Showing posts with label Petronas. Show all posts
Showing posts with label Petronas. Show all posts

Saturday, June 27, 2009

Diari Sabtu Bujang Terakhir...

Hari ini Sabtu, 27 Jun 2009. Hari ini merupakan hari Sabtu terakhir aku sebagai orang bujang. Pada Sabtu minggu hadapan, 4 Julai 2009 aku akan menjadi suami kepada Pn Nurul.

Berikut diari aku pada hari ini, sebagai orang bujang.

Pagi
Bangun jam 6.00 pagi. Setelah melakukan regangan ringan, aku ambil angin pagi di luar rumah, sambil menghisap tembakau Harvest berperisa anggur, menikmati pagi Sabtu terakhir aku sebagai orang bujang. Beberapa ketika selepas itu, Pais datang untuk menumpang di rumah aku barang sehari dua. Kemudian, aku mandi dan menyegarkan diri, setelah itu solat subuh.

Setelah siap semuanya, aku duduk di meja kerja aku, menghadap netbook dan cuba memperbaikinya, walaupun aku buta IT. Tertekan kerana kerosakan semakin teruk, aku keluar sarapan pagi di kedai kuning Taman Permint. Aku belasah nasi ayam pagi ini. Rasa lapar begitu menusuk perut.

Kenyang perut, suka hati. Aku pulang ke rumah dan kembali membaiki netbook aku. Ternyata usaha aku tidak sia-sia. Netbook berjaya berfungsi dan terus aku akses ke capaian internet. Lantas aku terus melakukan penyelenggaraan terhadap blog gelap aku yang mendatangkan hasil itu. Juga, aku melakukan penyelarasan semula terhadap blog jual barang aku yang masih belum mendatangkan hasil.

Tengahari
Masih melakukan kerja-kerja di alam maya. Sesekali berhenti sebentar untuk bertenang, minum air dan solat.

Petang
Tiba-tiba perut berbunyi semula. Sekali lagi aku ke kedai kuning Taman Permint. Kali ini rojak ayam menjadi habuan aku. Setelah kenyang, aku pulang ke rumah, melipat kad kahwin tambahan. Kemudian aku Asar sebentar kemudian keluar semula untuk menghantar kad kahwin kepada dua pupu Cik Nurul yang tinggal setaman dengan aku.

Selepas beransur dari rumah dua pupu Cik Nurul, aku mengisi minyak di Petronas depan Sekolah Sains Dungun. Terpandang poster Bumble Bee, lalu teringat nostalgia kartun Tranformers. Isi minyak RM50. Terus bergerak ke RHB. Cucuk beberapa ratus hasil duit dari internet. Kemudian terus ke Kuala Dungun, masuk kedai elektrik dan bertanya kepada tauke di situ "Ada TV paling murah tak?". Setelah selesi urusan, masuk pula ke kedai perabot dan juga bertanya "Ada rak TV paling murah tak?".

Siap membeli-belah, aku pulang mengikut jalan pantai. Samai ke rumah terus memasang TV baru. Setelah melakukan sedikit pelrasan, aku mula menonton TV yang sudah lama aku tidak tengok. Sekonyong-konyong, Pais pun pulang setelah selesai berniaga dan kami bercerita hal dunia sehingga Maghrib.

Malam
Aku menaip entry ini sambil menonton Pilih Kasih. ...

Tamat sudah Diari Sabtu Bujang Terakhir.

p/s: Jemput datang ke majlis perkahwinan aku.

Thursday, March 26, 2009

Kerana Tiada Kesedaran Sivik

Pada satu hari, setelah mengisikan petrol pada Iswara kesayanganku di stesen minyak Petronas di hadapan Sekolah Sains Dungun, aku berkira-kira untuk mengisi angin pada tayar kereta aku. Lalu, aku bergegas ke kawasan untuk mengisi angin.

Kedapatan di situ sebuah kereta memakir di kawasan tersebut. Aku kira pemandunya sudah selesai mengisi angin dan hendak berlalu pergi. Kira-kira 5 minit menunggu, tiada pergerakan dari kereta itu. Aku turun, rupanya tiada orang dalam kereta itu. Cis!



Lalu, dengan terpaksa, aku memakir kereta aku di belakang kereta tersebut, kerana tiada ruang untuk aku memakir di kiri atau kanan kereta tersebut. Dengan bersusah payah, aku menarik hos angin dan hanya tayar hadapan kereta aku dapat dipam. Aku kecewa. Jika diturutkan nafsu amarah, hendak saja aku pecahkan cermin sisi kereta tersebut, membuka pintunya, menurunkan brek tangannya dan menolak kereta itu ke samping; seperti yang pernah aku lakukan sewaktu muda dahulu.

Pada hemat aku, pemandu tersebut adalah buta huruf, dan mendapat lesen melalui program "JPJ Bersama Rakyat", dimana tiada ujian bertulis diadakan. Aku berkata demikian, kerana beliau tidak boleh membaca papan tanda ini.



Ataupun, jika beliau boleh membaca, barangkali beliau tiada kesedaran sivik kerana kerap ponteng sewaktu bersekolah dahulu. Itu teori kebarangkalian aku. Jadi, apa pula teori kebangkalian engkau?

Tuesday, December 16, 2008

Huhuhuhuhuhu

Huhuhuhuuhuhu. Pada satu hari aku mendapat surat dari Petronas Dagangan.


Huhuhuhuhuhuh. Rupa-rupanya aku mendapat hadiah kerana kerap mengisi minyak di Petronas.

Huhuhuhuhuhuh. Lalu aku menuntut hadiah aku di Petronas Dagangan Kuantan.

Huhuhuhuhuhuh. Taklah banyak, tapi lepas duit minyak aku setengah bulan!

Tuesday, October 28, 2008

Sungguh Hebat Stesen Minyak Petronas Itu

Cerita minggu lepas. Dalam perjalanan pulang dari Melaka ke Dungun. Aku singgah sebentar di stesen minyak Petronas di Bandar Baru Bahau.

Sampai je tempat parking nak isi minyak, ada seorang pekerja stesen tersebut suruh aku buka bonet. Lalu, beliau pun memeriksa enjin aku serba sedikit; minyak hitam, minyak brek, penapis angin dan juga radiator. Melihatkan air radiator aku sama warnanya dengan teh tarik yang tawar, beliau menawarkan perkhidmatan mencuci radiator dengan percuma, dengan syarat aku mesti membeli coolant dari stesen tersebut. Aku setuju.


Aku setuju bukan kerana perkhidmatan mencuci radiator percuma. Aku setuju bukan kerana coolant yang dijual murah. Tetapi aku setuju kerana aku amat kagum dengan idea bisnes stesen minyak tersebut. Erm.....

Thursday, June 05, 2008

Harga Minyak Naik!!!

Cis!!! Harga minyak naik lagi!!!

Petrol naik RM0.78, menjadi RM2.70
Diesel naik RM1.oo, menjadi RM2.58

Pengumuman yang amat mengejtkan dari Pak Lah. Orang kata Pak Lah umum tengahari, masuk berita pukul 1.30 kat TV3.

Aku tau pukul 5.30, selepas balik kerja, sebab jiran aku, Jai menggelupur nak pergi isi minyak.

Suasana kegelupuran bertambah apabila Stim kelam-kabut pulang ke rumah sewa kami dan mengajak aku untuk mengisi minyak

Aku, seperti biasa, tenang dan bersahaja; kerana tidak mahu mengusutkan kepala.

Suasana di bandar Dungun sungguh sesak pada petang hingga tengah malam semalam. Aku rasa seperti berada di Kuala Lumpur!

Semua stesen minyak begitu kelam-kabut dan kusut. Petronas baru, petronas depan sekolah sains, esso, caltex dan shell semuanya mengalami kesesakan. Cuma di beritakan petronas di simpang Kampung Che Lijah kurang kadar kekusutannya.

Stim memilih untuk mengisi minyak di esso, bukan kerana minyak esso lebih murah, tetapi kerana kad mata ganjaran Smile milik beliau. Oleh yang demikian, kami menunggu selama satu setengah jam untuk mengisi minyak kereta Stim.

Barangkali harga barang-barang keperluan akan meningkat tidak lama lagi.