Pages

Saturday, March 09, 2019

Big Bad Wolf Pahang

Minggu ini aku berada di Dungun. Rancangan asal, hari Jumaat ini, ada budak-budak poli ini minta aku ajar edit video guna Hit Film Express. Tapi, entah macam mana, kertas kerja mereka tak siap lagi. Aku ok je.

Nasib baik juga sebenarnya. Sebab aku tak habis lagi menelaah software tersebut. Biasa aku edit pakai Adobe Premier. Mujur kerajaan sayang aku. Dia bagi aku lesen besar untuk produk Adobe. Tapi, kesian pula budak-budak. Tak kan nak beli software yang harga sama dengan elaun PTPTN mereka satu semester. Juga, tak tergamak aku nak ajar mereka crack. Aku rasa macam tak beretika. Biarlahlah bahagian sisi gelap mereka belajar sendiri.

Mujur ada Hit Film Express. Menurut pandang crowdsourcing, software lagi handal dari Adobe Premier.

Apa benda yang aku melalut ni? Lari benar dari tajuk "Big Bad Wolf Pahang".
.
.
.
Ini kali kedua agaknya aku ke Big Bad Wolf. Kali pertama, mungkin di The Mines, 3-4  tahun lampau.

Kami tidaklah merancang untuk ke pesta buku itu. Tapi sebab rancangan asal hujung minggu yang aku ceritakan pada awal post ini tidak menjadi, maka kami ke Kuantan, bergembira berdua. Antara destinasi adalah Big Bad Wolf.

Pesta buku ini di adakan di Kompleks Sukan, UMP Kampus Gambang. Kau Waze UMP Gambang. Sampai di pintu masuk universiti, ada papan tanda arah ke Big Bad Wolf. Kalau kau keluar plaza tol Gambang, sebelum sampai pintu masuk universiti, kau akan nampak Kompleks Sukan sebelah kiri kau.

Big Bad Wolf kini tidak seperti zaman awal kemunculannya. Dulu boleh kata semua buku keluaran antarabangsa. Tapi, di Big Bad Wolf kali ini, banyak sudah buku tempatan. Aku boleh katakan 50% ruang pameran adalah buku antarabangsa, manakala 50% lagi buku tempatan.

Namun begitu, buku antarabangsa banyak didominasi oleh buku kanak-kanak. Kami yang belum ada anak ini hanya melewati sahaja buku-buku itu.

Manakala ruang buku tempatan banyak juga dikuasai buku rujukan sekolah. Memandang kami ini sudah berbelas tahun melewati zaman persekolahan, buku-buku itu juga kami sekadar lewati.

Mujur juga, seksyen buku tempatan, selain dikuasi buku rujukan, ia turut dikuasai oleh novel. Puan Nurul kelihatan gembira dengan keadaan itu.  Bahagian novel dipenuhi oleh gegadis dan mak gegadis. Hingga aku merasa sukar dan kekok untuk turut sama menyertai. Aku cuba mencelah, tercari-cari novel Azizi Hj Abdullah atau Tere Liye. Namun gagal.

Bahagian novel antarabangsa juga dipenuhi oleh gegadis dan mak gegadis yang kelihatan urban dan hijabster. Abang-abang pula ramai di bahagian non-fiction seksyen antarabangsa. Tetapi, ada juga sekadar menemai anak atau isteri.

Aku, ke tempat seksyen paling sunyi di belakang hujung kompleks. Longgokan buku DBP, ITBM dan MAPIM tidak terusik tanpa disedari. Kalau aku berbaring atas buku-buku, barangkali tiada siapa yang perasan.

Sempat aku sambar novel karya penulis yang dikatakan syiah dan liberal, Faisal Tehrani. Bertajuk Manikam Kalbu. Banyak juga koleksi Faisal Tehrani dalam simpanan aku. Tapi, alhamdullilah, aku masih lagi seorang Islam konservatif.

Novel karya Azizi Hj Abdullah juga ada di seksyen belakang ini. Aku sambar sebiji. Kalau kau biasa baca novel popular atau novel indie, aku cadangkan kau baca novel-novel karya-karya Azizi Hj Abdullah. Novelnya melankolia. Tapi bukan kisah cinta makwe-pakwe. Novelnya juga tidak banyak dialog. Kalau baca, terasa kau adalah salah seorang watak dalam novel itu.

Selain itu ada sebiji buku ilmiah aku beli. Ialah, pensyarah kan. Kah kah kah kah. Kau doakan aku akan baca buku tersebut.

Kami beli 8 biji buku secara keseluruhan. Tak banyak. Sebab aku sudah ada dua dozen buku belum baca! Kah kah kah kah. Kau doakan aku sekali lagi supaya aku baca buku-buku tersebut.

Pesta buku ini akaan tamat esok. 10 Mac 2019. Buku 10 pagi. tutup 10 malas. Ayuh! Serbu!




Thursday, March 07, 2019

Pasar Chabang Tiga: Pasar Legend Kuala Terengganu

Kuala Terengganu adalah daerah yang terkecil dari segi keluasannya di Terengganu. Namun, ia merupakan daerah yang paling ramai penduduk di Terengganu. Ini menjadikan Kuala Terengganu agak padat. Tidaklah sepadat Kuala Lumpur, tapi ia padat berbanding Kuala Berang atau Marang.

Kepadatan itu mewujudkan pelbagai ruang niaga di Kuala Terengganu. Ruang niaga ini, atau secara biasanya orang panggil pasar, bukan baru wujud setahun dua. Malah banyak antaranya yang wujud lebih 30 tahun, atau 50 tahun atau 100 tahun.

Pasar Besar Kedai Payang, Pasar Batu Enam, Pasar Manir dan Pasar Chabang Tiga adalah antara pasar-pasar yang tua dan lama di Kuala Terengganu. Pasar ini bukan sahaja dikunjungi oleh orang Kuala Terengganu, malah turut dikunjugi penduduk daerah bersebelahan iaitu Kuala Berang dan Marang.

Antara keempat-empat pasar ini, Pasar Manir menjadi kesukaan Pn. Nurul. Diikuti oleh Pasar Chabang Tiga. Antara faktornya adalah kedua-dua pasar ini dekat dengan rumah mak mertua aku di Pulau Rusa.

Pasar Chabang Tiga bukanlah pasar pagi yang sebenar. Kalau kau pergi pukul 7.30 pagi, ramai peniaga baru memulakan perniagaan. Tempat letak kerata juga masih kosong. Ini berbeza misalnya dengan Pasar Ikan Pulau Kambing atau Pasar Borong Gong Pauh. Pukul 7 pagi sudah hingar-bingar.

Pada mata aku, Pasar Chabang Tiga juga bukanlah pasar yang menjual barang langka seperti Pasar Manir. Pasar ni bisyer bisyer sahaja. Barang jualannya tidaklah murah. Pendek kata, ia macam Astro. Macam-macam ada,  biasa-biasa dan harga taklah murah.

Namun begitu, ia tetap ramai orang. Ini tidaklah menghairankan sebab pasar ini dan peniaganya konsisten menjual setiap hari. Mereka juga masih menjual walaupun sudah menghampiri waktu Zuhur; dimana tidak banyak pasar yang lanjut perniagaannya sebegitu. Lokasinya juga strategik. Walaupun namanya Pasar Chabang Tiga, ia terletak disempadan Chabang Tiga - Losong. Memandangkan Losong tidak mempunya pasar, maka selain orang Chabang Tiga, orang Losong turut ke pasar ini.

Pasar ini baru dipindahkan pada tahun 2014. Hanya beberapa ratus meter dari lokasi asal. Idea perpindahan ini kerana keadaan pasar lama yang usang dan kotor; selain kesesakan jalan raya.

Tapi, setelah lima tahun dipindahkan, pasar baru ini aku rasa masih kotor. Kesesakan juga masih berlaku di waktu puncak pukul 9-11 pagi, hujung minggu dan hari cuti.

Hal kotor ini sebab sikap. Ambil mudah dan malas. 

Hal sesak pun sebab sikap. Malas nak jalan. Kalau boleh nak pandu-lalu beli ikan.

Begitulah tuan puan. Sikap ni kena dibentuk dari rebung. Kalau dah jadi buloh macam aku, payah. 


Wednesday, March 06, 2019

Resepi Udang Masak Butter

Bahan-bahan.
1. Udang saiz sedang 250g 2. Telur 2 biji 3. Minyak sawit 3 sudu besar 4. Mentega 3 sudu besar 5. Halia besar ibu jari Janna Nick dihiris 6. Bawang merah 2 biji dihiris 7. Bawang putih 2 ulas dihiris 8. Cili 2 biji dihiris 9. Serbuk kari satu sudu kecil 10. Serbuk kunyit satu sudu kecil 11. 20 helai daun kari Cara-caranya.
1. Gaul udang dengan serbuk kari dan serbuk kunyit. Perap 20 minit. 2. Pecahkan telur. Belasah sampai kembang. 3. Panaskan minyak sawit. 4. Masukkan mentega, biarkan sampai cair. 5. Ini kena kemahiran lebih sikit. Set api dapur sederhana. Masukkan telur sikit-sikit dan secara halus. Sambil tu kacau dalam kuali. Ini akan hasilkan buih minyak dan serdak telur. 6. Kemudian, angkat buih tu. Letak dalam penapis untuk asingkan minyak dengan serdak telur. Minyak tu jangan kau buang pula. 7. Masuk 3 sudu minyak+mentega ke dalam kuali balik. 8. Tumis bawang, halia, lada dan daun kari. 9. Dah naik bauk, masuk udang. Masak sampai udang kemerahan. 10. Angkat udang. Letak dalam pinggan percuma masa beli ubat gigi. 12. Tabur dan gaul serdak telur pada udang. 13. Siap! Panggil laki kau makan.



Tuesday, March 05, 2019

Resepi Sambal Tempe

Bukan orang Jawa je boleh masak tempe. Ini ha, akak kau orang Terengganu pandai juga masak tempe.

Ayuh menempe!

Bahan -  bahan:

1. Tempe plastik - 2 paket.
2. Garam - 1 sudu teh
3. Kunyit - 1 sudu teh
4. Bawang besar dihiris - 1 biji
5. Cili boh - 3 sudu besar
6. Minyak untuk menggoreng dan menumis
7. Sos tiram - 1 sudu besar
8. Kicap manis - 1 sudu besar
9. Gula - 1 sudu besar
10. Sos cili - 1 sudu besar
11. Sos tomato - 1 sudu besar

Cara - caranya:

1. Potong tempe. Hiris. Tapi jangan nipis sangat. Gaul dengan garam dan kunyit. Kemudian goreng hingga garing dan warnanya kecoklatan.

2. Angkat tempe dan sejukkan.

3. Panaskan minyak lebih kurang 3 sudu.

4. Masukkan bawang besar. Tumis hingga bawang layu.

5. Masukkan cili boh. Tumis hingga naik bau dan garing.

6. Masukkan sos tiram, kicap, sos cili, sos tomato dan gula.

7. Kacau sebati. Kemudian sejukkan.

8. Bila dah sejuk, masukkan tempe dan kacau sebati.


Tips:

Korang kena tunggu sejuk baru tempe dan sambal digaul bersama. Ini supaya tempe kekal rangup dan gurih.

Dah, apa lagi? Panggil laki kau makan.



Monday, March 04, 2019

Tempat Makan Terbaik di Kuala Terengganu: Roti Tempayan @ Machang Lada Seafood




Aku tak ingat bilakah kali pertama aku mencuba roti tempayan. Tapi, kini roti tempayan menjadi menu kesukaan aku. Ia satu hidangan yang ringkas. Sekadar adunan tepung gandum yang dibakar dalam tempayan, lalu dicicah dengan kuah gulai. Ringkas dan seadanya.

Tapi, versi cicahan dengan kuah gulai popular di Pantai Timur dan kedai Melayu. Versi mamak, roti tempayan dimakan dengan ayam andori. Sambil dicicah dengan kuah dhal dan kari kosong; antaranya. Mamak juga tidak menamakan ia dengan roti tempayan. Ia dikenali dengan nama roti nan.

Melalui carian di Google, mat saleh menamakan roti tempayan sebagai tandoor bread. Ia dinamakan sempena tempayan yang nama asalnya adalah tandoor. Masuk akal. Sebab ayam tandori dimasak dalam tempayan yang sama dengan roti tempayan.

Itu sedikit trivia pasal roti tempayan atau roti nan atau tandori bread. Owh ye, orang Terengganu memanggilnya dengan nama "roti payang". Panjang pula intro aku. Ialah, menulis dengan komputer riba, dalam persekitaran blogspot, memang automatik akan tertulis panjang. 

Sebelum ini aku ada ulas beberapa kedai roti tempayan. Kau boleh cari pada bahagian "search" atas penjuru kanan dalam blog aku ni. Tapi, kali ini aku nak ulas pasal roti tempayan di Machang Lada Seafood.

Machang Lada terletak di Bukit Payung. Kalau kau dari Kuala Terengganu, sesampai di lampu isyarat Padang Midin, kau belok kiri, ke Paya Resak. Masuk je simpang tersebut, itulah Machang Lada. Kau kedalam sikit dalam 500 meter, kau akan jumpa kedai Machang Lada Seafood di sebelah kiri kau. 

Macam payah je penerangan aku. Senang-senang, kau buka Google Maps dan cari "Machang Lada Seafood".



Kedai ini asasnya makanan gaya siam. Tapi, ada juga makanan barat dan roti tempayan. Abang ipar aku kata roti tempayan di sini sedap, lalu aku cuba.

Umph! Rotinya memang sedap! Ia tidak tebal. Tidak juga terlalu nipis. Ia tidaklah terlalu besar. Tidak juga terlalu kecil. Sedang-sedang sahaja. Portion yang sesuai untuk kau yang berdiet. Pada sesetengah bahagian roti, ia rangup. Tapi, pada sesetengah bahagian ia gebu. Jadi, sensasi makan roti tempayannya sangat mengancam.



Kuahnya; aku mencuba gulai ayam dan kambing. Gulai ayamnya secukup rasa. Sedap. Kena dengan roti. Lagi sedap kalau kau cubit daging ayam, gulung dalam cubitan roti, cecah kembali kedalam kuah dan nikmatinya! Fuh! Sambil menaip ni ngences aku rasa.



Gulai kambingnya pula tidak hanyir. Pandai mereka basuh daging kambing. Dagingnya pula pejal, tetapi tidak liat. Tak hancur bila dicubit, tetapi sedap apabila dikunyah. Luar biasa!



Kedai ini kedai keluarga. Maknanya kau boleh bawa keluarga kau yang selera lain-lain. Mungkin kau suka roti tempayan, bini kau suka tomyam dan anak kau suka chiken chop. Pergi kedai ini. Lalu semua orang gembira.



Friday, March 01, 2019

Resepi Sotong Goreng Kunyit

Ini bukan resepi sotong goreng kunyit yang biasa kedai siam buat. Entah mana entah Pn. Nurul belajar buat. Atau dia reka sendiri. Aku tak tahu. Bila aku tanya, dia tanya aku balik. Sedap tak?

Gila kau kalau aku kata tak sedap!

Ok, malas merapu. Ini bahannya.

Bahan: 1. Sotong 250g 2. Serbuk kunyit 1 sudu kecil 3. Serbuk lada hitam 1 sudu kecil 4. Bawang putih 3 ulas 5. Halia 2cm (besar ibu jari akak kau) 6. Minyak masak 3 sudu besar. Nota: Tak letak garam sebab aku ada darah tinggi. Caranya: 1. Potong sotong macam super ring. 2. Letak bawang putih, halia, serbuk kunyit dan serbuk lada hitam. 3. Gaul sebati. 4. Perap sesuka hati. 5. Panaskan minyak sawit. 6. Masuk sotong. 7. Nampak sotong dah kenyal, ha, masak dah tu. 8. Sotong ni berair sikit bila digoreng. 9. Angkat sotong, airnya dibiarkan kering sikit. 10. Dah kering, airnya tu masuk dan gaul balik dalam sotong. 11. Siap! 12. Panggil laki kau makan.

Malas nak baca?

Tengok video ni.