Thursday, March 07, 2019

Pasar Chabang Tiga: Pasar Legend Kuala Terengganu

Kuala Terengganu adalah daerah yang terkecil dari segi keluasannya di Terengganu. Namun, ia merupakan daerah yang paling ramai penduduk di Terengganu. Ini menjadikan Kuala Terengganu agak padat. Tidaklah sepadat Kuala Lumpur, tapi ia padat berbanding Kuala Berang atau Marang.

Kepadatan itu mewujudkan pelbagai ruang niaga di Kuala Terengganu. Ruang niaga ini, atau secara biasanya orang panggil pasar, bukan baru wujud setahun dua. Malah banyak antaranya yang wujud lebih 30 tahun, atau 50 tahun atau 100 tahun.

Pasar Besar Kedai Payang, Pasar Batu Enam, Pasar Manir dan Pasar Chabang Tiga adalah antara pasar-pasar yang tua dan lama di Kuala Terengganu. Pasar ini bukan sahaja dikunjungi oleh orang Kuala Terengganu, malah turut dikunjugi penduduk daerah bersebelahan iaitu Kuala Berang dan Marang.

Antara keempat-empat pasar ini, Pasar Manir menjadi kesukaan Pn. Nurul. Diikuti oleh Pasar Chabang Tiga. Antara faktornya adalah kedua-dua pasar ini dekat dengan rumah mak mertua aku di Pulau Rusa.

Pasar Chabang Tiga bukanlah pasar pagi yang sebenar. Kalau kau pergi pukul 7.30 pagi, ramai peniaga baru memulakan perniagaan. Tempat letak kerata juga masih kosong. Ini berbeza misalnya dengan Pasar Ikan Pulau Kambing atau Pasar Borong Gong Pauh. Pukul 7 pagi sudah hingar-bingar.

Pada mata aku, Pasar Chabang Tiga juga bukanlah pasar yang menjual barang langka seperti Pasar Manir. Pasar ni bisyer bisyer sahaja. Barang jualannya tidaklah murah. Pendek kata, ia macam Astro. Macam-macam ada,  biasa-biasa dan harga taklah murah.

Namun begitu, ia tetap ramai orang. Ini tidaklah menghairankan sebab pasar ini dan peniaganya konsisten menjual setiap hari. Mereka juga masih menjual walaupun sudah menghampiri waktu Zuhur; dimana tidak banyak pasar yang lanjut perniagaannya sebegitu. Lokasinya juga strategik. Walaupun namanya Pasar Chabang Tiga, ia terletak disempadan Chabang Tiga - Losong. Memandangkan Losong tidak mempunya pasar, maka selain orang Chabang Tiga, orang Losong turut ke pasar ini.

Pasar ini baru dipindahkan pada tahun 2014. Hanya beberapa ratus meter dari lokasi asal. Idea perpindahan ini kerana keadaan pasar lama yang usang dan kotor; selain kesesakan jalan raya.

Tapi, setelah lima tahun dipindahkan, pasar baru ini aku rasa masih kotor. Kesesakan juga masih berlaku di waktu puncak pukul 9-11 pagi, hujung minggu dan hari cuti.

Hal kotor ini sebab sikap. Ambil mudah dan malas. 

Hal sesak pun sebab sikap. Malas nak jalan. Kalau boleh nak pandu-lalu beli ikan.

Begitulah tuan puan. Sikap ni kena dibentuk dari rebung. Kalau dah jadi buloh macam aku, payah. 


1 comment:

Anonymous said...

Nenek saya cakap, masa dia kecik dia pernah ikut neneknya berniaga di Pasar Manir ni. Sekarang nenek saya berusia 93 tahun dan dah uzur..

Masa saya bawa dia ke sana baru-baru ni, dia terkedu apabila satu pokok rendang besar dekat tapak pasar telahpun ditebang. Pokok tu banyak beri kenangan padanyaa.. kenangan bersama ibu bapa dan rakan sekampung.. antaranya kenangan berbuka puasa beramai2, di situ juga dia jumpa first love dia.

Peniaga telah berdagang pasar manir ni boleh dikatakan sekurang-kurangnya 8 generasi.. Pasar tradisional yang dah berzaman wujud.