Showing posts with label Kulai. Show all posts
Showing posts with label Kulai. Show all posts

Friday, February 12, 2016

Kenapa Pasar Malam Ini Hanya Dua Kali Sebulan



Ini pasar malam di kampung aku. Bandar Tenggara. Ya, kampung aku adalah bandar. Tapi, bukan macam bandaraya Johor Bharu mahupun bandar Dungun. Malah, Bandar Baru Uda atau Bandar Tun Razak jauh lebih besar dari bandar aku ni. Mungkin Bandar Tenggara ni macam Bandar Tasik Selatan (Olan) kot.

Sebetulnya, Bandar Tenggara adalah pusat bandar wilayah kemajuan luar bandar Johor Tenggara. Kalau kau perhati, kebanyakan bandar bermula di tepi laut, tepi sungai atau di dataran lembah yang luas. Tapi, Bandar Tenggara ni wujud di tengah- tengah hutan. Ia dikelilingi lebih sedozen perkampungan felda, estet dan orang asal dalam lingkungan 30km radius.

Jauh aku punya intro. Kau memang gigih boleh baca sampai sini. Hohohoho.

Pasar malam di kampung aku ni tidak dipanggil pasar malam. Kami panggil pasar lambak. Tak tahu la aku sebab apa di panggil pasar lambak. Nak kata ada joget lambak, memang takde. Mungkin sebab berlambak orang meniaga dan berlambak orang datang shopping dan cari bini di sini.

Pasar lambak di sini diadakan dua kali dalam sebulan. 9 dan 20 haribulan setiap bulan. Kalau 9 dan 20 haribulan tu jatuh hari Khamis malam Jumaat, ia akan dianjakkan pada keesokan hari. Ini bagi peluang pada masyarakat untuk membuat yasinan. Yasinan ini adalah bacaan yasin dan tahlil beramai-ramai. Ia secara adat dilakukan setiap malam Jumaat.

Selain Bandar Tenggara, pasar lambak juga diadakan dua kali sebulan di perkampungan sekitar 30km radius. Memandangkan ada lebih sedozen perkampungan, memang tak cukup masa untuk rotation dalam tempoh seminggu. Itu sebab kena buat dua kali sebulan. Sebab apa kena buat rotation? Sebab, peniaga yang sama juga yang berniaga di pasar-pasar lambak tersebut.

20 tahun lepas memang meriah pasar lambak ni. Panjang. Memang tak larat nak jalan dari hujung ke hujung. Ialah, masa tu tak ramai mampu ada kereta untuk ke Kluang, Kulai atau Kota Tinggi. Di pasar lambaklah penduduk membeli barang keperluan yang tak ada dijual di kedai-kedai di Bandar Tenggara ketika itu. Juga, ini adalah peluang untuk penduduk berlibur.

Sekarang pasar lambak kurang meriah. Semakin kontot. Penduduk pun dah ramai yang ada kereta. Jadi, bila-bila masa sahaja mereka boleh ke Kluang, Kulai, Kota Tinggi, malah ke Johor Bharu untuk shopping. Pemuda juga sud
ah bosan untuk mencari bini di pasar lambak. Bosan melihat gadis sekampung. Keturunan tak berkembang. Ada baiknya mereka mengorat makwe bandar. Rambut karat, jeans ketat, pakai Myvi, kerja kerani. Keturunan pun berkembang.

Sebelum jauh aku merepek, aku tamatkan artikel ni di sini. Memang anti-klimaks. Tak macam drama laki curang bini derhaka petang-petang tu yang kau boleh agak penamatnya walaupun baru tengok episod pengenalan.

Sunday, February 09, 2014

Dah Macam Kena BOM!

Aku jarang balik Johor. Tapi, tidaklah terlalu jarang. Barangkali setahun, paling kurang empat kali aku akan pulang ke Johor. Menziarah orang tua yang utamanya. Membeli kerepek jatuh nombor dua.

Biasanya aku akan beli kerepek di sekitar Air Hitam - Parit Raja - Senggarang. Ada beberapa kedai yang mana aku telah menjadi pelanggan tetap selama beberapa tahun.

Jika dahulu, untuk membeli kerepek, dari Bandar Tenggara, aku akan melalui bandar Kluang, melalui Bandar T6. Tapi, beberapa tahun lepas, telah ada jalan potong ke Renggam, sebelum Felda Bukit Tongkat. Melalui jalan itu, ternyata lebih dekat. Dari Bandar Tenggara, boleh sahaja aku melalui jalan itu ke Renggam. Dari Renggam, terus ke Simpang Renggam dan sampai ke Air Hitam.

Walaupun jalan itu baru, tetapi, jalan tersebut telah mengalami kerosakan. Sama keadaanya seperti jalan Felda Inas ke Kulai. Dipercayai jalan tersebut bertar nipis dan dilalui oleh lori.

Memandu di jalan seperti itu, amat menguji kecekapan memandu. Harus sentiasa berwaspada dengan keadaan jalan dan kenderaan terutama lori yang dipandu laju.

Terkadang, aku rasa kadaan tidak aman kerana rupa paras jalan seperti di bom!





p/s: Semasa melalui jalan tersebut tempoh hari, jalan sedang dibaiki. Tapi, tak pasti berapa lama ia boleh bertahan.

Saturday, January 30, 2010

Apam Balik Nirwana & Cendol Wan Majdah

Tempoh hari, aku ada menulis mengenai apam balik Dungun. Lalu, ada beberapa pengomen tegar mencadangkan aku mencuba apam balik Nirwana. 

Ini bukan A Rahman Hassan dan Orkes Nirwana.
Ini bukan Kurt Cobain dan Nirvana.
Ini bukan Nirwana Perpetual Park di Kulai sana.

Tapi, ini adalah kisah gerai apam balik di hadapan premis pasaraya Nirwana Dungun. Ternyata, benar kata-kata pengomen-pengomen tegar itu. Apam balik Nirwana itu tidak kurang sedapnya. Rasanya begitu klasik. Berbanding apam balik Dungun yang rasanya agak hibrid.




Aku membeli tiga biji apam balik itu. Harga setiap satu adalah RM2. Berpadanan harganya dengan kualiti dan saiz apam balik itu.


Semasa menunggu apam balik itu siap, sempat aku menuramah penjual apam balik itu. Tak berapa ingat apa soalan yang aku kemukakan kepada beliau. Cuma, yang aku ingat adalah gerai apam balik Nirwana itu di buka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang.




Sekonyong-konyong aku ingin beredar dari gerai itu, aku terperasan bahawa gerai itu juga menjual cendol. Lalu, aku teringat akan Wan Majdah yang bertanyakan di manakah  lokasi untuk mencari cendol di Dungun pada siang hari. Harus nampaknya aku mewujudkan suatu rancangan "Jalan-Jalan Cari Pasal Makan" versi Dungun.




Jika Wan Majdah membaca post ini, adalah dimaklumkan bahawa kau boleh mendapatkan cendol di hadapan pasaraya Nirwana dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari. Tetapi, hingga stok cendol/santan/gula melaka masih ada. Kesedapannya belum teruji kerana aku belum lagi mengujinya.

Thursday, December 11, 2008

Roshaizul Yang Buta IT

1993, Kelas 6 Bestari, Sekolah Rendah Bandar Tenggara 1
Hadzrie: Jam, ko tak nak join kelas komputer ke?
Aku: Komputer tu apa?

1996, Kelas 3RKA1, Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai
Alan: Jam, ko nak outing nanti belikan aku disket.
Aku: Disket tu apa?

1998, Kelas 5 Jentera, Sekolah Menengah Teknik Kota Tinggi
Romlie: Ajax, camna nak gelapkan perkataan dalam Word ek?
Ajak: Ala, ko tengok kat bahagian atas skrin ko. Ada huruf B. Ko klik situ. B tu stand for Bold.
Aku: Err....Word tu apa? Bold tu apa? Bolt and nut ke? Ke bot pancung?

2000, Makmal AutoCAD, Institut Teknologi Tun Hussein Onn, Parit Raja
Lecturer: Lepas siap drawing tu, save dekat desktop PC. Pastu save as jugak dekat dalam disket.
Aku: Encik, camna nak save dekat desktop? Pastu camna nak save as dalam disket?

2003, Pusat Penyelidikan Automotif, UTM Skudai
Aku: Bang, ada disket tak? Nak save file Word ni.
Mardani: Disket takde, thumdrive ada la.
Aku: Thumdrive tu apa?

2005, Makmal ICT, Kampus Bandar, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn
Aku: Ko buat apa tu Pis?
Hapis: Syyyhhh...aku tengah download ni.
Aku: Download tu apa?
Hapis: Syhhhhh...!! Jangan cakap kuat-kuat!

2008, Makmal Robotik, Politeknik Dungun
Mazudi: Jam, tolong aku boleh?
Aku: Tolong apa?
Mazudi: Tolong install FileZila dalam setiap PC dalam lab ni?
Aku: Fail Zila tu apa? Zila Jalil punya fail ke?

Monday, November 17, 2008

Bandar Tenggara Yang Tercemar

Aku belek-belek surat khabar Berita Harian yang lama. Terjumpa komen ni.

"Pencemaran alam sekitar terus berlaku apabila kilang memproses sawit di Bandar Tenggara, Kulai, Johor dibiarkan melepaskan asap ke udara tanpa sebarang kawalan. Asap berkenaan menimbulkan masalah kesihatan kepada penduduk, terutama kanak-kanak yang tinggal berhampiran. Keadaan mungkin bertambah teruk jika penghuni di situ mengalami masalah pernafasan. Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan harus memantau perkara ini."

Kilang sawit ni memang aku tau sangat. Sebenarnya, kilang ni ialah Kilang Sawit Pengeli Timur milik penuh Felda. Kilang sawit ni terletak kira-kira satu kilometer dengan kawasan perumahan yang paling hampir.

Kalau dilihat pada gambar tu, ternyata ia difotokan pada waktu siang. Sebenarnya, kilang tersebut lebih aktif mengeluarkan asap pada waktu malam. Asap kilang tu dipercayai telah membantutkan pengeluaran bunga pokok durian bapak aku, juga menyebabkan kebun pisang bapak aku tidak menjadi produktif.

Memang biasa penduduk sekitar mencium bau asap tersebut. Baunya agak pelik, sukar untuk diceritakan bagaimana. Tapi, yang pasti, taik hidung aku akan hitam apabila aku menghidu bau tersebut untuk tempoh beberapa jam.

Tapi, siapa nak marah kilang tu kan. Felda punya tu! Takkan nak marah satu perbadanan yang disokong oleh Najib Tun Razak dan dipengerusikan oleh Yusof Nor? Jadi, terpaksalah Jabatan Alam Sekitar (JAS) menutup sebelah mata dan menyaman lori milik peniaga kecil (macam bapak aku) yang didakwa mengeluarkan asap hitam. Korang ingat murah ke kena saman dengan JAS? Sekali saman RM2000!!! Hilang income bapak aku setengah bulan....

p/s: Ops! Post ni agak emo skit. Maunya tak emo, asik hidu asap kilang tu je. Nasib baik aku dah duduk di Dungun yang nyaman ini...

Thursday, October 09, 2008

Tip Penjimatan Pada Hari Lebaran

Umur aku 27 tahun. Kalau ikut tahun hijrah, barangkali umur aku 28 tahun. Ini bermakna sudah 28 kali aku berlebaran. Katakan aku mumaiz di kala usia 7 tahun. Ini bermakna sudah 21 kali hari raya yang aku lalui secara sedar. Huhuhuhuhuhu. Aku pasti akan terdetik di hati korang "Kejadah betul la si Roshaizul ni. Apa kaitan penjimatan, hari raya dan umur?"

Berikut adalah tip penjimatan melalui pengalaman aku berhari raya sebanyak 21 kali.

Duit Raya
Zaman sekarang ni, duit raya paling ciput pun RM1. Itu pun ada budak-budak yang merungut. "Eleh, seringgit je. Cis, kedekut sungguh Pakcik Ijam ni". Ada sebuah keluarga di Felda Inas di Kulaijaya tidak memberi duit raya sebanyak seringgit. Tapi, mereka siapkan bungkusan kecik yang mengandungi gula-gula sebanyak empat biji dan duit siling sebanyak 50sen. Setelah diteliti, kos bungkusan dan empat biji gula-gula hanyalah 20sen. Ini bermakna korang hanya mengeluarkan modal 70sen untuk setiap bungkusan. Kalau seratus bungkus, baru RM70. Ini pastinya amat menjimatkan berbanding RM1. Barangkali budak-budak akan gembira. Ye la, duit dapat, gula-gula pun dapat.

Baju Melayu
RayaKorang pakai je baju melayu raya tahun lepas. Bukannya selalu korang pakai baju melayu tu. Paling kerap pun seminggu sekali pada hari Jumaat (melainkan korang kerap ke masjid dengan berbaju melayu). Ada sesetengah kawan-kawan aku mesti nak buat baju melayu baru setiap tahun. Alasan mereka "Raya kan setahun sekali". Aku tanya "Pas raya baju tu ko nak pakai ke?". Alasan mereka lagi "Kalau tak pakai aku boleh bagi kat umah anak yatim". Aku perli "Ko ingat anak yatim tu muat ke nak pakai baju ko yang dah jadi second hand tu?"

Kuih Raya
Korang pakat dengan 10 orang atau lebih kawan-kawan korang. Kemudian, belilah dengan kuantiti yang banyak. Kemudianya lagi, ko tanya tauke yang jual kuih tu "Ni saya beli banyak takde diskaun ke"? Nak jimat lagi? Buat sendiri la...

Langsir Raya
Pakai je langsir raya tiga tahun lepas. Orang tak akan perasan tu langsir lama. Tapi dengan syarat. Langsir tu mestilah langsir yang segar malar rupa parasnya. Tidak terlalu bercorak dan tidak banyak ropol-ropol yang melayut-layut.

Jalan-jalan Raya
Ni paling senang nak buat pada pendapat aku. Pertama, kongsi kereta. Kedua, rancang perjalanan. Ketiga, agak keadaan trafik. Keempat, kenal pasti jalan alternetif. (Macam iklan keselamatan jalan raya pulak rasanya)

Air Raya
Tak payah beli minuman segera berkabonat. Sebotol RM3. Takkan la beli sebotol untuk raya, paling kurang satu karton. Beli je kordial CNI. Nak lagi jimat beli pati berperisa cap dua singa. Nak lagi jimat, air kosong cukup la. Kalau mak mentua korang kata korang kedekut, ko jawab je begini "Air kosong bagus untuk kesihatan mak. Lagi pun, mak kan ada kencing manis. Jadi, tak boleh minum air manis-manis. Sebab saya sayang mak la saya hidang air kosong je ni"

Rumah Terbuka
Hari raya masanya untuk ziarah-menziarahi. Rumah korang pasti sentiasa terbuka di hari raya. Buat apa lagi nak buat rumah terbuka?

p/s: Just my 2 cent. Huhuhuhuhuh.

Friday, August 22, 2008

Bila Pak Lah Naik LRT

Aku tengok Buletin Utama TV3 malam tadi. Pak Lah yang berjiwa rakyat itu telah mencuba untuk menaiki LRT. Barangkali itu kali pertama beliau menaiki LRT dan beliau terkejut melihat kesesakan di stesen dan dalam LRT. Dan beliau juga terkejut apabila mendengar keluh kesah pengguna LRT. Dan beliau berjanji akan memperbaiki sistem pengangkutan di ibu negara.

Barangkali juga, Pak Lah perlu turun ke seluruh negara bagi melihat sendiri sistem pengangkutan di seluruh negara. Jika di ibu negara Pak Lah merasakan bahawa sistem pengangkutan begitu teruk, di tempat yang bukan ibu negara keadaan barangkali lebih teruk!!!

Barangkali Pak Lah perlu turun ke Bandar Tenggara misalnya. Pak Lah boleh cuba menunggu bas untuk samada ke Kulai/Johor Bahru, atau ke Kluang, atau ke Kota Tinggi di stesen bas Bandar Tenggara. Barangkali Pak Lah boleh menulis sebuah novel sementara menunggu ketibaan bas.

Barangkali juga Pak Lah boleh cuba menunggu bas untuk ke Kuala Lumpur dari bandar Dungun. Barangkali juga Pak Lah boleh meminta pengawal peribadi beliau membawa payung dan kerusi lipat sebagai persediaan untuk menunggu ketibaan bas.

Barangkali juga Pak Lah boleh mendengar rungutan pelajar Politeknik dan UiTM Dungun yang tiada kenderaan sendiri tatkala mereka perlu dengan segera ke bandar Dungun. Mereka perlu membayar RM2 sehala, dan RM4 untuk pergi dan balik. Dan barangkali lebih menjimatkan jika mereka menyewa kereta kancil selama sejam dengan bayaran RM5 dan boleh dinaiki seramai 5 orang yang mempunyai berat badan kurang 50kg. Barangkali juga bisnes kereta sewa di bandar Dungun mempunyai masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Err...cuba korang kira berapa banyak "barangkali" yang aku guna dalam post ni, termasuklah "barangkali" dalam ayat ini.

p/s: Barangkali cikgu Apis17 boleh menggunakan post ini sebagai contoh penggunaan perkataan "barangkali" dalam karangan Bahasa Melayu darjah 5.