Monday, March 04, 2019

Tempat Makan Terbaik di Kuala Terengganu: Roti Tempayan @ Machang Lada Seafood




Aku tak ingat bilakah kali pertama aku mencuba roti tempayan. Tapi, kini roti tempayan menjadi menu kesukaan aku. Ia satu hidangan yang ringkas. Sekadar adunan tepung gandum yang dibakar dalam tempayan, lalu dicicah dengan kuah gulai. Ringkas dan seadanya.

Tapi, versi cicahan dengan kuah gulai popular di Pantai Timur dan kedai Melayu. Versi mamak, roti tempayan dimakan dengan ayam andori. Sambil dicicah dengan kuah dhal dan kari kosong; antaranya. Mamak juga tidak menamakan ia dengan roti tempayan. Ia dikenali dengan nama roti nan.

Melalui carian di Google, mat saleh menamakan roti tempayan sebagai tandoor bread. Ia dinamakan sempena tempayan yang nama asalnya adalah tandoor. Masuk akal. Sebab ayam tandori dimasak dalam tempayan yang sama dengan roti tempayan.

Itu sedikit trivia pasal roti tempayan atau roti nan atau tandori bread. Owh ye, orang Terengganu memanggilnya dengan nama "roti payang". Panjang pula intro aku. Ialah, menulis dengan komputer riba, dalam persekitaran blogspot, memang automatik akan tertulis panjang. 

Sebelum ini aku ada ulas beberapa kedai roti tempayan. Kau boleh cari pada bahagian "search" atas penjuru kanan dalam blog aku ni. Tapi, kali ini aku nak ulas pasal roti tempayan di Machang Lada Seafood.

Machang Lada terletak di Bukit Payung. Kalau kau dari Kuala Terengganu, sesampai di lampu isyarat Padang Midin, kau belok kiri, ke Paya Resak. Masuk je simpang tersebut, itulah Machang Lada. Kau kedalam sikit dalam 500 meter, kau akan jumpa kedai Machang Lada Seafood di sebelah kiri kau. 

Macam payah je penerangan aku. Senang-senang, kau buka Google Maps dan cari "Machang Lada Seafood".



Kedai ini asasnya makanan gaya siam. Tapi, ada juga makanan barat dan roti tempayan. Abang ipar aku kata roti tempayan di sini sedap, lalu aku cuba.

Umph! Rotinya memang sedap! Ia tidak tebal. Tidak juga terlalu nipis. Ia tidaklah terlalu besar. Tidak juga terlalu kecil. Sedang-sedang sahaja. Portion yang sesuai untuk kau yang berdiet. Pada sesetengah bahagian roti, ia rangup. Tapi, pada sesetengah bahagian ia gebu. Jadi, sensasi makan roti tempayannya sangat mengancam.



Kuahnya; aku mencuba gulai ayam dan kambing. Gulai ayamnya secukup rasa. Sedap. Kena dengan roti. Lagi sedap kalau kau cubit daging ayam, gulung dalam cubitan roti, cecah kembali kedalam kuah dan nikmatinya! Fuh! Sambil menaip ni ngences aku rasa.



Gulai kambingnya pula tidak hanyir. Pandai mereka basuh daging kambing. Dagingnya pula pejal, tetapi tidak liat. Tak hancur bila dicubit, tetapi sedap apabila dikunyah. Luar biasa!



Kedai ini kedai keluarga. Maknanya kau boleh bawa keluarga kau yang selera lain-lain. Mungkin kau suka roti tempayan, bini kau suka tomyam dan anak kau suka chiken chop. Pergi kedai ini. Lalu semua orang gembira.



No comments: