Pages

Saturday, December 31, 2016

Alat Memasang Wallpaper Untuk Dijual

Ini projek pelajar yang aku selia semester ini. Ini merupakan kumpulan yang keempat mendapat A sepanjang aku mengajar dan menyelia projek akhir pelajar diploma sepanjang 10 tahun.

Keempat-empat kumpulan ini mempunyai ciri dan karekter yang hampir sama.

1- Mereka ini asalnya pelajar yang sederhana di sekolah. Malah, ada antara mereka tidak pernah mendapat A dari darjah 1 sampai tingkatan 5 di sekolah.

2- Kebanyakkan ibu bapa mereka adalah orang biasa. Tergolong dalam M40 atau B40. Tetapi, keluarga mereka akan sokong apa yang mereka buat.

3- Kesemua mereka ini kreatif, walaupun ada mereka tidak begitu pintar dan sedikit malas. Namun, kerana mereka ini kreatif, sering sahaja mereka cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang paling mudah, cepat dan murah. Walaupun kadang-kadang hasilnya macam haram.

4- Mereka ini berdikari. Banyak keputusan mereka akan buat sendiri. Cuma, mereka akan rujuk aku untuk minta pandangan.

5- Setiap ahli dalam kumpulan akan ada kebolehan masing-masing. Ada yang boleh bagi idea, tapi haram tak pandai nak buat. Ada yang pandai bertukang, tapi haram tak pandai buat laporan. Ada yang tak tahu apa-apa, tapi bila bercakap dah macam Sukarno.
Mereka akan melengkapi satu sama lain.

6- Mereka ini senang nak diajar. Bagitahu sikit sahaja terus tahu apa yang perlu dilakukan.

7- Mereka ini akan cuba buat yang terbaik.

Yang nombor 7 tu sebenarnya buat aku risau. Mereka ini akan buat yang terbaik dan sudah tentu mengharapkan keputusan yang terbaik.

Aku risau, bila mereka buat yang terbaik, tapi hasilnya menghampakan. Aku khuatir mereka akan kecewa. Aku khuatir mereka berputus asa dan menyalahkan orang lain.

Jadi, dalam pada mereka bersungguh-sungguh untuk mencapai hasil yang terbaik, sering aku ingatkan mereka untuk menjangkakan yang terburuk.

Contohnya macam kumpulan ini. Mulanya, semasa buat projek ini mereka mensasarkan tidak hanya dapat A, tapi untuk menang pertandingan projek akhir dan mendapat geran RM5000 dalam pertandingan @myinovasikpt.

Malangnya, mereka tidak memenangi dan gagal mendapat geran itu. Tapi, barangkali sentiasa mereka diingatkan untuk jangkakan yang terburuk, mereka jadi redha.

Itulah kehidupan. Kita rancang bukan main baik. Kita buat dengan bersungguh-sungguh. Tapi sebenarnya bukan kita yang menentukan hasilnya. Sebab dunia ini Yang Esa punya.

Keseronokan bukan pada hasil. Tapi pada prosesnya. Proses itu yang memberi keseronokan, pengajaran dan pelajaran. Hasil yang baik hanyalah bonusnya.

Sebab, jadi pendidik bukan untuk menghasil pelajar yang dapat banyak A, tetapi perlu memberitahu dan mengajar tentang kehidupan.

p/s: Projek ini untuk dijual dan dikomersilkan. Kalau kau berminat, kau cari budak projek aku ni. Nombor telefon mereka ada dalam video youtube tu.



Monday, October 10, 2016

Ada lagi rupanya cerita Melayu yang sedap dalam televisyen

Mulai dua minggu lepas, aku terpacak depan televisyen pukul 10 -12 malam setiap Selasa dan buka siaran RTM2. Drama-drama Melayu yang sedap ada pada masa itu.

Minggu lepas tajuk dramanya Batas. Lakonan Eman Manan. Owh, Eman Manan memang tahap mahaguru lakonan. Siap ada aksi silat.

Drama Batas mengenai seorang lelaki yang dulunya jahat, lalu menjadi baik atas akibat-akibat yang tertentu. Nampak macam klise, tapi sampai ke penghujung cerita aku tak tahu apa akan terjadi pada minit berikutnya. Tak macam drama maghrib tu, tengok 10 minit episod pertama boleh agak apa kesudahan pada episod ke 30 kelak.

Juga, cerita Batas tu ada nasihat dan moralnya:
Setiap apa yang kita buat di dunia ni, ada batas dan hadnya. Ialah, sebab kita dan alam ini bukan kita yang punya.

Tadi pula, di RTM2 juga, drama bertajuk Gelap Dalam Terang. Cerita tentang jurufoto pakar yang juga pensyarah yang tiba-tiba buta. Terus down watak utama itu. Beliau rasa kehidupan telah berakhir.

Tapi, orang sekeliling dia yang hebat sebenarnya. Kawan serumah, makwe dan pelajar beliau memberikan beliau semangat untuk hidup. Hebatnya sampai satu tahap pensyarah ni boleh ambil gambar walaupun dalam keadaan buta. Dan gambar tu boleh dijual.

Jadi untuk kau yang inginkan kelainan dalam menonton drama Melayu, aku syorkan untuk kau menyorokkan alat kawalan jauh tv setiap Selasa 10-12 malam.

Ialah, kalau tak anak kau nak tengok Ceria 611 atau pun bini kau nak tengok drama Abang Bomba.

Sunday, October 09, 2016

Lelaki Ini Belajar Melontar Lembing Melalui Youtube Dan Dapat Pingat Perak Olimpik Rio 2016

Julius Yego merupakan atlit lontar lembing dari Kenya. Beliau  memenangi pingat perak di Olimpik Rio.

Menariknya, Julius belajar melontar hanya dari Youtube. Malah, lembing pertama beliau buat sendiri melalui pembelajaran di Youtube pada usia 10 tahun.

Beliau berlatih sendirian dengan dengan panduan dari Youtube. Entah bagaimana seseorang melihat bakat beliau. Lalu akhirnya Julius menang emas di Sukan Afrika, Sukan Komenwel dan Kejohanan Dunia.

Zaman sekarang adalah zaman untuk korang belajar sendiri. Teroka sumber yang ada pada sekeliling korang.

Bukan hanya mengharap nota dari pensyarah. Bukan hanya mengharap dapat A dalam subjek.

Ilmu bukan hanya pada berapa banyak kuiz yang korang score. Atau berapa banyak assignment yang korang siapkan.

Ilmu ada sesuatu yang membolehkan korang menjadi benih yang baik.

Kalau asal benih yang baik, campak ke darat menjadi gunung, lempar kelaut menjadi pulau, campak ke langit menjadi bintang.

 Kredit gambar

Saturday, October 08, 2016

Bukan Pelajar Banyak A Yang Aku Cari

Video ni student aku buat. Punyalah bersungguh budak-budak ni nak buat video.


Kau perlu tahu yang budak budak ni student Mechanical. Manalah tahu nak buat video. Mula-mula diorang ingat nak buat video kena ada peralatan tahap Yusuf Haslam.

Pastu, aku bagitau bubudak ni ambil je la dengan handphone. Timbul pula satu masalah lagi. Bubudak ni langsung tak tahu macam mana nak zoom dan pan.

Jangan katakan zoom dan pan, nak ambil video Bloomerang atau Smule pun tak tahu. Bebudak ni tahu ambil gambar je.

Lalu, aku cerita macam mana kartun Pingu dibuat. Terus bersinar mata diaorang. Terus diorang dapat idea.

Dan kau juga harus tahu yang idea tu datang 3 hari sebelum kena hantar video ni. Tapi bedudak ni tenang je. Siap tenangkan aku "relex Encik, kami boleh siapkan sebelum dateline"

Terus diaorang angkut model enjin dalam bengkel, bawa naik motor Yamaha ego.

Dua hari kemudian, diorang hantar kat aku. Aku touch up sikit kasi lagi power. Sempat juga akhirnya video itu disiapkan dan dihantar sebelum dateline.

Entah macam mana, video tu terpilih Top 15 dari 300 lebih video. Fuh!

Sebab, jadi pendidik ni bukan untuk hasilkan pelajar yang dapat banyak A, tapi dapat mengispirasi dan memberi semangat kepada pelajar.

Friday, October 07, 2016

Main Game Sebagai Penilaian?

Aku tahu, aku jenis lecturer yang boring. Punyalah boring aku mengajar, sampaikan ada satu masa separuh kelas tidur.

Tapi, aku tenang sahaja terus mengajar. Mereka dalam gelombang alpha. Diam je. Bukankan diam itu lebih baik dari berkata-kata dan memekak semasa guru mengajar.

Juga, aku terinspirasi dengan kawan sebelah meja aku masa tingkatan tiga, Amen Power. Sepanjang masa dalam kelas dia tidur. Last-last PMR dia dapat 8A. Aku yang tak tidur ni siap ada D dalam sijil PMR aku.

Walaupun begitu, aku cuba sedaya upaya meningkatkan kemahiran pengajaran aku. Cuba-cuba juga guna teknik bercerita. Menjadi juga dalam banyak keadaan. Pelajar akan bangun dari tidur dan layan aku bercerita.

Tapi, nak dapat idea bercerita ni bukan main payah. Jadi, aku dalam banyak keadaan juga kembali ke suara monotonous, dan pelajar kembali tidur.

Walaupun aku mengajar boring, tapi untuk keseimbangan aku buat assesment yang menyeronokkan.
Punyalah seronok bebudak ni bila aku suruh main game sampai lebam sebagai assignment .

Lagilah seronok bebudak ni bila aku suruh jawab Quiz secara online. Cerah mata diorang. Besar harapan diorang agar peniruan besar-besaran dapat dilakukan dengan Quiz online ni.

Tapi, diorang silap, sistem yang aku guna ni power. Hinggakan kalau diorang meniru kawan sebelah, nescaya diorang akan dapat kosong markah walaupun kawan sebelah dapat markah penuh.

Namun, sebenarnya akulah yang paling seronok bila buat assignment main game dan quiz online tu. Ialah, tak payah susah-susah aku marking. Terus sistem yang bagi markah.

Itu sebab aku banyak masa untuk main facebook. Bukan macam kau, satu semester 5 batang pen merah habis dakwat. Hohohohohoho.


Thursday, October 06, 2016

Cara Mengurangkan Kebarangkalian Pelajar Meniru Ujian

Hari itu aku buat ujian.
.
Ada lima set soalan yang berbeza dalam kelas ini. Oleh itu kebarangkalian untuk dia orang meniru adalah rendah.
.
Jadi, kebarangkalian untuk dia dapat soalan yang sama dengan kawan sebelah adalah 1/5 atau 20% sahaja.
.
Ini secara halus aku mengajar dia menjawab dengan jawapan sendiri, tidak dipengaruhi orang sebelah. Dan dia akan bertanggungjawab dengan jawapannya.
.
Begitu juga dengan kehidupan. Dalam banyak hal, kita harus buat keputusan sendiri dan bertanggungjawab dengan keputusan kita.
.
Ini tidak, kalau anak dapat result teruk, cikgu juga disalahkan.
.
Kalau bawa slow macam kura dekat lane kanan, pastu kena hon, orang yang hon itu dimarahnya sebab tidak bersabar.
.
.
.
.
.
Banyak set soalan ni pun menyenangkan kerja aku. Sambil jaga ujian ni aku boleh baca buku dan main pesbuk dengan tenang.
.
Bukan macam kau, dah macam James Bond masa jaga ujian. Hohohoho


Wednesday, October 05, 2016

Jadilah Macam Setan

Semalam adalah hari aku paling bersemangat untuk ke kelas. Pertama, sebab aku suka mengajar subjek itu. Kedua, sebab budak kelas tu suka bertanya.

Dengan semangat membara aku usung laptop, lcd projector dan wire extension. Ialah, sekarang tahun 2016, mestilah canggih. Kalau tahun 1996 boleh la pakai kertas transperancy.

Siap aku setting barang dan mula nak mengajar, tiba-tiba tiada elektrik. Terus pelajar aku mewujudkan teori konspirasi.

Ada yang kata ada pelajar projek akhir sabotaj sebab hari ahad ni kena bentang. Ada yang kata poli tak bayar bil. Ada yang kata kena petir walaupun cuaca cerah terang-bendarang.

Lalu, ada juga yang mencadangkan supaya kelas dibatalkan. Aku down. Penat usung barang, siap setting, tiba tiba takde elektrik. Setan pun menghasut aku untuk batal kelas dan pergi lepak kedai makan lempeng nyoir kat Paka.

Bersungguh setan menghasut aku. Aku keluar, tengok switch box, semua ok. Tapi elektrik tetap tiada.
Makin kuat setan hasut aku untuk batal kelas.

Aku masuk balik kelas, tarik nafas dan mula merangsang minda pelajar aku.

"Kita kena jadi macam setan. Setan punyalah gigih dan tak putus asa nak ajak kita masuk neraka."
"Dari zaman Nabi Adam lagi setan dan iblis ni tak putus asa. Dah tu, yang kita ni baru takde letrik nak batal kelas, apa hal? Kita kena gigih juga untuk teruskan kelas ni!"

Pelajar aku semua terlopong. Lepas tu semua tegakkan badan. Dan aku terus mengajar tanpa henti, tanpa duduk selama 1jam 45minit.

Kerana pendidik bukan untuk melahirkan pelajar banyak A, tapi pendidik perlu sentiasa menginspirasikan.

Tuesday, October 04, 2016

Belajarlah Sampai Kau Meninggal

Ada macam kecoh sikit wall aku pasal berita ni. Kalau tengok komen pada berita tu pun ramai yang kutuk.

Tapi sekarang macam trend, apa kerajaan buat, rakyat mesti bangkang. Contoh macam berita ni. Aku rasa, diorang tengok tajuk terus bantai komen.

Kawan, sekarang zaman canggih. Belajar depan pc. Mak mak sekarang ni pun tengok Youtube je bila nak masak nasi beriani. Malah, hukum agama pun orang rujuk Google.

Jadi, idea menteri ni relevan dengan zaman. Belajar sendiri melalui teknologi internet dan perkomputeran yang maha maju sekarang.

Kalau baca berita tu, menteri suruh kau belajar melalui openlearning.com.

Dalam openlearning.com tu, ada beratus kursus yang kau boleh ambil yang tahapnya sama macam kau belajar kat universiti. Kebanyakannya percuma.

Kau belajar online dan buat penilaian secara online. Bila kau lulus, kau dapat sijil. Sijil ni, akan datang boleh dapat transfer kredit kalau kau ambil ijazah berkenaan.

Bila kau ambil banyak subjek, kau akan dapat banyak transfer kredit. Jadi, mungkin kau akan ambil masa dan yuran paling minimum di universiti.

Ini bagi meluaskan akses pendidikan tinggi. Mat despatch dan petani pun boleh akses kepada pendidikan.

Dan kau yang dah ada degree tu boleh sambil sambilan belajar bidang lain melalui openlearning.com

Jadi, ingatlah kawan, kalau kau nak bangsa kau maju, kau dulu perlu belajar dan membaca. Ini tak, asyik kutuk dan negatif memanjang.

Kutuk Proton kaw kaw, tapi aci sesondol pun tak tahu letak kat mana.

Friday, July 08, 2016

Buat Kad Pengenalan di UTC Kuala Terengganu

Kad pengenalan aku versi yang terkini. Ala, yang ada 2 gambar muka tu. Aku mula pakai kad pengenalan yang baru itu sejak ia mula diperkenalkan. Aku rasa dalam tahun 2012.

Kad pengenalan itu diwar-warkan berteknologi tinggi. Tapi, indah khabar sahaja. Lepas 6 bulan aku buat, terus cip rosak. Tak boleh baca. Kad Bank Islam aku yang dah 10 tahun masih boleh digunakan dengan baik.

Punyalah azab bila cip kad pengenalan tak boleh nak baca. Banyak urusan bank aku terganggu. Tapi, sebab duit aku tak banyak, aku boleh bersabar lagi.

Puncak kesabaran aku bila aku tak boleh perbaharui lesen memandu aku. Dia nak juga ambil data dari kad pengenalan aku. Takut aku ini pendatang asing agaknya.

Lebih menyesakkan, lesen memandu aku mati raya keempat. Pejabat masih lagi ditutup pada raya keempat. Mujur aku cuba perbaharui lebih awal.

Dua hari sebelum cuti raya, aku ke pejabat pos Giant Kuala Terengganu. Tak boleh nak perbaharui. Kena tukar kad pengenalan dulu.

Esoknya, iaitu sehari sebelum raya aku ke Jabatan Pendaftaran Negara di UTC Kuala Terengganu di Paya Bunya Square. Jangkaan aku orang akan ramai macam semut. Jadi, aku tiba awal. 8.20 pagi aku dah melanguk depan pejabat. Pukul 8.30 baru pejabat dibuka.



Masuk terus aku ambil nombor. Tak sampai 10 saat, terus nombor aku dipanggil. Dan tak sampai 5 minit, siap diproses. Tapi, kadnya akan siap dalam tempoh 3 jam.

Tengahari, aku datang balik ambil kad pengenalan yang dah siap. Terus pergi pejabat pos Chabang Tiga perbaharui lesen memandu. Selesai masalah aku. Harapnya lepas ni aku tiada masalah urusan bank. Jadi aku boleh simpan duit lagi banyak. Hohohohoho.

Kalau kau ke UTC Kuala Terengganu, tiada masalah parkir. Dalam bangunan UTC tu ada parkir. Depan bangunan pun ada parkir.

Selain Jabatan Pendaftaran, ada juga pelbagai pejabat lain. Kau boleh tengok dalam senarai di bawah ni.



Thursday, July 07, 2016

Cara Menjimatkan Perbelanjaan Sampul Duit Raya

Sejak berkahwin dengan Puan Nurul, tidaklah dapat aku menafikan perbelanjaan pemberian duit raya aku semakin meningkat. Bukan sikit punya peningkatan, main beratus peratus!

Itu antara sisi yang tak best yang kena aku hadapi lepas kahwin. Tapi, kau percayalah bahawa ada 100 sisi yang best bagi satu sisi yang tak best itu.

Anak saudara Puan Nurul punyalah ramai. Dalam 40 lebih juga la. Berderet. Aku rasa mak mertua aku dapat cucu setiap tahun dari 1984 hingga 2016.

Oleh itu, memang setiap tahun aku akan ligat nak fikir macam mana nak dapatkan 40 lebih sampul duit raya. Pada aku, tak lengkap bagi duit raya tanpa sampul. Bila ada sampul, orang yang dapat akan rasa lebih teruja untuk tahu apa isi dalamnya. Juga, sampul ni ada semacam aura kerahsiaan yang aku suka.

Tahun ni juga, aku kurang dapat sampul duit raya. Ejen insuran aku dah tak bagi. Bank tempat Puan Nurul tukar duit pula bagi ciput sangat sampul. Memang sumber sampul duit raya aku tahun ini dah takde.

Nak beli di bazar kena modal pula. Tiga bungkus sepuluh ringgit. Sebungkus ada 10 keping. Tapi kadang-kadang sebungkus tak sampai pun 10 keping. Dah la kena bagi duit raya. Nak kena modal pula beli sampul raya. Haish!

Jadi, penyelesaiannya, aku beli sampul surat kecik. Tak ingat aku harganya. Mungkin 5 sen sekeping. Nak bagi nampak unik, aku reka layout sampul duit raya. Pakai Publisher je. Lepas tu print. Memang tersendiri dan unik!



Cara nak cetak atas sampul surat ni kau explore sendiri. Lain printer, lain sampul, lain caranya. Bila kau dah berjaya, harap beri kredit sikit pada blog ni.

Sunday, April 03, 2016

6 Sebab Kenapa Kau Perlu Beli Nasi Bajet Ini

Ada satu lagi nasi bajet di Dungun. Di Batu 50. Kalau dari Bandar Dungun, sebelum Petronas Batu Lima. Betul-betul tepi jalan. Nasi bajetnya memang sedap. Sebungkus nasi dan air sirap hanya RM3.50 sahaja. Macam harga 12 tahun lepas.





Selain kesedapan, ada 6 sebab lain kenapa kau perlu beli nasi bajet di sini.

Satu:Nasinya banyak. Banyak memang betul-betul banyak. Aku rasa lebih kurang 10 genggam nasi. Semenjak menjalani program diet selama 3 tahun kebelakangan ini (dan kurang berjaya), aku memang terkejut apabila pertama melihat kuantiti nasinya. Namun, dengan ketabahan dan kesungguhan, nasi itu habis juga aku makan.
Tips kurus: Kalau nak diet, jangan beli nasi bajet di sini.

Dua:
Ada pilihan kuah. Biasanya nasi bajet kuahnya mesti kari. Walaupun kau tak suka kari, kena juga makan kari. Tapi, gerai ini menawarkan pilihan sama ada kuah lemak kuning atau kari. Bukan kuah lemak kuning kosong tau! Ada nenas. Kuah lemak kuning nenas.
Tips kesihatan: Kalau kau mengandung, jangan minta kuah lemak kuning itu.

Tiga:
Ada pilihan ayam. Kau boleh pilih ayam goreng atau ayam masak merah. Bosan juga kalau selalu makan nasi bajet kuah kari ayam goreng. Sesekali makan ayam masak merah syoik juga!
Tips bajet: Bahagian ini tiada tips. Harap maklum. Hohohohohoho

Empat:
Ayam dua ketul. Aku tak pasti samada bahagian aku sahaja dapat dua ketul, atau semua orang dapat dua ketul. Tapi, bukanlah dua ketul macam ayam kepsi. Agak-agak la kan kalau nak bayangkan. Ini nasi bajet, bukan nasi kebajikan.
Tips ayam dua ketul: Buat-buat mesra dengan penjual. Bila dia suka dengan kau, dengan senang hati dia akan tambah nasi, atau ayam atau sambal belacan atau sayur.

Lima:
Ada sayur kobis goreng, bukan timun. Biasa nasi bajet bagi timun. Ini bagi kobis goreng. Sedap la sikit daripada timun. Nampak penjual bersungguh.
Tips memilih kobis di pasar: Cari kobis yang besar dan ringan. Kobis akan lebih rasa rapuh.

Enam:
Penjual ramah. Walaupun pembeli nasi bajet ni boleh dikira sebagai rakyat marhean kasta rendah, namun penjual tetap ramah melayan. Tak sombong. Senyum memanjang. Macam ada paku je kat tepi mulut. Sambil cakap senyum, bungkus nasi senyum, bungkus air senyum, goreng ayam senyum.
Tips senyum: Jangan nampak gigi. Kalau nampak gigi namanya sengih.

Sekian enam tips ini. Moga kau juga boleh menikmati enam kelebihan di atas apabila membeli di sini.


Saturday, March 19, 2016

Cara Yang Ampuh Menghabiskan Baucer Buku Yang DS Najib Beri

Terima kasih kerajaan, terima kasih DS Najib.

Terima kasih ini patut kau ucapkan jika kau mendapat Baucer Buku 1 Malaysia (BB1M). Walaupun kau membeci DS Najib lebih dari Israel, kau tetap perlu berterima kasih. Kalau pun tidak kepada DS Najib secara terus, tapi berterima kasihlah kepada mereka-mereka yang menguruskan pemberian BB1M, walhal satu sen mereka tak dapat; Pejabat HEP kau, Penasihat Akademik kau juga kerani yang jadi runner untuk mengedarkan BB1M kau tu.

Sebagai orang yang terlibat dalam pembahagian BB1M ini, aku sangat pasti ada banyak penyelewengan dalam penggunaan BB1M ini. Ini sangat durjana. Kau marah Najib seleweng 1MDB, tapi kau selamba lembu je seleweng BB1M. Kau sentap ke dengan ayat aku tu? Kalau kau sentap, berubahlah, guna BB1M dengan betul. Kalau tak sentap, aku percaya kau akan jadi Najib atau lebih teruk jika kau menjadi Perdana Menteri.

Ada dua penyelewangan aku aku pasti berlaku semasa penggunaan BB1M.

  1. Kau dapat baucer RM200, tukar tunai dengan mana-mana penjual bangsat. Kau dapat RM150. Ini bangsat sejati.
  2. Ini tak berapa bangsat. Kau tukar baucer RM200, tukar dengan penjual, dapat RM200. 

Yang lebih bangsat lagi kalau kau guna duit yang tukar tu untuk berjoli. Belanja makwe, main snuker, beli kredit game, beli rokok, beli ganja atau upah pomen modified motor kau supaya bajet-bajet laju.

Tapi, kalau kau guna duit tu untuk menyara kehidupan kau atau mak bapak kau atau adik beradik kau, aku terkesima, tak tau nak kata apa. Serba-salah juga.

Sebetulnya, baucer buku digunakan untuk membeli buku. Paling afdhalnya beli buka teks untuk pengajian kau. Kalau kau tahap degree, mungkin buku teks kau boleh cecah beratus sebuah, makanya BB1M sangat membantu.

Tapi, kalau kau tahap diploma, lebih-lebih lagi diploma politeknik memang jarang guna buka teks import. Biasanya pensyarah kau akan suapkan kau dengan nota-nota yang pelbagai jenis. Jadi, bolehlah yang kau beli buku-buku yang boleh mencambah minda. Bukannya beli novel cinta yang plotnya lelaki kaya gila babi kahwin dengan makwe bertudung biasa-biasa yang miskin.

Bagi pengetahuan kau, sekarang ni banyak penerbit buku indie yang menerbitkan buku yang menarik dan mencambah minda.

Bagi pengetahuan kau juga, kau boleh beli buku indie secara online, guna BB1M kau tu. Lagi menarik, kau dapat pula baucer tunai RM5. Berbaloi!

http://bit.ly/IndieBox1

 Aku cadangkan kau beli yang nilai RM200, boleh dapat 10 buku. Ini 4 buku yang aku cadangkan.

  1. Pegagogi Bahasa Tertindas  http://bit.ly/PedagogiBahasaTertindas
  2. Membedah P.Ramlee http://bit.ly/MembedahPRamlee1 
  3. Kisah Orang Menang http://bit.ly/KisahOrangMenang 
  4. Budak Hostel Otaknya Sewel http://bit.ly/BudakHostelOtaknyaSewel1

Dah? Apa lagi? Klik gambar di atas untuk tengok-tengok dan beli guna BB1M. Ingat! Jangan tukar dengan penjual bangsat ya.




Saturday, February 13, 2016

Murtabak Mengkasar Mengakibatkan Ketagihan Kronik



Ada satu kedai murtabak di Pekan. Bukan pekan rabu atau pekan puisi. Tidak juga "pekan" yang ditakrifkan sebagai bandar kecil seperti Pekan Air Hitam mahupun Pekan Baling. Jauh sekali nama orang.

Pekan yang aku maksudkan adalah salah daerah di Pahang. Kalau pulang ke Johor dari Dungun, aku gemar melalui LPT2 - Kuantan - Pekan - Mersing - Kluang - Bandar Tenggara.

Kalau aku melalui Pekan selapas jam 3.30 petang, aku akan singgah di kedai Murtabak Mengkasar. Kedai ini buka petang membawa ke malam. Kalau aku lalu 11 pagi, tak tergamak aku nak tunggu sampai petang.

Oleh itu, tidak hairan aku hanya sempat 3 atau 4 kali ke kedai ini.

Kedai ini asalnya di Kampung Mengkasar. Kampung ni tak jauh dari bandar Pekan. Boleh dikatakan juga kampung ini terletak dalam bandar Pekan.

Kedai Murtabak Mengkasar terletak di tepi jalan. Kalau kau dari bandar Pekan, ia terletak sebelum lampu isyarat ke Kuantan/Muadzam; sebelah kiri.

Itu kedai asalnya. Ada cawangannya di Peramu. Dalam daerah Pekan juga. Aku rasa lebih kurang 5km dari kedai asal. Kalau dari bandar Pekan ke Kuantan, kau akan lalu kawasan industri. Selepas kawasan industri, kedai cawangan itu terletak di sebelah kanan. Ia terletak di lot kedai dua tingkat, sebelah Secret Recipe.

Pada tekak aku, mana-mana murtabak sama sahaja. Tapi aku suka murtabak yang tebal dan mewah isinya. Tak kiralah isinya penuh dengan daging atau penuh dengan bawang.

Tapi, istimewanya Murtabak Mengkasar ini adalah pencicahnya. Bawang jeruk cuka dia memang terbaik. Walupun dijeruk cuka, memang tak rasa masam sangat. Sesuai untuk aku yang tak suka masam. Di sebabkan kesedapan jeruk itu, memang tak sempat nak ambil gambar. Semuanya selamat dalam perut aku hatta sebelum murtabak habis.

Hanya ada beberapa sahaja pilihan murtabak di sini. Hanya ada murtabak ayam dan lembu. Kemudian, keduanya ada versi biasa dan special. Yang special lebih kurang sama dengan biasa. Cumanya lapisan luar dibalut dengan telur.

Satu murtabak, tak kira apa jenisnya, kenyang dimakan oleh dua orang. Kalau badan macam Mira Filzah boleh makan 4 orang. Tapi, kalau aku, seorang makan baru cukup. Dan ia cukup untuk mengenyangkan aku selama sehari.

Aku tak ingat secara tepat harganya. Aku rasa antara RM7-RM9 sebiji murtabak.

Kalau bandingkan antara kedai asal dan kedai cawangan, rasanya memang sama. Cuma aku suka ke kedai cawangan. Sebab, aku celaru dan keliru melihat jantina pelayan di kedai asal.

Dalam post aku ni memang takde gambar murtabak. Aku gelojoh. Lepas habis makan, baru teringat nak ambil gambar. Nak ambil gambar kat dapur pula, dah rasa malas sebab kekenyangan. Harap kau boleh google gambarnya sendiri. Hohohohoho.

Friday, February 12, 2016

Kenapa Pasar Malam Ini Hanya Dua Kali Sebulan



Ini pasar malam di kampung aku. Bandar Tenggara. Ya, kampung aku adalah bandar. Tapi, bukan macam bandaraya Johor Bharu mahupun bandar Dungun. Malah, Bandar Baru Uda atau Bandar Tun Razak jauh lebih besar dari bandar aku ni. Mungkin Bandar Tenggara ni macam Bandar Tasik Selatan (Olan) kot.

Sebetulnya, Bandar Tenggara adalah pusat bandar wilayah kemajuan luar bandar Johor Tenggara. Kalau kau perhati, kebanyakan bandar bermula di tepi laut, tepi sungai atau di dataran lembah yang luas. Tapi, Bandar Tenggara ni wujud di tengah- tengah hutan. Ia dikelilingi lebih sedozen perkampungan felda, estet dan orang asal dalam lingkungan 30km radius.

Jauh aku punya intro. Kau memang gigih boleh baca sampai sini. Hohohoho.

Pasar malam di kampung aku ni tidak dipanggil pasar malam. Kami panggil pasar lambak. Tak tahu la aku sebab apa di panggil pasar lambak. Nak kata ada joget lambak, memang takde. Mungkin sebab berlambak orang meniaga dan berlambak orang datang shopping dan cari bini di sini.

Pasar lambak di sini diadakan dua kali dalam sebulan. 9 dan 20 haribulan setiap bulan. Kalau 9 dan 20 haribulan tu jatuh hari Khamis malam Jumaat, ia akan dianjakkan pada keesokan hari. Ini bagi peluang pada masyarakat untuk membuat yasinan. Yasinan ini adalah bacaan yasin dan tahlil beramai-ramai. Ia secara adat dilakukan setiap malam Jumaat.

Selain Bandar Tenggara, pasar lambak juga diadakan dua kali sebulan di perkampungan sekitar 30km radius. Memandangkan ada lebih sedozen perkampungan, memang tak cukup masa untuk rotation dalam tempoh seminggu. Itu sebab kena buat dua kali sebulan. Sebab apa kena buat rotation? Sebab, peniaga yang sama juga yang berniaga di pasar-pasar lambak tersebut.

20 tahun lepas memang meriah pasar lambak ni. Panjang. Memang tak larat nak jalan dari hujung ke hujung. Ialah, masa tu tak ramai mampu ada kereta untuk ke Kluang, Kulai atau Kota Tinggi. Di pasar lambaklah penduduk membeli barang keperluan yang tak ada dijual di kedai-kedai di Bandar Tenggara ketika itu. Juga, ini adalah peluang untuk penduduk berlibur.

Sekarang pasar lambak kurang meriah. Semakin kontot. Penduduk pun dah ramai yang ada kereta. Jadi, bila-bila masa sahaja mereka boleh ke Kluang, Kulai, Kota Tinggi, malah ke Johor Bharu untuk shopping. Pemuda juga sud
ah bosan untuk mencari bini di pasar lambak. Bosan melihat gadis sekampung. Keturunan tak berkembang. Ada baiknya mereka mengorat makwe bandar. Rambut karat, jeans ketat, pakai Myvi, kerja kerani. Keturunan pun berkembang.

Sebelum jauh aku merepek, aku tamatkan artikel ni di sini. Memang anti-klimaks. Tak macam drama laki curang bini derhaka petang-petang tu yang kau boleh agak penamatnya walaupun baru tengok episod pengenalan.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin