Showing posts with label kem majidee. Show all posts
Showing posts with label kem majidee. Show all posts

Sunday, June 21, 2009

Mohd Sani Yang Gagah Berani Serta Kacak

Hari ini hari bapa. Selamat hari bapa kepada Abah, Mohd Sani Supar. Semoga Abah semakin gagah berani, kacak dan murah rezeki. Semoga juga Abah panjang umur.

Walaupun aku tahu bapak aku tidak membaca blog ini, aku berterima kasih kepada bapak aku kerana beliau secara tidak langsung membolehkan aku menulis di blog. Semasa kecik, aku sedikit terkebelakang dalam aspek pembelajaran. Atau, dalam bahasa yang "gelap" aku boleh dikatakan sebagai seorang budak yang lembap, bongok, mundur dan tiada masa depan. Huhuhuhuhuhu. Menginjak ke darjah dua aku masih lagi tergagap-gagap tatkala membaca dan tidak mampu menulis dengan baik. Aku sukar membezakan huruf m dengan n, p dengan q, b dengan d. Juga, aku sukar membezakan bunyi huruf e, antara ei dengan ea.

Oleh kerana kelemahan aku itu, bapak aku sering mendorong aku untuk mahir membaca dan menulis. Kebetulan pada waktu itu, bapak aku bertugas menguruskan perpustakkan tentera di Kem Majidee, Johor. Maka, setiap hari bapak aku akan membawa buku dari perpustakaan itu untuk aku baca. Atau, bapak aku sering membeli buku-buku siri penyiasatan kanak-kanak seperti Nancy Drew dan Hardy Boys yang dialih bahasa; hanya Rm1.90 sebuah. Juga, setiap sabtu dan cuti sekolah, bapak aku akan membawa aku ke perpustakaan tentera itu untuk membaca dengan selesa. Tidak ketinggalan bapak aku membeli majalah Bintang Kecil (berbentuk akhbar tabloid pada waktu itu) saban minggu. Dan, bapak aku menggalakkan aku menyertai pertandingan menulis dan menjawab teka silang kata yang terdapat dalam majalah itu.

Kesungguhan dan kegarangan bapak aku menjadikan aku mampu membaca dengan lancar apabila menginjak ke darjah tiga, seterusnya menjadikan aku ketagih membaca hingga kini.

Terima kasih juga pada bapak aku kerana menjadikan aku seperti sekarang. Aku tahu bapak aku bangga dengan pencapaian aku sekarang, walaupun beliau tidak menyebut "Abah bangga dengan kau Zam"

Semasa dalam perkhidmatan tentera, bapak aku pernah juga bertugas di Kor Jurutera. Bukan sebagai jurutera tentera, tetapi hanya sebagai pencacai sahaja. Tapi, dengan dengan didikan beliau, aku layak menjadi jurutera dan kini mendidik puluhan bakal jurutera setahun.

Kalau nak tulis pasal bapak aku, mahu terjilid sebuah buku. Huhuhuhuhuhu. Terlalu banyak kenangan terhadap bapak aku yang segar malar dalam otak aku. Kenangan itu yang membuatkan sifat, ketrampilan dan cara aku berfikir tak banyak beza dengan bapak aku.

p/s: Aku terasa sebak juga menulis post ini, tapi tidaklah sampai mengalirkan air mata...