Friday, November 15, 2019

Ke Utara Bahagian 12: Nat Pokok Getah

Pagi itu kami bermalas-malasan. Penat semalam masih tersisa. Lepas subuh kami tidur balik. Bukan selalu. Sekali-sekala.

Jam 9 pagi kami turun untuk sarapan di hotel. Boleh tahan sedap. Biasa makan makanan selatan dan pantai timur. Bila sesekali makan makanan utara, seleranya lain macam.

Lepas bersarapan, kami ke Nat Pokok Getah.

Nat, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pasar harian atau pekan sari. Asal kata nat adalah dari bahasa siam.

Oleh itu, Nat Pokok Getah bermaksud pasar harian di kawasan pokok getah. Ia, pasar ini memang terletak di celah-celah pokok getah. Kalau kau dari Arau, masuk ke simpang menuju Ulu Pauh. Nat Pokok Getah betul-betul berada di tepi jalan.

Nat Pokok Getah yang sebenar adalah hari Ahad. Tapi, hari ini hari Jumaat. Mengikut sumber khalayak (croudsourcing) atas talian, ramai warga net berpendapat buang masa ke Nat Pokok Getah pada hari Jumaat. Tak ramai peniaga berjualan pada hari Jumaat.

Kami degil. Sebab alang kepalang dah sampai Perlis, kena pergi juga ke sini. Mungkin sekadar lalu atau kenal tempat sahaja.

Bila sampai, kami agak gamam. Keadaan pasar agak sibuk. Sedikit sesak. Sebab jalan raya membelah pasar ini. Kalau hari Ahad, barangkali tak bergerak kereta.

Kami ronda pasar. Dua kali. Barang murah ya ampun. Tudung di Wakaf Che Yeh RM15. Tudung yang sama di Nat Pokok Getah, RM10 tanpa tawar.

Entah tudung jenis apa aku tak tahu. Aku lebih hafal rumus Teorem Bernoulli dan Persamaan Tenaga Aliran Mantap dari hafal jenis tudung.

Kami beli juga pencungkil mata nenas. RM 3 untuk 3 bilah. Yang ni mahal sikit. Dalam Shopee RM2 sebilah. Gila. Entah berapa harga kilangnya. 20sen kot.

Kami juga beli beberapa kuih. Nak rasa kuih orang Perlis buat. Tapi sayang tak ingat dah beli kuih apa. Ialah, 3-4 bulan lepas punya cerita.

Memandangkan petang ini kami hendak ke rumah pakcik aku (adik abah aku yang nombor 9), kami juga beli limau madu RM16 dua kilo.

Sedang asyik meronda, kami jumpa akak yang jual beg bundle lepas kami makan durian semalam. Fuh, dejavu. Kah kah kah. Aku syak, seluruh negeri Perlis, beliau sorang jual beg bundle.

Tapi, sebenarnya gigih akak tu. Semalam entah pukul berapa dia balik. Hari ini, pagi-pagi lagi dah meniaga.

Dalam perjalanan pulang, Pn. Nurul sambar pokok bayam Brazil, RM5 sepasu. Dia kata nak semai balik tanam kat dapur rumah. Tapi tak sampai sebulan, pokoknya mati. Tapi, sebab sayang bini, bulan lepas aku semai pokok bayam Brazil yang lain. La ni ada 7 pasu. Makan tak habis.

Tapi, kesimpulannya, barang di pasar ini memang murah. Pelam chokanan 3 kilo RM10. Nanti episod-episod akan datang aku akan bagi tau harga pelam chokanan di Pulau Pinang dan Ipoh.
---

Aku ada rakam video seminit Nat Pokok Getah. Jemput tengok.


Terima kasih yang dah subscribe chanel Youtube aku. Dah ada 100 subscriber. Bolehlah.
---
Kalau kau baca post ini sampai perenggan terakhir ini, belanja like sekali. Aku nak tengok berapa ramai yang baca post aku kali ni. 
---
Perlis aku jangka akan ada 3 siri lagi. Kau tunggu!

Thursday, November 14, 2019

Ke Utara Bahagian 11: Durian Balik Pulau di Perlis

Terima kasih Sury Ramle. Beliau bagi idea supaya aku bagi nombor setiap post. Jadi, hari ini bahagian ke 11 percutian 5 hari aku dan Pn. Nurul ke utara.

Mungkin lepas ni aku akan kumpulkan siri ini dalam Wattpad. Wattpad versi bahasa Melayu dah merepek. Banyak sangat kisah cinta dan softporn. Harap tulisan aku ini akan dapat sedikit sebanyak mengimbangi dan menghancurkan unsur-unsur negatif di Wattpad.
----

Sambung.
---

Semasa melepak di Hannah's Cookies, aku asyik tengok-tengok dua kedai bundle di sebelahnya. Kedai pertama, Bundle Mega Bagus. Kedainya besar. Macam gudang, gitu. Kedai kedua, Terompah Viintage. Fokus kedai ni jual kasut. Ada juga serba sedikit koleksi baju dan seluar bundle yang langka.

Dari dulu, aku memang peminat bundle. Tapi, bukanlah peminat tegar.

Lepas lepak, kami ke Terompah Vintage. Aku dan Pn. Nurul sahaja yang masuk. Sarom tunggu di luar. Dia dah bosan agaknya pergi kedai tersebut. Masuk Terompah Vintage jadi rambang mata! Sangat banyak koleksi kasut. Kasut jalan, kasut kulit, kasut sukan, safety shoe semua ada.

Bagi peminat bundle, jika singgah Perlis, kedai ini wajib pergi. Sekali imbas tak macam bundle, lebih kepada butik. Boleh cari kedai ini di Google Maps.

Memikirkan safety shoes aku yang sedia ada dah bocor tapaknya dan dah tak selamat, aku memutuskan untuk cari sepasang. Harganya hanya RM50 sahaja. Tidaklah jenama terkenal. Tapi kondisinya sangat baik.

Jam menunjukkan jam 12.30 malam. Kami memutuskan untuk balik sahaja. Malas pula nak ke Bundle Mega Bagus yang bersebelahan.

Kami terus hantar Sarom ke kedai beliau. Kemudian , kami bercadang untuk bersiar-siar lagi di Kangar atau Arau. Ialah, Perlis ni tak lah berapa besar. Kangar dan Arau sebelah menyebelah je.

Tapi, dalam perjalanan ke bandar Kangar, sebelum bulatan yang hampir dengan The Putra Regency Hotel, kami perhatikan jualan durian yang kami nampak petang tadi masih ada.

Dengan tak berapa pantas, aku buat pusiangan U di bulatan tersebut.

Petang tadi aku rasa macam ada dua lori durian. Ini dah tinggal dua bakul.

Penjual kata, ia durian Balik Pulau. Memang kalau musimnya, tiap-tiap malam mereka akan jual di situ. Maaf, aku tak pasti lokasi tepat. Yang pasti kalau dari Hotel The Putra Regency, lepas bulatan, ambil laluan keluar nombor 12.

Kami beli sebiji. Nak rasa juga durian Balik Pulau yang terkenal sampai masuk Majalah 3. RM30.

Pergh! Sedap ya ampun. Lemak, berkrim dan disukai kami berdua. Tengah sedap layan durian nan sebiji itu, penjual hulur kepada kami sebiji lagi. "Ambillah bang, saya bagi".

Murah rezeki betul hari ini. Tadi Sarom belanja makan. Ini tauke durian belanja durian.

Kami tak mampu nak habiskan dua biji durian Balik Pulau. Isi tebal beb.

Kami sempat habiskan 2 pangsa durian percuma tadi. Lebihnya kami hulur pada sekumpulan anak muda yang baru sampai untuk membeli dan menikmati durian.

Lepas makan durian, kami pusing kawasan sekitar. Ada beberapa peniaga.

Kami berhenti satu gerai jual beg bundle. Ramah betul akak penjualnya. Sedap dengar loghat Perlis beliau.

Pn. Nurul jenis pantang nampak beg yang jenis sling. Tak kira bundle atau baharu. Beliau berkenan dengan sebuah beg. Harganya RM10 sahaja. Tapi kualiti Mira Filzah.

Jam dah pukul 1 pagi lebih. Mata dah mengantuk. Badan dah letih. Esok nak pusing Perlis pula.

Tapi tak boleh tidur. Badan panas. Sebab sebelum tidur makan durian. Padan muka kami.
---

Keesokannya, kami akan mengalami dejavu malam ini.
Kau tunggu episod seterusnya.


Wednesday, November 13, 2019

Ke Utara Bahagian 10: Putra Regency Kangar dan Hannah's Cookies

Akhirnya, kami tiba di Perlis. Kami menginap di Hotel Putra Regency Hotel.

Hotel ini terletak betul-betul berhadapan Wisma Persekutuan. Tidak jauh dari bulatan yang aku rasa paling besar di Perlis.

Hotel 4 bintang ini hanya RM102 untuk bilik superior, siap sarapan. Aku ada rakam video keadaan hotel ini. Boleh tengok di bawah


----
Perlis pada aku adalah tempat yang selesa untuk dihuni. Ia bandar, namun masih ada suasana kesunyian kampung. Orang-orangnya tenang. Jalan raya tidak sesak. Makanannya pun sedap.

Kami sampai hotel lebih kurang pukul 3 petang. Hajatnya ingin jumpa kawan lonely aku, Sarom. Tapi aku kepenatan kerana 9 jam yang lalu aku di Kota Bharu. Lalu aku tidur.

Aku bangun lepar asar. Mujur tak jadi gila sebab tidur sampai lepas asar. Pukul 6 petang kami turun dari hotel.

Terus hubungi Sarom. Antara tujuan aku ke utara adalah untuk tunjuk Pn. Nurul perniagaan sewa motosikal dan kereta yang Sarom jalankan. Model bisnes unik. Tapi terbukti berhasil.


Apa yang uniknya? Kalau aku bagitau, semua orang tahu. Nanti ia tak jadi unik. ðŸ˜›

Dari hotel kami bergerak menuju ke kedai Sarom. Kalau ikut Google Maps, tak jauh. Lima minit dari hotel. Dalam perjalanan, kami ternampak longgokan durian di tepi jalan. Kami berazam untuk singgah apabila pulang ke hotel malam nanti. Harapnya ada rezeki kami.

Mulanya kami jumpa Sarom di kedai sewaan motosikal dan kereta beliau. Sebab macam tak sedap nak sembang di kedai itu, Sarom ajak kami ke rumah beliau. Sementelaah lagi, masa itu masih dalam bulan Syawal, jadi kami dikira beraya ke rumah beliau.

Sarom, bukan sahaja lonely masa belajar, tapi masa aku pergi kali ini pun, beliau lonely. Kah kah kah. Bini beliau baru sahaja bersalin anak kelima. Lalu, beliau hantar bini beliau balik kampung di Kuala Lumpur. (Ya, betul kampung di Kuala Lumpur).

Sarom hidang kami dengan air keluaran negeri Perlis, Radix. Tidak dilupa biskut dan kuih raya dalam tin.

Kami borak sampai maghrib. Lepas maghrib, kami sambung borak lagi. Tapi bukan di rumah beliau, tapi di kedai makanan barat nan hipster. Jangan kau ingat Lembah Klang sahaja berbudaya hipster.

Kedai tersebut terletak di Jalan Kaki Bukit. Sedap bukan main makanannya. Kedai tersebut menjadi pilihan anak-anak muda dan pelajar IPT sekitar untuk lepak. Oleh itu, kami terasa muda 15 tahun apabila makan di kedai tersebut.

Datang Perlis, kau cari dalam Google Maps "Hannah's Cookies" untuk berasa muda, hipster dan kebaratan. (Aku tak tahu sejarah macam mana dia boleh jual makanan barat.)

Punyalah lama kami berasa muda, tak sedar jam menghampiri tengah malam.

Entah ada tak lagi durian yang kami tengok lewat petang tadi.

Kau tunggu episod akan datang.

Tuesday, November 12, 2019

Ke Utara Bahagian 9: Ramly Halal Kiosk Gurun Arah Utara

RnR Gurun arah utara lengang hari tersebut. Ialah, hari bekerja. Tak ramai orang barangkali melakukan perjalanan.

Lalu, banyak kedai yang ditutup.

Masa aku sampai, kerja-kerja pembersihan lantai secara besar-besaran sedang dilakukan oleh pihak Plus. Bukan setakat menyapu dan mengemop sahaja. Siap berus lantai. Bau semacam klorox memenuhi udara.

Itulah sebab Kiosk Halal Ramly menggamit kami. Selain itu faktor lapar kerana hujan sepanjang jalan juga menjadi sebab kami ingin ke Kiosk Halal Ramly.

Tapi, yang paling penting, pengalaman pertama kami di Kiosk Halal Ramly dua tahun lalu memanggil kami kembali.

Sewaktu kami tiba, aku rasa ada sepasang pelanggan. Kami pelanggan ke 3 dan ke 4 waktu itu. Suasana lengang dan tenang.

Jangan kau anggap kiosk ini macam kiosk jual minyak wangi One Drop Perfume (eh ada lagi ke jenama ni?) di pusat beli belah.

Kiosk Halal Ramly adalah sejenis restoran makanan segera. Layan diri. Masuk pintu, terus ke kaunter. Kau dongak atas. Nampak senarai menu, set, combo dan sebagainya. Pesan, bayar dan ambil makanan di situ.

Aku memilih set sate. Sate lapan cucuk, siap dengan kuah, timun dan bawang. Sebab ambil set, ia bersekali dengan air berkarbonat.

Pn. Nurul pilih set nasi ayam bakar. Ada nasi. Ada ayam bakar disirami kuah yang sedap. Ada timun. Ada salad dua helai. Ada tomoto beberapa hiris. Sekali dengan air berkarbonat.

Harga semua, RM30.97. Anggapan pertama - harga Yahudi.

Tapi, jika difikirkan balik, itu memang harga setara restotan makanan segera.

Dua dinner plate KFC. Berapa harganya?
Pizza Hut regular. Berapa harganya?
Dua Big Mac McD. Berapa harganya?
---------

Tapikan, pada aku sate di sini adalah definasi sate yang sebenar.

Rempah sederhana namun rasanya istimewa. Selalu aku makan sate rasa rempah. Tak rasa ayam. Yang ini rasa ayam, rempah hanya penambah rasa.

Daging sahaja pada batang lidi. Ia ini benar. Tiada lemak mahupun kulit tercucuk sekali.

Kuahnya tidak cair, tidaklah terlalu pekat. Ia juga tidaklah terlalu manis sampai terasa mencucuk gigi seperti mana kuah sate di Pantai Timur. Kacangnya dikisar sempurna. Tidak kasar, tidaklah halus.

Dihidang sekali cara lama. Sate. Kuah. Timun. Bawang. Ringkas namun sedap.

Lapan cucuknya lagi besar dari sate kajang. Kenyang. Menyandar.

Selain sate, nasi ayam bakarnya juga bukan main dia punya sedap. Puas hati ayamnya. Besar. Gebu. Lembut dan masak hingga ke dalam. Nasinya pula guna beras basmathi. Membukit pula tu. Fuhhh! Entah untung entah tidak Ramly ni meniaga.

Restorannya juga selesa, dan susunannya seperti restoran makanan segera terkenal.

Menariknya, ada bahagian dalam restoran menjual barangan keluaran Ramly. Kebanyakkan sejuk beku. Ada juga sos-sos. Pendek kata macam stokis barang jual burger.

Jangan kau ingat Ramly upah aku tulis post ni. Ini pandangan jujur dari aku.

Yang tak seronoknya, servisnya agak lambat sikit. Taklah lambat sangat, tapi aku kira lambatlah juga. Mujur tak ramai pelanggan waktu itu.

Tengok, perenggan di atas bukti aku tak dibayar. Sebab aku kutuk. Kalau paid review mana maunya nak kutuk.

Kan?

Aku ada rakam video Kiosk Halal Ramly ni. Video kontot je. Seminit. Tak luak data kau.


Jangan lupa subscibe channel aku tu.
Ok, aku janji, post akan datang sampai Perlis.

Nizam Sani,
Yang Bininya Pantang Sate Ayam Ada Kulit.

Monday, November 11, 2019

Ke Utara Bahagian 8: Kenangan Yang Sunyi

Kira-kira 40 minit perjalanan, kami sampai di hentian Titiwangsa. Hentiannya boleh dianggap separuh perjalanan lebuhraya Timur-Barat.

Hujan turun renyai. Sangat renyai. Titis-titis.

Bagi kau yang tak pernah lalu lebuhraya Timur-Barat, kau jangan anggap jalannya macam lebuhraya Utara-Selatan. Jalannya hanya selorong ke timur dan selorong ke barat. Cuma, ada sesetangah tempat akan ada lorong tambahan untuk kau potong lori balak.

Suasana lengang pada pertengahan minggu itu di hentian Titiwangsa. Kedai makan tutup. Masa kami berhenti, lebih kurang ada 5-6 kenderaan sahaja. Aku ambil peluang untuk basuh muka dan mengosongkan pundi kencing. Walaupun air paip, air di hentian ini cukup sejuk dan menyegarkan.

Perjalanan diteruskan. Melalui Tasik Banding. Aku berniat untuk berhenti di situ. Entah macam mana, terlepas simpang. Malas nak patah balik.

Tasik Banding terhasil akibat limpahan sungai apabila empangan Temenggor dibina untuk janakuasa elektrik pada 1976. Tasik ini terletak di sempadan Perak-Kelantan. Tetapi, Stesen Janakuasa Temenggor terletak di negeri Perak. Stesen janakuasa ini boleh menghasilkan lebih kurang 350kW elektrik.

Perjalanan diteruskan. Menariknya, masa aku mencari siaran radio, terjumpa radio siam. Dengar lagu siam. Anggguk-angguk juga kepala aku. Rupanya GPS gila itu membawa kami melalui Pengkalan Hulu, yang tak jauh dari Thailand.

Kemudian, kami masuk ke negeri Kedah melalui daerah Baling. Kami tegak dan naik lebuhraya Plus di Gurun. Cadangnya, kami akan terus ke Changlun, jumpa kawan lonely aku masa belajar, Shaharom Idris (Sarom). Dia ajak makan di suatu kedai yang sedap katanya di Changlun.

Sarom dengan aku lain kursus; rumah sewa pun lain-lain; saiz badan berbeza; aku merokok (waktu itu) dan dia anti-rokok; dia kacak dan aku tidak (tapi manis ada). Namun, kami ada suatu persamaan - tak laku, takde makwe.

Tatkala hujung minggu kawan serumah aku dan kawan serumah Sarom keluar bercengkerama, kami kesepian. Lalu kami menghabiskan masa berdua. Kau jangan salah anggap. Kami bukan gay. Sebab kami tak sado.
---

Selepas masuk lebuhraya Plus di Gurun, kami bercadang rehat sebentar di RnR Gurun. Di situ, tiba-tiba, kami ternampak Halal Kiosk Ramly. Owh, tak boleh lepaskan peluang ini. Kami pernah ke situ dua tahun lepas. Makanannya sedap dan unik berbanding restoran makanan segera yang sedia ada.

Jadi, perjumpaan dengan Sarom di Changlun terpaksa dibatalkan. Halal Kiosk Ramly sangat menggamit.

Nantikan episod akan datang untuk aku ulas pasal Halal Kiosk Ramly.

Ingatkan boleh sampai Perlis post ni, tak sampai juga...

Sunday, November 10, 2019

Ke Utara Bahagian 7: Sesat ke Jeli

Lewat malam itu hujan. Sejuk dan dingin di Kota Bharu membawa ke pagi. Namun, itu tidak menghalang kami bangun awal untuk menuju ke Perlis.

Seawal 6.15 pagi kami sudah bertolak. Cuba mengelak dari kesesakan jalan raya Kota Bharu yang tarafnya hampir sama dengan Kuala Lumpur.

Sejak 10 tahun lepas, kemana sahaja aku bergantung kepada GPS. Dari zaman Garmin ke zaman Google Maps. Aku jenis yang tak berapa nak ingat jalan. Malah, Pn. Nurul lebih handal dalam hal ingat mengingat jalan.

Permulaan perjalanan berjalan lancar. GPS membawa kami ke suatu yang mungkin lebuh raya baru. Entah apa namanya aku tak ingat. Ialah, benda 3 bulan lepas.

Setelah setengah jam perjalanan GPS membawa kami ke kawasan perkampungan. Mulanya jalan persekutuan, dibawanya kami ke jalan negeri. Kemudian ke jalan kampung. Akhirnya entah apa ke gila GPS tersebut, dibawa kami ke jalan batu kerikil, yang hutan kiri kanan. Tatkala berselisih dengan orang kampung, mereka kelihatan hairan. Mungkin dianggap kami gila.

Dari rancak berbual, kami diam. Aku tahu Pn. Nurul cemas dan risau. Aku terus fokus memandu. Sebab aku percaya, setelah scroll laluan GPS tersebut, kami akan bertemu jalan besar, jalan yang benar, jalan yang lurus.

Kerisauan Pn. Nurul berkurangan setelah selesai melalui jalan kerikil. Kemudian kami kembali melalui jalan kampung. Kemudian, kami melalui jalan negeri. Entah macam mana, tiba-tiba kelihatan Politeknik Jeli di sebelah kiri. Kami lega sepenuhnya. Aku tahu, politeknik biasanya akan dibina di tempat yang ada orang.

Letih sebenarnya memandu dalam kerisauan. Kurang lebih 8.30 pagi, kami tiba di stesen minyak Petronas Jeli. Stesen ini boleh anggap sebagai tempat bermulanya lebuhraya Timur-Barat, melalui Tasik Banding - Grik.

Aku rasa GPS membawa aku ke laluan yang tidak sesak. Barangkali laluan Wakaf Che Yeh ke Jeli ada kesesakan. Ialah waktu pagi.

Setelah banyak kali aku melalui Lebuhraya Timur-Barat, ini kali pertama aku singgah di stesen minyak Petronas Jeli. Stesen ini bukan biasa-biasa. Kedai Mesranya memang luar biasa mesra. Dah macam pasar raya mini. Bukan itu sahaja, makanan bungkus berlambak. Namakan sahaja. Nasi lemak, nasi kunyit, nasi minyak, nasi kerabu semua ada. Kuih-kuih pun banyak.

Lagi menarik di sebelah kedai mesra ada lebih 20 biji, aku rasa set meja kerusi batu. Jadi, kami memutuskan untuk beli nasi di kedai Mesra dan makan di kawasan meja batu sebelah kedai.

Setelah kenyang dan menikmati kopi yang dibawa sendiri, kami teruskan perjalanan. Cuaca mendung dan sejuk. Aku jangka jalan akan licin. Memandu di lebuhraya Timur-Barat memang akan sentiasa mencabar. Jalannya membelah lereng bukit. Jalannya tidak lurus. Ada sesetengah masa ia sunyi. Ada sesetengah masa pula ia merbahaya sebab ada pemandu yang cilaka. Biasanya aku akan agak perlahan dan malar ketika memandu di sini.

Owh, panjang dah post ni. Tak sampai Perlis lagi. Kendianlah aku sambung. Kau tunggu.

Gambar tiada kaitan dengan cerita.

Ke Utara Bahagian 6: Wakaf Che Yeh Sudah Tidak Seperti Dulu

Sejurus maghrib, kami terus turun untuk makan nasi berlauk yang teringat-ingtkan itu.
https://roshaizulnizam.blogspot.com/…/nasi-berlauk-wakaf-ch…

Sampai bawah, gerai itu tiada. Kami tak pasti adakah ia masih lagi dibuka ataupun tidak buka pada hari itu atau dah tutup terus. Ialah, kami kami ke situ hari Rabu jam 7.30 malam.

Walaupun kedai di tutup, perut perlu di isi sebelum cuci mata di Wakaf Che Yeh. Kami sekadar berjalan kaki. Jumpa satu kedai. Macam menarik. Tapi hanya jual steamboat sahaja. Ah, cuaca panas malam itu tidak menggalakkan kami makan steamboat.

Kami berjalan beberapa puluh meter dari kedai steamboat. Jumpa satu kedai masakan panas ala thai. Macam biasa, urusan pemilihan makanan aku serahkan kepada Pn. Nurul. Aku, kalau batu dan kayu boleh makan, aku makan je. Apa ada depan mata, aku makan.

Pn. Nurul pesan nasi putih dua, ayam goreng kunyit, sayur kailan dan telur dadar. Air, macam biasa nescafe O pekat kurang manis, dua gelas. Kena dua puluh ringgit lebih. Harga setara dengan Bandaraya Dungun. Terkejut juga. Tapi, rupanya baru aku tahu, Wakaf Che Yeh tidak lagi murah selepas ia semakin popular.

Usai makan, kami menguatkan otot kaki di pasar Wakaf Che Yeh. Banyak perniagaan yang baru hendak dibuka. Namun, banyak lagi yang tidak dibuka. Sekali lagi aku tiada kepastian sama ada mereka benar-benar telah tutup, atau tutup hari rabu, atau belum buka lagi jam 8.30.

Namun, yang pasti Wakaf Che Yeh sudah tidak seperti dahulu.

Aku tak ingat secara tepat bila kali pertama aku ke Wakaf Che Yeh. Namun aku pasti pada masa itu aku sudah berkahwin dan TRW adalah gergasi bola sepak.

Pertama kali itu Wakaf Che Yeh tidaklah begitu tersusun seperti sekarang tapi banyak yang muluk-muluk pada masa itu.

Pada masa itu, parkir percuma. Belasah letak dimana-mana pun, asal tidak menghalang laluan.

Pada masa itu banyak produk dijual. Pakaian, jersi, perhiasan, haiwan peliharaan, makanan, buah dan beras siam. Setiap gerai ada identitinya. Barangnya juga terkini.

Pada masa itu barang murah. Lebih murah dari tempat lain.

Pada masa itu peniaga mesra. “Bey, masuk tengok dulu Bey, tengok sajo, tok beli takpo.” Muka ada senyum.

Masa beranjak. Wakaf Che Yeh tidak muluk-muluk seperti dahulu.

Setiap kali kunjungan aku merasa Wakaf Che Yeh tidaklah semakin baik.

Parkir tidak lagi percuma. Pernah suatu ketika ada semacam abang kawasan minta bayaran parkir.

Pilihan tidak lagi banyak. Tiada lagi jualan jersi. Bukan sahaja jersi, baju bercetak Kelantan pun tiada. Kebanyakan kedai menjual barang yang hampir sama - barang copy ori. Sesekali ada juga buahan dan makanan. Ada juga jual CD lagu remix disco yang dipasang kuat dengan lirik dua makna dan kurang sopan.

Barang juga tidak lagi murah di Wakaf Che Yeh. Orang kata murah lagi di bazar-bazar lain di Kota Bharu.

Peniaga tidak seramah dulu. Malah terkadang macam tahap kurang ajar. Pernah sekali semasa kunjungan aku yang entah kali keberapa mereka main perang mercun antara gerai. Melintas beb mercun depan mata aku. Khinzir betul.

Terkini aku ke Wakaf Che Yeh dan diperhatikan ia semakin suram. Peniaga kelihatan muram. Barang kelihatan lama. Ia tidak semeriah dulu.

Hemat aku, ini bukan faktor luar seperti saingan dari bazar lain. Tetapi lebih kepada faktor dalaman.

Peniaga selesa semasa zaman kegemilangannya. Tidak menjaga pekerti. Tidak menjaga pelanggan. Tidak menjaga barang dagangan.

Begitulah kawan. Masa senang sebenarnya kita lebih diuji. Jarang sekali kita bersyukur masa senang. Jarang sekali kita bersungguh masa senang.

Kan?
Ingatan untuk aku penulis ini juga.

Kami pulang ke hotel dengan kekecewaan. Dalam kekecewaan itu, Pn. Nurul sempat sambar tudung barang sehelai dua.

Esoknya, kami akan ke Perlis. Harapnya esok jugalah aku sambung cerita.

Nizam Sani,
Bukan Bang Muluk “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.”





Friday, November 08, 2019

Ke Utara Bahagian 5: Aiskrim McD


Setelah 3 bulan, aku sambung balik cerita perjalanan lima hari kami ke utara, dari Terengganu. Banyak perkara, kerja dan projek yang berlalu dalam tempoh tiga bulan itu.
Kita imbas kembali.
Kami mulakan perjalanan dari Dungun. Bermalam semalam di rumah mak di Pulau Rusa. Cadangnya, pagi, sesudah subuh dan sebelum lalat terbang kami menuju ke Kota Bharu.
Tapi, 2 hari sebelum hari tersebut, entah apa dosa, aku diminta siapkan suatu slaid. Macam biasa bahan slaid aku kena cari sendiri. Kah kah kah.
Itulah, silap aku juga. Jenis yang susah untuk menolak. Padan muka aku.
Kesudahannya, hampir pukul 11 kami bertolak ke Kota Bharu. Sampai Kota Bharu terus mencekik di Nasi Ulam Cikgu. Kemudian ke Muzium Istiadat Istana Jahar yang ada kisah misteri yang terjadi dan Muzium Diraja Kelantan.
Elok kau baca kisah tersebut di blog aku dan tengok videonya di Youtube Channel Nizam Sani.
Rancangnya nak pergi beberapa muzium dan petangnya ke Pantai Cahaya Bulan. Tapi, aku kepenatan. Esok nak memandu 8 jam lagi ke Perlis. Jadi, Pn. Nurul mencadangkan kami berehat sahaja di hotel di Wakaf Che Yeh menjelang Asar.
Ingatkan nak tidur barang sejam dua (ya, aku tahu tidur lepas asar boleh gila), tapi tak boleh tidur. Mungkin waktu lepas asar bukan waktu biologi sepatutnya aku tidur. Biasanya lepas asar sama ada aku dating dengan Pn. Nurul, atau bersenam, atau berkebun, atau buat kerja-kerja rumah.
Bagi membunuh kebosanan, Pn. Nurul ajak kami ke McD di bawah hotel. Katanya nak cuba entah-apa-entah aiskrim baharu McD.
Aku tanya "aiskrim apa".
Beliau balas "entah".
Lalu tatkala memesan, beliau bagitahu penerima pesanan "saya nak aiskrim baru McD."
Penerima pesanan membalas dengan menyebut nama aiskrim baharu itu, tapi tak jelas pada pendengaran kami "Aiskrim xxxxxx ke?"
Laju Pn. Nurul membalas "Ialah la kot".
Dengan pantas aiskrim kami disiapkan. Sekali dapat aiskrim teh hijau.
Aku tanya Pn. Nurul "aiskrim ni ke?"
Beliau jawab dengan sedikit muncung "bukannnn"
Kah kah kah.
Kami belasah je aiskrim vanila itu yang ditabur dengan serbuk teh hijau manis. Ini kalau makan hari-hari, cukup tahun kaki aku boleh kena potong.
Kami sambung makan aiskrim di hotel. Sambil makan aiskrim dengan bersulam air mineral aku berterusan gelakkan Pn. Nurul. Kah kah kah.
Kami merancang untuk ke Pasar Wakaf Che Yeh sejurus lepas maghrib. Sebelum itu, kami nak makan nasi berlauk tepi kedai cermin mata. Teringat-ingat dia punya sedap walaupun dah lebih setahun berlalu. Tapi.....
Yang tapi tu aku sambung kemudian. Kau doakanlah supaya sambungannya bukan 3 bulan lagi.


Thursday, November 07, 2019

Pendidik Adalah Pandai Besi

Ada dua perkara yang aku ingat mengenai Felda Taib Andak.
Satu, syarikat bas “Tahan Lama”.
Dua, sekolah STARP, Kulai.
Aku dulu sekolah STARP. Majoriti budak melayu sekolah itu berasal dari Felda Taib Andak. Usai sekolah, budak yang tertinggal bas sekolah, akan naik bas Tahan Lama untuk balik ke rumah.
——-
Tahun lepas, aku ajar kimpalan pelajar semester satu. Macam biasa, sebelum masuk bengkel mereka perlu beratur sebelum senaman dan taklimat ringkas.
Dari kejauhan aku nampak seorang budak pakai baju berlambang STARP. Aku panggil budak itu untuk kepastian.
Namanya Aiman. Sekolah di STARP. Asal Felda Taib Andak.
Aku teruja dalam hati. Pertama kali aku jumpa super junior (bukan k-pop) aku. Kalau aku mengajar di Johor, mungkin tidak seteruja begini.
Semester berikutnya aku ajar lagi Aiman sekelas. Subjek teori. Pengamatan awal aku, Aiman ni biasa-biasa sahaja, kira bengap la juga.
Ada satu tugasan kelas, aku minta buat video lakonan atau nyanyian berkaitan subjek. Sebelum-sebelum ini, pelajar akan buat video lakonan. Tak pernah ada yang buat video nyanyian.
Tapi Aiman sekumpulan berani buat video nyanyian. Lagi berani mereka buat lagu yang diinspirasikan dari lagu Mat Ganja. Ini memang tipikal budak Felda Taib Andak.
Aku groom kumpulan ni supaya dapat buat dengan lebih baik. Hasilnya seperti dalam video ini. Mungkin kau rasa ianya biasa-biasa sahaja. Tapi, ini adalah hasil terbaik yang budak-budak ni berbanding jangkaan awal aku.
Begitulah jadi pendidik. Kita akan jumpa budak yang pandai dan budak yang bengap. Tapi, jangan yang pandai sahaja disayang. Jangan yang bengap asyik dimarah.
Pendidik ni tukang besi. Pelajar tu besi. Nak bagi besi tu lurus, kuat dan tajam tukang besi perlu bakar, ketuk dan asah besi tersebut. Bukan untuk menghancurkan, tapi untuk membentuk.
p/s: Aku ada kawan dari Felda Taib Andak. Mohd Hazree Hashim namanya. Dulu bengap ya ampun. Nak buat persamaan serentak pun dia pening. Tapi sekarang alhamdullilah berjaya, cuma dia tak tunjuk kat FB.


Friday, October 18, 2019

Belajar sendiri Adobe Audition

Aku tengah godek-godek software Adobe Audition. Software untuk edit lagu dan audio.

Harapnya bila dah handal nanti, aku boleh gubah lagu macam Ajai.

Jadi, kalau kau nak autograf aku, baik minta sekarang. Karang bila aku dah popular susah nak dapat nanti. 😋

—-

Perisian ini aku belajar melalui Google dan Youtube.

Bukan sahaja perisian ini, perisian lain yang aku mahir turut aku belajar dari Google dan Youtube.

Bukan sahaja belajar guna perisian, Google dan Youtube juga aku guna untuk belajar kemahiran-kemahiran lain.

Antaranya, tukar kapasitor pam, asah pisau, dan buat rak buku.

—-

Untuk tukar kapsitor, aku tak perlu tahu bagaimana kapsitor dibina.

Ibu-ibu juga tak perlu belajar cara proses padi jadi beras hanya untuk masak nasi tomato.

—-

Persoalannya. Adakah pendidikan tinggi “brick and mortar” masih relevan sekarang?

Sedangkan banyak perkara boleh kita pelajari sendiri di internet.

Nizam Sani,
Bukan Ajai.



Saturday, August 31, 2019

Perarakan Hari Kemerdekaan 2019 Peringkat Negeri Terengganu

Tiada dalam ingatan aku pergi ke perarakan hari merdeka. Seusia aku sekarang, inilah kali pertama aku ke perarakan hari merdeka.

Bukanlah niat bapa aku untuk tidak membawa anak-anak menonton perarakan secara langsung. Sebagai bekas tentera, abah punyai patriotisme yang tinggi.

Namun, kalau pergi perarakan, adakah kerajaan akan bagi kami makan?

Oleh itu, sejak umur 9,10 tahun, aku akan tidur awal pada malam merdeka.

Esoknya 3.30 pagi, abah akan mengejutkan aku untuk membantu beliau ke pasar. Sama ada pasar tani, pasar borong atau pasar khas sempena hari merdeka.

Pulang menjelang tengahari. Kalau sempat rehat, kami rehat dahulu. Jika tidak, kami terus ke kebun untuk persediaan meniaga esok hari.

Itulah kitaran hidup aku selama musim cuti aku dari sekolah rendah hingga ambil master.

Lalu, aku tiadalah memori panjat pokok dan mandi sungai atau berkelah tepi pantai atau melancong.

Namun pengalaman bersama abah itu menjadikan aku seperti sekarang.

Hero merdeka aku bukan Mat Kilau atau Leftenan Adnan. Tapi abah aku. Beliau tak ajar aku tulis-baca. Tapi diajarnya aku untuk keras berusaha. Kerana kerasnya usaha akan dapat apa yang dihajati. Sama seperti kemerdekaan.

Selamat Hari Kemerdekaan ke 62.












Sunday, July 21, 2019

Ke Utara Bahagian 4: Penginapan Alternatif di Wakaf Che Yeh

Jika ke Kelantan, aku suka menginap di sekitar Wakaf Che Yeh. Sebab bila malam, ada tempat nak pergi. Kedai makan ikan bakar pun banyak pada waktu malam. Segala kemudahan seperti bank, farmasi, kedai serbaguna juga berada pada "walking distance"

Secara spesifiknya, aku gemar menginap di De Viana Hotel & Apartment. Bilik di De Viana ini agak besar aku rasa lebih 50 kaki persegi. Boleh main badminton dalam bilik. Ia berkonsep studio. Walaupun studio macam bilik-bilik hotel yang lain, ia ada pantry.

Harga De Viana bergantung pada keadaan. Kalau masa puncak, boleh cecah RM150 semalam. Kalau masa sendu, RM60 pun boleh dapat.

Depan hotel De Viana ada McDonalds. Betul-betul depan hotel ini. Jalan kaki tak penat, tak sempat berpuluh dah boleh sampai.

Depan seberang jalan McDonalds pula pintu masuk Wakaf Che Yeh. Nampak tak punya strategik De Viana ni.

Kalau kau kaya, boleh menginap di Holiday Villa Hotel & Suite. Ia sebelah McDonalds. Aku kalau nak ke De Viana Hotel & Apartment akan cari  Holiday Villa Hotel & Suite sebagai penanda tempat (landmark).

De Viana ini ada dua sebenarnya. Satu hotel. Satu lagi apartment milik persendirian. Dalam bangunan yang sama ada unit milik hotel, dan ada unit milik persendirian. Pemilik-pemilik persendirian ini ada yang menawarkan sewaan bilik secara harian (homestay). Harganya biasanya antara RM90 - RM120. Jauh lebih murah berbanding harga puncak De Viana.

Jadi, pandai-pandai kau ya.

Tempoh hari aku menyewa salah satu apartment di situ. Pemiliknya kawan sepejabat aku. Baik orang, manis wajahnya. Saiz bilik sama dengan hotel punya. Kemudahan pun lebih kurang sama, malah mungkin lebih lagi. Apartment sewaan ini sediakan pinggan mangkuk cawan, ada kopi teh, ada toto dan bantal extra, sabun di bilik mandi pun ada. Kira lengkap macam hotel.

Setiap kelebihan ada kekurangan. Unit apartment ini tekanan air agak perlahan. Tak puas mandi. Tapi, takde hal, aku bukan nak tidur dalam bilik air. Letak kereta pula tak boleh letak depan hotel. Kalau nak letak, pandai-pandai kau ya. Ikut peraturannya, tak boleh. Tapi, kau boleh parking secara bebas di belakang hotel dan di kawasan McDonalds.

Kalau kau nak menginap di apartment persendirian tersebut, boleh hubungi Abe Saiful 0199280898. Beliau ni mudoh baso sene kiro.




Saturday, July 20, 2019

Ke Utara Bahagian 3: Istana Batu: Muzium Diraja Kelantan

Usai menjelajah Istana Jahar, kami ke Istana Batu. Istana ini berada di belakang Istana Jahar. Nasi Ulam Cikgu berada dihadapannya. Kiranya, jika keluar pintu depan Istana Batu, akan kelihatan kedai Nasi Ulam Cikgu.

Istana ini menceritakan tentang salur galur kesultanan Kelantan yang bermula dari Raja Bendahara, Raja Long Kundur. Ia dibina oleh Sultan Ismail sebagai hadiah perkahwinan kepada anakanda beliau, Sultan Yahya Petra (semasa beliau menjadi putera mahkota) dengan Raja Perempuan Zainab II. Istana ini siap pada 1939. Ini kemudian bersilih ganti pemiliknya dikalangan kerabat terdekat. Ia diperkenan menjadi Muzium Diraja pada 1991.

Tiket masuk masih sama dengan tiket masuk Istana Jahar. RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak dan warga emas rakyat Malaysia. Harga sekali ganda untuk warga asing, termasuk Jepun dan Bangla. Aku rasa ini harga piawai bagi mana-mana muzium di Kelantan, atau mungkin di seleuruh Malaysia.

Muzium ini buka setiap hari kecuali Jumaat, tutup. Waktu operasi 8.30 pagi  hingga 4.45 petang, kecuali Khamis tutup aal 3.30 petang.

Seperti Istana Jahar, nak masuk Istana Batu perlu buka kasut. Masuk sahaja terus dipaparkan poster maklumat sultan-sultan Kelantan bermula dari Raja Long Kundur hingga Sultan Muhammad V.

Kemudian, ada suatu ruang menceritakan beberapa trivia mengenai Kesultanan Kelantan. Pada bahagian ini aku tertarik melihat satu gambar yang mirip kulit album Butterfingers Transcendence. Gambar tersebut memaparkan Ahli Majlis Kelantan pada tahun 1909.Aku kira gambar ini sangat ikonik.

Gambar kredit: Srikandi


Seterusnya, ke bahagian dapur yang menempatkan koleksi cenderahati peribadi milik kerabat Diraja Kelantan. Aku paling suka pintu dapur ini. Ada empat daun, dan ia berputar 360 darjah. Tak seperti pintu sekarang yang hanya boleh dibuka-tutup 180 darjah.

Banyak bahagian dinding muzium dihiasi dengan gambar-gambar sultan sekarang, sultan sebelum ini dan kerabat dekat mereka.

Kalian akan kagum bila masuk ke ruang makan. Susunan perabot, hiasan malah pinggan dimeja menampakkan prestij diraja. Pada bahagian atas ruang makan, digantung beberapa wajah gadis yang aku kira kacukan. Tapi aku tak pasti siapa sebab tak jumpa penerangannya. Gadis-gadis manis ini dandanan dan selokannya ala-ala gadis barat era perang dunia.

Seterusnya, ada beberapa bilik yang hiasan dalamnya ada hiasan asal pemastautin istana ini. Antaranya, Tengku Salwani, Tengku Ismail Petra dan Sultan Yahya Petra. Ralit bila duduk dalam bilik-bilik tersebut sambil meneliti barang-barang pameran yang terdiri dari koleksi peribadi.

Pada ruang tamu pula, pada satu sudut dinding digantung sepasang lelaki dan wanita. Tapi, aku tak pasti juga siapa sebab tak jumpa penerangannya. Tapi, mereka kedua kelihatan sangat anggun dan berkarisma.

Sebenarnya, sangat banyak gambar klasik dan barangan peribadi keluarga Diraja Kelantan dipamerkan di sini. Seronok meneliti satu persatu. Ternyata, hasil kerja orang dahulu memang halus dan teliti.

Pada bahagian luar istana pula, dipamerkan kereta Roll Royce klasik milik Sultan Yahya Petra, kalau tak silap aku. Kereta itu kerata yang paling tinggi kuasa kudanya pada zaman itu.

Sedar tak sedar, sejam juga kami meneroka istana ini. Ralit. Mengasyikkan. Pergi ke sini perlu tenang-tenang untuk menikmati bahan pameran yang ada.