Tuesday, February 18, 2014

Beli Barang Terpakai Rengit Secara Online

Rupaya, ada juga pembaca blog ini. Silent reader. Walhal, terkadang aku merasakan aku hanya menulis syok sendiri. Hahahahaha.

Ada seorang silent reader ni. Kawan aku. Kawan satu sekolah masa aku tingkatan satu hingga tiga. Sebetulnya, aku memang betul-betul dah tak ingat siapakah beliau. Sampai saat post ini ditulis aku masih mencari klue, siapakah beliau. Terukkan aku. Hohohoho

Aku skodeng FB kawan aku ni. Owh, rupanya beliau berada di Simpang Renggam. Sebenarnya, selepas aku skodeng FB dia, baru aku tahu maklumat pada perenggan di atas.

Kawan aku ni PM dalam FB aku kerana barangkali beliau teruja membaca post aku pasal Rengit. Rupanya, ada tempat lagi menarik dari Rengit; Benut.



Tapi, kalau kau tidak berada di Johor, pasti sukar untuk pergi ke Rengit atau Benut. Jadi, kawan aku ini ada penyelesaiannya! Kau boleh beli online. Memandangkan lokasi beliau di Simpang Renggam yang tak jauh dari Rengit dan Benut, kau boleh terus memesan dari beliau. Beliau meniaga menggunakan medium Facebook Page.



Itu dia! Tak payah pergi rengit. Kau masuk je ke https://www.facebook.com/gerobokkarat . Senang. Sambil makan nasi pun kau boleh beli barang terpakai Rengit!



Monday, February 17, 2014

Dari Atas Hotel YT Midtown Kuala Terengganu

Aku seorang yang gayat. Kecut perut kalau memandang sayup ke bawah. Tapi, pada masa yang sama aku suka akan pemandangan dari atas.

Jika menaiki Bukit Bauk, aku akan berehat sebentar di satu lokasi pertengahan puncak. Di lokasi tersebut, akan jelas kelihatan jalan raya mengelilingi Bukit Bauk. Kalau cuaca cerah, boleh nampak Kuala Dungun dari kejauhan.

Pernah juga aku menulis dengan tajuk "Dari Atas Pasar Payang" semasa membayar saman parkir dahulu. Pada masa itu, aku mengambil masa beberapa belas minit menikmati pemandangan.

Rezeki aku tempoh hari dapat berkursus di Hotel YT Midtown. Nama pun "midtown", hotel ini memang betul-betul terletek di tengah bandar. Dapat pula menginap di tingkat sembilan, jadi, aku dapat menikmati pemandangan atas yang menarik.






Sunday, February 16, 2014

Anak Apak

Sebelum ini aku membaca karya seorang wartawan. Abdul Jalil Ali: Cendol Pulut Santan Lebih. Kini, aku sudah pula menghabiskan bacaan semacam momoir oleh Subky Latif: Anak Apak.

Jujurnya, aku mengenali Subky Latif melalui tulisan beliau dalam Harakah dan Malaysia Kini. Tulisannya segar dan memberi sudut pandang berbeza dari penulisan dalam medium "pembangkang" tersebut.

Tapi, paling menarik sebenarnya, gaya penulisannya mudah difahami oleh aku. Ayatnya pendek. Lalu, aku dapat menggambarkan apa yang ditulis beliau dengan mudah. Ini memang ada persamaan dengan gaya penulisan Abdul Jalil Ali. Oleh itu aku menganggapkan gaya penulisan wartawan memang sebegitu. Ringkas, padat dan selalu mencuit.



Ok, kembali ke isi utama. Anak Apak, menurut sang penulis merupakan suatu propangandis zaman. Penulis, mencuba sedaya upaya untuk mengingat apa yang pernah beliau lalui sepanjang kehidupan. Ini supaya, anak cucu dan generasi selepas beliau tahu apa yang terjadi pada zaman beliau.

Membaca ini sangat mengkagumkan aku. Bukan sekadar gaya penulisannya, tetapi pengalaman sang penulis juga. Sang penulis sangat mudah pada zaman mudanya berkawan dengan pelbagai orang. Yang mana, orang-orang tersebut kemudiannya menjadi watak penting dalam sejarah Malaysia. Ramai orang sekeliling beliau yang kemudianya menjadi Ketua Setiausaha Negara, Ketua Hakim Malaya, dan Menteri. Malah, beliau akrab dengan Tun Abdullah Badawi semasa mereka sama-sama aktif dalam GPMS.

Paling seronok, membaca pengalaman beliau bersama anak Chin Peng, Ketua Komunis Negara. Menurut beliau, keluarga Chin Peng tidaklah menunjukkan watak ganas. Malah, beliau boleh saja dengan selamba bermain bola sepak dengan anak Chin Peng.

Penulis juga menulis dengan jelas apa yang diperhatikan semasa pra dan pasca kemerdekaan. Beliau boleh menggambarkan dengan baik suasana politik dan sosial pada masa itu. Kalau kau nak tahu sejarah awal kemerdekaan Malaysia dari sudut pandang yang lain, boleh saja kau membaca buku ini.

Secara keseluruhannya, memang tak menyesal membeli buku ini. Terutama sekali untuk aku yang seorang peminat sejarah. Hohohoho


Tuesday, February 11, 2014

Rengit Sekali Lagi: Kedai Barangan Terpakai.

Dulu, tiga tahun lepas, aku pernah tulis mengenai kedai barangan terpakai di Rengit. Tulisan itu menjadi antara tulisan aku paling popular. Boleh tengok post tersebut DI SINI

Tempoh hari, aku sekali lagi ke sana. Hajatnya, untuk mencari mixer pembancuh tepung. Malangnya barang tersebut sangat "rare". Kalau ada pun, harganya mahal dan lebih berbaloi untuk membeli yang baru.

Rupa-rupanya, penjelajahan aku ke Rengit sebelum ini tidak menyeluruh. Ada lagi kedai yang tidak dikunjungi. Banyak lagi kedai yang lebih tersusun. Tapi, ia terletak lebih ke dalam.

Lama juga aku meronda kali ini. Lebih kurang 2 jam. Banyak perabot yang menarik. Kalau kau baru naik rumah, boleh ke sini untuk memborong perabot.

Jalan punya jalan, akhirnya aku sambar juga sebuah beg pakaian. RM30. Boleh la kan daripada takde!






Monday, February 10, 2014

Mengenang Alma Mater: Kedai Makan Saadiah

Pada kebanyakkan bekas pelajar universiti, mereka sangat mengenang zaman belajar mereka. Sangat mengenang suasana belajar mereka. Sangat mengenang pensyarah-pensyarah mereka. Sangat mengenang tempat-tempat nostalgik dalam kampus mereka. Dan, tentunya mengenang alma mater mereka.

"Alma mater: a school, college, or university at which one has studied and, usually, from which one has graduated"

Aku, masa belajar di Parit Raja dahulu, merupakan seorang yang pasif. Aku kurang bercakap dan kurang bergaul. Memang norma aku sebegitu. Justeru, aku tidaklah tergolong sebagai mahasiswa yang suka berlegar di kampus. Selepas kelas, jarang aku pergi ke perpustakaan, surau kampus, kafeteria kampus atau bilik pensyarah. Malah, pergi ke jamban kampus pun kadang-kadang sahaja. 

Selepas kelas pagi, biasanya aku akan ke Parit Bengkok, lokasi gerai roti canai tepi parit yang tersedap. Rotinya gebu. Karinya lemak rempah. Nescafenya pekat! Paling penting sebagai pelajar, harganya murah.

Atau, kalau kelas habis petang, akan aku singgah di gerai goreng pisang Ewok, sederet pasaraya Wellward; makan gorengan dicicah sambal kicap. Kedai di tepi longkang. Gorengannya rangup. Sambal kicapnya pedas. Paling penting sebagai pelajar, harganya murah.

Kalau kelas malam, sebelum ke kelas, aku  makan malam di kedai makan Adak, sebelah bangunan Peladang. Nasinya banyak dan berlemak. Ayamnya pun banyak. Dan, paling penting sebagai pelajar, harganya murah.

Selepas kelas, terkadang, aku makan kerang bakar di sebuah kedai suram depan kampus. Simpang masuk Parit Hj Rais. Servis kedai memang lambat. Kerangnya taklah berapa sedap. Dan, harganya taklah begitu murah. Mungkin, aku dah kena bomoh dengan kedai tersebut. Hahahahaha

Tapi, paling menarik, makan tengahari. Kedai makan Saadiah. Terletak di Kompleks Parit Raja. Menunya ringkas. Nasi + ayam goreng + kuah kari + sayaur. Atau, nasi + asam pedas + sayur. Dulu, 12 tahun lepas sekali makan lauk ayam, beserta air teh o ais, hanya RM2.50. 






Tempoh hari, aku kembali ke kedai itu. Akak kedai tu masih ingat aku. Beliau tak ingat nama aku. Tapi, beliau cam tahi lalat aku bawah bibir. Hahahahaha. Aku baru perasan aku ada tahi lalat bawah bibir.

Minggu lepas, aku ke sana. Mengenang alma mater. Makan di kedai Saadiah. Nasi + ayam goreng + kuah kari + sayur + air suam sudah RM4.50.

Inflasi.

Sunday, February 09, 2014

Dah Macam Kena BOM!

Aku jarang balik Johor. Tapi, tidaklah terlalu jarang. Barangkali setahun, paling kurang empat kali aku akan pulang ke Johor. Menziarah orang tua yang utamanya. Membeli kerepek jatuh nombor dua.

Biasanya aku akan beli kerepek di sekitar Air Hitam - Parit Raja - Senggarang. Ada beberapa kedai yang mana aku telah menjadi pelanggan tetap selama beberapa tahun.

Jika dahulu, untuk membeli kerepek, dari Bandar Tenggara, aku akan melalui bandar Kluang, melalui Bandar T6. Tapi, beberapa tahun lepas, telah ada jalan potong ke Renggam, sebelum Felda Bukit Tongkat. Melalui jalan itu, ternyata lebih dekat. Dari Bandar Tenggara, boleh sahaja aku melalui jalan itu ke Renggam. Dari Renggam, terus ke Simpang Renggam dan sampai ke Air Hitam.

Walaupun jalan itu baru, tetapi, jalan tersebut telah mengalami kerosakan. Sama keadaanya seperti jalan Felda Inas ke Kulai. Dipercayai jalan tersebut bertar nipis dan dilalui oleh lori.

Memandu di jalan seperti itu, amat menguji kecekapan memandu. Harus sentiasa berwaspada dengan keadaan jalan dan kenderaan terutama lori yang dipandu laju.

Terkadang, aku rasa kadaan tidak aman kerana rupa paras jalan seperti di bom!





p/s: Semasa melalui jalan tersebut tempoh hari, jalan sedang dibaiki. Tapi, tak pasti berapa lama ia boleh bertahan.

Saturday, February 08, 2014

Satar Kuala Kemaman

Kalau di Kuala Terengganu, barangkali keropok lekor menjadi makanan signature kepada daerah tersebut. Banyak kedapatan kedai menjual keropok lekor yang sedap. Antaranya di Losong, Bukit Tok Beng dan Sungai Rengas.

Manakala kalau di Kemaman, satar boleh dikatakan makanan signature. Dan, kedai menjual satar banyak kedapatan di Kuala Kemaman.

Dulu sekitar 2006, masa mula-mula ke merantau ke Terengganu, seingat aku harga satar 25 sen sebiji. Masa yang berkadar langsung dengan inflasi menyebabkan harga satar 25 sen kekal menjadi sejarah.

Lama juga sebenarnya aku tidak makan satar di Kuala Kemaman. Tempoh hari, dalam perjalanan dari Johor ke Dungun, aku berhenti rehat di Kuala Kemaman. Lalu, singgah di Warung Otak-Otak Che Wan. Mengikut pengetahuan aku, kedai ini antara kedai terawal menjual satar di Kuala Kemaman.


Selain satar, kedai ini turut menjual otak-otak dan keropok lekor. Juga, menjual pelbagai jenis sup dan mee kari.






Aku dan Pn. Nurul memilih untuk memesen pakej satar + otak-otak. Enam batang otak-otak dan enam biji satar. Harga set tersebut RM7. Satar diberitahu harganya 50 sen sebiji. Maka sudah tentu otak-otak berharga RM2 bagi setiap 3 batang.


Pada aku, harganya agak mahal. Tapi, rasa sedikit berbaloi kerana satarnya sangat mewah isi ikannya. Manakala otak-otaknya menggunakan ikan tenggiri.

Kami juga memesan keropok lekor goreng. RM2. Ini hasilnya.


Saiz keropok itu lebih kurang ibu jari aku. Ini bermakna aku boleh makan dua batang sekali suap! Hahaha. Ini memang tidak berbaloi. Harganya mahal. Keropoknya tak berapa sedap. Ini ditambah lagi dengan penggunaan minyak yang entah berapa puluh kali diguna semula.

Petang untuk kami membayar RM12 hanya untuk minum petang. Orang macam aku ni pun dah terasa mahalnya. Kalau orang yang gaji bawah RM2000 macam manalah agaknya ya. :-(

Saturday, February 01, 2014

Cara Senang Update GPS Garmin Nuvi 205

Aku beli alat ni sudah agak lama. Walaupun lama, ia belumlah dikategorikan uzur. Masih mampu berkhidmat cemerlang di dalam Malaysia.

Jarang sekali aku update peranti Garmin Nuvi 205 aku ini. Aku kira, kali ini adalah kali ketiga sejak membelinya kira-kira 5 tahun lepas dengan harga RM650. Oleh sebab itu, aku sering lupa cara untuk mengupadate peranti ini. Jadi, post ini sebetulnya untuk rujukan aku sendiri.

Ok, mari kita mulakan!

1- Masuk web Garmin Express  http://software.garmin.com/en-US/express.html

2- Klik "Download For Windows".

3-  Kemudian, install Software Garmin Express


3- Siap install, klik Launch





4- Macam aku, orang kampung, aku akan klik Take The Tour dulu. Ialah, nak tau apa benda sebenarnya Garmin Express.





5- Ok, sebelum kau klik Get Stated, kau kena sambung Garmin Nuvi 205 pada komputer. Kalau kau takde kabel Garmin ke komputer, aku cadangkan kau cari kabel motorola. Memang boleh masuk. Soketnya sama.




6- Bila dah sambung, pastikan ia dah di detect pada komputer.




7- Ok, lepas tu kau boleh klik get started seperti langkah 4. Kalau dah boleh, dia akan papar macam ni.




8- Klik continue dan masukkan emel kau




9-  Kemudian, tanpa ragu klik Install All. Bagi update semua. Maps, voice, sinages, firmware dan lain-lain mak nenek.






10- Bila dah siap, akan keluar arahan berikut. Ikut je arahan tu.




11- Pastikan bila dah Reconnet, paparan Garmin Express jadi macam ni. Ini bermaksud, proses telah selesai!




Selamat mencuba. Selamat Maju Jaya!

Thursday, January 30, 2014

Nan Char Kuew Teow Stesen Penang On Gong Pasir

Berbelit lidah nak menyebutnya. Hohohoo.

Ini satu lagi lokasi kedai Char Kuew Tiow di Dungun. Tak jauh dari kedai Orang Mude. Ia terletak di Gong Pasir. Dari lampu isyarat Gong Pasir, kau belok ke kiri, kemudian menyusuri jalan utama hingga ke hujung jalan. Kedai ini terletak di sebelah kanan.



Suasana kedai ini sangat-sangat memikat. Tenang. Lamannya bersih. Meja-meja dibuat sendiri dari kayu dan diletakkan di celah-celah pokok. Asalnya kedai ini adalah rumah. Kemudian menjadi kedai bundle. Dan kini menjadi kedai Char Kuew Tiow.







Kedai ini hanya menjual Char Kuew Tiow, Sizzling Mee dan Laksa. Aku memesan Char Kuew Tiow Special. Manakala Puan Nurul memesan Sizzling Mee.

Ada juga Char Kuew Tiow yang biasa, berharga RM4.50. Tapi, aku ingin mencuba yang Special yang berharga RM6 kerana katanya ada lebih kerang dan udang, serta ada telur mata.



Rasa Char Kuew Tiow dia memang sedap. Menjadi. Namun, udangnya tak berapa nak lebih, sebab hanya ada 3 ekor saiz jari kelengkeng. Kalau tak special bagaimana ya agaknya? Huhuhuhu. Tapi, kerangnya memang mewah. Setiap suduan, pasti ada kerang.

Sizzling Mee pun sedap. Sedikit unik. Biasanya kuah Sizzling Mee agak likat. Tapi, kuahnya di sini agak cair. Walaupun cair, rasanya masih pekat. Rasanya tidak mengecewakan.



Boleh pergi lagi kedai ini. Suasannya agak damai. Sesuai untuk makan di waktu petang sambil berborak atau berbincang santai.

Kedai ini dibuka 5 petang - 11 malam.


Wednesday, January 29, 2014

Desa Murni Batik Kini Di Dungun

Desa Murni, satu nama yang tak asing lagi dalam industri pembuatan batik di Malaysia, lebih spesifik di Terengganu. Boleh dikatakan semua wanita seawal usia baligh mengenali Desa Murni. Bermula di Kampung Pulau Rusa, Desa Murni kini berkembang dengan sekian banyak cawangan di Kuala Berang, Pengadang Baru, Gong Kapas, Batu Enam dan yang terbaru di Dungun. Itu belum lagi dikira cawangannya di luar Terengganu seperti di Kuala Lumpur dan Ipoh.

Desa Murni terkenal dengan pembuatan batik digital. Apa itu batik digital? Ia semacam printer yang besar. Khas untuk print kain batik. Tapi, dengan corak yang eksklusif dan pereka batik yang ramai, Desa Murni mampu menghasilkan batik pada skala besar.

Aku kerap menemani Puan Nurul ke Desa Murni. Samada di Pengadang Baru atau Batu Enam. Dan, pernah juga aku membeli kemeja batik yang murah di Desa Murni. Kenapa aku beli batik murah? Satu, kerana aku bukan orang kaya. Dua, badan aku gatal-gatal kalau pakai batik mahal yang licin kainnya itu. Namun, yang satu "overshadow" yang dua. Hahahaha

Semalam, aku sempat ke Desa Murni Dungun yang baru di buka 2 minggu lepas. Semalam baru aku ada kesempatan walaupun kerap di ajak oleh Puan Nurul. Pada hari pembukaannya dua minggu lepas, ada dijual beberapa barang dengan harga 5 sen!






Desa Murni ini umumnya terbahagi kepada dua kedai berasingan. Kedai pertama khusus menjual produk batik dari kilang Desa Murni. Manakala kedai kedua lebih rencam. Ada dijual bantal, kain ela, tudung singa, karpet, tikar dan pakaian siap. Turut dijual basikal kahwin dua dan kahwin tiga.






Dan, seperti mana Desa Murni yang lainnya, 95% pelanggan adalah wanita. 5% bakinya adalah terdiri dari budak lelaki bawah umur atau lelaki dewasa yang muka kelihatan bosan. Hohohoho.

Apa-apa pun, aku sempat sambar sehelai lagi baju batik murah di Desa Murni Dungun.