Showing posts with label tempat menarik. Show all posts
Showing posts with label tempat menarik. Show all posts

Saturday, July 20, 2019

Ke Utara Bahagian 3: Istana Batu: Muzium Diraja Kelantan

Usai menjelajah Istana Jahar, kami ke Istana Batu. Istana ini berada di belakang Istana Jahar. Nasi Ulam Cikgu berada dihadapannya. Kiranya, jika keluar pintu depan Istana Batu, akan kelihatan kedai Nasi Ulam Cikgu.

Istana ini menceritakan tentang salur galur kesultanan Kelantan yang bermula dari Raja Bendahara, Raja Long Kundur. Ia dibina oleh Sultan Ismail sebagai hadiah perkahwinan kepada anakanda beliau, Sultan Yahya Petra (semasa beliau menjadi putera mahkota) dengan Raja Perempuan Zainab II. Istana ini siap pada 1939. Ini kemudian bersilih ganti pemiliknya dikalangan kerabat terdekat. Ia diperkenan menjadi Muzium Diraja pada 1991.

Tiket masuk masih sama dengan tiket masuk Istana Jahar. RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak dan warga emas rakyat Malaysia. Harga sekali ganda untuk warga asing, termasuk Jepun dan Bangla. Aku rasa ini harga piawai bagi mana-mana muzium di Kelantan, atau mungkin di seleuruh Malaysia.

Muzium ini buka setiap hari kecuali Jumaat, tutup. Waktu operasi 8.30 pagi  hingga 4.45 petang, kecuali Khamis tutup aal 3.30 petang.

Seperti Istana Jahar, nak masuk Istana Batu perlu buka kasut. Masuk sahaja terus dipaparkan poster maklumat sultan-sultan Kelantan bermula dari Raja Long Kundur hingga Sultan Muhammad V.

Kemudian, ada suatu ruang menceritakan beberapa trivia mengenai Kesultanan Kelantan. Pada bahagian ini aku tertarik melihat satu gambar yang mirip kulit album Butterfingers Transcendence. Gambar tersebut memaparkan Ahli Majlis Kelantan pada tahun 1909.Aku kira gambar ini sangat ikonik.

Gambar kredit: Srikandi


Seterusnya, ke bahagian dapur yang menempatkan koleksi cenderahati peribadi milik kerabat Diraja Kelantan. Aku paling suka pintu dapur ini. Ada empat daun, dan ia berputar 360 darjah. Tak seperti pintu sekarang yang hanya boleh dibuka-tutup 180 darjah.

Banyak bahagian dinding muzium dihiasi dengan gambar-gambar sultan sekarang, sultan sebelum ini dan kerabat dekat mereka.

Kalian akan kagum bila masuk ke ruang makan. Susunan perabot, hiasan malah pinggan dimeja menampakkan prestij diraja. Pada bahagian atas ruang makan, digantung beberapa wajah gadis yang aku kira kacukan. Tapi aku tak pasti siapa sebab tak jumpa penerangannya. Gadis-gadis manis ini dandanan dan selokannya ala-ala gadis barat era perang dunia.

Seterusnya, ada beberapa bilik yang hiasan dalamnya ada hiasan asal pemastautin istana ini. Antaranya, Tengku Salwani, Tengku Ismail Petra dan Sultan Yahya Petra. Ralit bila duduk dalam bilik-bilik tersebut sambil meneliti barang-barang pameran yang terdiri dari koleksi peribadi.

Pada ruang tamu pula, pada satu sudut dinding digantung sepasang lelaki dan wanita. Tapi, aku tak pasti juga siapa sebab tak jumpa penerangannya. Tapi, mereka kedua kelihatan sangat anggun dan berkarisma.

Sebenarnya, sangat banyak gambar klasik dan barangan peribadi keluarga Diraja Kelantan dipamerkan di sini. Seronok meneliti satu persatu. Ternyata, hasil kerja orang dahulu memang halus dan teliti.

Pada bahagian luar istana pula, dipamerkan kereta Roll Royce klasik milik Sultan Yahya Petra, kalau tak silap aku. Kereta itu kerata yang paling tinggi kuasa kudanya pada zaman itu.

Sedar tak sedar, sejam juga kami meneroka istana ini. Ralit. Mengasyikkan. Pergi ke sini perlu tenang-tenang untuk menikmati bahan pameran yang ada.







Tuesday, July 09, 2019

Ke Utara Bahagian 2: Istana Jahar: Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan

Memang niat asal aku Kelantan kali ini adalah untuk melawat semua muzium dan tempat bersejarah yang ada di Kelantan. Muzium Islam, Muzium Kraf, Muzium Negeri, Muzium Wau dan setengah dozen lagi lokasi. Tapi, hanya sempat Istana Jahar dan Istana Batu sahaja. Kepenatan. Faktor usia agaknya. Kah kah kah.

Muzium ini memaparkan pelbagai istiadat diraja Kelantan. Dari majlis pertabalan, perkahwinan, mengandung, bersalin, dan pelbagai lagi. Tiket masuk hanya RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.

Istana ini asalnya kediaman Raja Bendahara, Baginda Long Kundur. Selepas kemangkatan Sultan Muhammad III, Raja Bendahara menaiki takhta dengan gelaran Sultan Muhammad III. Lalu istana ini kekal menjadi tempat bersemayam baginda.

Struktur istana ini kelihatan simetri. Kiri dan kanan ruangnya sama. Ia dua tingkat. Tangga ke tingkat atas diperbuat dari besi berukir. Tangganya berlingkar bulat. Unik luar biasa.

Walaupun tanpa kipas, ruangan dalam istana ini amat nyaman. Hebat teknologi orang dahulu. Walaupun tanpa kipas dan penyaman udara, istana ini nyaman dan menyenangkan

Pada hemat aku, saiz dan teknologi pembinaannya tahap kadar state-de-art pada zaman tersebut. Namun begitu, jika hendak dibandingkan dengan zaman sekarang, saiznya tidaklah terlalu besar. Kini, ramai orang memiliki rumah yang sebesar, malah lebih besar dari Istana Jahar. Melalui ini juga kita dapat fahami sosio ekonomi masyarakat kada zaman itu.

Aku paling seronok berada di beranda pada tingkat dua. Berandanya luas. Dari beranda itu, kita boleh lihat pemandangan yang jauh dan luas. Aku dapat bayangkan baginda Sultan Muhammad III berdiri di hujung beranda memandang jauh jajahan takluk dan rakyat jelata. Aku juga dapat bayangkan, jika dilihat dari bawah Sultan Muhammad III akan nampak hebat dan gagah. Melalui gambar yang ada di muzium ini, Sultan Muhammad III kelihatan sangat berkarisma.

Aku ada mengambil tidak kurang 5 syot video di atas beranda. Tatkala preview melalui teleon bimbit, aku yakin video tersebut memang ada dan berkualiti. Malangnya, masa aku nak edit, video "tak jadi". Syot video ada hanyalah syot-syot pada bahagian lantai beranda. Semasa menulis ini, aku masih termanggu kehairanan.

Abaikan.

Muzium ini juga memaparkan banyak fakta yang berbentuk trivia. Misalnya kau boleh tahu siapa yang membawa masuk kereta ke Kelantan. Juga sukan apa yang popular di Kelantan pada awal abad ke 20. Aku tak nak cerita di sini. Elok kau ke mari hayati sendiri sejarah di negara kita. Kalau bukan kita siapa lagi? Takkan semua nak harapkan bangla?

Owh ya, terlupa. Pada bahagian belakang muzium ada ruang pameran senjata melayu. Ada pelbagai keris, lembing, serampang, buku lima, parang dan pelbagai lagi.

Bahagian bahagian bawah muzium pula ada beberapa kapal milik Sultan Kelantan dahulu yang dihadiahkan oleh Raja Siam. Nampak kehalusan ukiran pada kapal tersebut.

Ayuh, hujung minggu kau ke Kelantan, lawat muzium ini. Pergi Kelantan dan membeli-belah di Rantau Panjang is to mainstream.



Thursday, March 07, 2019

Pasar Chabang Tiga: Pasar Legend Kuala Terengganu

Kuala Terengganu adalah daerah yang terkecil dari segi keluasannya di Terengganu. Namun, ia merupakan daerah yang paling ramai penduduk di Terengganu. Ini menjadikan Kuala Terengganu agak padat. Tidaklah sepadat Kuala Lumpur, tapi ia padat berbanding Kuala Berang atau Marang.

Kepadatan itu mewujudkan pelbagai ruang niaga di Kuala Terengganu. Ruang niaga ini, atau secara biasanya orang panggil pasar, bukan baru wujud setahun dua. Malah banyak antaranya yang wujud lebih 30 tahun, atau 50 tahun atau 100 tahun.

Pasar Besar Kedai Payang, Pasar Batu Enam, Pasar Manir dan Pasar Chabang Tiga adalah antara pasar-pasar yang tua dan lama di Kuala Terengganu. Pasar ini bukan sahaja dikunjungi oleh orang Kuala Terengganu, malah turut dikunjugi penduduk daerah bersebelahan iaitu Kuala Berang dan Marang.

Antara keempat-empat pasar ini, Pasar Manir menjadi kesukaan Pn. Nurul. Diikuti oleh Pasar Chabang Tiga. Antara faktornya adalah kedua-dua pasar ini dekat dengan rumah mak mertua aku di Pulau Rusa.

Pasar Chabang Tiga bukanlah pasar pagi yang sebenar. Kalau kau pergi pukul 7.30 pagi, ramai peniaga baru memulakan perniagaan. Tempat letak kerata juga masih kosong. Ini berbeza misalnya dengan Pasar Ikan Pulau Kambing atau Pasar Borong Gong Pauh. Pukul 7 pagi sudah hingar-bingar.

Pada mata aku, Pasar Chabang Tiga juga bukanlah pasar yang menjual barang langka seperti Pasar Manir. Pasar ni bisyer bisyer sahaja. Barang jualannya tidaklah murah. Pendek kata, ia macam Astro. Macam-macam ada,  biasa-biasa dan harga taklah murah.

Namun begitu, ia tetap ramai orang. Ini tidaklah menghairankan sebab pasar ini dan peniaganya konsisten menjual setiap hari. Mereka juga masih menjual walaupun sudah menghampiri waktu Zuhur; dimana tidak banyak pasar yang lanjut perniagaannya sebegitu. Lokasinya juga strategik. Walaupun namanya Pasar Chabang Tiga, ia terletak disempadan Chabang Tiga - Losong. Memandangkan Losong tidak mempunya pasar, maka selain orang Chabang Tiga, orang Losong turut ke pasar ini.

Pasar ini baru dipindahkan pada tahun 2014. Hanya beberapa ratus meter dari lokasi asal. Idea perpindahan ini kerana keadaan pasar lama yang usang dan kotor; selain kesesakan jalan raya.

Tapi, setelah lima tahun dipindahkan, pasar baru ini aku rasa masih kotor. Kesesakan juga masih berlaku di waktu puncak pukul 9-11 pagi, hujung minggu dan hari cuti.

Hal kotor ini sebab sikap. Ambil mudah dan malas. 

Hal sesak pun sebab sikap. Malas nak jalan. Kalau boleh nak pandu-lalu beli ikan.

Begitulah tuan puan. Sikap ni kena dibentuk dari rebung. Kalau dah jadi buloh macam aku, payah. 


Friday, February 22, 2019

Ikea Tebrau

Setelah sekian lama Ikea Tebrau dibuka, pada raya cina yang lepas barulah aku berpeluang untuk singgah ke sana. Sekadar cuci mata. Menghabiskan masa berdua. Menikmati kehidupan seadanya. Tiadalah hasrat untuk membeli. Kerana tiada tunai di tangan juga tiada keperluan untuk membeli.

Ikea Tebrau adalah persinggahan ringkas setalah Pn. Nurul beriya-iya mengajak aku bersiar-siar di Johor. Negeri Johor maksud aku. (Sebab sebahagian orang Johor merujuk "Johor" sebagai Johor Bharu). Sebelumnya kami ke Plaza Angsana. Aku tak ingat bila kali terakhir aku ke Angsana. Mungkin 10 tahun lepas. Dan Angsana tidak banyak berubah. Ia menjadi pilihan ramai orang Melayu; termasuk orang Melayu Singapura.

Kami sampai ke Ikea Tebrau menjelang tengahari. Suasana agak lengang waktu itu. Kami masuk dan membayar parkir dengan kad touch n go. Tempat parkir juga luas. Memandangkan tidak ramai orang ketika itu, dapatlah kami parkir berhadapan pintu masuk lalu membiarkan beberapa kalori lemak tinggal di dalam tubuh kami. 

Seperti di Ikea Damansara, tempat masuk dan pameran barang di tingkat atas. Untuk sampai ke tingkat atas, ada dua pilihan. Sama ada menaiki tangga bergerak atau tangga statik. Aku pilih menaiki tangga statik. Bukan kerana nak bakar kalori sangat. Tapi aku rasa aku akan cepat sampai berbanding menaiki tangga bergerak. 

Rasaan aku itu benar.

Sampai tingkat atas, ada tempat makan. Ramai orang waktu itu. Mungkin sebab tengahari. Oleh sebab kami sudah kenyang makan sandwich di Angsana, tiadalah hasrat untuk makan di situ. Walaupun ramai yang cakap bebola daging Ikea sangat sedap padu, tapi aku tidak terliur. Jika diberi pilihan tempe atau bebola daging Ikea, aku pilih tempe, walau apa cara pun ia di masak. Juga, aku yakin bebola daging air tangan Pn. Nurul lebih sedap. Sedap kerana dibuat dengan kasih sayang. :p

Pundi kencing aku penuh. Perlu dikosongkan. Barulah sedap berjalan. Aku meluru ke tandas. Nyata jamban Ikea Tebrau berada dalam kelas tersendiri. Bukan mangkuk jambannya, tetapi pintunya. Pintunya di buka keluar. Jadi mudah untuk masuk.  Tidak seperti jamban lain di Malaysia. Pintunya ke dalam. Lagi haram jadah, pintunya tidak boleh dibuka penuh sebab tersangkut dengan mangkuk jamban. 

Itulah, jamban kita tidak dibina dengan jiwa. Dibina demi wang semata-mata. 

Lupakan kisah jamban. Kita kembali ke cerita Ikea Tebrau. 

Lalu, aku menemani Pn. Nurul mengelilingi Ikea Tebrau. Bahagian ni aku malas nak taip. Aku letak video. 



Dia punya ralit pusing, sampai tak hirau aku. Kaki aku rasa lenguh macam nak tercabut. Tapi, Pn. Nurul tetap tenang dah gagah. Aku hairan. Sebab biasanya kalau ajak jalan kaki 50 meter pun dia dah merungut.

Walaupun sekadar cuci mata, tersambar juga barang separuh penuh beg kuning. Kagum betul kami masa bayar. Duitnya disedut masuk. Bakinya dihembus keluar. Mesti kau hairankan? Ayuh, musnahkan kehairanan kau dengan membeli di Ikea Tebrau!

Oh ya, masa bayar tu juga, sebenarnya kami boleh dapat pengecualian bayaran parkir. Tapi sebab kad touch and go ada dalam kereta, kami abaikan pengecualian itu. Kena bayar RM3. Jadi, aku nasihatkan kalau kau bayar parkir Ikea Tebrau pakai touch and go, bawa sekali kadnya. Kalau kau membeli, dapat pengecualian bayaran parkir. 

Ayuh ke Ikea Tebrau!

Sunday, February 10, 2019

Arena Warna Air Hitam

Dulu-dulu, sebelum adanya JPO dan Legoland; malah sebelum adanya Angsana, bila sebut Johor, maka Air Hitam pasti meniti di bibir mak mak.
Ialah nak deko rumah. Beli pasu. Beli bunga mati. Sambil tu boleh sambar kerepek dua tiga kilo.
Entahlah apa yang seronok Air Hitam di mata mak mak. Panas, bising dan sesak terutama hujung minggu cuti sekolah.
Sindrom mak mak turut menyerang Pn Nurul. Masa baru kahwin dulu, tempat pertama yang diajak aku berjalan adalah Air Hitam.
Terjebak juga beli pasu sebentuk dua, bunga mati dan tirai.
Penjual di sini ramah. Baik Melayu, Cina mahupun Pakistan. Mereka biasanya tenang sahaja kalau kau tawar harga kilang tapi tak jadi beli. Kalau di Jalan Petaling, belum tentu kau boleh balik.
Seiring dengan zaman, Air Hitam berubah. Bangunan kayu yang panas dan bising di tepi jalan telah di runtuhkan.
Satu kompleks beli-belah Air Hitam telah dibina. Keadaannya lebih tersusun. Ceria. Berwarna-warni. Suasananya mengingatkan aku dengan Padang Besar, Perlis.
Keramahan peniaga masih sama seperti dulu. Di sekitar kompleks, terdapat mural menarik. Tempat letak kereta banyak disekiling kompleks ini.
Cuma yang tak best, sampah bertaburan di sekeliling kompleks. Juga, sesetengah peniaga menjadikan ruang legar tempat melapak.
Tapi, itu tidaklah menjadi hal kalau semangat kau membara membeli-belah di Arena Warna!

Entah kenapa ada kanopi dekat singboard ni. Aduyai.

Ayuh mak-mak! Serbu! Aktifkan kuasa penawaran tahap kilang!

Tersusun kedainya. Bersih.

Mural ini menggambarkan Air Hitam yang lama.

Ruang legar di sebelah kanan gambar menjadi pilihan peniaga melapak.

Mural.

Ayer Hitam

Lagi mural.