Showing posts with label Kuala Terengganu. Show all posts
Showing posts with label Kuala Terengganu. Show all posts

Sunday, September 23, 2018

Kedai Makan Terbaik di Kuala Terengganu: Nasi Dagang Atas Tol

Terengganu, dia punya signature dish nasi dagang. Ia sinonim. Bagai aur dengan tebing. Macam Fattah dengan Fazura.
Terengganu - Nasi dagang
Aur - Tebing
Fattah - Fazura
Nasi dagang banyak versi. Terutama dari segi pemilihan beras. Ada yang campur beras biasa dengan beras pulut. Ada yang pakai beras wangi. Malah, ada juga beras khusus untuk buat nasi dagang.
Nasi dagang disediakan secara kukus bersama gaulan santan dan halba. Itu bahan asasnya. Kalau secara tanak, lebih dikenali dengan nasi kuboli.
Aku jenis makan tak memilih. Kalau batu dan kayu boleh dimakan, aku bedal juga. Begitulah halnya dengan nasi dagang. Asal namanya nasi dagang, ia sedap pada aku.
Nasi dagang lawannya gulai ikan tongkol/aya. Boleh letak acar timun supaya rasa tak jemu. Telur rebus juga boleh ditambah sebagai lauk penambah selera.
Kalau kau jenis makan memilih dan hendak menikmati nasi dagang yang sedap, kau boleh mencuba Nasi Dagang Atas Tol. Atas Tol ni nama kampung. Tiada kaitan dengan plaza tol.
Dari Bandar Kuala Terengganu, kau cari jalan menghala ke Kuala Berang. Sampai di Pengadang Baru, kau akan nampak kedai kain batik Desa Murni warna jingga di sebelah kiri kau. Masuk simpang di situ. Kau jalan terus sampai kau jumpa kesesakan jalan raya di dalam jalan kampung. Ha. Itulah dia.
Takpun, kau Waze je. Ada dalam tu.
Namun, aku nasihatkan kau pergi seawal mungkin. Selepas subuh, sebelum lalat terbang. Jika kau lewat seawal 7.15 pagi, kau tetap perlu beratur. Kalau lagi lewat, lagi panjang kau beratur.
Kau juga boleh cuba teh tarik ais dia. Nampak sedap, potong kaki.
Kedai ini boleh jadi destinasi kau jika ke Kuala Terengganu.
Menikmati Nasi Dagang Atas Tol bermaskud kau sudah menikmati Terengganu.

Sibuk betul tukang hidang

Panjang beratur. Sabar je la.

Hasil selepas beratur

Wednesday, January 04, 2017

Pengalaman Membuka Akaun ASB2 di Dungun

Dah tua-tua macam ni, barulah aku ada kesedaran mendalam untuk menyimpan dan melabur di dalam ASB2. Sebab apa ASB2? Sebab aku dah ada ASB, jadi, nak tambah koleksi buku bank (bukan tambah duit dalamnya). Hohohoho

Kau, yang muda-muda, elok menyimpan dan melabur dari awal. Senang masa depan. Memang klise nasihat ini. Tapi, percayalah, bila kau sudah melalui fasa macam aku, kau akan rasa betapa ruginya tidak menyimpan dan melabur dari awal.

Namun, bagi kes aku, better late than never. Kau yang muda 20an, jangan ikut.

Kalau kau di ibu negeri, boleh sahaja kau pergi ke mana-mana pejabat ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) untuk membuka akuan ASB, ASB2, ASN, AS1M dan lain-lain produk saham ASNB. Biasanya boleh siap masa tu juga.

Namun, bagi kes aku, agak jauh juga untuk aku ke Kuala Terengganu, ke pejabat ASNB. Kena ambil cuti, kena batal kelas. Aduh!

Tapi, akaun saham amanah ASNB ni juga boleh dibuka di kaunter ejen-ejen ASNB. Ejen ASNB seperti dalam laman webnya adalah seperti berikut:
- Maybank
- CIMB
- RHB
- Pos Malaysia
- BSN
- Affin Bank
- Alliance Bank
- AmBank


Pada suatu hari, dalam semangat yang membara, aku pergi ke RHB Dungun. Asalnya untuk buat kad bank yang baharu. Alang kepalang, aku terus tanya kaunter nak buka akaun ASB2. Seorang pegawai lelaki mengatakan bahawa untuk membuka akaun ASB2 perlu deposit awal RM200. Aku batalkan hasrat. Sebab, dalam pengetahuan aku RM10 sudah memadai untuk membuka apa-apa akaun ASNB. Barangkali beliau ingat aku ini budak-budak baru nak up. Hohohohooho

Terus aku pecut ke Maybank Dungun. Sebab kebetulan juga aku nak keluar duit di Bank Islam Dungun. Bank Islam dan Maybank Dungun ni bersebelahan. Aku pergi tanya kaunter cara untuk buka akaun ASB2. Seorang pegawai wanita mengatakan bahawa 2 minggu baru siap permohonan buku ASB2. Sekali lagi aku batalkan hasrat. Sepengetahuan aku, lima belas minit sebenarnya boleh siap. Mungkin pegawai itu ingat aku budak fresh graduate yang baru dapat kerja.

Darihal dua bank itu tidaklah mematahkan semangat aku. Terus aku pergi ke CIMB Dungun. Khas. Tiada urusan lain. Hanya semata-mata nak buka akaun ASB2. Sampai, terus aku pergi kauter pertanyaan. Seorang pegawai wanita bagi borong, sambil ajar aku cara nak isi borang. Siapa panggil aku adik lagi. Kah kah kah. Tak sampai 5 minit, nombor aku dipanggil. Hulur IC, borang dan RM10. Dalam masa 15 minit, siap buku ASB2 aku. 15 minit tu pun sebab line slow katanya. Kalau tak lagi laju.

Secara tersuratnya, kalau kau nak buka ASB2 di Dungun, elok kau pergi ke CIMB.

Secara tersiratnya, aku ini kelihatan muda dari usia sebenar. Hohohohoho.

Kau ada pengalaman di tempat kau. Cuba kongsi pada ruangan komen di bawah. :-)


Monday, January 02, 2017

Tempat Makan Terbaik di Kuala Terengganu: Nasi Kerabu dan Mee Jawa Losong

Mulanya aku tak tahu kenapa orang luar Johor panggil mee Jawa. Sebab aku yang Jawa dan asal Johor panggil makanan itu mee rebus. Tapi, aku ada huraikan tentang perbezaannya di sini.
<<< Beza mee rebus Johor dengan mee rebus Terengganu >>>

Dulu, kerap aku makan mee Jawa ni di kedai Selera Selatan. Mee Jawa di kedai tu sangat minimalis. Hanya mee, tauge sedikit daun bawang serta bawang goreng. Yang mewah adalah kuahnya. Pekat dan berdaging. Memang citarasa mee Jawa yang asli. Mee Jawa yang terbaik di Terengganu pada aku. Dan ia satu-satunya kedai menjual mee Jawa di Dungun; mengikut pengetahuan aku.

Sayangnya kedai itu sudah tutup. Aku rasa sudah 2 tahun. Sejak itu aku semakin ketagih mee Jawa. Aku hanya dapat menikmati hanya tatkala pulang ke Johor. Bersepah kedai menjual mee Jawa a.k.a mee rebus.

Entah macam mana, pada suatu hari semasa aku melalui Jalan Sekolah Sultan Ahmad di Losong, Kuala Terengganu, aku ternampak banner "MEE JAWA UDANG". Fuh, tengok banner je dah ngences air liur aku. Terus aku menanam impian untuk menikmati mee Jawa di kedai itu.



Ditakdirkan aku ke kedai itu dua malam yang lepas. Buka setakat mee Jawa, banyak lagi menunya.


Aku terus order mee Jawa dia. Fuh! Terubat rindu. Walaupun kurang sikit berbanding Selera Selatan atau Johor, tetapi ia tetap sedap. Menghirup juga aku hingga titisan kuah terakhir.



Selain itu, ada juga Char Kuew Tiow. Pun sedap juga. Manis pedas semua cukup.

Mee sup dia pun sedap. Sesedap rasa.

Dan, signature dish kedai itu, Nasi Kerabu tidak mengecewakan. Harganya hanya RM4 sahaja. Macam tak sepadan dengan kualiti dan kesedapannya.

Kedai ini terletak di Jalan Sekolah Ahmad, Losong, Kuala Terengganu. Malas cerita panjang, dalam Google Maps kau boleh cari "NASI KERABU LOSONG".







 Ha, apa lagi? Pergi start enjin kereta. Hohohohoho

Friday, July 08, 2016

Buat Kad Pengenalan di UTC Kuala Terengganu

Kad pengenalan aku versi yang terkini. Ala, yang ada 2 gambar muka tu. Aku mula pakai kad pengenalan yang baru itu sejak ia mula diperkenalkan. Aku rasa dalam tahun 2012.

Kad pengenalan itu diwar-warkan berteknologi tinggi. Tapi, indah khabar sahaja. Lepas 6 bulan aku buat, terus cip rosak. Tak boleh baca. Kad Bank Islam aku yang dah 10 tahun masih boleh digunakan dengan baik.

Punyalah azab bila cip kad pengenalan tak boleh nak baca. Banyak urusan bank aku terganggu. Tapi, sebab duit aku tak banyak, aku boleh bersabar lagi.

Puncak kesabaran aku bila aku tak boleh perbaharui lesen memandu aku. Dia nak juga ambil data dari kad pengenalan aku. Takut aku ini pendatang asing agaknya.

Lebih menyesakkan, lesen memandu aku mati raya keempat. Pejabat masih lagi ditutup pada raya keempat. Mujur aku cuba perbaharui lebih awal.

Dua hari sebelum cuti raya, aku ke pejabat pos Giant Kuala Terengganu. Tak boleh nak perbaharui. Kena tukar kad pengenalan dulu.

Esoknya, iaitu sehari sebelum raya aku ke Jabatan Pendaftaran Negara di UTC Kuala Terengganu di Paya Bunya Square. Jangkaan aku orang akan ramai macam semut. Jadi, aku tiba awal. 8.20 pagi aku dah melanguk depan pejabat. Pukul 8.30 baru pejabat dibuka.



Masuk terus aku ambil nombor. Tak sampai 10 saat, terus nombor aku dipanggil. Dan tak sampai 5 minit, siap diproses. Tapi, kadnya akan siap dalam tempoh 3 jam.

Tengahari, aku datang balik ambil kad pengenalan yang dah siap. Terus pergi pejabat pos Chabang Tiga perbaharui lesen memandu. Selesai masalah aku. Harapnya lepas ni aku tiada masalah urusan bank. Jadi aku boleh simpan duit lagi banyak. Hohohohoho.

Kalau kau ke UTC Kuala Terengganu, tiada masalah parkir. Dalam bangunan UTC tu ada parkir. Depan bangunan pun ada parkir.

Selain Jabatan Pendaftaran, ada juga pelbagai pejabat lain. Kau boleh tengok dalam senarai di bawah ni.



Tuesday, April 21, 2015

I-Deal Halal Mart Dungun

Bukan sahaja pejabat dan rumah kena housekeeping. Komputer pun kena house keeping juga. Aku, kalau ada apa-apa projek yang guna laptop ini, memang fail berterabur, bersepah. Kadang-kadang 2-3 minggu tak off laptop. Main tutup lid sahaja.

Owh, itu memang amalan yang tak bagus. Yang bagusnya, selepas apa-apa projek itu, aku akan housekeeping fail dalam laptop ini. Lalu, tidak tersengaja terjumpa gambar lama.


Ini gambar puasa tahun lepas. Gambar I-deal Halal Mart Dungun. Ingatkan nak tulis pada tahun lepas itu juga. Tapi, kealpaan melanda. Baru tahun ni nak tulis. Hohohohoho. Sekarang ni pun signboard kedai ni dah bertukar!

Ok, kedai ini terletak di lampu isyarat Pak Sabah. Kalau kau dari Gong Pasir, kau akan nampak kedai ini di depan kau masa berhenti di lampu isyarat. Tapi, kalau kau dari Bandar Dungun, kedai ini terletak sebelah kanan kau.

Kedai ini sederet dengan sebuah kedai basikal dan kaunter bas Sani Express. Memang senang sangat nak jumpa kedai ini.

Kedai ini bukan macam kedai runcit biasa. Ia unik. Ia menjual barangan runcit Muslim yang Insya Allah halal, baik dan bersih. Kalau kau nak memboikot barangan Yahudi secara intensif, boleh sahaja kau mencari produk alternatif di kedai ini. Juga, kalau kau taknak pergi Pok Eng Teng, Nirwana, atau Mydin, boleh sahaja kau pergi ke kedai ini. Barangnya cukup lengkap.

Ataupun kalau kau mencari barang seperti di Kedai Ajees, tapi malas nak ke Kuala Terengganu, boleh juga ke kedai ini. Kau boleh pilih pelbagai kurma dan makanan kering timur tengah. Bukan itu sahaja, rempah dan makanan dari timur tengah juga boleh didapati di sini.

Kalau kau kali pertama ke sini, aku syorkan kau jadi ahli dahulu. Boleh dapat sedikit diskaun pembelian. Hohohoho.

Info aku mungkin tak lengkap di sini. Kalau kau nak update terkini mengenai kedai ini, boleh LIKE fanpage I-deal Halal Mart Dungun. Maklumat produk baru, promosi dan sesi food test boleh diperolehi di page tersebut.

Ok, sebagai penutup, nah aku belanja gambar lama kedai ini. Hohohoho





Friday, December 19, 2014

Beli Kurma Kedai Ajees

Aku mula mengenenali Kedai Ajees ini apabila menceburkan diri dalam industri pembuatan tungku bayi (tak agak-agak tahap industri, hohohoho). Banyak bahan untuk membuat tungku bayi aku dapat dari kedai ini. Harganya memang jauh lebih murah kalau beli di pasar atau kedai biasa. Malah, sesetengah bahan memang tak boleh dapat di tempat lain.

Aku tak tahu berapa lama Kedai Ajees ini dah ada. Aku rasa dah lama. Sebab, bila aku tanya mak saudara Pn. Nurul, dia kata lama tu macam ada panjang sikit. (Laaaamaaaaaa doh keda tu)

Kalau nak cari makanan timur tengah, memang sini tempatnya. Madu, kurma, habatus sauda, kismis, buah tin, buah zaitun, minyak zaitun, cuka kurma, cuka epal dan pelbagai rempah ratus ada di sini. Kalau nak cari rempah yang "rare" macam halba dan serbuk kayu manis pun ada dijual.

Oleh kerana keunikan barang jualannya dan harganya yang murah, memang kedai ini akan penuh setiap hujung minggu. Kalau masa nak puasa atau raya, memang lagi ramai. Boleh berlaga bahu. Silap-silap boleh berlaga siku! Hohohoho

Kedai ini terletak di Pulau Kambing, Kuala Terengganu. Simpang masuk kedai ini terletak betul-betul berhadapan Shell Pulau Kambing dan LKIM Pulau Kambing. Jadi, apalagi? Bagi penuh lagi kedai ini!










Wednesday, July 02, 2014

Mozarella Cheese Dungun

Ini bukan blog masakan. Jauh sekali blog resepi. Aku tak pasti sama ada ada post mengenai resepi dalam blog ini. Aku tak ingat. Banyak sangat dah post. Hohoho.

Tiba-tiba, tempoh hari aku menerima satu komen.


Mula-mula aku termanggu juga. Tetapi tiba-tiba sekali lagi teringat kegemaran Pn. Nurul membuat pizza. Beliau ada guna cheese untuk lekatkan topping pizza. Tapi, aku tak tahu cheese jenis apa yang beliau pakai.

Sebelum ini, Pn. Nurul membeli cheese di Giant Kuala Terengganu. Tapi, harga dia memang kapak. Dia punya kapak, sampai bocor poket aku. Hohohoho. Ialah, dengan branding dan packaging yang mengancam, tentulah lebih mahal kosnya.

Kemudiannya, pernah sekali kami cuci mata di sebuah kedai kek. Terjumpa cheese yang dijual timbang. Ala, macam beli majerin timbang. Harga memang jauh murah dari pasaraya. Kalau pasaraya harga kapak, kat kedai ni harga pisau gillate sahaja. 

Kedai tersebut terletak di Taman Permint Dungun. Sebaris dengan kedai spare part Kong. Sederet juga dengan kedai komputer yang aku marah hari tu. 

Tapi, aku tak pasti mozarella cheese ada atau tak dijual di sini. Yang pastinya, Pn. Nurul pernah membeli cheese di sini. Malangnya, aku tak ingat apakah nama cheese itu. Hohohoho

p/s: Kalau tiada di sini, kau boleh cuba di sebuah kedai menjual barang mentah kek di bangunan Maidam Dungun. Belakang McD Dungun.

Friday, June 27, 2014

Borong Ikan di Kompleks LKIM Pulau Kambing

Rajin pula nak menulis masa nak puasa ni. Hohohoho

Kalau pulang ke Pulau Rusa, kadang-kala aku akan menemani isteri dan mak mertua aku ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pulau Kambing.

Kompleks ini lokasinya di muara Sungai Terengganu yang lebar. Kalau menaiki bot menyusuri muara Sungai Terengganu, ia kelihatan sejajaran dengan Pasar Besar Kedai Payang, Hotel Sri Malaysia, Jeti Polis Marin dan Hotel Felda.

Oleh itu, nelayan dari laut yang mewah di Terengganu boleh terus mendarat di kompleks ini. Kemudian ia terus diedarkan secara segar kepada pemborong dan pengguna.

Kalau pembeli runcit, harga yang ditawarkan aku kira tidaklah begitu murah. Hanya murah sedikit dari pasar yang biasa. Tapi, kau boleh dapat ikan yang betul-betul segar di sini. Mata bersinar, badan berkilat dan insang masih merah. Jika bernasib baik, kau boleh dapat ikan yang nyawa-nyawa ikan. Memang segar!

Tapi, dinasihatkan kau pergi awal jika bercadang ke sini. Seeloknya sesudah subuh, sebelum lalat terbang. Ini kerana, tempat letak kereta agak terhad di sini. Kalau kau pergi bermula jam 8.30 pagi, keadaan sudah sesak dan berserabut.






Owh ya, lupa nak bagitahu, sebelum keluar dari kompleks ini, kau akan dikenakan cukai sebanyak 50sen. Kalau kau pemborong ikan, mungkin cukainya tinggi sedikit. Tapi, tidaklah sampai beratus atau beribu ringgit. Mungkin hanya belasan ringgit.

Jadi, kalau nak dapatkan ikan segar, boleh ke sini!


Sunday, March 09, 2014

Jualan Penghabisan Stok Mizi Sport Kuala Terengganu

Misi asalnya untuk mencari glove untuk anak saudara aku. Katanya, beliau mewakili sekolah sebagai penjaga gol. Pihak sekolah tidak menyediakan glove. Lebih haru, di Bentong sukar untuk mencari kedai menjual goalkeeper glove untuk kanak-kanak 12 tahun.

Lalu, Sabtu lepas aku menjalankan misi mencari glove. Kedai pertama aku pergi, Mizi Sport. Berhampiran Kolej Komuniti Kuala Terengganu dan Stadium Sultan Ismail Nasirududdin Shah. Terpampang depan kedai "JUALAN PENGHABISAN STOK. POTONGAN 60%".

Pn. Nurul terus rambang mata. Aku, tenang-tenang sahaja. Hahahaha. Terus aku cari glove. Saiz 5. Malangya tiada. Yang ada hanya saiz 4. Itupun tinggal satu dan keadaannya tidaklah begitu baik.

Sekonyong-konyong aku nak meninggalkan kedai, penjaga kedai terus pancing aku. "Tengok-tengok dulu la bang barang lain. Murah ni. Potongan harga 60%. Pastu, beli 2 percuma 1!"

Aku terpengaruh. Terus ambil t-shirt 3 helai. Pn Nurul pun terpengaruh. Sambar selipar. Aku makin terpengaruh, sambar seluar jeans. Pn. Nurul tak mahu kalah, turut sambar seluar jeans dan beg!

Hohohohoho.

Sambil memilih, aku sempat berbual-bual dengan penjaga kedai. Katanya, kedai di Kuala Terengganu di tutup kerana ingin mengukuhkan bisnes di Lembah Kelang. Juga, katanya, jualan murah ini akan tamat hujung bulan ini.

Jangan lambat. Nanti tak dapat! Aku pergi tempoh hari pun banyak barang habis. Seluar jeans saiz 34-38 dah macam tak ada. T-shirt saiz M pun dah tak banyak.





Monday, February 17, 2014

Dari Atas Hotel YT Midtown Kuala Terengganu

Aku seorang yang gayat. Kecut perut kalau memandang sayup ke bawah. Tapi, pada masa yang sama aku suka akan pemandangan dari atas.

Jika menaiki Bukit Bauk, aku akan berehat sebentar di satu lokasi pertengahan puncak. Di lokasi tersebut, akan jelas kelihatan jalan raya mengelilingi Bukit Bauk. Kalau cuaca cerah, boleh nampak Kuala Dungun dari kejauhan.

Pernah juga aku menulis dengan tajuk "Dari Atas Pasar Payang" semasa membayar saman parkir dahulu. Pada masa itu, aku mengambil masa beberapa belas minit menikmati pemandangan.

Rezeki aku tempoh hari dapat berkursus di Hotel YT Midtown. Nama pun "midtown", hotel ini memang betul-betul terletek di tengah bandar. Dapat pula menginap di tingkat sembilan, jadi, aku dapat menikmati pemandangan atas yang menarik.






Saturday, February 08, 2014

Satar Kuala Kemaman

Kalau di Kuala Terengganu, barangkali keropok lekor menjadi makanan signature kepada daerah tersebut. Banyak kedapatan kedai menjual keropok lekor yang sedap. Antaranya di Losong, Bukit Tok Beng dan Sungai Rengas.

Manakala kalau di Kemaman, satar boleh dikatakan makanan signature. Dan, kedai menjual satar banyak kedapatan di Kuala Kemaman.

Dulu sekitar 2006, masa mula-mula ke merantau ke Terengganu, seingat aku harga satar 25 sen sebiji. Masa yang berkadar langsung dengan inflasi menyebabkan harga satar 25 sen kekal menjadi sejarah.

Lama juga sebenarnya aku tidak makan satar di Kuala Kemaman. Tempoh hari, dalam perjalanan dari Johor ke Dungun, aku berhenti rehat di Kuala Kemaman. Lalu, singgah di Warung Otak-Otak Che Wan. Mengikut pengetahuan aku, kedai ini antara kedai terawal menjual satar di Kuala Kemaman.


Selain satar, kedai ini turut menjual otak-otak dan keropok lekor. Juga, menjual pelbagai jenis sup dan mee kari.






Aku dan Pn. Nurul memilih untuk memesen pakej satar + otak-otak. Enam batang otak-otak dan enam biji satar. Harga set tersebut RM7. Satar diberitahu harganya 50 sen sebiji. Maka sudah tentu otak-otak berharga RM2 bagi setiap 3 batang.


Pada aku, harganya agak mahal. Tapi, rasa sedikit berbaloi kerana satarnya sangat mewah isi ikannya. Manakala otak-otaknya menggunakan ikan tenggiri.

Kami juga memesan keropok lekor goreng. RM2. Ini hasilnya.


Saiz keropok itu lebih kurang ibu jari aku. Ini bermakna aku boleh makan dua batang sekali suap! Hahaha. Ini memang tidak berbaloi. Harganya mahal. Keropoknya tak berapa sedap. Ini ditambah lagi dengan penggunaan minyak yang entah berapa puluh kali diguna semula.

Petang untuk kami membayar RM12 hanya untuk minum petang. Orang macam aku ni pun dah terasa mahalnya. Kalau orang yang gaji bawah RM2000 macam manalah agaknya ya. :-(

Wednesday, January 29, 2014

Desa Murni Batik Kini Di Dungun

Desa Murni, satu nama yang tak asing lagi dalam industri pembuatan batik di Malaysia, lebih spesifik di Terengganu. Boleh dikatakan semua wanita seawal usia baligh mengenali Desa Murni. Bermula di Kampung Pulau Rusa, Desa Murni kini berkembang dengan sekian banyak cawangan di Kuala Berang, Pengadang Baru, Gong Kapas, Batu Enam dan yang terbaru di Dungun. Itu belum lagi dikira cawangannya di luar Terengganu seperti di Kuala Lumpur dan Ipoh.

Desa Murni terkenal dengan pembuatan batik digital. Apa itu batik digital? Ia semacam printer yang besar. Khas untuk print kain batik. Tapi, dengan corak yang eksklusif dan pereka batik yang ramai, Desa Murni mampu menghasilkan batik pada skala besar.

Aku kerap menemani Puan Nurul ke Desa Murni. Samada di Pengadang Baru atau Batu Enam. Dan, pernah juga aku membeli kemeja batik yang murah di Desa Murni. Kenapa aku beli batik murah? Satu, kerana aku bukan orang kaya. Dua, badan aku gatal-gatal kalau pakai batik mahal yang licin kainnya itu. Namun, yang satu "overshadow" yang dua. Hahahaha

Semalam, aku sempat ke Desa Murni Dungun yang baru di buka 2 minggu lepas. Semalam baru aku ada kesempatan walaupun kerap di ajak oleh Puan Nurul. Pada hari pembukaannya dua minggu lepas, ada dijual beberapa barang dengan harga 5 sen!






Desa Murni ini umumnya terbahagi kepada dua kedai berasingan. Kedai pertama khusus menjual produk batik dari kilang Desa Murni. Manakala kedai kedua lebih rencam. Ada dijual bantal, kain ela, tudung singa, karpet, tikar dan pakaian siap. Turut dijual basikal kahwin dua dan kahwin tiga.






Dan, seperti mana Desa Murni yang lainnya, 95% pelanggan adalah wanita. 5% bakinya adalah terdiri dari budak lelaki bawah umur atau lelaki dewasa yang muka kelihatan bosan. Hohohoho.

Apa-apa pun, aku sempat sambar sehelai lagi baju batik murah di Desa Murni Dungun.