Ayat Cinta. Membaca Ketika Cinta Bertasbih, aku merasakan Bumi Cinta jauh lebih baik.


Novel ini mengisahkan Azam, seorang penjual tempe dan bakso di Mesir. Beliau bukan sengaja ingin menjual tempe dan bakso, tetapi demi menyara ibu dan tiga orang adik beliau di Indonesia. Pada masa yang sama, Azam masih menuntut di Al-Azhar. Mulanya, pada tahun satu pengajian, beliau seorang pelajar yang cemerlang. Akan tetapi, setelah kematian bapa beliau pada tahun kedua, beliau terpaksa memikirkan cara untuk kekal bertahan di Al-Azhar dan pada yang sama menyara keluarga di kampung. Lalu, beliau memutuskan untuk berniaga tempe dan bakso di Mesir.

Azam, sangat gigih. Belajar di Al-Azhar dan pada masa yang sama berniaga untuk menyara keluarga adalah suatu perkara yang sukar. Tetapi, seperti nama beliau, dengan keazaman beliau berjaya menghabiskan pengajian sarjana muda di Al-Azhar dan pada masa yang sama membolehkan dua orang adik beliau tamat belajar di universiti tempatan.

Selain itu, plot cerita tambah menarik bilamana Azam cuba melamar Anna, anak pak koyai pondok yang alim, pintar dan jelita. Tapi, malang, pinangannya ditolak kerana rakan karib beliau, Furqan terlebih dahulu meminang Anna.

Pada masa yang sama, Eliana anak duta besar Indonesia ke Mesir amat tertarik dangan mengkagumi keperibadian Azam. Tapi, Eliana kelihatan tidak cocok dengan Azam memandangkan Eliana seorang yang agak sosial dan kurang alim, walaupun beliau tidak kalah jelita.

Sub-plot lainya memaparkan kisah percintaan yang islamik watak-watak Hafez, Cut Mala, Fadhil dan Tiara. Juga, kisah Furqan yang difitnah dengan foto bogel dan suntikan virus HIV/Aids.

Novel ini sangat tidak mengecewkan. Ceritanya padat dengan motivasi. Samada motivasi perniagaan, kejayaan atau cinta. Gaya bahasa masih boleh difahami.

Kalau kau teruja untuk mengetahui lebih lanjut mengenai watak-watak dalam cerita ini, sila dapatkan segera. Novel ini pada aku agak sukar dicari. Aku cadangkan kau beli secara online di http://www.telagailmu.com/ketika-cinta-bertasbih-episod-1/50/

Thursday, March 22, 2012

Ulasan Buku: Ayat-Ayat Cinta



Ini buku kedua Habiburrahman El Shirazy yang aku baca selepas Bumi Cinta. Walaupun Ayat-Ayat Cinta terlebih dahulu menjengah pasaran, tetapi, barangkali buku ini best seller, agak sukar untuk mendapatkannya.

Sebetulnya, aku mula menggemari Habiburrahman El Shirazy kerana promo filem Ayat-Ayat Cinta. Sangat hebat promonya, sehingga aku terpengaruh untuk menonton filemnya. Tapi, pada aku filemnya agak mendatar. Kebetulan juga aku kurang gemar melihat filem cinta. Namun, melalui filem itu aku bertekad untuk membaca novelnya yang aku percaya lebih memberi kepuasan. Lalu, aku terjumpa Bumi Cinta dahulu. Sebuah kisah anak muda di Russia.

Lama kemudian, lebih kurang setahun aku kira, barulah aku aku menjumpai Ayat-Ayat Cinta. Ternyata lebih syok berbanding filim!

Cerita mengenai seorang anak muda Indonesia, Fahri namanya. Seorang mahasiswa Al-Azhar peringkat sarjana. Di sekitarnya, selain teman serumah dan sheikh serta guru taliqi beliau, Fahri didampingi oleh empat watak wanita yang utama. Maria, yang tinggal bersama ibu bapanya, seorang penganut Kristian Koptik tetapi menghafal surah Marayam, berjiran dengan Fahri. Noura, juga seperti Maria, cuma beliau adalah muslim yang menuntut di Al-Azhar tetapi dipaksa melacur oleh ayahnya. Aisha, gadis berdarah Jerman dan Palestin, mencari asal-usul dan menguatkan kefahaman Islam di bumi Mesir. Nurul, gadis Indonesia yang juga aktivis mahasiswi, minat dalam diam terhadap Fahri.

Pada awal plot, banyak menunjukkan hubungan Fahri dan Maria. Cerita berkembang bila Fahri melindungi Aisha dalam keretapi dan mereka berjaya mengislamkan seorang wartawan barat. Kemudian, secara sampingan wujud Nurul, yang digosipkan dengan Fahri oleh rakan serumah beliau. Seterusnya muncul Nouri yang menjadi mangsa keadaan dan memangsakan orang lain.

Terasa cerita hampir ke penghujung apabila Fahri menikahi Aisha. Tiba-tiba debaran berlaku apabila Nurul menaruh minat kepada Fahri. Semakin mendebarkan apabila Fahri dihumban ke penjara angkara Nouri. Tambah menarik apabila Fahri terpaksa mengahwini Maria bagi menyelamatkan nyawa Maria dan nyawa beliau sendiri.

Jujurnya, sewaktu membaca, aku terasa seolah-oleh berada di Mesir. Sama perasaannya semasa membaca Bumi Cinta yang membuatkan aku terasa sejuk di bawah paras beku seperti di Russia.

Sastera novel ini agak sederhana dan boleh aku fahami. Jalan cerita amat baik baik dan terjalin baik antara satu plot dengan plot yang baik. Memang aku rekemen buku ini pada semua orang. Mat rempit boleh baca, mat skema pun boleh baca. Huhuhuhuhuhu.

Tuesday, December 07, 2010

Diploma Urutan Melayu





Politeknik Malaysia telah mengadakan kursus baru yang amat menarik aku kira, Diploma Urutan Melayu.

Barangkali ada yang berfikiran nakal, sinis dan septikal terhadap pengajian diploma tersebut. Aku pasti akan ada yang terbayang wajah gadis-gadis dari China dan Indonesia yang genit dan memberahikan tatkala mendengar perkataan 'urutan'. Tidak hairan pada aku kerana sering dipaparkan oleh berita televisyen arus perdana tentang serbuan oleh pihak berkuasa terhadap rumah 'urut'.

Tapi, seharusnya kau perlu tahu bahawa penyakit strok tidak dapat diubati oleh perubatan moden, tapi boleh dirawat dengan kaedah urutan melayu dan akupuntur cina. Kau juga perlu tahu bahawa ada hampir sedozen hospital di Malaysia yang mewujudkan Unit Perubatan Tradisional dan Komplimentari; yang mana urutan melayu turut terkandung dalam senarai perkhidmatan yang ditawarkan. Kau juga harus tahu bahawa ada sejumlah IPT yang menawarkan diploma dan ijazah dalm bidang urutan melayu dan perubatan alternatif.

Sebetulnya, aku tidak pasti politeknik manakah yang menawarkan kursus tersebut. Politeknik Shah Alam barangkali. Owh, jangan terdetik di hati kau "Aik? Kau kan pensyarah politeknik? Tak kan la tak tahu?"

Kau semua harus tahu bahawa di Malaysia terdapat kurang lebih 2 dozen politeknik dan beribu poliklinik dan berpuluh-puluh program pengajian yang ditawarkan. Banyak perkara lagi harus aku fikirkan berbanding perkara di atas. Hahahahahaha