Sunday, December 31, 2017

Kebahagian Tak Mermelukan Duit

Sering lalu dalam newsfeed aku kisah-kisah orang berjaya. Punya pendapatan beribu ringgit sehari. Punya pengikut beribu orang. Dan pendapat mereka di dengar.

Lalu, banyak kisah bagaimana hendak jadi seperti mereka. Kaya, berpengaruh. Ramai yang cuba mengikut. Cuba jadi kaya, berpengaruh. Kerana kelihatan kaya dan berpengaruh itu bahagia.

Entah macam mana aku kenal seorang pemuda. Kerja kampung. Kerja rencam. Ada kerja, ada duit. Beliau pernah berkelana keluar dari Terengganu. Kerja kilang. Tapi, tidak lama. Terkongkong kerja kilang katanya.

Kalau dilihat mata kasar, beliau kelihatan sedang melalui hidup yang sukar. Tiada kerja tetap. Tiada kenderaan 4 roda. Rumah usang.

Tapi, beliau gembira. Gayanya gembira. Lucu dan suka berjenaka. Aku tak pernah lihat orang yang begitu ikhlas senyumannya, ketawanya.

Barangkali jiwanya bebas. Tidak terkongkong. Beliau tidak peduli apa dikatakan orang. Beliau betul-betul gembira. Tidak bermuka-muka.

Ini sebenar-benarnya bebas.

Tak guna rumah sebesar istana tetapi tidak tenang jiwa.

Apa pendapat korang?

Saturday, December 30, 2017

Beli Barang Terus Dari United Kingdom

Beliau antara kawan aku yang hebat. Tinggal di negara penjajah, dapat bini yang cerdik, anak-anak yang comel dan kehebatannya bermain catur menggerunkan mat saleh.

Selain itu, beliau sedang berjinak-jinak dalam perniagaan import eksport. Dengarnya beliau import eksport periuk, beg tangan dan kasut original dari UK. Aku yang marhaen ini beli periuk di Tesco, beg bundle dan kasut bata sahaja.

Dengarnya barang yang dijual original dan murah dari Malaysia. Entahlah. Aku mana tahu harga barang-barang itu. Kalau harga Kerepek Rangup aku tahulah.

Jadi, kalau kau nak beli barang original dan sedap dipakai, follow kawan aku ini, Faizrazali YangLain

Jangan lupa sebut nama aku 3 kali. Mana tahu boleh dapat diskaun.
Ingat! 3 kali tau! Sebut!











Friday, December 29, 2017

Kenangan Hari Ini Untuk 50 Tahun Akan Datang

Semalam, hari khamis. Tiga hari sebelum raya aku buat kelas macam biasa.

Sejak minggu lepas pelajar merengek minta aku batalkan kelas. Nak balik raya katanya. Aku berkeras tetap mahu kelas berjalan seperti biasa. Pelajar kelihatan pasrah.

Aku katakan pada mereka. 
"Memang sekarang awak rasa tak seronok sebab kena pergi satu-satunya kelas tiga hari sebelum raya. Tapi, 50 tahun akan datang, awak ada kenangan yang boleh awak cerita pada cucu awak"

Namun, aku tetap jangka ramai yang akan ponteng kelas.

Jangkaan aku meleset, 26 orang dari 29 pelajar hadir. Asalnya 25 orang hadir. Setelah lebih satu jam kelas berjalan, seorang lagi hadir.

Beliau lewat kerana kereta wira "turbo" beliau rosak 1km sebelum tiba di politeknik. Beliau sangkakan kerosakan biasa. Cuba baiki tapi gagal. Kerosakan luar biasa barangkali.

Terus beliau tinggalkan kereta dan berjalan kaki ke kelas. Beliau kelihatan berpeluh dan muka sedikit merah apabila tiba di kelas. Kawan-kawan sekelas tidak sangka beliau akan hadir juga ke kelas. Beliau tidak sebegitu selalunya.

Barangkali beliau hendak ceritakan suatu kenangan kepada cucu beliau 50 tahun akan datang.

Thursday, December 28, 2017

Mee Udang Sungai Sibol

Dulu-dulu, kerap aku tulis pasal kedai makan. Mana kedai yang sedap, aku review, tulis sedap. Mana yang tak sedap, aku menyumpah dalam hati dan tabahkan hati habiskan makanan itu.

Bulan lepas, adik aku tag aku dan bini aku serta adik beradik yang lain satu post facebook pasal kedai makan mee udang kampung sebelah. Aku tak ambil perhatian sangat. Ialah, aku di Dungun waktu itu.

Petang tadi, entah mana mana bini aku teringat pasal post itu. Tiba-tiba. Terus beliau google, cari lokasinya. Berpandukan google maps, kami cuba cari. Malang. Tak jumpa.

Empat lima kali kami berpusing di tempat yang sama. Sampai terasa dejavu. Kadang-kadang google maps tak guna juga.

Cuba pakai waze. Tak guna juga. Tak guna kuasa dua.

Kami kecewa, tapi tak berputus asa. Entah macam mana bini aku dapat nombor telefon tauke kedai. Terus ditelefonnya tauke kedai. Kak Zai namanya. Dia minta kami tunggu di tepi jalan. Pekerja beliau akan datang dan menunjuk jalan.

Ini luar biasa punya layanan.

Sampai kedai, aku order mee bandung udang. Bini aku order nasi goreng udang.

Aku bungkuskan sekali mee bandung udang 5 bungkus untuk mak bapak dan adik-adik di rumah.

Udang 4 ekor dia bagi untuk satu hidangan. Sederhana besar. Tapi cukup aku katakan bahawa aku perlu mengais udang untuk menikmati mee. Meenya di celah-celah udang.

Rasa mee bandung dan nasi gorengnya sangat asli. Tak rasa macam kedai tomyam.

Harga mee bandung udang hanya RM10.50 dan RM9.50 bagi nasi goreng udang. Harga marhaen, kualiti 5 bintang!

----
Kalau kau nak ke sini kau waze Felda Sungai Sibol, Kulai, Johor. Bila sampai, kau waze Jalan Melati.
Jalan Melati ini panjang. Kedai ini terletak betul-betul depan papan tanda Perumahan Generasi Kedua.
Kalau kau dari jauh, elok kau telifon dulu tauke kedai. Tanya buka atau tidak. 0127881417 Kak Zai.
---

Jangan lupa sebut nama aku 3 kali bila sampai kedai itu. Kah kah kah.




Wednesday, December 27, 2017

RnR Perasing Ada Hantu?

Orang kata, RnR Perasing ini tak ramai orang, sunyi.
Orang kata, RnR Perasing ini jauh dari jalan besar.
Orang kata, RnR Perasing ini berhantu.
Orang kata, RnR Perasing makanan dan minumannya tak sedap.
====

Jangan dengar sangat apa orang kata.

Aku kata RnR Perasing ini tenang, tak ramai orang, tak serabut. Aku dengan tenang boleh solat dan kencing.

Aku kata RnR Perasing bukan jauh sangat dari jalan besar. Aku naik kereta, bukan jalan kaki.

Aku kata RnR Perasing tak berhantu. Yang hantu tu kau. Banyak setan dalam badan.

Aku kata RnR Perasing ini ada satu kedai yang sedap bancuhan air nescafenya. Rasa macam lori nescafe. Pekat. Tak kedekut susu dan nescafe.

Lepas ini kau harus berhenti di RnR Perasing, singgah di gerai A9 dan nikmati segelas nescafe yang sedap ya ampun.


Tuesday, December 26, 2017

Mesin CNC Laser Cut Melaka

Kawan aku sorang ni dulu masa belajar dulu bengap. Aku ingatkan aku paling bengap, tapi rupanya ada lagi bengap.

Tapi kalau cerita pasal bisnes, pasal teknologi CNC, beliau memang tahap genius. Otak geliga. Kalau beliau meninggal dunia, mesti Yahudi nak kaji otak beliau.

Kalau kau ada apa-apa barang dari kayu atau logam yang nak potong dalam 2D, hubungi beliau.

Kerja beliau memang terbukti. Kalau kau nak tahu, 90% cenderahati yang dibuat dari kayu yang dijual di Melaka, beliau yang buat. Cenderahati beliau dah menjajah hampir seluruh Melaka, sama tahap macam Portugis.

Jangan lupa sebut nama aku 3 kali kalau nak berurusan dengan beliau.

Ini mesin dia ha.



Ini produk yang dibuat. Handal bukan main!







Nah. Ini nombor telefon tauke. Tak main la letak nombor kuli.  0113-233 8441 (Rizam)

Monday, December 25, 2017

Belajar Loji Kuasa Diesel Sambil Pegang Perut

Aku telah membangunkan satu Massive Online Open Course (MOOC) dengan menggunakan platform openlearning.com.

Aku buat MOOC cerita pasal Diesel Power Plant.

Maknanya, kalau kau nak belajar pasal Diesel Power Plant, kau boleh terus join MOOC yang aku buat ini. Tak perlu susah-susah nak pergi kursus. Sambil berlenggeng dan pekena John pun kau boleh belajar.

Benda ni percuma. Ya, percuma kawan. Nak masuk tandas awam yang majlis bandaran punya pun kena bayar 50 sen sekarang ini.

Tapi, biasalah, barang percuma ini orang tak pandang. Itu sebab MOOC yang aku buat ini, setakat ini hanya ada 34 orang pelajar sahaja. Itu pun 28 orang daripadanya adalah pelajar kelas yang aku ajar. Aku paksa mereka masuk. Empat orang yang lain pula adalah kawan-kawan aku yang sama-sama membangunkan MOOC ini. Seorang lagi adalah orang HQ yang menilai MOOC tersebut.

Jadi, sebetulnya hanya ada seorang pelajar sahaja. Kesian aku...

Nampaknya aku kena buat MOOC ini berbayar. Nak masuk kena bayar, nak sijil kena tambah bayaran. Baru nampak gah dan handal MOOC aku ini. Orang kita ni hanya anggap ilmu berbayar itu sebenar-benar "ilmu".

Jadi, elok kau masuk MOOC ini segera sebelum aku kenakan bayaran.

Semasa dan selepas kau join MOOC tu jangan lupa kutuk jika ada kelemahan. Cuba cari celah mana kau nak kutuk dan hina MOOC aku ni. Aku akan cuba perbaiki.

Yang elok, kau tak payah puji, simpan dalam hati dan doakan aku ke syurga.
Kau boleh join MOOC tersebut di pautan berikut
https://www.openlearning.com/…/reciprocating-engin…/HomePage


Sunday, December 24, 2017

Kole Kacang Pasar Minggu Sura Gate Dungun

Aku dan Pn. Nurul banyak ketidaksamaan. Antaranya, aku kurang gemar ke pasar dan tempat ramainya orang. Tetapi, beliau sebaliknya. Beliau suka ke pasar walau sekadar melihat keriuhannya.

Oleh itu, sebagai jalan tengah, kami hanya sekali-sekala ke pasar. Barangkali sebulan pada kadar sekali hingga 3 kali.

Namun, telah 2 minggu berturut-turut aku ke pasar malam hari khamis di Sura Gate, Dungun. Pasar malam ini, boleh dikatakan yang terbesar di Dungun.

Setelah sekian lama di Dungun, dan mengunjungi pasar malam itu dua minggu berturut-turut, baru aku perasan sebenarnya ia unik, terutamanya bahagian makanan dan minuman.

Banyak pilihan makanan yang arus perdana seperti kebab, sate dan apam balik. Ada juga pilihan makanan orang lama seperti bekang, kole kacang dan lepat ubi.

Aku penggemar kole kacang.


Masalahnya, ramai penjual yang menjual kole kacang. Tak tahu mana yang sedap. Pada aku, kole kacang yang sedap perlu tidak terlalu manis, mewah rasa kacang, warnanya gelap, tidak keras dan tidak lembik.

Ya, boleh sahaja kami beli sebiji kole kacang di semua reruai yang ada. Tapi, banyak-banyak nanti siapa yang nak makan? Membazir. Membazir kan amalan setan.

Lalu, aku teringat pesan abang ipar aku.
"Kalau makcik tua yang masak, mesti sedap".

Lalu kami terus ke reruai yang diurus sepasang suami isteri yang sebaya dengan mak bapak aku.
Kami beli kole kacang 2 biji. Seringgit.

Rasanya sedap dan cemerlang. Kole kacang sejati.

Teori makcik tua masak sedap jarang mengecewakan aku.