Pages

Saturday, June 16, 2018

Pengorbanan Marhean

Setiap kali raya, sering kita mengingati pengorbanan jururawat, bomba, polis dan askar. Tidak dinafikan, mereka ini sanggup korban cuti semata-mata untuk pastikan kita selamat dan selesa beraya.

Cuba bayangkan kalau hospital tutup masa raya. Lepas tu sebab kau makan banyak sangat, kena cirit-birit. Terpaksalah kau telan pil Chi Kit Teck Aun beberapa hari sebelum hospital dibuka.

Tetapi, ada juga orang-orang lain yang terpaksa berkorban untuk keselesaan kita beraya.

Ada tukang jahit yang anak sendiri pakai baju raya beberapa tahun lepas.

Ada tukang cuci kereta yang keletihan pada hari raya kerana mencuci berpuluh kereta dari maghrib hingga subuh.

Ada tukang parut santan yang menu pagi rayanya hanya lempeng cicah gula sahaja.

Ada mekanik yang tangguh pulang ke kampung kerana sibuk membaiki kereta di malam raya.
Mereka ini wira raya yang tak didendang.

Kalau mereka tiada, kau terpaksa beli baju yang dah siap yang mungkin sama dengan 400 orang yang lain.

Atau kereta kau penuh contengan nakal sebab terlalu berdebu.

Atau kuah lodeh kau terpaksa guna santan kotak yang ada pengawet. Akhirnya kaki kau bengkak kena gout.

Atau kau tak dapat balik kampung sebab kereta rosak.

Hargai mereka. Mereka ini pejuang kehidupan. Mereka ini rakyat kelas menengah yang jarang orang pandang. Mereka tak dapat BR1M. Mereka tiada kesatuan pekerja. Tiada siapa membela. Mereka hidup atas kudrat yang ada, berserah pada yang Maha Esa.

Dan, pagi raya mungkin mereka terpaksa kembali bekerja untuk kehidupan.

Friday, June 15, 2018

Selamat Hari Raya

Ini gambar raya tahun lepas. Masih berdua. Setakat ini tiada lagi yang tanya, "Bila nak bertiga?"

Tahun lepas itu,  aku pakai baju melayu tahun sebelumnya, songkok masa kahwin dan rambut gaya Ahmad Jais.

Macam orang lain juga, aku ucapkan Selamat Hari Raya, dengan ucapan khusus pada kau yang baca post ni,
"Sibuk main internet, tak beraya ke?"


Saturday, June 09, 2018

Revolosi Pemberian Duit Raya

Pemberian duit raya sekarang terlalu arus perdana. Kita tukar duit kecil di bank kemudian mengharapkan bank beri sampul duit raya.

Ataupun kita mengharapkan ejen takaful, kedai hardware, pasaraya mini depan taman dan tempat kerja kita memberi sampul raya.

Kalau tak diberi, kita menganggap mereka kedekut dan perniagaan mereka nak lingkup.

Lalu, dengan kecewa kita beli sampul duit raya yang gambar duit RM100. Tapi kita isi RM1.

Dan kitaran ini berulang saban tahun.
----
Aku mula gerakan revolusi ini sejak tahun lepas. Kau boleh masuk page Kerepek Rangup dan cari post raya tahun lepas.

Mula-mula aku beli sampul surat paling kecil yang warna coklat.

Sebab apa beli paling kecil?
Jimat kos.

Sebab apa warna coklat?
Asasnya kelihatan buruk. Lalu, aku tak perlu jadi designer hebat untuk reka grafik sampul surat itu. Apa sahaja yang aku cetak atasnya, ia akan nampak asli dan langka.

Kemudian, aku buka Microsoft Publisher, set paper sama dengan saiz sampul surat ini. Letak perkataan, ucapan dan gambar. Terus cetak.

Bagi menambah kemeriahan semasa beri duit raya, aku buat cabutan bertuah. Setiap sampul asasnya ada jumlah wang yang sama banyak. Namun, mereka yang bertuah akan dapat duit raya lebih.

Mudah bukan? Jimat kos dan pada masa sama menambah kemeriahan.
---
Rovolusi ini tak menjadi kalau kau tak buat. Tak perlu tanya pendapat jiran atau pengerusi JKKK atau Pak Long kau.

Revolusi Perancis bermula tanpa ditanya pendapat Raja Perancis.

Ayotollah Khomeni tak tanya pendapat pengerusi JKKK semasa nak gulingkan Shah Reza.
---
Kata nak tukar kerajaan, tapi nak tukar cara beri duit raya pun tak berani.