Pages

Friday, February 03, 2012

Jagung Merchang

Sebetulnya, aku tak pasti kawasan sebenar tempat ini berada. Yang aku pasti, ia berada di jalan pantai Dungun-Kuala Terengganu, selepas Rantau Abang dan Jambu Bongkok kalau kau dari Dungun.

Pada kawasan ini, ada lebih 40 gerai yang menjual jagung sebagai komoditi utama. Mula-mula aku membeli jagung di sini pada harga RM1 bagi sebiji jagung. Kini harganya lebih kurang 6 atau 7 biji jagung bagi setiap RM10.



Kebanyakan jagung di sini dijual mentah atau direbus. Akan tetapi, ada beberapa gerai yang menjual jagung bakar pada kadar RM2.50 sebiji.



Selain jagung, kebanyakan gerai juga menjual kacang tanah; secara mentah atau yang siap direbus. Tidak ketinggalan, turut dijual produk lain di beberapa gerai di sini. Antaranya madu, jelly kelapa, air minuman, nira kelapa dan aneka kerepek/keropok.




Sebelum kahwin dulu, amat jarang aku membeli jagung. Tidak hairan kerana aku bukan penggemar jagung sejati. Tapi, memandangkan jagung merupakan makanan ruji Pn. Nurul yang ketiga selepas nasi dan keropok lekor, boleh dikatakan setiap bulan beliau akan membeli jagung.



Akan tetapi, terkadang, ada sesetengah gerai yang menjual jagung yang kurang kualiti. Barangkali kurang manis, kurang masak, terlalu tua atau sudah rongak. Juga, kalau membeli kacang tanah rebus, terkadang ia sedikit berbau. Aku syak bau itu terbit dari pencucuian kacang tanah yang tidak sempurna. Atau kalau yang lebih keji, kacang itu tidak dibasuh!

Tapi, kalau kau masih kepingin jagung dan kacang tanah yang sedap, aku cadangkan kau singgah di gerai yang betul-betul berhadapan dengan stesen minyak Shell. Layanannya bagus dan boleh tawar menawar. Juga, kualitinya amat jarang mengecewakan.

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin