Showing posts with label sekayu. Show all posts
Showing posts with label sekayu. Show all posts

Thursday, September 13, 2018

Bermalam di Air Terjun Sekayu



Terengganu, banyak tempat yang menarik. Ramai orang luar menganggap Terengganu tempat yang jauh dan langka.
.
Antara yang menarik adalah Air Terjun Sekayu. Ia terletak di daerah Kuala Berang. Aku tak pasti jaraknya dari bandar Kuala Berang, tapi aku rasa agak jauh.
.
Air Terjun Sekayu telah beberapa kali aku pergi. Pergi pagi, lalu pulang selepas tengahari.
.
Air Terjun Sekayu sebenarnya agak terkenal di kalangan penduduk tempatan. Hujung minggu, ramai orang tempatan mengambil peluang untuk berlibur dengan kos yang sangat murah.
.
Jadi, pada aku yang introvet, pergi ke tempat ramai orang adalah melemaskan.
.
Mujur, di Air Terjun Sekayu ada disediakan penginapan. Ada tapak perkemahan. Ada chelet. Ada juga rumah banglo kayu dua tingkat.
.
Semua kemudahan ini, termasuk kemudahan lain, kebersihan dan keselamatan diuruskan oleh Jabatan Perhutanan.
.
Jumaat beberapa bulan lepas, aku dan Pn. Nurul cuba bermalam di sana. Aku terdorong oleh tulisan Puan Norazlina Ahmad Bakhtiar.
.
Kami memilih chelet. Chelet ini dilengkap 1 katil double dan 1 katil single. Ada penyaman udara dan kipas.
.
Namun, chelet ini seadanya sahaja. Kalau nak dibandingkan dengan Seri Malaysia, Seri Malaysia 40 kali ganda lebih baik agaknya.
.
Bilik tiada televisyen. Bilik air tiada shower mahupun baldi. Ada getah paip sahaja. Tapi pendek pula. Kalau mandi boleh jirus takat perut. Kalau cangkung boleh jirus takat bahu. Nasib baik aku ada kemahiran tersendiri nak basahkan kepala. Azab.
———
Kami sampai menghampiri tengahari. Orang sangat ramai dan suasana hingar. Lalu kami daftar masuk. Kemudian, aku keluar untuk sembahyang Jumaat. Agak lewat. Selewat itu pun masih lagi orang sejantina dengan aku berpusu masuk. Musafir agaknya. Tak pun transgender.
.
Lepas Jumaat, orang masih ramai. Puan Nurul tenang sahaja keluarkan portable stove dan mula memasak. Sebahagian bahan mentah kami bawa dari Dungun. Sebahagian lagi kami beli di pasar Kuala Berang.
.
Selepas asar, barulah kami turun ke sungai. Dekat sangat dengan chelet. Tak sampai 50 langkah dah sampi. Pengunjung semakin kurang. Agak selesa untuk mandi-manda.
.
Pukul 6 kami naik. Selepas bilas badan dengan azabnya, azab lain datang pula. Lampu satu sahaja yang menyala. Lampu downlight yang kecerahannya sama macam lampu dynamo basikal.
.
Dengan cahaya remang malap, kami bersteamboat malam itu. Suasana yang nyaman dan sunyi memang ngam pekena steamboat.
.
Kami habiskan sisa malam dengan membaca buku. Mujur ada bekalan. Kalau tak, boleh mati kutu.
.
Pagi sebenarnya paling seronok. Seawal 7.15 pagi kami dah turun ke sungai. Memang tiada pengunjung. Yang ada cuma pekerja yang membersih dan mengutip sampah yang ditinggalkan oleh sebahagian pengunjung yang musibat dan tak bertamadun. Elok orang macam ni duduk dalam kurungan zoo.
.
Puas hati dapat mandi dalam suasana pagi yang sejuk dan tenang. Hilang segala beban di kepala.
.
Pukul 9 pagi kami naik setelah pengunjung mulai ramai.
.
Ada beberapa perkara kau perlu pertimbangkan jika hendak bermalam di sini.
.
Pertama, cheletnya seadanya sahaja. Tiada tv. Liputan telefon pun terhad. Jangan berangan nak main Facebook. Boleh main wasap je. Itu pu berasap nak tunggu dia sent.
.
Kedua, kalau bawa makanan dan memasak, simpan dengan elok. Bersihkan sentiasa. Tikus dan serangga cepat je kalau dibiarkan.
.
Ketiga, kedai makan agak jauh. Laluan keluar untuk ke bandar Kuala Berang pada waktu malam agak menyeramkan.
.
Keempat. Selain hari Sabtu dan Ahad, pengunjung tak ramai. Masa aku menginap tempoh hari, hanya ada 3 chelet sahaja bersewa.
.
Bagi tempahan, boleh tengok gambar.





Thursday, January 23, 2014

Air Terjun Ulu Kekabu

Selain dari memiliki pantai yang cantik dan pulau yang menarik, Terangganu juga mempunyai sekian banyak koleksi air terjun yang terbaik. Antaranya di Cemerong, Lata Tembakah dan Sekayu. Namun, ketiga-tiga lokasi tersebut sering penuh dan kusut terutama pada musim cuti dan hujung minggu.

Bagi mengelakkan kekusutan, abang ipar aku telah menemui satu air terjun yang menarik di Setiu. Sebetulnya, bukan beliau yang menjumpai, tapi, dalam keluarga Terengganu aku, beliaulah yang pertama sekali menjumpainya. Hohohoo

Air terjun ini agak jauh juga dari Bandar Permaisuri. Lebih dari 20km. Dari Bandar Permaisuri, kau harus menuju ke utara melalui jalan "atas". Kemudian, kau harus masuk kiri ke jalan menuju Panchur Merah atau Pelandang Agro Resert Setiu. Terus, sampai kau jumpa papan tanda Kg Ulu Kekabu.


Belok ke kanan. Kau akan melalui jalan kampung bertar kira-kira 2km. Kemudian, kau perlu melalui pula jalan tidak berturap sejauh 2km lagi.



Jalan agak sunyi. Kau harus bertenang tatkala melalui jalan ini. Kalau kereta kau "lowered" 4 inci dari jalan, adalah lebih baik kau jalan kaki sahaja ke sini. Namun, kesukaran mengharungi jalan yang tidak bertar itu terubat beli tiba ke destinasi.







Nampak air macam keruh je. Tapi, jernih sebenarnya. Kau jangan terpengaruh sangat dengan gambar. Ilusi optik semata-mata. 

Namun begitu, persekitaran tidak begitu bersih. Kedapatan sisa sampah di tinggal pengunjung terdahulu. Ini kelihatan seperti lokasi ini mula menjadi tumpuan. 



Barangkali boleh dicadangkan supaya tempat ini dinaik taraf menjadi salah satu lagi produk pelancongan di Terengganu. Tapi, tidak pasti boleh atau tidak kerana air terjun ini terletak di dalam kawasan hutan simpanan kekal Gunung Tebu.


Apa-apa pun, tempat ini memang terbaik!

Friday, April 23, 2010

Kampung Mangkuk

Owh, agak melucukan tajuk post kali ini. Kampung Mangkuk. Jangan kau perlekehkan nama tersebut. Ia bukan setaraf mangkuk melamin cendol. Tapi, barangkali ia setaraf dengan magkuk porcelin China yang dijumpai di dalam kapal tenggelam di Laut China Selatan.

Kalau kau ke Terengganu, aku cadangkan kau ke sini. Barangkali kau sudah bosan dengan Pasar Payang, Taman Tamadun Islam, Sekayu, Kenyir atau Pulau Redang. Jadi, kau boleh ke sini untuk menikmati suasana kampung tepian pantai yang sangat indah.

Aku mulanya tak percaya pemandangan yang aku lihat berada di Terengganu. Suasana sangat damai dan menyenangkan di kampung Mangkuk ini. Kalau kau mahu ketenangan dunia, kau harus ke sini.

Oh ya, lupa aku hendak beritahu kau bahawa Kampung Mangkuk ini terletak di daerah Setiu, Terengganu. Lokasinya sangat hampir pantai Penarik. Bagi mengetahui lebih lanjut, ada baiknya kau meng'google'kan diri kau, sebab aku malas untuk mencari maklumat Kampung Mangkuk untuk kau. Hahahahahahaha (dengan nada jahat tetapi bersahaja)

Juga, kalau kau mempunyai kamera DSLR yang hebat, kau boleh menguji kemahiran kau di Kampung Mangkuk.

Mari nikmati pemandangan yang indah di Kampung Mangkuk...