Showing posts with label psmza. Show all posts
Showing posts with label psmza. Show all posts

Thursday, January 05, 2017

Ini adalah strategi bagi yang malas untuk menanda kertas.

Aku bukanlah jenis pensyarah yang rajin menanda assignment. Pada aku, menanda assignment adalah perkara paling menjemukan dalam kerjaya aku. Tambah lagi jemu, jawapan assignment sama sahaja satu kelas. Aduh, punyalah bosan nak menghadap 40 jawapan yang sama. Itulah penyebab aku malas menanda assignment.

Tapi, sebenarnya orang malas ni bijak. Ada orang malas nak sabit rumput, maka terhasilah mesin rumput. Ada yang malas nak panjat pokok kelapa, maka dilatihnya beruk untuk memanjat.

Oleh kerana kemalasan aku menanda assignment, maka aku gantikan dengan mini projek.  Mini projek (assignment) ini adalah untuk bab pam air. 
Aku suruh pelajar aku buat pam yang menggunakan tenaga manusia. Human powered water pump.

Mula-mula merungut juga bebudak ni. Pada fikiran mereka aku sudah gila isim. Suruh buat pam. Lepas tu mesti kena buat report. Dengan tenang aku bagitau "Korang buat je pam, report tak payah buat. Pam siapa paling cepat sedut air boleh dapat markah paling banyak".

Bukan main seronok bebudak ni. Aku bagi tempoh seminggu untuk buat. Supaya pam yang dihasilkan berkualiti, aku tambah beberapa kriteria pemarkahan. Antaranya esthetic, usability dan efficiency. Harapnya nanti bila mereka ini berada di industri dan masyarakat, tidaklah mereka buat sesuatu asal buat. Biar apa yang dibuat itu berkualiti untuk kegunaan industri mahupun masyarakat.

Pada hari pengujian, macam-macam jenis pam bebudak ni buat. Ada jenis plunger, reciprocate dan siphon. Masa pam diorang diuji, sempat la juga aku beritahu jenis pam yang mereka buat. Jadi, mereka akan faham secara praktikalnya prinsip operasi sesuatu pam. Tidak hanya melalui lakaran pada buku mahupun animasi video.


Selain itu, secara jujur, kalau ada pam yang macam gampang, aku bagitahu juga sebab apa pam itu jadi gampang. Memang mereka diketawakan oleh rakan-rakan yang lain. Tapi, aku beritahu, persetankan dengan orang yang mengetawakan orang lain, sebab dengan kegampangan pam korang, mereka yang mengetawakan dan yang ditertawakan juga mendapat ilmu yang baharu. Ilmu yang jarang ada dalam buku. Dan, kehidupan juga begitu, akan ramai yang mengetawakan kita masa kita jatuh.

Mungkin ada yang kata kaedah aku ini tak mengikut silibus. Tapi, pada aku, kita harus sentiasa bergerak dan berinovatif. Sebelas tahun dulu pensyarah suruh aku buat assignment atas kertas. Tak kan lah sebelas tahun akan datang aku kena buat perkara yang sama? Kereta sebelas tahun lepas dengan kereta sekarang banyak juga bezanya. Oleh itu kaedah pengajaran aku juga harus berubah.

Kerana pada aku, pendidikan bukan untuk menghasil pelajar yang dapat banyak A. Pendidikan seharusnya memberikan pengetahuan dan pengalaman.







Saturday, December 31, 2016

Alat Memasang Wallpaper Untuk Dijual

Ini projek pelajar yang aku selia semester ini. Ini merupakan kumpulan yang keempat mendapat A sepanjang aku mengajar dan menyelia projek akhir pelajar diploma sepanjang 10 tahun.

Keempat-empat kumpulan ini mempunyai ciri dan karekter yang hampir sama.

1- Mereka ini asalnya pelajar yang sederhana di sekolah. Malah, ada antara mereka tidak pernah mendapat A dari darjah 1 sampai tingkatan 5 di sekolah.

2- Kebanyakkan ibu bapa mereka adalah orang biasa. Tergolong dalam M40 atau B40. Tetapi, keluarga mereka akan sokong apa yang mereka buat.

3- Kesemua mereka ini kreatif, walaupun ada mereka tidak begitu pintar dan sedikit malas. Namun, kerana mereka ini kreatif, sering sahaja mereka cuba untuk menyelesaikan masalah dengan cara yang paling mudah, cepat dan murah. Walaupun kadang-kadang hasilnya macam haram.

4- Mereka ini berdikari. Banyak keputusan mereka akan buat sendiri. Cuma, mereka akan rujuk aku untuk minta pandangan.

5- Setiap ahli dalam kumpulan akan ada kebolehan masing-masing. Ada yang boleh bagi idea, tapi haram tak pandai nak buat. Ada yang pandai bertukang, tapi haram tak pandai buat laporan. Ada yang tak tahu apa-apa, tapi bila bercakap dah macam Sukarno.
Mereka akan melengkapi satu sama lain.

6- Mereka ini senang nak diajar. Bagitahu sikit sahaja terus tahu apa yang perlu dilakukan.

7- Mereka ini akan cuba buat yang terbaik.

Yang nombor 7 tu sebenarnya buat aku risau. Mereka ini akan buat yang terbaik dan sudah tentu mengharapkan keputusan yang terbaik.

Aku risau, bila mereka buat yang terbaik, tapi hasilnya menghampakan. Aku khuatir mereka akan kecewa. Aku khuatir mereka berputus asa dan menyalahkan orang lain.

Jadi, dalam pada mereka bersungguh-sungguh untuk mencapai hasil yang terbaik, sering aku ingatkan mereka untuk menjangkakan yang terburuk.

Contohnya macam kumpulan ini. Mulanya, semasa buat projek ini mereka mensasarkan tidak hanya dapat A, tapi untuk menang pertandingan projek akhir dan mendapat geran RM5000 dalam pertandingan @myinovasikpt.

Malangnya, mereka tidak memenangi dan gagal mendapat geran itu. Tapi, barangkali sentiasa mereka diingatkan untuk jangkakan yang terburuk, mereka jadi redha.

Itulah kehidupan. Kita rancang bukan main baik. Kita buat dengan bersungguh-sungguh. Tapi sebenarnya bukan kita yang menentukan hasilnya. Sebab dunia ini Yang Esa punya.

Keseronokan bukan pada hasil. Tapi pada prosesnya. Proses itu yang memberi keseronokan, pengajaran dan pelajaran. Hasil yang baik hanyalah bonusnya.

Sebab, jadi pendidik bukan untuk menghasil pelajar yang dapat banyak A, tetapi perlu memberitahu dan mengajar tentang kehidupan.

p/s: Projek ini untuk dijual dan dikomersilkan. Kalau kau berminat, kau cari budak projek aku ni. Nombor telefon mereka ada dalam video youtube tu.