Lewat malam itu hujan. Sejuk dan dingin di Kota Bharu membawa ke pagi. Namun, itu tidak menghalang kami bangun awal untuk menuju ke Perlis.
Seawal 6.15 pagi kami sudah bertolak. Cuba mengelak dari kesesakan jalan raya Kota Bharu yang tarafnya hampir sama dengan Kuala Lumpur.
Sejak 10 tahun lepas, kemana sahaja aku bergantung kepada GPS. Dari zaman Garmin ke zaman Google Maps. Aku jenis yang tak berapa nak ingat jalan. Malah, Pn. Nurul lebih handal dalam hal ingat mengingat jalan.
Permulaan perjalanan berjalan lancar. GPS membawa kami ke suatu yang mungkin lebuh raya baru. Entah apa namanya aku tak ingat. Ialah, benda 3 bulan lepas.
Setelah setengah jam perjalanan GPS membawa kami ke kawasan perkampungan. Mulanya jalan persekutuan, dibawanya kami ke jalan negeri. Kemudian ke jalan kampung. Akhirnya entah apa ke gila GPS tersebut, dibawa kami ke jalan batu kerikil, yang hutan kiri kanan. Tatkala berselisih dengan orang kampung, mereka kelihatan hairan. Mungkin dianggap kami gila.
Dari rancak berbual, kami diam. Aku tahu Pn. Nurul cemas dan risau. Aku terus fokus memandu. Sebab aku percaya, setelah scroll laluan GPS tersebut, kami akan bertemu jalan besar, jalan yang benar, jalan yang lurus.
Kerisauan Pn. Nurul berkurangan setelah selesai melalui jalan kerikil. Kemudian kami kembali melalui jalan kampung. Kemudian, kami melalui jalan negeri. Entah macam mana, tiba-tiba kelihatan Politeknik Jeli di sebelah kiri. Kami lega sepenuhnya. Aku tahu, politeknik biasanya akan dibina di tempat yang ada orang.
Letih sebenarnya memandu dalam kerisauan. Kurang lebih 8.30 pagi, kami tiba di stesen minyak Petronas Jeli. Stesen ini boleh anggap sebagai tempat bermulanya lebuhraya Timur-Barat, melalui Tasik Banding - Grik.
Aku rasa GPS membawa aku ke laluan yang tidak sesak. Barangkali laluan Wakaf Che Yeh ke Jeli ada kesesakan. Ialah waktu pagi.
Setelah banyak kali aku melalui Lebuhraya Timur-Barat, ini kali pertama aku singgah di stesen minyak Petronas Jeli. Stesen ini bukan biasa-biasa. Kedai Mesranya memang luar biasa mesra. Dah macam pasar raya mini. Bukan itu sahaja, makanan bungkus berlambak. Namakan sahaja. Nasi lemak, nasi kunyit, nasi minyak, nasi kerabu semua ada. Kuih-kuih pun banyak.
Lagi menarik di sebelah kedai mesra ada lebih 20 biji, aku rasa set meja kerusi batu. Jadi, kami memutuskan untuk beli nasi di kedai Mesra dan makan di kawasan meja batu sebelah kedai.
Setelah kenyang dan menikmati kopi yang dibawa sendiri, kami teruskan perjalanan. Cuaca mendung dan sejuk. Aku jangka jalan akan licin. Memandu di lebuhraya Timur-Barat memang akan sentiasa mencabar. Jalannya membelah lereng bukit. Jalannya tidak lurus. Ada sesetengah masa ia sunyi. Ada sesetengah masa pula ia merbahaya sebab ada pemandu yang cilaka. Biasanya aku akan agak perlahan dan malar ketika memandu di sini.
Owh, panjang dah post ni. Tak sampai Perlis lagi. Kendianlah aku sambung. Kau tunggu.
Gambar tiada kaitan dengan cerita. |
No comments:
Post a Comment