Friday, September 20, 2013

Peringatan Bagi Yang Lupa

Jalan-jalan cuci mati di kompleks membeli belah. Terlihat satu lokasi. Terarik. Bukan kerana pada produknya. Bukan juga pada modelnya. Tapi pada perkataan "NO TRY".



Pada fikiran aku yang normal ini, adalah misteri jika seseorang ingin mencuba dahulu pakaian dalam. Kemudian tak jadi beli. Lepas tu letak balik untuk orang lain cuba. Geli juga menaip perenggan ini. Hahahaha

Tapi, bila diselami, ada sebabnya peringatan tersebut diberikan. Barangkali pekedai pernah mengalami situasi perenggan di atas. Erk! Geli juga menulis perenggan ini.

Macam-macam ragam. Barangkali situasi ini hanya di Malaysia!

p/s: Gambar terpaksa censored dengan warna biru. Sebab apa biru tak hijau? Sebabnya, ini blog aku. Ikut suka aku la nak bubuh warna apa. Hahahahahah

Thursday, September 19, 2013

Hari-Hari Pakai Kotak

Ini, adalah kesinambungan post terdahulu. Ala, macam drama polis trafik Yusof Haslam. Ada Roda-Roda Kotaraya kemudian ada Roda-Roda Kuala Lumpur. Mungkin lepas ni ada siri Roda-Roda Berputar.

Kalau dalam post sebelum ini, kotak disediakan menggantikan plastik di Giant Kuala Terengganu. Konsep yang sama digunakan di AEON Big East Cost Mall Kuantan. Cumanya, mereka hanya menyediakan meja dan kotak yang belum dibentuk. Pandai-pandai kau la nak buat. Tapi, yang hairannya, pita pelekat tidak pula disediakan. Mungkin takut disalah guna oleh pengunjung. Ialah, orang Malaysia ni terkadang perangainya pelik. (Termasuk aku, barangkali, hahahahaha)

Fenomena pemberian kotak percuma ini sesuatu yang asing pada aku. Mungkin sebab aku di Pantai Timur kurang terdedah dengan perkara sedemikian. Mungkin di Lembah Kelang lebih lama dan hebat inovasi ini.

Mungkin kau boleh ceritakan pengalaman di tempat kau menerusi komen di bawah.

Setakat baca je? Apa barang beb! Hahahaha.

Monday, September 16, 2013

Aiskrim Panda

Inovasi aiskrim. Bentuk panda.

Murah. Seringgit sahaja.

Sedap hingga menjilat batang aiskrim dan plastiknya sekali.

Boleh didapati di Koperasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun.

Tapi, bila cair, rupa panda tu agak menyeramkan. Ala-ala rupa hantu badut.

Err, tapi...sekali imbas tak nampak macam panda pun. Aku rasa macam teedy bear la pula. Hohohohoho



Sunday, September 15, 2013

Apa Lagi Mayonis Mahu?

Mayonis ini, bukan hanya pilihan wanita (Lady's Choice). Tapi, ia juga pilihan Pn. Nurul. Ada masanya, Pn. Nurul kemaruk nak buat makanan yang sama macam Barrack Obama makan yang antara bahan penyedapnya adalah mayonis. Jadi, terpaksalah juga aku membeli mayonis pilihan wanita ini untuk Pn. Nurul.

Dulu, harganya RM1. Kini, harganya RM1.20. Aku tak pasti sama ada ia naik sebelum atau selepas kenaikan harga minyak.

Aku juga tak pasti sama ada ia naik sebelum atau selepas pilihanraya.

Apa lagi mayonis mahu?


Saturday, September 14, 2013

Aku Hilang 30KM

Memang 30 km. Bukan 30kg. Kalau 30kg, Meggi ganti Aaron Aziz dengan aku. Hohohoho

Sejak minyak naik 20sen, aku hilang 30km setiap isian RM50. Mari aku tunjuk macam mana aku kira.

Sebelum minyak naik, harga minyak RM1.90 seliter. Jadi, bagi setiap RM50, aku dapat 26.32liter. Dengan 26.3liter itu, aku dapat memandu sejauh 300km

Kereta aku, seliter boleh pergi sampai 11.4km.

Selepas minyak naik, harga minya RM2.10 seliter. Jadi, bagi setiap RM50, aku dapat isi hanya 23.81liter. Jadi, dengan harga minyak baru ini, aku hanya boleh pergi sejauh 271.32km bagi setiap RM50.

Nampak tak? Aku dah hilang hampir 30km.

Dan, kau nampak tak permainannya? Hohohoho


Friday, September 13, 2013

Hari Tanpa Plastik, Tapi Kotak Boleh

Umum mengetahui, setiap Sabtu adalah hari tanpa plastik. Oleh itu, dalam kereta aku ada beberapa beg kanvas dan beg kain sebagai persedian membeli-belah secara mengejut pada hari Sabtu.

Aku bukanlah kedekut sangat nak bayar 20sen bagi setiap beg plastik. Tapi, kalau banyak beg plastik kat rumah aku nak buat apa? Akhirnya ke tong sampah juga. Jadi, ini langkah kecil aku ke arah alam sekitar yang lebih bersih.

Malangnya, langkah aku tidak mahu membayar untuk beg plastik ini sering menimbulkan skeptikal di kalangan masyarakat, juga dikalangan pekerja pasaraya juga. Terutama pasaraya Mydin.

Tempoh hari sempena hari jadi Pn. Nurul, aku mengajak beliau ke Giant Kuala Terengganu. Apa macam? Romantik bukan? Hohohohoho

Sempat kami beli beberapa barangan untuk membuat hidangan barat. Sekonyong-konyong, pada kaunter bayaran, kelihatan Mak Guard sedang menyiapkan kotak-kotak kosong untuk diberi PERCUMA kepada pelanggan. Memang insiatif tersebut memang boleh dipuji.


Thursday, September 12, 2013

Bengkel Facebook Tengku Faris

Seingat aku, masa mula-mula aku kenal internet, siapa yang ada alamat emel memang adalah seorang yang moden dan sangat bertamadun. Emel pertama aku buat pada tahun 1998, sejurus selepas aku SPM. Dan, aku rasa sangat cool kerana ada emel pada waktu itu. Hohohoho

Kemudian, aku kenal dengan MiRC. Online chatting. Kampung chat adalah antara channel yang terkenal pada waktu itu. Dan, aku kenal dengan Pn. Nurul melalui itu.

Kemudian, munculnya Friendster. Laman sosial yang pertama aku kenal. Dia semacam lebih sikit dari emel. Mudah untuk forward apa-apa sahaja. Dan, akaun aku kerap mendapat semacam surat berantai.

Kemudian, muncul Facebook. Pandai Mat Juki ni buat Facebook. Terkadang, boleh jadi ketagih main Facebook ni. Tapi, yang bestnya, sebab Facebook boleh dikatakan "so sosial", menjual melaluinya menjadi amat mudah. Dan, aku antara orang yang meniaga melalui Facebook.

Tapi, berniaga di Facebook perlu kemahiran, perlu belajar, perlu ada seninya. Bukan setakat tag orang dengan iklan. Tak pasal-pasal orang jadi meluat. Langsung barang kau tak laku. Jujur, banyak juga panduan yang aku baca dan beli mengenai Facebook ni. Juga, ramai penjual Facebook tegar yang aku follow mereka.

Tempoh hari, dalam newsfeed aku, aku terlihat suatu iklan. Iklan Bengkel Facebook. Dan, yang bestnya, bengkel ini ada dibuat di Terengganu! Jarang, sangat jarang untuk apa-apa seminar keusahawanan diadakan di Terengganu. Kalau Kota Bharu, atau Kuantan memang biasa. Kalau di Lembah Kelang, boleh kata tiap-tiap minggu ada.

Aku semakin yakin untuk hadir bengkel itu sebab ia dianjurkan oleh Tengku Faris. Aku kenal mamat ni lama dah, walaupun dia tak kenal aku. Hohohoho. Dulu, aku pernah jadi affilate untuk e-book beliau. Banyak e-book yang aku jadi affiliate. Tapi, banyak juga tauke affilate yang tak bayar aku ataupun deny aku punya leads. Hampeh. Tapi, Tengku Faris ni antara tauke yang aku boleh percaya, selain Shuth dan Hafiz Wasa.

Terus aku bayar RM150 untuk bengkel ini. Bengkel berlangsung sehari dari 8 pagi hingga 5 petang di Wisma Peladang Kuala Terengganu.

Banyak benda yang aku belajar. Kira-kira 50% dari kandungan bengkel tu. Lagi 50% memang pengetahuan aku yang sedia ada. Barangkali kebanyakan peserta adalah newbie dalam pemasaran internet, maka penganjur terpaksa merendah sikit level kursus ini.

Tapi, aku rasa berbaloi dengan pelaburan yang aku keluarkan. Cepat daftar sekarang, kerana hanya tinggal tiga lokasi sahaja. Kota Bharu, Kuantan dan Alor Star.
http://bengkelfacebook.com/



Tuesday, September 10, 2013

Bagai Tikus Membaiki Labu

Ada sebuah kedai komputer bumiputera yang baru dibuka di depan rumah aku. Kebetulan juga, dua minggu lepas printer Epson Stylus TX110 aku mengalami kerosakan. Aku tidak tahu apakan nama IT bagi masalah tersebut. Kerana aku seorang yang buta IT. Tapi, apa yang aku tahu, span bawah tempat serapan pembuagan dakwat telah penuh, dan ia perlu dibersihkan.

Aku, dengan yakin dan dengan niat untuk membantu anak bangsa pergi ke kedai baru tersebut. Lalu, aku memberitahu masalah printer tersebut. Lalu dengan yakin mereka menjawab. "Rosak macam ni kejap je nak baiki, dalam tiga hari siap la, nanti dah siap kita akan call".

Cukup tiga hari, tiada panggilan telefon dari kedai tersebut. Tapi, ada beberapa orang akak yang telefon aku nak order barut bayi. Hohohoho

Cukup seminggu, aku ke kedai tersebut. Abu bertanya kepada seorang mamat yang tengah hisap rokok dan menghadap komputer mengenai status komputer aku. Beliau tercari-cari. Owh, rupanya printer aku berada di bawah meja bersama longgokan kertas-kertas dan wayar yang berselirat. "Saya tak pasti dah buat ke belum printer ni, techician belum datang lagi, dia shift petang" jujur kata mamat tersebut.

Aku pun bertanya lagi "bila boleh siap".
Beliau menjawab dengan jawapan klise "Nanti dah siap kita telefon"

Cukup seminggu, tiada lagi panggilan telefon dari kedai tersebut. Tapi, ramai ex-student aku menalifon aku dengan maksud ingin bantuan aku. Hohohhoho (Sekali lagi).

Lalu, aku ke kedai tersebut. Bertanyakan printer aku. Rupanya, printer aku tidak boleh diperbaiki. Lalu, aku dengan hampa mengambil kembali printer aku. Mujur, sebelum aku mengambil printer tersebut, aku memeriksa sepintas lalu. Cis! Ada part yang dia tak pasang. Aku tak tau apakah namanya partt tersebut. Aku namakannya tongkat ajaib.

Lalu, aku menunggu sekian ketika untuk memberi masa mereka memasang tongkat ajaib itu. Lama. 10 minit. Walhal aku boleh pasang kurang 5 minit. Memandangkan aku ada kerja lain, aku beredar dari kedai tersebut dan berjanji akan kembali 45 minit lagi.

Lepas 45 minit, aku datang kembali. Tongkat ajaib telah dipasang. Tapi tidak sempurna. Ia tidak berfungsi dengan baik. Biarlah, aku boleh baiki tongkat ajaib itu. Lagipun technician yang membaiki itu dah tiada. Balik makan nasi. Mungkin malas atau takut atau bosan menghadap aku atau beliau memang betul-betul lapar. Hohohohoh

Kemudian, aku suruh mereka on kembali printer tersebut. Ternyata sebenarnya span telah dibersihkan. Cuma, mereka tak tahu bagaimana untuk reset kembali printer tersebut. Takpelah, aku boleh reset printer tersebut.

Kembali ke rumah aku baiki tongkat ajaib dan reset printer tersebut. Alhamdullilah, berjaya. Aku biarkan sahaja printer tersebut.

Pagi ini, aku cuba print. Cis! Haram j****. Printer aku tak boleh sedut kertas. Aku rasa macam ada something wrong somewhere pada feeder printer aku. Dan aku syak technician kedai tersebut ada silap pasang feeder.

Nasib malang. Kalau nak ikutkan, aku boleh sahaja rujuk youtube untuk lihat cara membaiki printer tersebut. Tapi, kerana nak jimat masa, aku hantar kedai. Rupanya, aku hantar ke kedai yang salah. Aiseyman. Macam tikus membaiki labu!

Kalau owner kedai tu baca post ini, ini nasihat aku.
1- Kalau tak boleh baiki, dengan segera telefon pelanggan. Bagitahu saja tak boleh nak baiki. habis cerita.
2- Minta tolong jangan hisap rokok dalam kedai. Kedai kau tu ada penyaman udara. Jadi, udara kedai jadi busuk. Walaupun aku perokok, tapi aku agak pening bau rokok di kedai itu. Memang itu kedai kau, tapi kalau kedai berbau, orang ada nafsu ke nak masuk?
3- Kemas sikit kedai tu. Aku tengok berserabut. Tak tersusun. Nak cari barang nampak macam susah je, sebab tak tersusun.

Aku ada bagaitau owner yang no 1 tu je. Yang lain tak sempat nak cakap sebab dia nampak macam sibuk je. Hohohoho

Kesimpulannya, kalau kau nak baiki printer kau kat kedai tersebut, sila fikir 25 kali. Servis lain aku tak tahu. Mungkin ok. Tapi, aku tengok-tengok harga barang yang dijual, boleh tahan murah harganya.


Monday, September 09, 2013

Cara Taman Ubi Yang Betul

Sejak kenaikan harga minyak ni, kau mesti pandai berjimat. Biarlah orang lain boroi makan duit rakyat. Takkan kau nak cemburu dengan orang yang macam tu? Kalau aku, pelis la (sambil sentuh hujung jari di bahu). Hahahahaha

Salah satu cara untuk berjimat adalah dengan langkah "Bumi Hijau". Iaitu program menanam sendiri tanaman untuk kau makan. Aku, sudah lama kiranya menyahut cabaran ini, semasa zaman bapa mertua Khairy Jamaludin. Tapi, tidaklah sangat aktif. Sekadar suka-suka untuk mengeluarkan peluh.

Dalam banyak-banyak tanaman, aku paling suka ubi kayu. Tak tahu kenapa, barangkali ia mudah hidup.

Tempoh hari, aku ada mengepost gambar hasil berbudinya kau kepada tanah di laman fb aku.

Walaupun gambar di atas bukanlah gambar awek picisan buat muka duck face depan Pavilion, namun, post tersebut mendapat like dan komen yang banyak! Huhuhuhuhu

Antara komennya,  bertanya  bagaimana aku membiakkan ubi tersebut. Ini jawapan aku.

1- Masa tanam ubi tu, tanam secara condong. Jangan tegak macam tiang. Dia kena condong. Lagi condong, ubi makin besar. Biasanya aku tanam dengan kecondongan  kurang 40 darjah.

2- Rajin siram pada awal pertumbuhan. Ubi ni dia suka banyak air. Air makin banyak, dia boleh jadi makin gemuk.  Dari mula-mula tanam sampai tingga pucuknya 1.5 kaki, kena siram tiap-tiap hari. Pagi dan petang.

3- Dua minggu atau seminggu sekali aku akan taruk baja NPK 15:15:15. Tapi, sebelum taruk baja tu, pastikan tiada rumput disekeliling pokok. Nanti rumput tu yang serap nutrien baja.

4- Sekali-sekala aku siram dengan air basuh nasi atau air basuh ikan. Ini petua mak aku.

5- Sekali-sekala, gemburkan tanah sekeliling pokok. Ini bagi memastikan air atau baja mudah meresap.

6- Pernah sekali aku letak baja organik. Baju tu aku buat dari nasi basi campur dengan gula perang. Kedua-duanya aku perap dalam 2 minggu. Lepas tu, selama beberapa kali bajaan, aku menggunakan baja tu.

7- Lepas 10 bulan, boleh cabut ubi tu.

Itu cara aku. Tapi, mungkin kau ada cara lain yang lebih berkesan. :-)

Sunday, September 08, 2013

Resepi Ubi Goreng Kari Cicah Sambal Kicap

Semalam, post pasal teknik tanam ubi. Hari ini post pasal cara masak ubi yang telah ditanam tadi. Memang kesinambunganlah. Huhuhuhu

Susah nak jumpa masakan ni di Terengganu. Pada awalnya, aku perlu mengajar Pn. Nurul cara yang betul untuk membuat makanan ini.

Berikut resepinya.

Ubi Goreng Kari.

Bahan-bahannya
1- Ubi. Kalau dapat yang muda lagi bagus
2- Serbuk kari daging
3- Serbuk kunyit
4- Garam
5- Minyak masak

Cara-caranya
1- Potong ubi kecil-kecil. Lebih kurang besar ibu jari kau.
2- Gaul ubi dengan serbuk kari, serbuk kunyit dan garam. Secukup rasa. Serbuk kari kena lebih dominan dari kunyit dan garam.
3- Perap kejap. Baru best.
4- Panaskan minyak dengan banyak. Macam kau nak goreng jemput-jemput.
5- Pastikan api dapur sederhana. Masukkan ubi yang dah digaul dengan rencah tadi.
6- Tutup atas kuali. Ini bagi memastikan ubi empuk di dalamnya.
7- Agak lama sedikit proses ni. Lebih lama dari goreng jemput-jemput. Tapi lebih cepat dari goreng ayam.
8- Angkat bila ubi bertukar warna kuning kehitaman.

Sambal kicap

Bahan-bahannya
1- Kicap
2- Cili padi.

Caranya-caranya
1- Tumbuk cili padi hingga lumat.
2- Kemudian, gaulkan dengan kicap.

Selamat mencuba! Inilah hasilnya!


Saturday, September 07, 2013

Tempahan Bisnes Kad Dengan Call Card

Sebelum ini, aku ada review (tanpa bayaran) satu servis buat bisnes kad secara online. Tapi, tempoh hari, bisnes kad aku habis. Sebab, biasanya aku akan selit dua atau tiga kad bisnes dalam bungkusan pelanggan Baby Needs Shop yang aku pos.

Jadi, aku cuba buka website tersebut. Malangnya web itu sudah tidak wujud lagi.

Tidak kecewa, aku terus mencari secara online servis bisnes kad yang murah dan berkualiti. Aku lebih gemar membeli-belah barang-barang kreatif atas talian berbanding di kedai biasa.

Cari punya cari, tak jumpa juga. Kemudian datang ilham. Teringat ada member group fb ada buat bisnes call. Terus aku seru beliau!

Taknak cerita panjang, ini link-link kedai online beliau,
Website >>> http://www.callcard.my/
Facebook >>> https://www.facebook.com/CallCard.my

Tapi, aku pening sikit tengok websitenya. Terus aku PM dekat page FB untuk tanya harga. Huhuhuhu

Mula-mula, aku kena hantar butiran nak bubuh dalam bisnes kad aku. Kemudian, dia akan design. Sekali tengok aku terus jatuh hati dengan designnya.


Terus aku tempah 10 kotak! Semua sekali RM100 siap dengan design dan pos. Memang murah gila! Sekotak RM10 je! Aku tak tahu tauke ini ada untung atau tak. Huhuhuhuhu


Servis pantas. Hanya seminggu tempohnya. Dari aku deal, hinggalah ia selamat sampai kat tangan aku. Terima kasih Tuan Anam Azizi.

Friday, September 06, 2013

Cara Mudah Jimat Minyak

Minyak sudah nak 20 sen. Terkadang rasa macam kena tipu je. Tapi, apa boleh buat, takkan nak buat bodoh je kan. Mestilah ada usaha. Antaranya, usaha untuk kau menjimatkan penggunaan minyak ko

1– Jangan tekan pedal minyak secara mendadak. Tekan dengan tenang dan bersahaja. Kau bukan pemandu kereta lumba!

2– Pada gear rendah, pastikan meter RPM tidak melebihi 3000. Jika RPM lebih 3000, tukar gear dengan segera. Diingatkan lagi, kau bukan pemandu kereta lumba yang perlu menekan minyak sampai takat RPM merah.

3– Sevis kereta secara berkala. Servis bermaksud bukan hanya menukar minyak hitam. Segala pelinciran bendalir perlu juga ditukar. Termasuklah minyak gear. Terlalu lama membiarkan pelinciran tidak ditukar boleh menyebabkan pelinciran tidak efisyen. Ini menyebabkan terjadi geseran kecil antara komponen. Geseran ini memaksa enjin bekerja lebih kuat dari yang sepatutnya. Ialah, macam orang juga, kalau kerja kuat, makannya pun kuat juga!
http://bit.ly/bakarlemakpantas

4– Tutup cermin kereta semasa memandu. Ini akan mengurangkan geseran angin dan memperbaiki aerodinamik kereta kau. Kurang geseran bermakna kurang kerja. Kurang kerja bermaksud kurang minyak yang digunakan.

5– Pasang penyaman udara pada suhu dan blower yang paling minimum. Ini membolehkan ia melakukan kurang kerja. Penting juga untuk servis penyaman udara anda secara berkala bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan optimum.




6– Pastikan angin tayar kereta pada kadar sepatutnya. Periksa selalu. Kurang angin kereta akan meningkatkan geseran pada tayar. Ditegaskan lagi, kurang geseran bermakna kurang kerja dan minyak boleh dijimatkan.

7– Buang/kurangkan benda-benda yang tak sepatutnya dalam kereta anda, seperti dumbbell, kereta sorong bayi, set kayu golf, buku, mahupun besi projek larik pelajar. Benda-benda tersebut menambah beban pada kereta anda. Pertambahan beban boleh menambah penggunaan minyak.

8– Ini cadangan yang tak berapa masuk akal. Sila kurangkan berat anda. Dalam jangka masa panjang ia boleh menjimatkan minyak. Juga, kasihanilah kenderaan anda itu. Nampak azab sangat ia membawa anda.
http://bit.ly/bakarlemakpantas


Apa macam? Suka post ni? Copy paste je. Jangan lupa backlink kat aku. Huhuhuhu

Thursday, August 29, 2013

Jersi Piala Malaysia 2013

Aku, seorang kaki bangku. Jangan kau bayangkan kaki aku macam kaki kerusi yang kau duduk itu. Tapi, kaki bangku merujuk kepada orang yang tak pandai main bola.

Semasa kecil, aku dikenali sebagai seorang yang berkaki pengkor. Yakni, tidak pandai menendang bola. Kalau aku pemain JDT, dengan kepengkoran kaki aku, aku tidak boleh melorong kemas kepada Safee Sali. Barangkali bola yang aku sepak akan sampai ke kaki Fakri Saarani, lalu belian menjaringkan gol untuk Kelantan melalui larian pantas dan sepakan deras dari luar kotak penalti!

Kalau pun aku menjadi kesebelasan utama dalam pasukan, hanya dua posisi ini sahaja yang aku diarahkan untuk bermain.
1- Penjaga gol - Sebab aku besar
2- Last Man (Pertahanan Tengah) - Ialah, sebab aku lambat berlari. Jadi, duduk dengan penjaga gol baik-baik.
Hahahaha

Sebetulnya, tiga perenggan di atas adalah pengenalan. Isu utama pos ini adalah untuk memberitahu bahawa aku menjual jersi original pasukan bolasepak Piala Malaysia 2013. Ya, ditekan di sini, ORIGINAL. Bukan Gred Dubai, bukan juga Gred AAA jauh sekali Gred Golok.

Pelbagai koleksi jersi yang ada 
2- Jersi Chelsea (You drunk Mourinho! Hohohoho)
8- Jersi Negeri Sembilan (4 jenis)
10- Jersi PKNS (4 jenis)
12- Jersi T-Team Home
13- Jersi ATAM (3 jenis)
14- Jersi Felda (2 jenis)
15- Jersi Sime Darby 
16- Jersi PDRM 2012

Ini pula, sebahagian gambar koleksi jersi yang ada.













Apa macam? Ada yang berkenan? 


Wednesday, August 28, 2013

Incredible Hulk Sembelit


Tengah sedap surfing Facebook, terjumpa iklan ini. Hahahaha. Memang terbaik dari kebun. Nampaknya si penulis iklan amatlah memahami keadaan orang yang sembelit.

Korang sembelit? Silalah search page tersebut!




Tuesday, August 27, 2013

Scammer Baru Setahun Jagung

Sebelum ini, Datin Seri Rosmah Mansur pernah menghantar emel peribadi kepada aku. Dan, sebelum sebelum itu, ramai lagi kerabat raja Nigeria, pemastautin di London, bakal raja-raja Eropah serta pewaris kerajaan Timur Tengah menghantar emel peribadi kepada aku. Owh! Sungguh aku terharu sekali! Hahahaha

Tapi, zaman emel telah berlalu. Scammer (penipu) telah mula mengora langkah seiring dengan kepesatan teknologi maklumat. Mereka kini telah menggunaan Facebook.


Mulanya, aku tak pasti jantina scammer tersebut. Kerana, nama profilnya merupakan lelaki, tetapi, beliau mengenalkan dirinya sebagai wanita. Aku syak dia ni transgander kot. Hahahahaha.

Tapi, profile picturenya memperlihatkan beliau adalah seorang wanita!


Comel tak Kak Ton?

Thursday, August 22, 2013

Lengkuas ke Kuah?

Tujuh tahun di Terengganu membolehkan aku bercakap dalam loghat Terengganu dengan agak baik. Walaupun tidak sebaik anak jati Terengganu, tapi aku rasa loghat Terengganu aku sudah memadai untuk aku memahami percakapan seharian yang biasa.

Namun begitu, otak aku masih lagi berfikir dan bercakap dalam loghat bahasa Melayu standard Johor-Riau. Jadi, akan ada keadaan dimana aku sedikit lambat untuk respon pertanyaan dalam loghat Terengganu kerana aku perlu menterjemahnya. Huhuhuhuu

Ada satu situasi yang telah membingungkan otak aku dalam tempoh 15 saat. Tempoh hari aku menemani Pn. Nurul ke Mini Market untuk membeli sayur untuk makan sehari dua. Sedang mata aku meliar, terlihat...
 
Aku hairan. Bila masa ada KUAH MUDA dan KUAH MUDA. Setelah berfikir 14 saat, akhirnya pada saat ke 15 aku mendapat jawapan. La... LENGKUAS rupanya.

Bagi pengetahuan kau LENGKUAS disebut sebagai KUAH dalam loghat Terengganu. 

:-)


Monday, August 19, 2013

Buat Duit Dengan Nuffnang

Lama tak update blog. Tiba-tiba update pasal buat duit! Hahahahaha

Rasa macam kembali bersemangat untuk kembali aktif menulis di blog. Ramai (adalah 2 orang, kerana lebih dari seorang aku anggap ramai, hahahahah) bertanyakan kenapa aku sudah lama tidak menulis.

Semangat kedua muncul kerana ada beberapa tuan punya kedai makan yang pernah aku review sebelum ini  mengucapkan terima kasih kerana aku memaparkan kisah kesedapan makanan di kedai mereka. Hinggakan aku perasan ada satu kedai makan ni yang kelihatan semakin bertambah meja dan pelanggan. Kasih mereka aku terima. Aku lebih akan lebih menerima kasih mereka jika mereka membelanja aku makan percuma selama setahun di kedai mereka. Hahahahahaha

Semangat ketiga muncul kerana aku mendapat emel bertanyakan mengenai beberapa hal yang pernah aku tulis dalam blog ini.

Dan, semangat yang keempat muncul kerana aku mendapat bayaran dari iklan Nuffnang! Yeah!


Kepada yang cari keyword 'Buat Duit Dengan Nuffnang", aku minta maaf kerana tiada tutorial dalam post ini. Tapi, kau boleh bermula dengan mendaftarkan diri kau di http://www.nuffnang.com.my

Sunday, June 09, 2013

Bot Penambang Kuala Terengganu

Sudah lebih 7 tahun aku menetap di Kuala Terengganu. Dalam tempoh itu, bermacam perkara telah aku lalui. Yang paling terkesan adalah aku telah "tersangkut" dengan makwe Terengganu. Huyeeh!

Juga, loghat Terengganu aku semakin baik. Malah, terkadang aku lebih cekap mentafsir maksud percakapan orang Hulu Terengganu yang agak pekat dan lebih berdengung berbanding Pn. Nurul sendiri. Huyeeh! Huyeeh! Ini kerana ramai juga pelajar aku berasal dari daerah itu. Cuma, sebutan aku kurang baik, kerana otak aku masih menggunakan Bahasa Melayu Johor-Riau sebagai bahasa rasmi.

Sepanjang tempoh itu juga, aku belum pernah sekali menaiki bot penambang. Bot penambang ni merupakan salah satu pengangkutan orang dari Seberang Takir dan Pulau Duyung untuk ke pusat bandar Kuala Terengganu di Pasar Payang. Ramai orang luar tidak tahu mengenai kewujudan bot penambang ini, kerana ia kurang didedahkan sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu.








Sebetulnya, Pn. Nurul telah lama mencabar aku untuk naik bot penambang. Ialah, mungkin kerana aku seorang yang takutkan air (itu tidak bermaksud aku spesis kambing) maka beliau berani mencabar aku. Cis!

Lalu, minggu lepas, aku menyahut seruan itu. Tapi, bukan aku seorang sahaja. Malah, abang ipar, kaka ipar, mak mertua, anak-anak sedara dan Pn. Nurul sendiri juga kepingin untuk menaiki bot itu. Bukan kerana mereka tidak pernah naik seperti aku, tetapi mereka ingin mengenang masa lampau, tatkala mereka tinggal di Telaga Daing, Seberang Takir, sebelum berpindah ke Pulau Rusa.

Cadangnya, hanya untuk naik dari Jeti Pasar Payang ke Jeti Seberang Takir. Tetapi, atas rundingan yang bijak dari Pn. Nurul, beliau berjaya memujuk pemandu bot untuk menyusuri Sungai Terenggganu, dengan harga hanya RM40.



Harga RM40 itu relatifnya murah. Jika kau naik dengan bot yang sedikit eksklusif beserta pemandu pelancong di Taman Tamadun Islam (TTI), bayaranya adalah RM25 sekepala (kalau tak silap aku). Tapi, diskaun akan diberikan jika naik dalam kumpulan yang ramai. Lebih berbaloi juga kalau ambil pakej sekali dengan masuk melihat monumen replika di TTI.



Ok, bot yang kiranya kami sewa khas itu akan bertolak dari Jeti Pasar Payang ke Jeti Seberang Takir. Ini kerana sebelum kami, sudah ada penumpang hendak ke Seberang Takir. Dalam perjalanan ke Seberang Takir, bot singgah sebentar untuk menghantar seorang pekerja kapal yang sedang berlabuh.



Dari Seberang Takir, bot melintasi Pulau Duyung dan membuat pusingan U di Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Kalau kau nak ke Muzium Terengganu, boleh saja meminta pemandu bot untuk mendaratkan kau di sana.



Dari TTI, bot patah balik kebali ke Jeti Pasar Payang. Perjalanan aku kira lebih kurang 45 hingga 60 minit.

Sepanjang perjalanan, kelihatan banyak limbungan-limbungan kapal milik penduduk tempatan atau syarikat pembuatan kapal. Juga, kelihatan bot-bot nelayan di parkir di beberapa jeti kecil, milik kampung.





Juga, kelihatan Ri Yaz Haritage yang menjadi tempat perlumbaan kapal layar Moonsun Cup.



Menghampiri kembali ke Jeti Pasar Payang, kelihat pelbagai markas penguatkuasa dan jabatan kerajaan berkaitan maritim seperti APNM, Polis Marin dan Kastam.



Memang seronok sesekali menyusuri sungai Terengganu dengan cara ini, pada harga yang lebih murah. Tapi, keselesaan sedikit tergadai. Enjin diesel yang digunakan bot aku terletak di tengah perut bot dan ini menyebabkan orang di dalam bot terpaksa berkomunikasi dengan bahasa isyarat. Hahahaha.


Saturday, June 08, 2013

Bukit Bauk 2.0

Seringkali, err... banyak kali sebenarnya aku berazam untuk menurunkan berat badan. Namun, aku kurang gemar menurunkan berat badan dengan bermacam ubat atau alat untuk kurus. Aku lebih suka kurus dengan cara yang konvensional - bersenam dan jaga makan!

Sementelaah budak politeknik sekarang tengah bercuti, aku pun berada dalam mood cuti. Tapi, masih lagi juga kena pergi kerja. Cumanya, kerja agak ringan dan santai. Kurang tekanan dateline untuk habiskan silibus. Pada waktu ini lah aku boleh semak nota aku,  buat literature study, house keeping bengkel, semak lab sheet dan macam-macam lagi.



Dan, macam-macam itu termasuk mendaki Bukit Bauk! Ketika post ini ditulis, sudah nak masuk minggu keempat aku naik ke Bukit Bauk setiap pagi! Wow! Hahahahaha



 Mulanya, pada minggu pertama, ada la peneman daripada rakan-rakan yang sealiran. Malangnya, sejak separuh minggu kedua, aku mula mendaki secara solo. Hampeh betul mereka itu. Hahahahah



Tapi, memandangkan sekarang musim cuti sekolah, tidaklah begitu bosan mendaki Bukit Bauk. Suasana Bukit Bauk agak meriah pada musim cuti sekolah. Ibu bapa mengambil kesempatan beriadah bersama anak-anak.



Bermacam gelagat aku jumpa dalam tempoh menghampiri empat minggu antaranya:-

1- Ada pengunjung yang mendaki Bukit Bauk dengan basikal. Tempoh hari, seorang pembasikal senior keletihan tatkala mendaki ke puncak. Lalu, penyelesaiannya, basikal itu dituntuni sahaja.

2- Ada juga, pembasikal junior, atlit pelapis barangkali, mendaki Bukit Bauk sebanyak 5 kali berterusan dalam tempoh sejam! Wooha! Aku sekali turun naik dalam tempoh sejam lebih pun rasa macam nak pengsan.  Hebat budak-budak ni. Boleh jadi Raja Bukit LeTour De Langkawi!

3- Ada makcik tu selamba naik dengan baju kurung. Umurnya pun aku agak hampir 60 tahun. Sempoi la makcik!

4- Juga, ada juga pakcik mendaki dengan berbaju batik, berseluar slack dan berkasut kilat muncung tajam. Aku musykil.

5- Sebuah motosikal nyaris melanggar seorang awek yang terbaring keletihan di tengah-tengah jalan. Cekap betul pemotosikal itu. Aku rasa dia dulu pernah lumba Cub Prix

6- Ada seorang doktor gigi yang akan membawa plastik kosong apabila mendaki. Bila turun, beliau akan kutip semua sampah yang dia nampak. Sampai bawah, 3 plastik giant sederhana besar penuh. Lalu beliau mengulas kepada aku "orang kita takde sivik"

7- Ada satu laluan ke puncak. Masa tu aku rasa tinggal aku seorang kat puncak tu. Entah macam mana, tanpa angin, satu daunan pokok bergoyang. Pokok tak goyang, dahannya pun tak berapa goyang. Misteri. Tapi, bila aku ceritakan pada doktor gigi di atas, beliau kata laluan tu kawasan bunian. Wallahualam...

8- Kebanyakan orang cina bila turun mereka akan buka kasut. Tak tahu mengapa. Tidak pula aku bertanya.

9- Ada dua orang awek yang naik bukit bauk pakai selipar comel macam nak pergi kenduri kahwin. Naik ok la, masa turun aku tengok macam azab je diorang nak berjalan. Huhuhu

10- Ada pendaki yang kepenatan akan menumpang kenderaan 4 wheel pekerja-pekerja menara pencawang di Bukit Bauk apabila turun. Letih benar nampaknya.

11- Pernah terserempak dengan kala jengking, warna ungu. Nampak garang kala jengking itu.




Itu baru hampir empat minggu. Kalau empat dekad mungkin aku dah boleh tulis buku yang bertajuk "Bukit Bauk Bersama Roshaizul"

Hahahaha.