Dulu, masa aku sekolah rendah, pernah terlihat orang membawa telefon bimbit. Tapi, bukan macam sekarang, bentuk dia macam briefcase. Kiranya macam telefon awam bergerak.
Lama kemudian, di akhir-akhir persekolahan wajib aku, terlihat orang membawa telefon bimbit. Tapi, bukan macam sekarang. Ia agak besar. Cuma kecil sedikit dari botol air 1.5L. Kiranya, masa itu jika kau ada telefon bimbit sebegitu, kau dikira orang kaya dan berkemampuan. Sepengetahuan aku, telefon bimbit botol air itu tidak mempunyai sim kad. Kiranya sim kadnya terus terbina dalam telefon tersebut.
Tapi, dalam memori aku, paling segar mengenai telefon bimbit adalah tatkala aku di tahun awal ketika menuntut di Parit Raja. Antara telco yang terkemuka pada masa itu adalah Maxis (012), Celcom (019), TM Touch (013), Adam (017). Paling kelakar bilamana rakan-rakan yang menggunakan talian Adam. Tak boleh guna di Parit Raja. Sebabnya, Adam membina pencawang di sepanjang lebuhraya PLUS. Memandangkan Parit Raja agak jauh juga dari lebuhraya, memang takde la line Adam. Hahahahaha.
Telefon paling terkemuka pada zaman itu adalah Nokia. Nokia popular masa tu sebab ia merupakan telefon bimbit yang pertama yang tiada arial. Hahahahaha. Telefon lain semua ada arial. Ada sesetengah telefon yang mana kau perlu menarik arialnya supaya lebih panjang tatkala menerima atau membuat panggilan.
Juga, starter pack tidak semurah sekarang. Kalau kau jumpa starter pack yang harganya RM100, itu sudah cukup murah. Kemudian, nilai topup minimum yang di jual adalah RM50. Topup bukan satu jenis je, ada dua jenis topup yang kau kena pastikan ia memenuhi syarat.
1- Topup untuk "line". Tak ingat berapa. Aku rasa dalam RM50 sebulan. Kalau beli enam bulan sekaligus, hanya RM230.
2- Topup untuk call/sms. Takde had limit masa. Tapi, zaman tu kalau call RM0.60 seminit dan sms 30sen, kira ok la tu.
Aku bukan seorang yang mengejar sangat kecanggihan telefon. Telefon pertama aku adalah Siemens C30, harganya separuh dari Nokia 3310 yang tersohor pada waktu itu.
Telefon bimbit aku yang kedua dan ketiga aku guna sepanjang tahun-tahun akhir sarjana muda dan sepanjang pengajian sarjana aku. Juga tetap digunakan pada tahun awal aku mengajar di Dungun. Nokia 3310/3315. Masa tu orang sibuk cerita pasal telefon Nokia daun, Nokia sabun dan macam-macam nokia yang canggih.
Telefon bimbit aku yang keempat, Nokia juga. Aku tak ingat jenis apa, tapi, skrinnya hitam putih. Memandangkan aku menggunakan 2 nombor pada masa itu, aku memutuskan untuk membeli satu lagi telefon bimbit Nokia yang skrin berwarna dan ada kamera! Hahahaha. Kamera tahap vga je. Orang lain sibuk bertanya kepada yang lain "Kamera henpon kau berapa mega pixel?"
Tiga tahun lepas, aku membeli telefon yang aku gunakan sekarang, setelah telefon nokia berwarna itu rosak dan telefon nokia hitam putih tu aku bagi pada orang lain. Telefon terkini aku dari tiga tahun lepas adalah Sony Ericcson T280i. Aku beli RM350. Ada kamera. Skrin berwarna. Sound true tone. Tapi, tiada wifi. Hahahahaha
Memang puas hati pakai telefon ni. Jumlah panggilan hampir 179 jam!!! Itu lebih kurang 7 setengah hari bercakap.
Tatkala orang memperkatakan tentang iPhone5 (akan keluar ke), iPad, Samsung Galaxy Note, Blackberry (Blueberry pun ada), Android, Symbian, Windows Phone OS dan macam-macam lagi, aku masih setia dengan telefon ni. Aku tak pasti bila aku akan tukar telefon. Yang pasti aku cukup berpuas hati jika telefon aku boleh call dan sms sahaja.....