Sejurus maghrib, kami terus turun untuk makan nasi berlauk yang teringat-ingtkan itu.
https://roshaizulnizam.blogspot.com/…/nasi-berlauk-wakaf-ch…
https://roshaizulnizam.blogspot.com/…/nasi-berlauk-wakaf-ch…
Sampai bawah, gerai itu tiada. Kami tak pasti adakah ia masih lagi dibuka ataupun tidak buka pada hari itu atau dah tutup terus. Ialah, kami kami ke situ hari Rabu jam 7.30 malam.
Walaupun kedai di tutup, perut perlu di isi sebelum cuci mata di Wakaf Che Yeh. Kami sekadar berjalan kaki. Jumpa satu kedai. Macam menarik. Tapi hanya jual steamboat sahaja. Ah, cuaca panas malam itu tidak menggalakkan kami makan steamboat.
Kami berjalan beberapa puluh meter dari kedai steamboat. Jumpa satu kedai masakan panas ala thai. Macam biasa, urusan pemilihan makanan aku serahkan kepada Pn. Nurul. Aku, kalau batu dan kayu boleh makan, aku makan je. Apa ada depan mata, aku makan.
Pn. Nurul pesan nasi putih dua, ayam goreng kunyit, sayur kailan dan telur dadar. Air, macam biasa nescafe O pekat kurang manis, dua gelas. Kena dua puluh ringgit lebih. Harga setara dengan Bandaraya Dungun. Terkejut juga. Tapi, rupanya baru aku tahu, Wakaf Che Yeh tidak lagi murah selepas ia semakin popular.
Usai makan, kami menguatkan otot kaki di pasar Wakaf Che Yeh. Banyak perniagaan yang baru hendak dibuka. Namun, banyak lagi yang tidak dibuka. Sekali lagi aku tiada kepastian sama ada mereka benar-benar telah tutup, atau tutup hari rabu, atau belum buka lagi jam 8.30.
Namun, yang pasti Wakaf Che Yeh sudah tidak seperti dahulu.
Aku tak ingat secara tepat bila kali pertama aku ke Wakaf Che Yeh. Namun aku pasti pada masa itu aku sudah berkahwin dan TRW adalah gergasi bola sepak.
Pertama kali itu Wakaf Che Yeh tidaklah begitu tersusun seperti sekarang tapi banyak yang muluk-muluk pada masa itu.
Pada masa itu, parkir percuma. Belasah letak dimana-mana pun, asal tidak menghalang laluan.
Pada masa itu banyak produk dijual. Pakaian, jersi, perhiasan, haiwan peliharaan, makanan, buah dan beras siam. Setiap gerai ada identitinya. Barangnya juga terkini.
Pada masa itu barang murah. Lebih murah dari tempat lain.
Pada masa itu peniaga mesra. “Bey, masuk tengok dulu Bey, tengok sajo, tok beli takpo.” Muka ada senyum.
Masa beranjak. Wakaf Che Yeh tidak muluk-muluk seperti dahulu.
Setiap kali kunjungan aku merasa Wakaf Che Yeh tidaklah semakin baik.
Parkir tidak lagi percuma. Pernah suatu ketika ada semacam abang kawasan minta bayaran parkir.
Pilihan tidak lagi banyak. Tiada lagi jualan jersi. Bukan sahaja jersi, baju bercetak Kelantan pun tiada. Kebanyakan kedai menjual barang yang hampir sama - barang copy ori. Sesekali ada juga buahan dan makanan. Ada juga jual CD lagu remix disco yang dipasang kuat dengan lirik dua makna dan kurang sopan.
Barang juga tidak lagi murah di Wakaf Che Yeh. Orang kata murah lagi di bazar-bazar lain di Kota Bharu.
Peniaga tidak seramah dulu. Malah terkadang macam tahap kurang ajar. Pernah sekali semasa kunjungan aku yang entah kali keberapa mereka main perang mercun antara gerai. Melintas beb mercun depan mata aku. Khinzir betul.
Terkini aku ke Wakaf Che Yeh dan diperhatikan ia semakin suram. Peniaga kelihatan muram. Barang kelihatan lama. Ia tidak semeriah dulu.
Hemat aku, ini bukan faktor luar seperti saingan dari bazar lain. Tetapi lebih kepada faktor dalaman.
Peniaga selesa semasa zaman kegemilangannya. Tidak menjaga pekerti. Tidak menjaga pelanggan. Tidak menjaga barang dagangan.
Begitulah kawan. Masa senang sebenarnya kita lebih diuji. Jarang sekali kita bersyukur masa senang. Jarang sekali kita bersungguh masa senang.
Kan?
Ingatan untuk aku penulis ini juga.
Kami pulang ke hotel dengan kekecewaan. Dalam kekecewaan itu, Pn. Nurul sempat sambar tudung barang sehelai dua.
Esoknya, kami akan ke Perlis. Harapnya esok jugalah aku sambung cerita.
Bukan Bang Muluk “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.”
No comments:
Post a Comment