Saturday, February 16, 2013

Sup belut Dungun

Lama tak makan sup belut. Slurrrpppp!

Tempoh hari, kerana Pn. Nurul keletihan sebab menjadi co-pilot dari Bandar Tenggara ke Dungun, lalu kami memutuskan untuk makan malam di kedai sahaja. Memandangkan mood cuti masih lagi terasa di Dungun, lalu, banyak kedai makan tutup di Dungun.

Kami lalu di Jalan Lapangan Terbang. Lalu terjumpa kedai ini. Rezeki.



Nampak biasa sahaja. Tapi, ia menyajikan masakan panas dan juga sup. Bukan sup semalam atau minggu lepas. Sup yang dibuat memang fresh, on the spot dia buat, ala-carte. Ada pelbagai jenis sup. Antaranya sup perut, sup daging, sup tulang dan tidak ketinggalan sup belut!

Kuah sup dia memang terbaik! Masam, manis, pedas dan berempah. Memang pekat! Sangat sesuai dengan belut yang diletak di dalam sup itu. Slurrppp!



Selain sup, belutnya boleh juga dimasak paprik atau kunyit. Lain kali nak cuba yang tu pula!

Owh, lupa nak beritahu lokasinya. Kalau kau dari jalan besar Kuantan-Kuala Terengganu, ambil jalan ke UiTM Dungun. Lepas bulatan stor JKR, ada sebuah kedai makan di sebelah kanan. Berkembar dengan kedai runcit. Cubalah!


Friday, February 15, 2013

Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan

Pekan, salah satu daerah di selatan Pahang. Juga, seperti mana bandar-bandar di Pahang yang lain, ia tenang dan mendamaikan. Tambah syok, bila ia berada di muara lembah Sungai Pahang, lalu membentuk geografinya yang unik.

Ada beberapa jalan boleh dilalui jika aku dari Dungun hendak pulang ke Bandar Tenggara. Tapi, jujurnya aku gemar laluan pantai Dungun-Kuantan- Pekan-Rompin-Mersing-Kota Tinggi- Bandar Tenggara. Walaupun bukan laluan yang terpendek atau tercepat, tetapi ia laluan yang mendamaikan! Kurang lebih 450km sahaja.

Kalau lalu laluan itu, Pekan pasti akan aku singgah. Singgah menikmati condol mamak yang pekat atau rojak atau kedua-duanya di tepi hiruk pikuk jalan raya; di pinggir sungai. 

Tempoh hari, kerana petang masih awal, aku lantas singgah di Muzium Sultan Abu Bakar. Hanya kira-kira 300 meter dari lokasi van mamak cendol. Memandangkan aku bukan rakyat Pahang, aku dikenakan caj RM5. Kalau kau rakyat Pahang, kau hanya perlu membayar RM4. Kalau nak masuk percuma ke muzium ini, kau perlu berpakaian sekolah. Hahahaha









Aku suka muzium. Begitu juga dengan muzium ini. Lanskap luarnya memang terbaik! Ada monumen jentera perang lama. Juga, ada arca haiwan yang diperbuat dari kayu. Dengan laman yang luas dan hijau, juga kolam pancutan yang minimalis, ia kelihatan hebat kawan!

Sebetulnya, muzium ini adalah istana lama. Istana Kota Baram.



Ada pelbagai segmen di muzium ini. Ada segmen tentang fabrik dan fesyen, ada segmen tentang orang asli di Pahang, ada segmen tentang kesultanan Pahang, juga, ada segmen tentang seni dan budaya Pahang. Klise bagi sebuah muzium. Tapi, di muzium ini banyak skrin interaktif disediakan.





Muzium ini banyak gambar, artifak dan replika. Tapi, malangnya tiada penerangan mengenai objek-objek tersebut. Agak mengecewakan. Kalau tengok sesebuah gambar tu, aku tak tahu gambar itu mengenai apa. Atau, kalau melihat patung pakai baju, aku tak tahu apa patung itu lakukan atau pakai. Jadi, masuk muzium tu hanya lihat-lihat sahaja. Tanpa banyak ilmu yang boleh diserap.

Barangkali kerana muzium ini baru, jadi perkara tersebut barangkali akan ada. Barangali. Aku bersangka baik ni. Hahahahaha.


Monday, February 11, 2013

Sotong Gunting Berebut

Kuala Terengganu terkenal dengan koleksi celup tepungnya. Dari udang, sotong, ikan, tapai, keropok dan ubi. Boleh kata kedai celup tepong cukup laris jualannya, hampir di mana-mana sahaja di sekitar Kuala Terengganu.

Tapi, pada aku, kedai celup tepung yang terbaik adalah di Batu Rakit. Rasanya sangat sedap dan harganya relatifnya murah. Kedai ini tiada nama, tiada papan tanda. Tapi, aku namakannya "Kedai Sotong Celup Tepung Gunting Berebut"



1- Kedai ini menjual pelbagai makanan laut celup tepung. Udang, ikan dan paling laris sotong.

2- Menariknya, sotong dicelup goreng seekor. Besar. Sebesar tapak tangan aku. Kalau libas kepala sotong kat pipi kau, berbekas juga la rasanya! Hahahahaha. Oleh sebab adalah mustahil, dan kelihatan tidak bertamadun makan sotong sebesar itu, ia perlu dipotong. Bukan tokey kedai yang potong, kau perlu potong dan kerat sendiri dengan gunting yang disediakan.



3- Juga, kau perlu berebut untuk mendapatkan sotong goreng celup tepung itu. Terkadang, melihat orang yang berebut itu sepertinya orang di Sahara yang kebuluran. Atau semacam tidak pernah makan sotong seumur hidupnya. Ataupun dibayangkan seperti itulah sotong terakhir yang ada di muka bumi, yang lain sudah pupus. Akibat rebutan itu, seringkali badan dan kepala sotong terpisah. Ini menyukarkan tokey untuk menentukan harga. Juga, ada juga yang kelecuran tangan akibat gelojoh merebut sotong yang baru keluar dari kuali panas.



4- Kalau kau tak tergamak untuk berebut, kau boleh berdiri di sebelah tokey, sambil buat muka kasihan. Itu kaedah yang mudah kawan! Tanpa tenaga, tanpa masam muka, tanpa melihatkan kau seperti kebulur sotong. Tokey, dengan senang hati akan mengambilkan sotong terbaik untuk kau, sebelum memberi yang bakinya kepada sang-sang perebut.



5- Pada aku, masalah perebutan itu boleh diatasi jika kedai itu tidak melaksanakan konsep layan diri. Sepatutnya, boleh sahaja pelayan datang ke meja pelanggan dan menanyakan apa yang hendak dipesan. Dan, pelanggan boleh menunggu dengan sabar, ikut giliran di meja masing-masing.


Sunday, February 10, 2013

Bau Asap Eh

Cerita makan lagi. Dahla lama tak post. Sekali post cerita makan. Hahahaha

Kali ini aku nak cerita tentang kedai Bau Asap Eh. Kedai ni terletak di Kampung Serating, Merchang, Marang, Terengganu. Kalau kau dari Dungun, kau akan menemui kedai ini di sisi kanan, menghala ke Kuala Terengganu, ikut jalan pantai.



Selama berulang-alik Dungun - Kuala Terengganu, jarang aku lihat kedai ini dibuka. Kalau pun dibuka, jualannya tinggal sedikit dan tidak lagi bugar. Tapi, entah macam mana, minggu lepas, aku berjaya singgah di kedai itu.



Kedai ini ringkas sahaja jualannya, hanya akok Terengganu, kuih bakar dan bahulu Terengganu. Ketiga-tiga makanan tradisi itu dimasak menggunakan kaedah bakar. Yang bagusnya di sini, ia dibakar menggunakan tempurung dan sabut kelapa. Hasil pembakaran itu menghasilkan asap yang mempengaruhi bau dan rasa kuih-kuih itu. Akhirnya terbitlah nama "Bau Asap Eh".



Kedai ini dibuka hingga sekonyong-konyong usai Asar. Kalau lambat, kau hanya dapat beli debu tempurung sahaja. Hahahaha

Rasanya, tak perlu dipertikaikan. Akoknya tidak terlalu manis, tidak lebih dan tidak peroi. Manakala kuih bakarnya mempunyai rasa pandan yang kuat, juga tidak manis dan kenyal. Memang "A"!





Kalau kau nak rasa kuih Terengganu yang mempunyai rasa asli, di sini tempatnya.