Tuesday, April 21, 2015

I-Deal Halal Mart Dungun

Bukan sahaja pejabat dan rumah kena housekeeping. Komputer pun kena house keeping juga. Aku, kalau ada apa-apa projek yang guna laptop ini, memang fail berterabur, bersepah. Kadang-kadang 2-3 minggu tak off laptop. Main tutup lid sahaja.

Owh, itu memang amalan yang tak bagus. Yang bagusnya, selepas apa-apa projek itu, aku akan housekeeping fail dalam laptop ini. Lalu, tidak tersengaja terjumpa gambar lama.


Ini gambar puasa tahun lepas. Gambar I-deal Halal Mart Dungun. Ingatkan nak tulis pada tahun lepas itu juga. Tapi, kealpaan melanda. Baru tahun ni nak tulis. Hohohohoho. Sekarang ni pun signboard kedai ni dah bertukar!

Ok, kedai ini terletak di lampu isyarat Pak Sabah. Kalau kau dari Gong Pasir, kau akan nampak kedai ini di depan kau masa berhenti di lampu isyarat. Tapi, kalau kau dari Bandar Dungun, kedai ini terletak sebelah kanan kau.

Kedai ini sederet dengan sebuah kedai basikal dan kaunter bas Sani Express. Memang senang sangat nak jumpa kedai ini.

Kedai ini bukan macam kedai runcit biasa. Ia unik. Ia menjual barangan runcit Muslim yang Insya Allah halal, baik dan bersih. Kalau kau nak memboikot barangan Yahudi secara intensif, boleh sahaja kau mencari produk alternatif di kedai ini. Juga, kalau kau taknak pergi Pok Eng Teng, Nirwana, atau Mydin, boleh sahaja kau pergi ke kedai ini. Barangnya cukup lengkap.

Ataupun kalau kau mencari barang seperti di Kedai Ajees, tapi malas nak ke Kuala Terengganu, boleh juga ke kedai ini. Kau boleh pilih pelbagai kurma dan makanan kering timur tengah. Bukan itu sahaja, rempah dan makanan dari timur tengah juga boleh didapati di sini.

Kalau kau kali pertama ke sini, aku syorkan kau jadi ahli dahulu. Boleh dapat sedikit diskaun pembelian. Hohohoho.

Info aku mungkin tak lengkap di sini. Kalau kau nak update terkini mengenai kedai ini, boleh LIKE fanpage I-deal Halal Mart Dungun. Maklumat produk baru, promosi dan sesi food test boleh diperolehi di page tersebut.

Ok, sebagai penutup, nah aku belanja gambar lama kedai ini. Hohohoho





Friday, April 03, 2015

Gambar Bertudung Fara Fauzana di Lori Nescafe Kini Menjadi Kenyataan

Blog ini memang lama tidak dikemaskini. Malas. Lagi pun, blog tidak seinteraktif Facebook. Dulu, comment setiap pos aku boleh cecah la juga 10 walaupun view hanya beberapa puluh sahaja. Sekarang ni, walaupun view beratus, memang takde orang nak komen! 

Tapi, ada beberapa sebab aku tiba-tiba rajin menulis kembali. Dalam kes ini ada dua sebab. 

Satu, sistem key-in markah tengah perlahan ya ampun! Aku bosan menunggu. Aku surfing. Akhirnya, surfing blog sendiri.

Kedua, posting lama aku dulu memang mengancam. Ialah, masih baru tahap anak dara. Sekarang ni dah macam mak janda anak tiga. Sebab tu aku kembali bersemangat untuk menulis. Supaya blog ini boleh jadi macam janda bergetah.

Macam biasa, aku merepek. Lari tajuk. Sebetulnya, masa tengok posting lama, aku pernah tulis pasal Fara Fauzana bertudung pada iklan yang ditampal di lori Nescafe.


Tahun 2009 masa tu. Fara Fauzana belum pakai tudung lagi. Aku tak perasan pula bila masa Fara Fauzana bertudung. Tapi, aku tertengok Hot TV malam semalam, baru aku perasan!

Agak-agak la kan, adakah beliau membaca post aku itu lalu mengambil keputusan untuk bertudung? Hohohohohoho

Thursday, March 12, 2015

Kalau Kau Ke Dungun, Kau Patut Menginap di Homestay Ini!



Kau pernah ke Dungun? Kalau belum, aku cadangkan kau ke sini. Punya la best sangat Dungun ni, sedar tak sedar, sudah 9 tahun aku duduk sini. Ini testimoni betul punya. Bukan rekaan. Malah, YB Dungun pun tak bayar aku untuk mengatakan bahawa Dungun best. Cuma, ada la juga rakan-rakan Dungun yang pernah belanja aku makan. Hohohoho.

Paling best di Dungun pada pandangan aku adalah pantainya. Panjang. Membiru. Kadang-kala menghijau. Kalau rasa letih dan lesu, boleh lepak di pantai. Boleh singgah di gerai kerepok lekor sepanjang pantai. Menikmati kopi dengan angin sepoi-sepoi.

Sepanjang pantai ini juga, kedapatan banyak hotel. Antaranya, Hotel UiTM, Tanjung Jara Beach Resort, Ulek Beach Resort, Mayangsari dan beberapa lagi hotel berbintang. Kalau poket tebal, percutian pendek dan pergi berdua, tidak salah untuk tinggal di hotel. Lebih praktikal dengan layanan yang baik.

Tapi, jika kau datang ke Dungun secara berkumpulan, dengan percutian agak panjang dan berniat untuk berjimat pada zaman GST ini, aku cadangkan kau memilih homestay. Selain hotel yang banyak, di Dungun terdapat lebih banyak homestay berbanding hotel. Cuma mungkin kerana kurang promosi dan branding, homestay di Dungun semacam sukar untuk dicari.

Ok. Sebenarnya, homestay yang aku maksudkan bukanlah seperti idea penubuhan homestay pada awalnya. Sebetulnya, bila dikatakan homestay, bermaksud, tetamu duduk sekali dengan tuan rumah. Kalau tuan rumah makan, tetamu pun makan. Kalau tuan rumah menangkap ikan, tetamu turut juga keluar menangkap ikan. Idea awal homestay adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada tetamu menikmati gaya hidup yang berbeza dari gaya hidupnya selama ini.

Tetapi, istilah homestay sekarang yang diketahui ramai adalah semacam hotel. Cuma layanan, pengurusannya dan organisasinya tidak secanggih homestay. Dan, harganya pasti lebih jimat dari hotel dengan luas yang sama.

Banyak-banyak homestay di Dungun, aku amat mencadangkan kau menginap di HOMESTAY SOLEHAH DUNGUN. Walaupun pengurusannya tidak semacam hotel, tapi aku lihat ada usaha ke arah itu. Boleh dikatakan ia merupakan sebuah rangkaian homestay. Sebab, Homestay Solehah Dungun ini hingga kini sudah ada 3 buah rumah yang dijadikan homestay. Dari risikan aku dari Facebook pemilik homestay ini, dan khabar angin yang bertiup kencang, dikatakan pemiliknya mahu menambah lagi beberapa buah homestay dalam tahun ini juga.

Ketiga-tiga Homestay Solehah Dungun ini berada di tepi pantai. Malah, salah satu darinya sangat dekat dengan pantai. Buka pintu, terus nampak laut. Kalau Usain Bolt lari pecut, kurang 5 saat dah sampai di gigi pantai!

Manakala dua buah homestay lagi terletak berhampiran. Kalau bawa rombongan sebuah bas, boleh muat dua buah rumah itu dengan kadar selesa seadanya. Kalau setakat rombongan meminang 6 buah kereta, memang selesa sangat untuk tinggal di dua buah homestay tersebut. Tak perlu menyewa dua buah homestay yang berjauhan. Jadi, mudah untuk berbincang menyusun ayat pantun untuk meminang!

Apa macam? Berminat ke? Nak tempah sekarang?

Sabar kawan. Jangan gelojoh. Tengok dulu website dan Facebook page Homestay Solehah Dungun ni. Dapatkan maklumat dulu.
Website: http://www.homestaysolehahdungun.com/
FB Page: https://www.facebook.com/Homestaysolehahdungun

Macam mana? Berminat? Dah tak sabar? Boleh isi borang tempahan pada website. Sebelah kiri. Cuba tengok balik.

Owh, lupa nak bagitau. Harganya boleh dirunding. Tapi, kalau tidur semalam; kalau aku jadi kau; segan juga nak minta kurang harga! Hohohoho

Kalau nak minta kurang juga walaupun tidur semalam sahaja, sila runding dengan tauke homestay. Nah, ni no telefonnya. Save tau!
013-9326751 - Pn. Nor
013-7686751 - Abg Wan

Kalau telefon Abg Wan tu, bagitau dia yang kau kenal aku. Walaupun aku tak kenal kau. Hohohoho.

Kalau sebut nama penuh aku 3 kali, Insya Allah dia boleh bagi diskaun.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
Apa pasal kau scroll bawah ni? Pergi la call Abg Wan tu. Kata tadi nak diskaun. :p


Credit gambar: http://www.visit-terengganu.net/

Friday, March 06, 2015

Orang Johor Ini Telah 9 Tahun Berkelana Ke Terengganu

Hari ini, pada 9 tahun lepas, aku mula melapor diri di Politeknik Dungun. Sehari sebelum itu, aku memandu seorang diri dari Bandar Tenggara ke Dungun dengan hanya menaiki Kancil 850. Berhenti beberapa kali sebab enjin panas. Itu belum kira sesat beberapa kali sebab tak tau jalan arah. Hohohoho

Terasa jauh waktu itu negeri Terengganu. Ditambah lagi dengan keadaan jalan yang tidak sebaik sekarang. Perjalanan terasa amatlah lama!

Mujur juga ada rakan yang lebih awal beberapa tahun tinggal di Dungun. Dapatlah aku menumpang kasih. Hahahahaha. Kalau tak, satu hal pula nak cari rumah sewa.

Mulanya, aku sangkakan kerja mengajar ini senang. Rupanya tidak seperti dijangka. Memang sangat letih ketika mula mengajar. Seingat aku, selama 6 bulan aku sering tidur awal; sekonyong-konyong lepas isyak kerana keletihan mengajar di siang harinya.

Lama kelamaan, kerja mengajar itu menjadi biasa.  Sekarang ni, kalau kelas 6 jam sehari pun aku masih gagah lagi untuk meniaga atas talian di malam hari.

Mulanya juga, aku agak kekok untuk memahami loghat Terengganu.
"Hodoh sepang"
" Nipis nayang"
"Dok rok chetong"
"Gelenyar"
"Berayuk"
"Jirit"
"Supik rok rak"
"Copong"
Itu antara perkataan loghat Terengganu yang buatkan aku terpinga-pinga.

Tapi, setelah berkahwin dengan Pn. Nurul yang jatinya Terengganu, kini aku boleh berloghat Terengganu dengan mudah. Malah sesetengah orang tidak percaya aku asal jatinya dari Johor.

Namun, sebetulnya semasa bercinta, aku tak pernah dengar Pn. Nurul cakap loghat Terengganu. Lepas akad nikah "tubik" habis keterengganuannya. Hohohohoho.

Hingga kini, aku masih seronok dengan suasana di Terengganu. Tapi, atas beberapa faktor yang rasanya Pn. Nurul pun tak tahu, aku dah mula terlintas untuk kembali ke dagang; seperti sirih.

Tapi, tidaklah dalam masa terdekat ini. Barangkali 9 tahun lagi!!!

Monday, January 19, 2015

Tempat Makan Paling Murah di Dungun

Zaman ini zaman inflasi. Semua barang naik. Tak pernahnya turun. Walaupun harga minyak turun adalah mustahil barang lain akan turun. Ialah, siapa nak kurangkan dia punya untung? Misalnya, sebelum harga minyak turun, kau untung RM10. Bila minyak turun, kau untung RM15. Kalau kau jadi peniaga, adakah kau akan turunkan harga? Hohohohoho.

Jadi, adalah penting untuk kau ubah gaya hidup. Tidaklah banyak sangat sampai dari pakai Mercedes mata belalang kena pakai Proton sampan, tapi sekadar sedikit penyelarasan gaya hidup sahaja.

Antaranya pemilihan tempat makan. Kau dah boleh boikot kedai yang jual mahal. Boikot ni sangat berkesan. Kau tengok apa jadi dengan McD, Cadburry dan roti High5 bila kena boikot? Jadi, pilihlah kedai yang harganya lebih murah.

Misalnya, kau Dungun kau boleh mencuba Nasi Bajet RM3. Kedai ni sederet dengan kedai tomyam Batu 50. Sebenarnya, dia bukannya kedai sangat, hanya gerai di tepi jalan. Kau tak boleh makan di situ, hanya boleh bungkus sahaja.





Semalam, aku cuba membeli di situ. Lama dah perasan, tapi belum berkesempatan untuk berhenti. Samalam, berhenti, terus beli 3 bungkus! Hohohohoo. Jumlah semua baru RM9. Biasanya kalau aku makan tengahari berdua dengan Pn. Nurul, RM10 tu pasti.



Nasi semangkuk, sayur kobis sesudu besar, sambal belacan sesudu kecil dan ayam belah 16 setongkol. Ayam ada 3 pilihan. Masak merah, asam pedas atau goreng. Rasanya? Boleh tahan. Tahap kenyang? Alhamdullilah, seadanya bagi orang gemuk macam aku. Kalau badan kau macam Wak Doyok, boleh jadi terlebih kenyang.

Lagi satu yang aku suka kedai ialah kepantasan. Kedai ni tepi jalan. Senang parkir. Senang order. Senang bayar. Senang pergi. Kesenangan itu mewujudkan kepantasan. Berbanding kau beli nasi bungkus kat kedai biasa. Kena parkir jauh. Kena jalan masuk kedai. Kena cedok nasi dan lauk sendiri. Beratur kat kaunter nak bayar. Argh! Leceh la!

Kesimpulannya, nak jimat, nak cepat? Nasi bajet RM3 jawapannya.

Wednesday, December 24, 2014

Friday, December 19, 2014

Cuaca masih mendung di Terengganu. Gelombang kedua katanya.



via IFTTT

Beli Kurma Kedai Ajees

Aku mula mengenenali Kedai Ajees ini apabila menceburkan diri dalam industri pembuatan tungku bayi (tak agak-agak tahap industri, hohohoho). Banyak bahan untuk membuat tungku bayi aku dapat dari kedai ini. Harganya memang jauh lebih murah kalau beli di pasar atau kedai biasa. Malah, sesetengah bahan memang tak boleh dapat di tempat lain.

Aku tak tahu berapa lama Kedai Ajees ini dah ada. Aku rasa dah lama. Sebab, bila aku tanya mak saudara Pn. Nurul, dia kata lama tu macam ada panjang sikit. (Laaaamaaaaaa doh keda tu)

Kalau nak cari makanan timur tengah, memang sini tempatnya. Madu, kurma, habatus sauda, kismis, buah tin, buah zaitun, minyak zaitun, cuka kurma, cuka epal dan pelbagai rempah ratus ada di sini. Kalau nak cari rempah yang "rare" macam halba dan serbuk kayu manis pun ada dijual.

Oleh kerana keunikan barang jualannya dan harganya yang murah, memang kedai ini akan penuh setiap hujung minggu. Kalau masa nak puasa atau raya, memang lagi ramai. Boleh berlaga bahu. Silap-silap boleh berlaga siku! Hohohoho

Kedai ini terletak di Pulau Kambing, Kuala Terengganu. Simpang masuk kedai ini terletak betul-betul berhadapan Shell Pulau Kambing dan LKIM Pulau Kambing. Jadi, apalagi? Bagi penuh lagi kedai ini!










Saturday, October 04, 2014

Sebab Steve Jobs tak bagi anak guna iPhone dan iPad!

Tajuk kasi gempak. Barulah kau teruja nak baca. Ada macam headline Harian Metro tak? Hohohoho.

Aku mula pakai telefon bimbit pada awal tahun 2000-an. Masa tu telefon bimbit tak secanggih sekarang. Antara ciri-ciri telefon pada zaman tersebut adalah:

1- Ada arial. Ada sesetengah jenis, macam jenis Erickson, kau perlu tarik arial bila ada pemanggil. Macam tarik arial televisyen yang indoor tu. Eh, kau pernah nampak tak arial tv macam aku tulis ni?

2- SMS boleh taip 160 aksara sahaja. Kalau kau nak hantar lebih, kau kena hantar dulu 160 aksara pertama. Kemudian, taip sambungan SMS kau dan hantar sekali lagi.

3- Display macam calculator. Sebaris je. Takde macam sekarang boleh berbaris-baris.

4- Bunyi monophonic.  Kiranya bunyinya macam kuda mainan jongkang jongket yang biasa ada kat pasaraya pekan kecil. Tak macam sekarang, bunyi canggih true sound.

5- Bateri tahan. Ada jenis , macam Alcatel, yang seminggu pun tahan baterinya.

6- Takde game. Nak ada game macam mana kalau display sebaris je. Hohoho. Bila Nokia 3310 keluar, baru ada game. Game ular paling popular. Kedua popular, game perang bunuh rasaksa.

7- Ada keypad. Hebatnya keypad ni sampai kau boleh taip SMS tanpa melihatnya. Tangan kiri dan telefon duduk dalam poket sambil bawa motor pun boleh taip SMS. Zaman sekarang, cuba kau buat macam tu. Ada berani? Hohohohoho.

8- Takde langsung masalah hang dan lagging. Lancar je. Tak payah nak format bagai. On skrin, terus boleh guna.

Walaupun nampak banyak perbezaan dengan telefon sekarang, tetapi, pengguna telefon zaman tu tidak terlalu taksub dengan telefon. Jarang lihat orang yang sentiasa pegang telefon. Ini sampaikan makan pun kena berteman telefon.

Bila nak makan ambil gambar makanan. Letak dalam IG, link dengan FB. Selepas suapan pertama, terus ada orang komen. Sambil kunyah, balas komen tu. Sudahnya, makan lebih lama. Kalau biasa tanpa telefon 10minit sahaja, dengan telefon boleh jadi 37minit!

Itu belum kira lagi kalau keluar satu keluarga. Pernah aku tengok, satu keluarga empat orang makan di kedai. Tak bercakap langsung antara satu sama lain. Masing-masing tersenyum tengok telefon.

Jadi, tak hairanlah Steve Jobs tak bagi anak beliau miliki iPhone atau iPad. Ia tidak memanusiakan manusia. Steve Jobs memang seorang teknologis dan usahawan. Tapi, beliau adalah bapa yang baik!

Aku takde anak, dan aku takde pengalaman pasal hal ini. Barangkali kau yang ada anak lebih arif. :-)

Monday, September 29, 2014

Mee Rebus Johor

Post takde perenggan pengenalan. Terus isi. Hohoho.

Banyak beza mee rebus Johor dengan Terengganu. Lapan tahun lepas, masa mula-mula merantau ke Terengganu, aku menyangkakan rasa kedua-dua versi adalah sama. Sangkaan aku meleset.  Aku merasa pelik pada waktu itu. Pelik dengan rasa mee rebus Terengganu.

Mee rebus Terengganu, rencahnya agak ringkas. Hanya tumis bawang dan beberapa bahan asas. Tapi, isinya macam- macam. Ada versi yang memasukkan keropok ikan keping bagi menimbulkan rasa manis ikan dalam mee rebus itu.

Aku tak tahu cara nak buat mee rebus Johor. Aku tahu makan je. Hohoho. Tapi, rencahnya agak mewah. Kuahnya akan sedikit likat. Ada rasa udang kering dan cili kering yang kuat. Isinya ringkas. Biasanya hanya ada daging dan mee. Atau ditambah sedikit tauge. Ada orang panggil mee ini dengan mee Jawa. Tapi, aku tak panggil ia mee Jawa, walaupun aku berketurunan Jawa. Aku tetap panggil ia mee rebus.

Di Dungun ni, setahu aku hanya satu kedai menjual mee rebus atau mee Jawa. Kedai Selera Selatan yang sederet dengan Shell baru Batu Lima.

Mujur juga zaman moden ni banyak dijual pes atau serbuk segera mee rebus. Banyak kedapatan di kedai runcit Johor. Kalau balik Johor, memang akan ada sekurang-kurangnya satu dua pek pes segera masakan Johor seperti mee rebus, mee bandung dan soto.

Lalu, Pn Nurul akan memasak masakan citarasa Johor dengan pes-pes itu. Namun, biasanya Pn Nurul akan ubahsuai menunya, terutama isi supaya ia ada sedikit citarasa Terengganu.

Macam versi mee bandung dalam gambar ini, nampak macam mee bandung, tapi rasa mee rebus. Sebenarnya isinya sama seperti mee rebus Terengganu, tapi rencah kuahnya mee rebus Johor. Sedap juga beb!

Sunday, September 28, 2014

Salina - A Samad Said

Lama tak menulis. Usia meningkat. Kesibukan juga meningkat. Banyak projek kerja dan niaga bersilih ganti. Itu berjaya mengurangkan kemahuan aku untuk menulis.

Juga, sejak aku guna tablet dan smarphone, aku leka. Leka scroll facebook. Leka browse video youtube. Hohohohoho. Aku cuba menahan keinginan itu dengan membaca. Tapi, dalam banyak keadaan, tablet berfacebook itu lebih menarik dari buku bercetak.

Hasilnya, banyak buku yang dibeli tapi tidak dibaca! Owh!

Aku gagahi juga keinginan berfacebook. Berjaya juga habiskan sebuah buku rencana pengalaman karya Dr. Maza. Lalu, ini buku kedua aku cuba habiskan. Novel karya Sasterawan Negara, A. Samad Said. Salina.

Aku kira ini antara karya awal A Samad Said. Dan karya ini entah berapa kali aku baca. Pernah aku miliki cetakan tahun 90-an. Tapi naskah tersebut hilang entah dimana. Beberapa bulan lepas, aku jumpa cetakan terkini naskah ini, jadi, tanpa ragu, aku terus sambar satu.

Isinya masih sama dengan cetakan sebelum ini. Walupun karya sastera, Salina mudah untuk difahami bait ayatnya berbanding naskah A Samad Said yang lain seperti Hujan Pagi.

Plot Salina agak ringkas. Tapi, A Samad Said menceritakan secara detail watak, suasana dan perlakuan setiap watak cerita ini. Hinggakan aku boleh membayangkan dengan baik keadaan kampung kambing. Juga, aku merasa jengkel dengan watak Abdul Fakar.

Aku malas untuk cerita sinopsis Salina. Baik kau ke kedai buku mencari naskah ini. Kau akan rasa amat terkesan dengan naskah ini. Aku rasa kalau buat drama bersiri, pasti tinggi ratingnya!

Thursday, July 03, 2014

Ayuh Bank Islam

JDT menang Liga Super 2014.

Ayuh Merah Biru,
Luaskan Kuasamu,

* Tukar lirik

Ayuh Bank Islamku
Luaskan Servismu!

-------

Aku pakai perkhidmatan Bank Islam agak lama. Semenjak aku kerja aku membuka akaun Bank Islam. Selepas beberapa tahun, aku pakai kad kredit Bank Islam dan kad itu adalah satu antara dua kad kredit aku yang masih kekal.

Baru-baru ini Bank Islam meningkatkan kualiti perkhidmatan atas taliannya. Web baru yang menarik dan mesra pengguna. Tidak seperti web lama yang agak ketinggalan. Tahniah!

Aku menggunakan Bank Islam untuk membayar semua bil aku secara atas talian. Adanya web baru ini, ia lebih memudahkan. Namun, ada satu semacam sidikit kesilapan pada web bahagian pembayaran bil Syarikat Air Terengganu.

Aku menelifon khidmat pelanggan bagi memberitau masalah tersebut supaya perkhidmatan dapat dipertingkatkan. Malangnya, aku mengambil masa lebih 10 minit untuk bercakap dengan pegawai khidmat pelanggan yang sibuk. Fuh!



Kemudian, pegawai tersebut pening dengan masalah tersebut. Beliau berkata, bil boleh dibayar melalui telefon/tablet dengan memuat turun aplikasi Bank Islam.

Aku muat turun. Cis! Terkena aku. Itu aplikasi informasi sahaja. Mana boleh buat pembayaran. Rugi bil telefon dan masa aku sahaja! Hohohoho

Aplikasi itu hanya memaparkan antaranya lokasi bank, waktu solat, kalkulator dan yang terbaik doa harian.



Kalau orang Bank Islam baca post ini, diharapkan kau boleh memberitahu bos besar kau supaya meningkatkan lagi mutu perkhidmatan. Pada pandangan aku, Bank Islam agak ketinggalan berbanding bank lain. Kemonlah kawan, kau orang bawa nama Islam, jadi, kena buat yang terbaik ya!

Dalam kes aku, Bank Islam boleh menambah bilangan pegawai khidmat pelanggan. Kesian pada yang ada, asyik sibuk memanjang. Juga, aplikasi telefon pintar tu bagi canggih lagi ya. :-)

Wednesday, July 02, 2014

Mozarella Cheese Dungun

Ini bukan blog masakan. Jauh sekali blog resepi. Aku tak pasti sama ada ada post mengenai resepi dalam blog ini. Aku tak ingat. Banyak sangat dah post. Hohoho.

Tiba-tiba, tempoh hari aku menerima satu komen.


Mula-mula aku termanggu juga. Tetapi tiba-tiba sekali lagi teringat kegemaran Pn. Nurul membuat pizza. Beliau ada guna cheese untuk lekatkan topping pizza. Tapi, aku tak tahu cheese jenis apa yang beliau pakai.

Sebelum ini, Pn. Nurul membeli cheese di Giant Kuala Terengganu. Tapi, harga dia memang kapak. Dia punya kapak, sampai bocor poket aku. Hohohoho. Ialah, dengan branding dan packaging yang mengancam, tentulah lebih mahal kosnya.

Kemudiannya, pernah sekali kami cuci mata di sebuah kedai kek. Terjumpa cheese yang dijual timbang. Ala, macam beli majerin timbang. Harga memang jauh murah dari pasaraya. Kalau pasaraya harga kapak, kat kedai ni harga pisau gillate sahaja. 

Kedai tersebut terletak di Taman Permint Dungun. Sebaris dengan kedai spare part Kong. Sederet juga dengan kedai komputer yang aku marah hari tu. 

Tapi, aku tak pasti mozarella cheese ada atau tak dijual di sini. Yang pastinya, Pn. Nurul pernah membeli cheese di sini. Malangnya, aku tak ingat apakah nama cheese itu. Hohohoho

p/s: Kalau tiada di sini, kau boleh cuba di sebuah kedai menjual barang mentah kek di bangunan Maidam Dungun. Belakang McD Dungun.

Tuesday, July 01, 2014

Hola West Bukan DI Hawaii

Nama stail macam Hawaii gitu, tapi mungkin tiada di Hawaii. Pastinya berada di Dungun!

Ini kedai makanan barat yang terbaik aku kira di Dungun. Lama sudah kedai ini. Rakan-rakan setempat kerja sering memberi 4 thumbs up (termasuk ibu jari kaki) kepada kedai ini. Lalu, kami mencubanya pada suatu hari itu.



Hanya makanan barat dijual di sini. Grill, steak, roti john dan burger antara menunya. Barulah aku tahu apa beza daging grill dan steak apabila tiba ke kedai ini. Nak tahu apa bezanya? Sebab hari ini aku malas taip panjang, jadi, silalah kau pergi ke Hola West Dungun untuk mengetahuinya. Hohohoho

Aku memesan daging grill sahaja. Sos kuahnya memang sedap. Persembahan hidangan juga menarik. Tidak hairanlah kerana chefnya diberitakan adalah pensyarah kulinari UiTM Dungun. Fuh, pensyarah yang masak, memang sedap! :-p




Banyak juga air yang istemewa di sini. Aku lupa apakah namanya. Tapi, kebanyakan air stail macam cocktail agaknya. Juga, airnya minumannya sangat kena dengan hidangan di sini. Air-air minuman di sini kebanyakkannya kombinasi manis-masam. Jadi bila, muak makan daging, air minumannya boleh mengimbangi rasa muak tersebut.



Hiasan kedai pula sederhana, tetapi hebat. Dari luar nampak macam kedai buruk sahaja. Tapi, bila masuk dalam, buruk itu sebenarnya dibuat-buat bagi menggambarkan suasana kesederhanaan dan kekampungan. Memang menarik.



Ok. Kedai ini terletak di pesisir jalan pantai Dungun. Kalau dari UiTM Dungun jaranknya lebih kurang 2km sahaja. Boleh cuba untuk menikmati hidangan barat yang terbaik di Dungun hasil tangan chef pensyarah!

Monday, June 30, 2014

Sampah Bukit Bauk

Ada beberapa post aku cerita pasal Bukit Bauk.

Pernah aku jumpa seorang doktor gigi, yang membawa plastik kosong apabila mendaki Bukit Bauk. Doktor tersebut akan membawa sekurang-kurang dua plastik kosong yang sederhana besar. Kalau beliau naik dengan keluarga beliau, akan lebih banyak plastik kosong dibawa mereka.

Menghala turun, mereka sekeluarga akan mengutip sampah. Aku amat terkesan. Doktor tersebut berjaya mengajar anak-anak beliau tentang pentingnya menjaga kebersihan dan alam sekitar. Memang minda kelas pertama!

Menurut doktor tersebut, sampah di puncak lebih banyak dari di bawah bukit. Ini kerana, biasanya orang yang ada hasrat untuk naik ke puncuk, akan membawa sedikit bekalan. Sesetengah mereka akan meninggalkan sisa bekalan tersebut setelah menghabiskannya. Ini minda kelas ketiga.

Lama juga aku mahu mengikut cara doktor tersebut. Perasaan segan menyelubungi. Tapi, aku cuba buang sikit demi sedikit perasaan itu. Banyak kali juga apabila mendaki Bukit Bauk aku akan membawa plastik kosong. Tapi, plastik kosong akan aku tinggalkan sahaja di kereta jika aku lihat dan jangka ramai sangat orang pada waktu itu. Mahu, tapi malu. Ini minda kelas kedua! Hahahahaha

Kalau semua orang bertanggungjawab terhadap sisa mereka, itu lebih bagus. Tapi, tak ramai berfikiran begitu. Ramai merasa kotor untuk menyimpan sebentar sampah di dalam poket dan tidak malu untuk membuang sampah merata-rata. Ada juga yang berfikiran bahawa akan ada orang yang akan membersihkan kawasan itu. Ialah, sebab aku pembayar cukai, kata mereka.

Jadi, aku menyeru kau yang membaca post ini dan suka atau akan naik Bukit Bauk untuk sekurang-kurangnya untuk tidak membuang sampah di atas sana; minda kelas kedua. Kalau kau dapat buat macam doktor tu, memang minda kelas pertama!



p/s: Gambar sampah yang aku bawa turun suatu hari itu dari Bukit Bauk.

Sunday, June 29, 2014

Cerita Ramadhan

Hari ini hari pertama kita berpuasa bagi tahun 1435H.

Kalau di Johor, 1 Ramadhan merupakan cuti umum. Tapi di Terengganu, 1 Ramadhan adalah hari bekerja. Seperti biasa.

Tetapi, di Terengganu kakitangan kerajaan biasanya akan pulang setengah jam awal. Ini tidaklah menghairankan. Ada majikan swasta di Terengganu membenarkan pekerja pulang satu jam awal atau lebih!

Tuan rumah sewa aku yang lama, Cikgu Alias, pernah memberitahu, suatu ketika dahulu pada bulan puasa di Terengganu, waktu kerjanya hanya separuh hari. Ini bermaskud waktu kerja tamat setelah azan Zuhur berkumandang!

------

Aku berpuasa seawal usia 6 tahun. Seingat aku pada waktu itu, aku akan buka menjelang waktu Zuhur atau Asar. Hahahahahha.

Bapa aku menggunakan cara psikologi untuk mengajar kami adik-beradik berpuasa. Siapa yang tak berpuasa, tidak boleh makan berbuka dengan orang yang puasa. Mesti duduk di bawah biasanya dan lauknya tidak semewah orang berpuasa. Selain itu bapa aku turut berpesan "Orang tak puasa, tak boleh raya". Minda naif aku terkesan dengan kaedah itu. Pada usia 7 tahun, aku dah mula berpuasa penuh.



------
Biasanya, bulan puasa menjadi bulan yang tak produktif. Semua perlahan dan lemah gemalai. Come on lah! Buat biasa sahaja pada bulan puasa. Setakat kerja pejabat pun lembik, apa barang macam tu! Hahahaha

Aku tabik kepada bapa aku. Walaupun kerja kebun dan berniaga buah pada bulan puasa, beliau tetap gigih. Tak pernah sekali beliau mengeluh atau melambat-lambatkan kerja kerana berpuasa. Stamina beliau memang luar biasa. Tatkala aku semcam sudah tiada tenaga lagi akibat berpuasa, beliau masih gagah perkasa!

-----
Mitos mengatakan, puasa akan menurunkan metabolisma. Tapi, pakar pengurusan badan, Kevin Zahari kata, berpuasa tidak akan menurunkan metabolisma. Dengan syarat, kau aktif seperti biasa sama macam biasa.


------

Sebenarnya, kau boleh mengambil kesempatan pada bulan Ramadhan ini untuk menguruskan badan. Malas cerita panjang kau klik gambar di bawah untuk muat turun laporan PERCUMA itu.


-----

Pada kesempatan ini, aku ingin mengucapakan ampun maaf jika ada keceluparan sewaktu menulis post ini. Juga, bersama-samalah kita meningkat amalan dan kurangkan kemugkaran. Bukan hanya pada bulan puasa ini, tapi untuk sepanjang masa. :-)

Saturday, June 28, 2014

Mesin Jahit Yang Nostalgia

Ini cerita mesin jahit, kasih sayang dan nostalgia.

Ada sebuah mesin jahit usang di rumah mak mertua aku di Pulau Rusa. Jenama Merrit. Ia usang kerana kayunya kelihatan mereput. Badannya kelihatan menggerutu akibat karat dalam. Fungsi mekanikalnya pun sudah tidak efisyen lagi.







Ia masih boleh digunakan. Tetapi, tidak boleh secara lasak dan intensif. Setakat jahit seluar koyak celah kelangkang boleh lagi la kot. Hohohohoho.

Pn. Huda mulanya berkira-kira ingin membeli sebuah mesin jahit industri untuk diletakkan di Pulau Rusa. Katanya, mudah untuk menjahit barut dan bedung apabila pulang ke kampung. Dicadangkan juga untuk dijual sahaja mesin jahit usang itu dan diganti baru.

Aku membantah. Aku membantah kerana aku berfikir secara praktikal dan ekonomi. Pada aku, adalah lebih jimat untuk membaiki mesin jahit itu berbanding untuk membeli yang baharu. Juga, mesin jahit itu dijangka akan digunakan sekali sekala sahaja, jadi pembelian mesin jahit baru adalah tidak praktikal.

Mak mertua aku turut membantah. Beliau sayang dengan mesin jahit itu. Tak tahu kenapa. Tetapi, bila diberitahu Pn. Nurul, barulah aku tahu bahawa mesin itu dibeli oleh bapa mertua aku sebagai hadiah kepada isteri beliau. Ya, sudah tentu ia nostalgik!

Aku tak tahu tahun bila mesin jahit itu dibeli. Tapi, aku jangka sekitar tahun 80-an mungkin. Asalnya mesin ini menggunakan goyangan kaki. Tapi, ada satu set motor tambahan dipasang pada mesin itu. Aku jangka sekali lagi, mungkin motor itu dipasang lewat 90-an.

Mengenangkan praktikal dan ekonomi dari aku, serta nostalgia ibu beliau, Pn. Nurul bersetuju untuk memperbaiki sahaja mesin jahit itu.

Lalu kami hantar ke kedai membaiki mesin jahit di Manir. Meja kayu ditukar dengan kos RM200. Mesin diservis dengan kos RM30. Badan mesin tak boleh buat apa. Redha sahaja dengan badan yang menggerutu itu.

Selesai. Kasih sayang dan nostalgia itu diteruskan..

Friday, June 27, 2014

Borong Ikan di Kompleks LKIM Pulau Kambing

Rajin pula nak menulis masa nak puasa ni. Hohohoho

Kalau pulang ke Pulau Rusa, kadang-kala aku akan menemani isteri dan mak mertua aku ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pulau Kambing.

Kompleks ini lokasinya di muara Sungai Terengganu yang lebar. Kalau menaiki bot menyusuri muara Sungai Terengganu, ia kelihatan sejajaran dengan Pasar Besar Kedai Payang, Hotel Sri Malaysia, Jeti Polis Marin dan Hotel Felda.

Oleh itu, nelayan dari laut yang mewah di Terengganu boleh terus mendarat di kompleks ini. Kemudian ia terus diedarkan secara segar kepada pemborong dan pengguna.

Kalau pembeli runcit, harga yang ditawarkan aku kira tidaklah begitu murah. Hanya murah sedikit dari pasar yang biasa. Tapi, kau boleh dapat ikan yang betul-betul segar di sini. Mata bersinar, badan berkilat dan insang masih merah. Jika bernasib baik, kau boleh dapat ikan yang nyawa-nyawa ikan. Memang segar!

Tapi, dinasihatkan kau pergi awal jika bercadang ke sini. Seeloknya sesudah subuh, sebelum lalat terbang. Ini kerana, tempat letak kereta agak terhad di sini. Kalau kau pergi bermula jam 8.30 pagi, keadaan sudah sesak dan berserabut.






Owh ya, lupa nak bagitahu, sebelum keluar dari kompleks ini, kau akan dikenakan cukai sebanyak 50sen. Kalau kau pemborong ikan, mungkin cukainya tinggi sedikit. Tapi, tidaklah sampai beratus atau beribu ringgit. Mungkin hanya belasan ringgit.

Jadi, kalau nak dapatkan ikan segar, boleh ke sini!


Thursday, June 26, 2014

Kebakaran Yang Dapat Diselamatkan

Fail dalam laptop aku ni bersepah. Jadi, kena buat house keeping.

Tengah mengemas, jumpa gambar lama.


Ini adalah radio yang aku beli untuk Pn. Nurul masa beliau menganggur dulu. Rumah aku takde Astro. Jadi, aku belikan beliau radio. Malangnya hanya Klasik Nasional dan Terengganu FM yang boleh didengari. Lalu, radio ini tersadai. Ia diletakkan di atas peti ais dan peti ais itu terletak di bawah soket palam 3-pin.

Hendak dijadikan cerita, soket itu mengalami litar pintas. Percikan api menyambar radio yang nostalgia itu. Mujur ketika itu, adik aku yang tinggal bersama kami, Cik Ayu, ada di rumah. Dengan pantas beliau menyiram air ke radio itu dan palam 3-pin.

Kebakaran reda. Beliau telefon aku. Aku balik rumah. Terkejut melihat keadaan. Lagi terkejut kerana diberitahu kebakaran dipadam dengan air.

Bagi pengetahuan kau, kebakaran elektrik adalah bahaya jika dipadamkan dengan air. Ada risiko si pemadam mendapat kejutan elektrik.

Aku matikan suis utama. Aku bersihkan keadaan yang berselerak. Kemudian, aku telefon wirwmen. Aku memang buta bab elektrik ni. Yang aku ingat dan tahu adalah V=IR. Yang bermaksud, voltan adalah berkadar terus dengan arus didarab dengan rintangan. Hohohoho

Wireman memeriksa dengan teliti. Mujur soket palam 3-pin itu tidak rosak. Hanya wayar extension yang rosak. Beliau percaya bahawa palam wayar extension yang disambung pada soket itu tidak kemas. Ini menyebabkan litar pintas.

Tambah mengusutkan keadaan, wayar extension itu disambung dengan dua peralatan elektrik yang melibatkan haba, iaitu peti sejuk dan pemanas air. Menurut wireman yang pakar itu, peralatan yang melibatkan haba tidak boleh menggunakan wayar extension. Seeloknya dan seselamatnya, palam peralatan haba mesti terus kepada soket palam 3-pin.

Oooo, baru aku teringat. Cikgu aku pernah bagitahu dulu. Ini mesti aku selalu tertelan semut. Itu yang jadi lupa. Hohohoho. 

Tuesday, April 29, 2014

Dah Lapuk Dek Hujan, Dah Lekang Dek Panas

Dulu, masa aku sekolah rendah, sekitar akhir 80an tiada istilah iPad. Bukan sahaja iPad, telefon di rumah juga adalah sesuatu yang janggal. Hanya orang yang agak mewah sahaja memiliki telefon di rumah. Pada masa itu, tak pernah terfikir apakah keperluan telefon. Akal kecil aku pada waktu itu merasakan seseorang itu adalah bangang kerana memiliki telefon di rumah. Dia nak buat apa dengan telefon tersebut?



Masa senggang aku pada masa itu tidak hanya terperuk di rumah. Walaupun sejak azalinya aku seorang yang pendiam, ia tidak membuatkan aku hanya memerap di rumah. Boleh jadi bosan. Boleh jadi bingung jika tiada apa yang perlu dilakukan di rumah.

Aku memulakan persekolahan di Sarawak. Kami sekeluarga menetap di kem askar, kuartes kelamin. Di tepi kuartes itu, ada padang yang sederhana luas. Boleh dikatakan setiap petang aku main "rounders" di situ. "Rounders" ini sejenis permainan seperti bola lisut. Cuma, kayunya boleh jadi apa-apa sahaja benda keras dan leper. Manakala bolanya adalah bola tenis. Walaupun pasukan aku sering tewas dan menjadi belasahan, aku tetap tidak serik untuk bermain setiap petang.

Kalau sudah merasa puas menjadi mangsa belasahan "rounders" sesekali aku bermain layang-layang. Lidi penyapu, kertas surat khabar dan benang sudah cukup untuk kehidupan petang aku lebih seronok.

Adakalanya, aku turut menyertai kanak-kanak yang lebih tua bermain perang-perang. Batang kayu, penyepit baju, paku, getah dan tali pinggang lama sudah cukup untuk menjadi selaras senapang. Aku tak pernah membuat senapang itu. Atas ihsan kanak-kanak yang lebih tua itu aku boleh menyertai platun mereka. Dengan syarat, aku mengutip kembali guli yang dijadikan peluru.

Pada waktu rehat sekolah, memandang aku ketua darjah, maka sering aku menghasut rakan-rakan sekelas untuk lawan pemadam. Ataupun bermain kad dengan pelbagai kaedah permainan.

Kemudian, kami sekeluarga berpindah kembali ke Semenanjung. Tinggal di Johor Bahru, bandar besar. Suasana berbeza dengan Sarawak. Namun, ia tidak menghalang aku untuk melakukan pelbagai aktiviti petang.

Biasanya, aku akan berjalan di lorong-lorong belakang kedai. Menyelongkar tong sampah untuk mencari setem terpakai. Kalau ada pekedai yang baik, mereka akan menyimpan dan memberi setem untuk aku jika aku lalu di belakang kedai mereka. Pada waktu itu, tidaklah mak bapa aku risau pasal penculikan atau kes jenayah. Cuma, aku sering risau dengan anjing. Boleh dikatakan sebulan sekali pasti aku di kejar anjing. Cis!

Di sini juga selain lawan pemadam, aku mula belajar main ceper. Juga, permainan menguji minda seperti dam haji, catur, SOS dan pangkah bulat.

Tapi, suasana di sekolah kurang menyenangkan. Kami, anak tentera sering dipandang seperti second class citizen. Biasanya golongan kami kurang cerdik dan agak pasif. Berbanding dengan anak-anak profesional yang kelihatan cerdik dan berkeyakinan.

Bapa aku bersara tentera, lalu kami sekeluarga memulakan kehidupan di Bandar Tenggara. Aku darjah 4 rasanya. Pada masa itu, aktiviti peleseran aku mulai mengurang. Tiada lagi aktiviti petang kerana aku perlu bersekolah agama pada waktu petang. Pada hujung minggu pula aku akan samada menolong bapa aku berniaga di Pasar Tani atau di kebun.

Owh, jauh rupanya aku melalut. Sampai ke laut. Tahniah kepada kau kerana membaca sehingga perenggan ini. Hahahaha

Cerita sebenarnya adalah mengenai gambar di atas. Gambar Pn. Nurul bermain congkak dengan anak saudara beliau. Aku kurang cekap bermain congkak. Aku tidak ingat bila kali terakhir aku bermain congkak sehingga aku berkahwin dengan Pn. Nurul. Beliau yang mengingatkan aku tentang cara bermain congkak.

Masa aku kecil dahulu, kerap juga aku lihat kanak-kanak perempuan bermain congkak atau batu seremban. Tapi, aku rasa kini semua permainan yang aku cerita di atas sudah lapuk dek hujan, dah lekang dek panas.

Kanak-kanak sekarang lebih seronok bermain dengan tablet atau telefon pintar. Mereka boleh diam bila menghadapnya. Tapi, mereka jadi pelik bila berhadapan kehidupan sebenar. Mereka merasakan kehidupan itu mudah, semudah swipe di tablet. Mereka mahukan respon pantas, sepantas respon telefon pintar bila di tekan.

Tapi, masalah ini bukan hanya kanak-kanak yang menghadapi. Malah, orang dewasa!