Wednesday, May 11, 2011

Aku salah ajar ke?

Sudah kurang lebih lima tahun aku mengajar mekanik bendalir. Kini, tiada lagi rayuan yang menjengkelkan. Tapi, aku semakin hairan, jawapan pelajar aku semacam semakin pelik aku rasa.

 Jawab semua soalan. Bagus. Yang tak bagusnya markah tak lebih 15%


 ?????, Err...aku ada ajar ke ni?


 Ni nak cerita apa sebenarnya?


Ni menatang apa ni? Kapal angkasa berbentuk nenas?

Nasihat untuk bakal pelajar aku yang seterusnya.
1- Mesti ada modul. Masalah biasa pelajar aku, bila hujung semester baru tanya. "Encik, ada modul tak encik?"
2- Bila buat tugasan, buat sendiri. Bagi aku cabaran untuk menanda. Ini, kadang-kadang satu kelas tugasan sama je. Haram jadah.
3- Datang kelas. Walaupun aku sangat tak kisah kau datang atau tak kelas aku, tapi adalah lebih baik kau datang kelas. Apa kau fikir kau tu adalah Albert Einstein atau Thomas Edison? Pemerhatian aku, pelajar yang datang kelas akan lebih cemerlang, walaupun asalnya beliau adalah seorang yang bodoh. Biar bodoh, jangan malas.
4- Jangan banyak alasan. Alasan malas datang kelas. Alasan tak hantar tugasan. Alasan tak score ujian (walaupun ujian "open book"). Kalau hidup banyak sangat alasan, baik tak payah hidup! Hahahahahah


Tuesday, May 10, 2011

Gula naik, kerajaan juga yang salah.

Aku bukanlah penyokong Barisan Nasional yang sejati. Aku juga bukanlah rajin sangat untuk pasang bendera Pas. Aku sekadar orang biasa "atas pagar". Yang pastinya, aku lebih suka berfikir dahulu terhadap beberapa isu semasa. Tidak melenting dalam facebook, tidak juga menyalak dalam blog.

Isu terkini, berkenaan kenaikan harga gula. Kalau dengar Buletin Utama TV3, harga gula di Malaysia adalah antara yang terendah setakat ini, RM2.20, mahal 1 sen dari harga gula di Thailand.  Macam biasa, TV3 akan bermati-matian mempertahankan kerajaan (Barisan Nasional), walaupun kadang-kala tindakan kerajaan ini kelihatan jelik, pelik dan canggung.

Kalau kau baca media alternatif Pakatan Pembangkang, pastinya isu ini menjadi modal menghentam kerajaan.

Jujur, aku menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga gula secara mengejut ini. Sebab:-
1- Kalau kerajaan memberi tarikh sekian hari bulan baru harga naik, pastinya aka ada pemborong yang tamak akan menyorok bekalan.
2- Pastinya juga akan pembelian panik. Kalau biasanya beli gula sekilo, sebab panik beli 10kg! Bermakna, perlu ada stok 10 kali ganda.
Dua sebab itu akan menyebabkan kepanikan di seluruh negara? Kita juga yang rugi. Peniaga yang tamak juga yang untung.

Jadi, macam mana nak atasi masalah harga gula naik ini?
"Kurangkan manis dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman!"

Pengiraan ringkas.

Katakan kau guna gula sebanyak 20g sehari.
Jadi, bagi 1kg (1000g) kau boleh habiskan dalam tempoh 50 hari. 1000/20 = 50.
Harga lama gula RM2.10. Jadi, sehari kau membelanjakan 4.2sen untuk 20g gula. [2.10/1000]x20 = 0.042

Oleh itu, aku cadangkan kau belanjakan juga 4.2sen sehari untuk gula, tapi kurangkan sikit kuantitinya.
Harga baru gula RM2.30.
[0.042x1000] / 2.30 = 18.26
Jadi, kau gunalah gula sebanyak 18.26gram sehari. Beza setakat 1.74g mana ada rasa beb.

Yang aku hairan, orang paling kaya di Malaysia adalah tauke gula. Agaknya, dia kaya dengan subsidi kot. Hahahahaha

Sunday, May 01, 2011

Bila Najib Datang...

Bila Najib datang
Jalan jadi rata, tiada lagi lubang
Batu dijalan hadis dibuang
Sampah bersepah juga tidak terlepas pandang

Bila Najib datang
Bendera parti kerajaan dipacak berkibar
Pengerusi JKKK berkobar-kobar
Menyambut pemimpin yang cakapnya berdegar-degar

Bila Najib datang
Orang Umno kata Najib pemimpin penyayang
Orang Pas kata pilihanraya bakal menjelang
Aku kata, lantaklah korang

Bila Najib datang
Orang Kemas menyinsing lengan
Orang kampung macam tak menang tangan
Orang politik pasang angan-angan

Bila Najib datang
Yang baik harus dinampakkan
Yang buruk harus disorokkan
Biar imej baik kampung ditonjolkan

Bila baca seloka ini
Orang akan kata aku anti-kerajaan
Walhal aku adalah orang kerajaan
Bersungguh-sungguh melaksanakan dasar kerajaan
Eh, lantaklah bukan korang yang bagi aku makan

Bila baca perenggan di atas
Orang akan kata aku orang Umno
Tapi, aku tak pernah isi borang ahli Umno
Bila orang tanya bila nak isi borang Umno
Aku akan kata no, no, no!

Bila baca seloka di atas
Pasti akan ada terasa panas
Tapi, siapa makan cili, dia yang terasa pedas
Siapa yang makan nenas, dia yang terasa lidas!
Huhuhuhuhuhu..

p/s: Seloka di atas adalah berdasarkan pemerhatian aku tatkala anak Dato' Razak (mak mertua aku kata begitu) datang melawat Manir dan Batu Enam (Kuala Trengganu). Sedikit trivia, Tun Razak pernah juga melawat Batu Enam sewaktu beliau memerintah dahulu. Juga, sepengetahuan aku, di Manir dan Batu Enam, pengaruh Pas agak kuat juga. :-)

Saturday, April 02, 2011

Masjid Kristal?

Tiba-tiba sahaja terfikir tatkala ini. Ketika menonton iklan "School Attack TV3" yang menyerang SK Padang Hiliran di Kuala Terengganu. Salah satu bahagian memaparkan para "School Invaders" keluar beramai-ramai dari Masjid Kristal.

Menjadi suatu budaya bahasa aku kira di Malaysia ini, jika sesebuah musolla itu dijadikan tempat untuk solat Jumaat, ia akan dinamakan masjid. Jika tidak, ia hanya dinamakan surau sahaja.

Sepengetahuan aku, Masjid Kristal tidak dijadikan lokasi menunaikan solat Jumaat. Barangkali Masjid Kristal sesuai dinamakan sebagai Surau Kristal. Atau, untuk lebih gampak seperti Surau Hj Daud di Dungun, boleh juga Surau Kristal itu boleh juga dinamakan sebagai Surau Abdullah Badawi. Amacam? Gempak tak?

Gambar kridit kepada http://terengganusatudestinasi.blogspot.com/

Wednesday, March 30, 2011

Budak Gemuk, Jadi Penjaga Gol

Semasa aku darjah 1, berat badan aku sudah 40kg. Jadi, berat badan bukan masalah besar bagi aku. Kini, menjejak usia 30tahun, berat badan aku boleh diukur dalam unit tan.

Jadi, aku sudah amat lali dengan cacian dan pandangan serong orang terhadap aku. Alah biasa tegal biasa. "Aku punya badan, apa kau susah. Apa mak bapak kau bagi aku makan ke?" Hahahahahah. Itu antara ayat panas yang sering aku ucapkan jika ada kejian terhadap saiz badan aku. Ternyata ayat itu amat berkesan kerana ia akan mengguris hati di sudut paling dalam orang yang mendengarnya.

Juga kerana saiz badan aku ini, bidang sukan yang aku ceburi adalah lontar peluru, rejam lembing dan lempar cakera. Jika ada acara baling tukul besi semasa kejohanan rumah sukan di sekolah dahulu, pasti nama aku turut tersenarai untuk mewakili rumah kuning.

Jika dalam acara berpasukan pula, aku sering sahaja menjadi penjaga gol. Bola sepak, hoki dan bola baling. Alasannya mudah. Budak gemuk lambat berlari dan akan memenuhi ruang pintu gol. Itu sudah pasti menyukarkan pihak lawan. Aku rasa itu sesuatu yang biasa bagi seorang budak gemuk. Tempoh hari di padang SK Bukit Payung, aku terlihat situasi ini.




Aku teringat aku 21 tahun yang lampau...

Monday, March 21, 2011

5 tahun di Terengganu

Ini tahun kelima aku di Terengganu. Aku sudah boleh memahami loghat Terengganu pada tahap pertengahan. Juga, aku boleh bertutur loghat Terengganu pada tahap asas.

Bagi mengingati kembali,

Tahun kedua...
Tahun ketiga...
Tahun keempat...

...aku di Terengganu

Namun, jujur, aku gemar hujan batu di negeri sendiri. :-)

Sunday, March 20, 2011

Puan Roshaizul?

Aku ada menjual barang-barang bayi di internet. Pada permulaan, kerana ingin belajar serba sedikit mengenai ibu dan bayi, aku melanggan newsletter sebuah blogsphop yang menjual barang-barang ibu dan bayi yang agak tersohor di pasaran internet. Seingat aku, masa mengisi borang Opt-In tempoh hari, aku tak letak pun status dan gelaran aku. Tiba-tiba bila mereka hantar emel...


Hahahahaha. Nampaknya mereka ada robot untuk menghantar emel secara pukal. Mungkin mereka beranggapan bahawa semua yang melanggan newsletter mereka adalah dari golongan ibu. Tapi, anggapan mereka tidak benar...

Eh, belasah je la.... hahahaha

Saturday, March 19, 2011

Malu aku! Mukanya ni macam ditampal kulit babi!

"Ya Allah! Malu saya cikgu! Dulu abangnya kena buang. Ini adiknya pula. Malu saya cikgu. Mukanya ni macam ditampal kulit babi!"

Masih terngiang-ngiang dialog di atas. Semasa aku di SMT Kota Tinggi seingat aku. Kawan aku dibuang asrama. Abangnya dahulu pun pernah juga dibuang dari asrama yang sama. Dialog di atas diucapkan oleh bapa kawan aku kepada salah seorang guru kami. Menariknya, dialog diucapkan dengan slang Jawa yang pekat. Sebutan babi itu menjadi "babbi".


Dan, terkadang-kadang terasa juga muka ini macam ditampal dengan kulit babi apabila membaca keratan akhbar seperti di atas. Aiseymen....

Friday, March 18, 2011

Iklan Layanan Masyarakat 10: Kursus Jahitan Manik


Tempoh hari ada iklan di pejabat aku. Jadi, sesiapa yang berminat (termasuk Pn. Nurul), boleh hubungi nombor telefon di atas. Kawasan Dungun sahaja aku rasa. :-)

Thursday, March 17, 2011

KLCC vs Empire State Building

Tempoh hari, aku melintas di hadapan bilik bos, sambil menjeling (seperti biasa). Tiba-tiba aku terlihat...


Jarang dapat lihat anak Melayu berimaginasi sebegitu. Umpama Menara Berkembar KLCC. Atau mungkin juga seperti idea awal Empire State Building.

Wednesday, March 16, 2011

Pulau Warisan

Kalau kau datang ke Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu, aku cadangkan kau mengambil gambar kenang-kenangan di Pulau Warisan.

Pulau Warisan terletak sangat hampir dengan Pasar Besar Kedai Payang. Jika kau berada di pintu belakang Pasar Besar Kedai Payang pada waktu malam dan memanggil seseorang seperti kau menjerit di stadium bola sepak pasti suara kau itu akan di dengari oleh seseorang itu.

Sebetulnya, Pulau Warisan adalah kawasan tebus guna laut yang terletak di belakang Kampung Cina dan betul-betul di muara Sungai Terengganu. Pada hemat aku, tujuan pembinaannya adalah untuk mengurangkan kesesakan di sekitar Pasar Besar Kedai Payang dan Kampung Cina. Juga, ia berfungsi sebagai tapak ekspo dan pesta.

Tapi, Pulau Warisan agak kurang menarik pada waktu tengahari, kerana tiada pohon atau tempat berlindung di situ. Juga, pemandangan belakang Kampung Cina yang tidak berapa kemas dan dipenuhi dengan bangunan sarang burung walit.







Jadi, apa tunggu lagi?

Errr...apa aku merepek ni?

Tuesday, March 15, 2011

Pensyarah Politeknik

Seseorang: Kau kerja apa?
Aku: Pensyarah
Seseorang: Wow! Mesti gaji besar!

Itu hanyalah tanggapan masyarakat bila mendengar perkataan "pensyarah". Sejujurnya, kadang-kala istilah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya.

Sejujurnya juga gaji pensyarah politeknik sama sahaja dengan gaji guru sekolah. Cuma, pensyarah politeknik tidak mendapat apa-apa inisiatif dari kerajaan jika pelajarnya cemerlang. Cuma rasa puas apabila budak-budak faham apa yang diajar dan menjadi manusia yang tidak menyusahkan masyarakat.

Sejujurnya juga, pensyarah politeknik berada di bawah satu bumbung dengan pensyarah universiti. Cuma, pensyarah politeknik perlu lebih berdikari. Perlu reti membaiki peralatan asas yang rosak, mesti boleh menyapu dan membersihkan bengkel dan makmal, mesti gagah untuk mengangkat barang-barang dan pelbagai lagi perkara yang mesti dilakukan. Bukan untuk kenaikan gaji dan pangkat. Cuma rasa puas apabila suasana pembelajaran dan pengajaran berada dalam keadaan yang kondusif.


Oh ya, jika kau mahu menjadi pensyarah politeknik kau boleh ke laman web http://www.spp.gov.my/. Kemudian klik "PENSYARAH" apa bahagian "CAPAIAN PANTAS" yang terletak di atas kanan web. Kalau kau ada diploma politeknik dengan HPNM yang sangat tinggi, boleh sahaja memohon. Kalau kau adalah seorang doktor falsafah, kau juga boleh memohon.

Monday, March 14, 2011

Pantai Kemasik

Sebetulnya, tidak banyak memori aku terhadap pantai Kemasik.

Memori pertama - Dulu ada gerai menjual kerepok lekor dan ABC yang enak di situ.
Memori kedua - Aku pernah termakan lalat di medan selera yang terletak kira-kira 300m dari gerai kerepok lekor dan ABC.

Dulu, pantai Kemasik ini agak gersang. Memang tak ada orang yang akan datang lepak-lepak di pantai Kemasik. Tapi, ada seorang rakan yang menceritakan bahawa beliau suka tidur berlantaikan bumi beratapkan langit pada waktu malam di pantai Kemasik.

Tapi, pantai Kemasik kini semakin indah. Sesekali lepak di situ bersama Pn. Nurul sambil membaca novel Bumi Cinta adalah sesuatu yang menyenangkan.





Sedikit trivia -dahulu Kemasik adalah salah satu daerah di Terengganu. Kini ia adalah sebahagian dari Kemaman. 

Sunday, March 13, 2011

Ikan Bakar Kuala Dungun

Dulu, tak berapa lama dulu, sekitar 2006, Kuala Dungun tiada apa-apa. Sunyi, tapi sangat tenang. Tapi di sebalik kesunyian itu, ada sebuah gerai ikan bakar yang buruk. Walaupun buruk, ikan bakar di kedai itu memang menakjubkan!

Kini, Kuala Dungun mengalami fasa transformasi. Lalu kedai itu dirobohkan untuk memberi laluan kepada transformasi itu. Lalu, wujudlah semacam medan ikan bakar kira-kira 200m dari lokasi kedai buruk itu. Tapi, tauke kedai buruk itu tidak kelihatan di medan ikan bakar yang baru...

Namun, medan ikan bakar itu aku fikir sangat menarik. Dengan susunan gerai yang teratur betul-betul di Muara Sungai Dungun memberikan satu tempat riadah yang baru di Dungun. Pada waktu petang kau boleh sekadar duduk-duduk sahaja di batu-batu besar di tepian muara. Manakala, malamnya kau boleh menikmati ikan bakar yang segar sambil angin muara bertiup nyaman.

Dengan adanya medan bakar ini, aku tidak perlu berfikir panjang untuk mengajak kawan-kawan yang datang dari jauh untuk makan-makan di Dungun.


Tapi, masih ada manusia yang kemproh. Cis! Takde sivik langsung!

Saturday, March 12, 2011

Anjing Bersepah

Aku duduk di Taman Permint, Dungun, Terengganu. Suasana di situ agak ok. Jiran-jiran ok, dekat dengan tempat kerja dan agak dekat dengan bandar Dungun.

Tapi, yang tak menariknya di sini, banyak anjing-anjing berkeliaran. Aku tidak pasti sama ada anjing tersebut bertuan atau tidak. Tapi, yang pastinya kehadiran anjing-anjing tersebut sedikit meresahkan aku dan penduduk muslim di sekitar penempatan itu.

Sebetulnya aku agak fobia dengan anjing. Dulu, semasa kecil, keluarga aku pernah tinggal di Taman Pelangi, Johor Bahru. Di kelilingi ramai jiran berbangsa Cina, jadi banyaklah anjing yang berkeliaran di taman perumahan itu. Tapi, ini tidak bermaksud aku membenci orang Cina. Malah, jiran-jiran bangsa Cina kami di Taman Pelangi amat baik. Kebetulan Uncle sebelah rumah kami ada seorang pemborong buah-buahan, maka, kerap juga beliau memberi buah-buahan kepada kami. Manakala Uncle depan rumah pula pernah memberi basikal kepada aku.

Sebelum kehadiran basikal itu, aku akan tercungap-cungap hampir setiap hari akibat dikejar anjing tatkala mahu melalui jalan pintas ke sekolah agama. Tapi, dengan adanya basikal itu aku dengan tenang dapat melarikan diri dari anjing-anjing tersebut sambil "menganjing" kepada mereka. Hahahahaha.

Kembali ke kisah anjing Taman Permint. Anjing-anjing itu sngat gemar melepak di tengah jalan raya. Ada jua niat untuk melanggar sahaja anjing itu. Tetapi memikirkan anjing adalah najis berat, dibatalkan sahaja niat keji itu. Hahahahahahaha.

Tuesday, February 15, 2011

Aku Tertipu. Cis!

Dalam sebulan ni, aku sudah 2 kali tertipu tatkala membeli e-buku perniagaan internet. Ada pro, kontra, sempadan dan tauladan dalam kejadian tersebut. Hanya Allah yang tahu. :-)

Buku pertama berkenaan proses jual beli di Mudah.my. Versi pertama e-buku tersebut adalah dalam bentuk audio oleh Raja Kamil. RM10 sahaja aku beli waktu itu. Memang sangat berbaloi dengan harga pada waktu itu. Aku kira sekitar tahun 2009 aku beli produk tersebut. Terima kasih Abg Raja. :-)

Baru-baru ini aku beli e-buku yang bertajuk lebih kurang Panduan Mudah.My. Tidak berbaloi rasanya membeli e-buku tersebut, kerana kandungannya hampir 100% sama dengan produk yang aku beli tahun 2009. Aku terbeli e-buku tersebut kerana penulisnya adalah berbeza, tapi, hampeh...isi kandungan sama.

Kalau kau rasa kau nak berniaga di Mudah,my, tak payah susah-susah beli e-buku. Aku boleh ajarkan kepada kau dengan percuma dalam tempoh kurang 1 jam.

E-buku kedua yang aku beli bertajuk Rahsia Pelabut Internet Terbongkar. Pada video pemikat jualan, penulis mendakwa menulis e-buku tersebut dalam tempoh 2 bulan. Tapi, bila aku beli, e-buku tersebut hanya 18m/s! Cis! Aku boleh menulis nota mengenai Kejuruteraan Loji sebanyak 18m/s dalam tempoh 2 minggu sahaja.

Lebih mengecewakan beliau berpendapat untuk berjaya dalam perniagaan internet, kau perlu bermodal besar sehingga RM850 (lebih banyak lebih baik) untuk outsource perniagaan. Owh!

Tapi, dah terbeli, nak buat macam mana kan. Cuma, perlu berhati-hati pada masa akan datang. Dan yang pasti, aku tak akan beli e-buku oleh 2 penulis tersebut.

Apa-apa pun, tatkala membeli aku perlu lebih bertenang dan tidak gelojoh. Hahahahaa

Monday, February 14, 2011

Muzium Dungun

Lama dahulu awal tahun lepas aku ada menulis tentang Muzium Terengganu

Baru-baru ini (tak berapa baru juga sebenarnya) Muzium Dungun telah dibuka, dan aku berkesempatan mengunjungi.

Menarik, bila mana aku disambut mesra oleh pegawai muzium dan beliau menemani aku bersiar-siar di dalam muzium ini sambil menerangkan dengan terperinci mengenai Dungun. Telah banyak juga muzium aku pergi, dan ini pengalaman pertama aku ditemani oleh pegawai muzium tatkala melawat muzium!

Berikut, sedikit trivia mengenai Dungun
1- Bangunan Muzium Dungun asalnya adalah pejabat pegawai daerah Dungun pada zaman British. Pernah juga menjadi markas polis tentera Jepun.
2- Ada sekelompok penduduk asal Dungun berasal dari Indo-China, lebih tepat Vietnam. Ada juga sekelompok yang berasal dari Johor. Kau bayangkan Johor campur Vietnam. Pergh! Itu pasal la awek di Dungun cun. Hahahaha
3- Ada satu tempat di Dungun (aku terlupa tempatnya yang lebih tepat), dijumpai satu tapak arkeologi dipercayai kubur manusia pra-sejarah. Menarik lagi, manusia tersebut ditanam bersama dengan bekas yang berisi makanan.
4- Dungun pernah terkenal sebagai pengeluar bijih besi terbesar di dunia. Pada masa dahulu, orang Bukit Besi di Dungun dianggap sebagai orang yang mempunyai taraf hidup yang jauh lebih baik dari penduduk kawasan lain di Dungun.
5- Dungun pernah mempunyai pelabuhan dan rel keretapi semasa zaman perlombongan bijih besi.
6- Aku kira ada 9 perkataan "MUZIUM" dalam pos ini, tidak termasuk perkataan yang ditulis sebegini >>> "MUZIUM"

Ada sedikit gambar Muzium Dungun. Layan...









Tuesday, February 08, 2011

Makanan Utama Angkasawan Negara

Ini kali kedua aku menceritakan perihal angkasawan. Sebelum ini aku pernah membuat "liputan" perkahwinan angkasawan negara dengan sedikit ulasan mengenai koordinat cartesan.

Kalau kau mahu anak kau menjadi angkasawan negara yang seterusnya, kau harus memberitahu anak kau supaya mengamalkan makan tempe nasi beriyani dengan kadar yang kerap.


Nampaknya nasi beriyani adalah setanding dengan steak, lamb chop dan makanan yang dijual di Mak Potong, Bapak Panggang (Mama Chop Papa Grill).

Walaupun aku tidak setannding dengan angkasawan negara dari segi paras rupa, ketinggian, bentuk tubuh dan kepintaran, namun aku setanding dengan selera makan angkasawan negara.

Sebelum

Selepas

Untuk makluman kau, kau boleh temui nasi beriyani angkasawan ini di Klang dan Shah Alam. Restoran Nasi King Kong.

Monday, February 07, 2011

Aku Tidak Mahu Tinggal Di Lembah Kelang

Lama tidak mengemaskini blog. Maaf semua, aku sibuk dengan projek BabyNeedsShop.

Hari ini ada sedikit kelapangan, kerana aku sedikit jaub dari pusat operasi BabyNeedsShop. Yeah!!

Sebetulnya, aku kini berada di Kelana Jaya, ada urusan kerja rasmi. Kelihatannya Kelana Jaya sedikit lengang dari tempat-tempat lain di Lembah Kelang. Tidak tahu kenapa, kerana aku jatinya bukan dari Lembah Kelang.

Agak sinonim aku kira antara Lembah Kelang dan kesesakan jalan raya. Bagai isi dengan kuku, bagai aur dengan tebing, hati kuman sama dicicah. (Sila abaikan peribahasa yang terakhir). Nak pergi kerja sesak, nak balik kerja sesak, nak berfoya-foya sesak, nak balik kampung - lagilah sesak.

Jarang sekali aku menempuh kesesakan di Lembah Kelang,  kerana aku jatinya bukan dari Lembah Kelang. (Ulang ayat perenggan ketiga, kerana aku kehabisan idea). Tapi, terbaru, semalam aku menempuh perjalanan yang tidak menyenangkan dari tol Karak ke tol Gombak. Hingga aku merasakan lutut aku menjadi longgar.




Aku Tidak Mahu Tinggal Di Lembah Kelang!!!!