Wednesday, November 20, 2019

Ke Utara Bahagian 17: Medan Selera Taman Tun Sardon

Kami bangun awal pagi itu. Belum pun pukul 7, kami sudah berada di jalan raya. Abang Pn. Nurul sekeluarga mengajak kami sarapan di Medan Selera Taman Tun Sardon.

Harapan keluar awal supaya jalan tidak sesak dan boleh dapat parkir kereta dengan mudah.

Harapan meleset. Harapan hanya tinggal harapan. Jika di pasar besar Dungun pukul 7 pagi; peniaga baru sampai nak turunkan barang jualan.

Awal betul orang Penang bangun. Walhal ini hari Sabtu. Banyak pejabat tutup. Ramai orang cuti. Mujur secara tiba-tiba, betul-betul depan medan selera itu, ada kereta keluar. Lalu, aku, dengan menggunakan kemahiran parkir-tepi-masuk-bontot yang dipelajari di sekolah memandu 21 tahun lepas; berjaya mengesahkan tempat parkir itu. Ternyata, aku dapat lesen kereta yang benar, bukan lesen terbang.

Terus kami serbu medan selera itu. Ia tidak lengang. Orang telah ramai. Lebih separuh meja telah di isi. Ada sekelompok lelaki berkopiah baru balik surau. Ada seorang pakcik sedang membaca akhbar sambil mencicip kopi. Ada satu keluarga yang sedang ketawa mesra. Suasana hingar, tapi menenangkan.

Masuk sahaja ke medan selera itu, aku membuat tinjauan rambang. Jalan dari hujung ke hujung. Melihat-lihat menu yang ada. Ingin rasa semua yang ada, tapi apakan daya, perut aku ada satu sahaja.

Pagi itu aku belajar satu perkara. Orang Penang berdisiplin. Sanggup beratur untuk membeli makanan. Tabik!

Ada satu istimewa, pada aku, ialah nasi lemuni. Pertama kali aku jumpa. Katanya nasi dimasak dengan daun lemuni dan santan. Rasanya lemak. Mirip nasi dagang atau nasi lemak. Ada dua versi aku jumpa di sini, nasi lemuni ikan bilis dan nasi lemuni daging. Ahhh, kedua-duanya sedap. Sebab nasi lemuni sendiri itu sudah sedap dimakan begitu sahaja. Sama macam roti gardenia. :p

Aku juga cuba nasi kacang dhal. Sedap juga. Pertma kali juga. Rasa macam nasi minyak atau nasi kuning Terengganu.

Nasi lemak di sini pun aku cuba. Kecil sahaja. tapi sedap ya ampun.

Murtabak mini pun aku cuba juga. Sedap juga.

Akhir sekali aku cuba lontong. Fuh! Setara lontong masa aku belajar di Parit Raja!

Pendek kata semua sedap. Bukan sebab aku makan semua benda kecuali batu dan kayu. Tapi ke semua tu memang sedap.

Medan Selera Taman Tun Sardon ini tempat kau wajib pergi untuk rasa sarapan pelbagai yang sedap di Penang. Bukan sahaja makanan, di sini kau juga boleh tengok gelagat masyarakatnya.

Sekali lagi aku rasa nak mengesot. Semalam mengesot kenyang di Perlis. Ini hari di Penang pula.
---

Usai sarapan. Kami berpecah. Abang ipar aku sekeluarga ada urusan keluarga. Aku dan Pn. Nurul bergerak ke Bukit Bendera. Pertama kali juga aku nak naik Bukit Bendera.

Menarik ke Bukit Bendera? Entah, kau tunggu bahagian akan datang.

Video Medan Selera Taman Tun Sardon boleh tengok di bawah ni ha.


Tuesday, November 19, 2019

Ke Utara Bahagian 16: Naik Feri Penang Dengan Kereta

Api kemarahan aku semakin meluap sebab dua kali terlepas simpang nak masuk terminal feri Butterworth. Terus aku rasa nak marah ke Lim Guan Eng. Entah kenapa tiba-tiba muncul beliau dalam benak kemarahan aku.

Alhamdullilah. Kali ketiga aku tidak terpedaya. Aku berjaya masuk ke simpang yang betul ke terminal feri. Fuh! Lega. Tambah pula laluan lapang hingga ke pondok bayaran. Kami saling berpandangan dan ketawa girang.

Bayaran naik feri hanya RM7.70. Tertera pada slip pembayaran, jam menunjukkan 7.10 petang.

Kami mula beratur dengan kenderaan lain untuk naik feri. Kami antara yang di hadapan.

Tak lama menunggu, 7.20 malam, kami mula bergerak masuk. Ada pekerja Rapid Ferry yang akan tunjuk arah di mana kita harus letak kenderaan.

Feri ini ada dua tingkat. Tingkat bawah untuk kereta dan motosikal. Kereta akan masuk dulu. Kemudian motosikal. Tiket motosikal RM2.

Tingkat ke dua untuk kereta dan orang. Mula orang masuk dahulu, kemudian kereta. Tikat masuk untuk orang RM1.20 untuk dewasa, RM0.60 untuk kanak-kanak. Murah ya ampun. Tiket bas Kulai - Bandar Tenggara 25 tahun lepas lagi mahal.

Kereta aku dapat parkir di tingkat bawah. Siap cantik parkir kereta, aku matikan enjin dan kami keluar dari kereta. Kami ke dek hadapan. Tengok tingkat atas pun dek. Kami rasa dek atas mesti lagi best.

Kami naik ke dek atas. Curam betul tangganya. Mujur aku selalu naik Bukit Bauk. Jadi, tak termengah-mengah.

Cis. Rupanya dek atas tak best. Lagi best dek bawah. Kami turun balik. Dek atas ni walaupun tak best ada gerai jual jajan. Kalau lapar dan tidak berdiet, boleh beli untuk kudapan.

Suasana remang senja sambil menaiki feri memang menakjubkan. Tak tak gembar dengan kata-kata cantiknya suasana yang Allah reka pada waktu tu. Aku ada rakam video sikit.



Dah tengok, belanja like satu kali.

Sesekali feri kami berselisih dengan feri dari arah pulau.
Sesekali nampak burung terbang berjemaah pulang ke sarang.
Sesekali dari kejauhan nampak kapal dagang tunggu giliran masuk ke pelabuhan.
Sesekali nampak kapal terbang melintas di awan.

Semua itu dalam remang senja yang menakjubkan.

Perjalanan 20 minit tak terasa.

Kurang lebih 7.45 malam kami sudah keluar dari Terminal Feri Raja Uda, Georgetown.
---

Penang kau ingat gini. Butterworth sebelah tanah besar. Georgetown sebelah pulau.
---

Malam ni kami akan menginap di rumah abang Pn. Nurul. Ya, abang ipar aku. Dia ni lama dah duduk Penang. Hilang dah sikit slang Terengganu beliau. Banyak keluar slang KayEll campur Penang.

Esok pagi sebelum lalat terbang kami nak cari bukit di Penang untuk didaki. Bosan dah naik Bukit Bauk kat Dungun tu.

x

Monday, November 18, 2019

Ke Utara Bahagian 15: Sampai Penang!

Maaf semua. Semalam tak tulis sambungan. Tertengok filem. Hacksaw Ridge. Cerita pasal seorang askar US nama Desmond Doss yang dapat Medal of Honours tanpa pegang senjata. Kalau rajin aku tulis pasal ni. Kau doakan aku rajin.
---

Usai melenguhkan kaki, melihat kelawar dalam gua, kami patah balik ke Kangar. Beraya rumah adik abah aku yang nombor 9.

Pakcik aku ni asalnya Pontian, Johor. Tapi dah dekat 30 tahun menetap di Perlis. Seingat aku masa aku kecil, pakcik aku ni cakap ada slang jawa. Macam pelakon Abon. La ni hilang jawanya. Dah bunyi KL campur utara sikit. Hohohohoho

Aku pun dah ada sindrom pakcik aku tu sikit-sikit.

Sampai je pakcik aku hidang nasi ayam. Aduh, pagi tadi makan di hotel, lepas tu beli makanan di Nat Pokok Getah, lepas tu makan lima lauk di Restoran Kuali Hangat. Terpaksa aku longgarkan tali pingggang.

Lepas makan dihidangnya dengan buah pelam harum manis dan kuih raya yang makcik aku buat.

Longgarkan lagi tali pinggang.

Lama betul aku di rumah pakcik aku ni. Beliau jenis suka bersembang. Pukul 5 petang baru kami bertolak ke Pulau Pinang.

Misi pertama ke utara iaitu beraya rumah adik abah aku yang ke 9 berhasil. Kini kami teruskan misi ke utara yang kedua, naik feri.

Perjalanan tenang, tidak sesak. Melalui Kedah, sawah padi kiri dan kanan lebuhraya PLUS. Di hujung jauh seberang sana, kelihatan bukit tegak berdiri. Tambah pula waktu menginjak petang, matahari mula sembunyi di balik bukit. Suasana remang senja kelihatan indah dan sunyi.

Masuk Penang, exit Sg. Dua. Google Maps bawa kami ke Bagan Ajam dan menelusuri pesisir pantai hingga berjumpa pelabuhan kontena. Dari situ kami tahu kamu sudah hampir dengan pelabuhan feri Butterworth. Atau nama rasminya Terminal Feri Pangkalan Sultan Abdul Halim Ferry.

Terminal feri ni dekat tapi jauh. Ada simpang mengelirukan bila antara terminal feri dengan bangunan Penang Sentral. Siapa la reka jalannya.

Sekali salah simpang kena pusing 2-3 km. 2-3 km di Penang bukan macam Bandar Tenggara. Berselirat. Dengan lampu isyarat. Dengan pemandu pelesit. Fuh mencabar.

Kali kedua nak masuk, tersalah simpang lagi. Aduh. Rasa nak marah. Mood gembira menurun...

Adakah aku terus batalkan hasrat atau terus berusaha untuk naik feri?

Nantikan bahagian akan datang. Kau tunggu!

Mangga chokanan. Tiada kaitan dengan cerita. Kah kah kah

Sunday, November 17, 2019

Ke Utara Bahagian 14: Gua Kelam

Selepas 5 minit termanggu-manggu, aku putuskan untuk kami ke Gua Kelam.

Gua Kelam terletak di Kaki Bukit. Ia permulaan sempadan Taman Negeri Perlis; dan kalau kau merentasi Taman Negeri Perlis kurang lebih 5 km dari Gua Kelam, kau akan masuk Thailand.

Jaraknya dari Restoran Kuali Hangat di Kangar lebih kurang 30km. Google Maps tunjuk jalan banyak simpang. Kalau tiada Google Maps, boleh sampai siam agaknya aku sesat.

Aku perasan, di Perlis ni, kalau kita nak kemana-mana, jalannya banyak. Banyak laluan. Aku rasa jalan raya di Perlis lagi ramai dari rakyatnya.  Oleh sebab jalannya banyak, kesesakan jalan raya boleh dikatakan hampir mustahil di Perlis.

Sesampai di Gua Kelam, ada semacam pusat penerangan. Tapi nampaknya ia ditutup. Aku tak pasti ditutup selama-lamanya atau ditutup untuk penambahbaikan.

Sampai sini, kalau kau berkereta, kau pandu terus sahaja sampai jalan mati. Pada penghujung jalan mati, ada semacam alor sungai. Boleh mandi di situ.

Masa kami sampai, ada sekumpulan budak remaja umur 12-17 tahun sedang mandi. Aku rasa budak dari perkampungan berhampiran sebab mereka kelihatan biasa dengan persekitaran di Gua Kelam.

Tak jauh dari alor tersebut, pintu masuk ke gua. Kena bayar tiket dulu. Hanya RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Parkir kereta kena bayar juga kalau kau bawa kereta. RM1 sahaja.

Entah apa mimpi Pn. Nurul nak ajak bergambar pula sebelum masuk gua. Tak layan karang merajuk. Kah kah kah. (Rujuk gambar)


Masuk je gua, terus rasa rasa berangin. Nyaman. Terdengar siulan angin. Pada masa yang sama alor sungai mengalir di bawah. Itu menambah kenyamanan. Bunyi aliran air juga mendamaikan.

Tambah kagum bila tengok stalactite dan stalagmite . Kau google maksudnya. Aku malas nak taip. Hohohoho

Tambah kagum, sebahagian dinding gua permukaannya macam beralun. Ia terbentuk berjuta tahun akibat angin yang melalui gua. Menakjubkan!

Jalan depan sikit, ada pula kelawar duk elok tergantung beramai-ramai. Aku rasa ada dalam ratusan ekor.

Kami terus berjalan dan menikmati keindahan gua dan ketenangannya.

Sedang elok kami berjalan, tiba-tiba terbau rokok. Aduh! Babi mana la yang hisap rokok dalam gua. Owh! Bukan babi. Babi mana hisap rokok.

Aku masa merokok dulu tengok juga keadaan sebelum cucuh api. Ini bukan masalah rokok. Ini masalah sikap.

Bukan sahaja aku rasa terganggu, kelawar yang tergantung pun nampak bergerak-gerak. Tadi elok mereka duduk diam. Kalau kelawar tu boleh bercakap, mesti dia sound "Hoi! Babi mana hisap rokok dalam gua ni. Tak senang aku nak tidur"

Kalau kelawar tu sound macam tu, aku balas "Babi mana pandai hisap rokok bang".

Tapi, itulah. Kalau.

Eh, apa aku merepek ni. Kah kah kah.
---

Selepas berjalan lebih kurang 350 m, kami sampai ke hujung. Terbentang luas semacam taman botani di hadapan kami. Taman tersebut ada tasik kecil di tengah-tengahnya. Sebelum kami pusing di taman tersebut, aku ajak Pn. Nurul panjat anak tangga di kiri pintu keluar gua.

Aku tak pasti berapa tingginya, mungkin dalam 50 meter, mungkin. Sepatutnya boleh naik lagi, apa ada had. Tak boleh naik lagi. Laluan berkunci. Tapi, sebelum laluan berkunci itu, ada platform yang kau boleh lihat sekeliling taman. Lawa beb!

Masa kami bersiar-siar di taman, sekumpulan rama-rama putih berlegar-legar di sekeliling Pn. Nurul. Tapi, bila aku datang dekat, semua pakat lari. Aku syak itu rama-rama jantan.

Selepas pusing taman, kami masuk balik ke gua untuk keluar. Laluan masuk dan keluar adalah sama. Sekali lagi kami menikmati keindahan gua. Namun, bau rokok tadi masih belum hilang.

Kalau kau datang ramai, setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 10 ada program eksplorasi Gua Kelam. Akan ada pemandu pelancong. Syok sikit kalau ada orang cerita sambil kita melihat-lihat. Harganya RM80 untuk 10 orang. Kalau tak silap aku.

Jam sudah 2.30 petang. Memang ngam. Kami bergerak kembali ke Kangar untuk beraya rumah pakcik aku. Janjinya pukul 3 petang.
----

Kau boleh tengok video seminit Gua Kelam



Semua yang aku cerita di atas ada dalam video. Kelawar, rama-rama, taman botani, alor sungai, panjat tangga. Cuma, bahagian babi hisap rokok tu takde la.
---

Gua ni aku rasa sesuai untuk peminat Manchester United. Sejuk, nyaman, tenang. Tak perlu kisah orang troll.

Dengar cerita team ni banyak kalah dari menang musim ni? Betul ke?
x

Saturday, November 16, 2019

Ke Utara Bahagian 13: Restoran Kuali Hangat

Selepas berpeleseran di Nat Pokok Getah, kami balik hotel. Sambung tidur sejam. Hohohoho.


Beberapa minit sebelum pukul 12 tengahari, kami check out.

Tak tau nak pergi mana. Pukul 3 petang karang nak raya rumah pakcik aku. Ada 3 jam lagi ni.

Mujur ada google. Terus cari “tempat makan Perlis”. Pergh! Banyak ya ampun. Lebih 30.

Setelah buat sedikit crowdsourcing, kami pilih Restoran Kuali Hangat. Ia restoran nasi campur dan kepakaran gulai kawah.

Restoran ini terletak tak jauh dari pusat bandar Kangar. Aku rasa dalam 2-3 km sahaja. Kau cari sahaja restoran ini di Google Maps.

Sampai waktu makan tengahari, jadi suasana sedikit sibuk.

Kami masuk. Terpegun tengok lauknya. 5 minit berlegar tengok lauk. Ada lebih 30 lauk. Kebanyakkan kami tak pernah jumpa. Tapi, semuanya nampak menyelerakan.

Hayati lauk pauknya di bawah ni ha.



Kami lupakan azam untuk berdiet. Kami ambil nasi sesenduk seorang. Tapi masing-masing ambil lima lauk.

Pn. Nurul paling gemar peria celup tepung. Siap bungkus untuk bekalan ke Penang petang nanti. Tapi, tak keluar Perlis lagi, bekalan peria gereng dah habis. Kah kah kah.



Menyadar kami lepas makan. Rasa nak mengesot keluar restoran.

Keluar kedai dekat pukul 1 petang. Ada 2 jam lebih lagi ni sebelum pukul 3.

Nak buat apa ek?

Ketahui pada episod akan datang.
x

Friday, November 15, 2019

Ke Utara Bahagian 12: Nat Pokok Getah

Pagi itu kami bermalas-malasan. Penat semalam masih tersisa. Lepas subuh kami tidur balik. Bukan selalu. Sekali-sekala.

Jam 9 pagi kami turun untuk sarapan di hotel. Boleh tahan sedap. Biasa makan makanan selatan dan pantai timur. Bila sesekali makan makanan utara, seleranya lain macam.

Lepas bersarapan, kami ke Nat Pokok Getah.

Nat, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pasar harian atau pekan sari. Asal kata nat adalah dari bahasa siam.

Oleh itu, Nat Pokok Getah bermaksud pasar harian di kawasan pokok getah. Ia, pasar ini memang terletak di celah-celah pokok getah. Kalau kau dari Arau, masuk ke simpang menuju Ulu Pauh. Nat Pokok Getah betul-betul berada di tepi jalan.

Nat Pokok Getah yang sebenar adalah hari Ahad. Tapi, hari ini hari Jumaat. Mengikut sumber khalayak (croudsourcing) atas talian, ramai warga net berpendapat buang masa ke Nat Pokok Getah pada hari Jumaat. Tak ramai peniaga berjualan pada hari Jumaat.

Kami degil. Sebab alang kepalang dah sampai Perlis, kena pergi juga ke sini. Mungkin sekadar lalu atau kenal tempat sahaja.

Bila sampai, kami agak gamam. Keadaan pasar agak sibuk. Sedikit sesak. Sebab jalan raya membelah pasar ini. Kalau hari Ahad, barangkali tak bergerak kereta.

Kami ronda pasar. Dua kali. Barang murah ya ampun. Tudung di Wakaf Che Yeh RM15. Tudung yang sama di Nat Pokok Getah, RM10 tanpa tawar.

Entah tudung jenis apa aku tak tahu. Aku lebih hafal rumus Teorem Bernoulli dan Persamaan Tenaga Aliran Mantap dari hafal jenis tudung.

Kami beli juga pencungkil mata nenas. RM 3 untuk 3 bilah. Yang ni mahal sikit. Dalam Shopee RM2 sebilah. Gila. Entah berapa harga kilangnya. 20sen kot.

Kami juga beli beberapa kuih. Nak rasa kuih orang Perlis buat. Tapi sayang tak ingat dah beli kuih apa. Ialah, 3-4 bulan lepas punya cerita.

Memandangkan petang ini kami hendak ke rumah pakcik aku (adik abah aku yang nombor 9), kami juga beli limau madu RM16 dua kilo.

Sedang asyik meronda, kami jumpa akak yang jual beg bundle lepas kami makan durian semalam. Fuh, dejavu. Kah kah kah. Aku syak, seluruh negeri Perlis, beliau sorang jual beg bundle.

Tapi, sebenarnya gigih akak tu. Semalam entah pukul berapa dia balik. Hari ini, pagi-pagi lagi dah meniaga.

Dalam perjalanan pulang, Pn. Nurul sambar pokok bayam Brazil, RM5 sepasu. Dia kata nak semai balik tanam kat dapur rumah. Tapi tak sampai sebulan, pokoknya mati. Tapi, sebab sayang bini, bulan lepas aku semai pokok bayam Brazil yang lain. La ni ada 7 pasu. Makan tak habis.

Tapi, kesimpulannya, barang di pasar ini memang murah. Pelam chokanan 3 kilo RM10. Nanti episod-episod akan datang aku akan bagi tau harga pelam chokanan di Pulau Pinang dan Ipoh.
---

Aku ada rakam video seminit Nat Pokok Getah. Jemput tengok.


Terima kasih yang dah subscribe chanel Youtube aku. Dah ada 100 subscriber. Bolehlah.
---
Kalau kau baca post ini sampai perenggan terakhir ini, belanja like sekali. Aku nak tengok berapa ramai yang baca post aku kali ni. 
---
Perlis aku jangka akan ada 3 siri lagi. Kau tunggu!

Thursday, November 14, 2019

Ke Utara Bahagian 11: Durian Balik Pulau di Perlis

Terima kasih Sury Ramle. Beliau bagi idea supaya aku bagi nombor setiap post. Jadi, hari ini bahagian ke 11 percutian 5 hari aku dan Pn. Nurul ke utara.

Mungkin lepas ni aku akan kumpulkan siri ini dalam Wattpad. Wattpad versi bahasa Melayu dah merepek. Banyak sangat kisah cinta dan softporn. Harap tulisan aku ini akan dapat sedikit sebanyak mengimbangi dan menghancurkan unsur-unsur negatif di Wattpad.
----

Sambung.
---

Semasa melepak di Hannah's Cookies, aku asyik tengok-tengok dua kedai bundle di sebelahnya. Kedai pertama, Bundle Mega Bagus. Kedainya besar. Macam gudang, gitu. Kedai kedua, Terompah Viintage. Fokus kedai ni jual kasut. Ada juga serba sedikit koleksi baju dan seluar bundle yang langka.

Dari dulu, aku memang peminat bundle. Tapi, bukanlah peminat tegar.

Lepas lepak, kami ke Terompah Vintage. Aku dan Pn. Nurul sahaja yang masuk. Sarom tunggu di luar. Dia dah bosan agaknya pergi kedai tersebut. Masuk Terompah Vintage jadi rambang mata! Sangat banyak koleksi kasut. Kasut jalan, kasut kulit, kasut sukan, safety shoe semua ada.

Bagi peminat bundle, jika singgah Perlis, kedai ini wajib pergi. Sekali imbas tak macam bundle, lebih kepada butik. Boleh cari kedai ini di Google Maps.

Memikirkan safety shoes aku yang sedia ada dah bocor tapaknya dan dah tak selamat, aku memutuskan untuk cari sepasang. Harganya hanya RM50 sahaja. Tidaklah jenama terkenal. Tapi kondisinya sangat baik.

Jam menunjukkan jam 12.30 malam. Kami memutuskan untuk balik sahaja. Malas pula nak ke Bundle Mega Bagus yang bersebelahan.

Kami terus hantar Sarom ke kedai beliau. Kemudian , kami bercadang untuk bersiar-siar lagi di Kangar atau Arau. Ialah, Perlis ni tak lah berapa besar. Kangar dan Arau sebelah menyebelah je.

Tapi, dalam perjalanan ke bandar Kangar, sebelum bulatan yang hampir dengan The Putra Regency Hotel, kami perhatikan jualan durian yang kami nampak petang tadi masih ada.

Dengan tak berapa pantas, aku buat pusiangan U di bulatan tersebut.

Petang tadi aku rasa macam ada dua lori durian. Ini dah tinggal dua bakul.

Penjual kata, ia durian Balik Pulau. Memang kalau musimnya, tiap-tiap malam mereka akan jual di situ. Maaf, aku tak pasti lokasi tepat. Yang pasti kalau dari Hotel The Putra Regency, lepas bulatan, ambil laluan keluar nombor 12.

Kami beli sebiji. Nak rasa juga durian Balik Pulau yang terkenal sampai masuk Majalah 3. RM30.

Pergh! Sedap ya ampun. Lemak, berkrim dan disukai kami berdua. Tengah sedap layan durian nan sebiji itu, penjual hulur kepada kami sebiji lagi. "Ambillah bang, saya bagi".

Murah rezeki betul hari ini. Tadi Sarom belanja makan. Ini tauke durian belanja durian.

Kami tak mampu nak habiskan dua biji durian Balik Pulau. Isi tebal beb.

Kami sempat habiskan 2 pangsa durian percuma tadi. Lebihnya kami hulur pada sekumpulan anak muda yang baru sampai untuk membeli dan menikmati durian.

Lepas makan durian, kami pusing kawasan sekitar. Ada beberapa peniaga.

Kami berhenti satu gerai jual beg bundle. Ramah betul akak penjualnya. Sedap dengar loghat Perlis beliau.

Pn. Nurul jenis pantang nampak beg yang jenis sling. Tak kira bundle atau baharu. Beliau berkenan dengan sebuah beg. Harganya RM10 sahaja. Tapi kualiti Mira Filzah.

Jam dah pukul 1 pagi lebih. Mata dah mengantuk. Badan dah letih. Esok nak pusing Perlis pula.

Tapi tak boleh tidur. Badan panas. Sebab sebelum tidur makan durian. Padan muka kami.
---

Keesokannya, kami akan mengalami dejavu malam ini.
Kau tunggu episod seterusnya.


Wednesday, November 13, 2019

Ke Utara Bahagian 10: Putra Regency Kangar dan Hannah's Cookies

Akhirnya, kami tiba di Perlis. Kami menginap di Hotel Putra Regency Hotel.

Hotel ini terletak betul-betul berhadapan Wisma Persekutuan. Tidak jauh dari bulatan yang aku rasa paling besar di Perlis.

Hotel 4 bintang ini hanya RM102 untuk bilik superior, siap sarapan. Aku ada rakam video keadaan hotel ini. Boleh tengok di bawah


----
Perlis pada aku adalah tempat yang selesa untuk dihuni. Ia bandar, namun masih ada suasana kesunyian kampung. Orang-orangnya tenang. Jalan raya tidak sesak. Makanannya pun sedap.

Kami sampai hotel lebih kurang pukul 3 petang. Hajatnya ingin jumpa kawan lonely aku, Sarom. Tapi aku kepenatan kerana 9 jam yang lalu aku di Kota Bharu. Lalu aku tidur.

Aku bangun lepar asar. Mujur tak jadi gila sebab tidur sampai lepas asar. Pukul 6 petang kami turun dari hotel.

Terus hubungi Sarom. Antara tujuan aku ke utara adalah untuk tunjuk Pn. Nurul perniagaan sewa motosikal dan kereta yang Sarom jalankan. Model bisnes unik. Tapi terbukti berhasil.


Apa yang uniknya? Kalau aku bagitau, semua orang tahu. Nanti ia tak jadi unik. ðŸ˜›

Dari hotel kami bergerak menuju ke kedai Sarom. Kalau ikut Google Maps, tak jauh. Lima minit dari hotel. Dalam perjalanan, kami ternampak longgokan durian di tepi jalan. Kami berazam untuk singgah apabila pulang ke hotel malam nanti. Harapnya ada rezeki kami.

Mulanya kami jumpa Sarom di kedai sewaan motosikal dan kereta beliau. Sebab macam tak sedap nak sembang di kedai itu, Sarom ajak kami ke rumah beliau. Sementelaah lagi, masa itu masih dalam bulan Syawal, jadi kami dikira beraya ke rumah beliau.

Sarom, bukan sahaja lonely masa belajar, tapi masa aku pergi kali ini pun, beliau lonely. Kah kah kah. Bini beliau baru sahaja bersalin anak kelima. Lalu, beliau hantar bini beliau balik kampung di Kuala Lumpur. (Ya, betul kampung di Kuala Lumpur).

Sarom hidang kami dengan air keluaran negeri Perlis, Radix. Tidak dilupa biskut dan kuih raya dalam tin.

Kami borak sampai maghrib. Lepas maghrib, kami sambung borak lagi. Tapi bukan di rumah beliau, tapi di kedai makanan barat nan hipster. Jangan kau ingat Lembah Klang sahaja berbudaya hipster.

Kedai tersebut terletak di Jalan Kaki Bukit. Sedap bukan main makanannya. Kedai tersebut menjadi pilihan anak-anak muda dan pelajar IPT sekitar untuk lepak. Oleh itu, kami terasa muda 15 tahun apabila makan di kedai tersebut.

Datang Perlis, kau cari dalam Google Maps "Hannah's Cookies" untuk berasa muda, hipster dan kebaratan. (Aku tak tahu sejarah macam mana dia boleh jual makanan barat.)

Punyalah lama kami berasa muda, tak sedar jam menghampiri tengah malam.

Entah ada tak lagi durian yang kami tengok lewat petang tadi.

Kau tunggu episod akan datang.

Tuesday, November 12, 2019

Ke Utara Bahagian 9: Ramly Halal Kiosk Gurun Arah Utara

RnR Gurun arah utara lengang hari tersebut. Ialah, hari bekerja. Tak ramai orang barangkali melakukan perjalanan.

Lalu, banyak kedai yang ditutup.

Masa aku sampai, kerja-kerja pembersihan lantai secara besar-besaran sedang dilakukan oleh pihak Plus. Bukan setakat menyapu dan mengemop sahaja. Siap berus lantai. Bau semacam klorox memenuhi udara.

Itulah sebab Kiosk Halal Ramly menggamit kami. Selain itu faktor lapar kerana hujan sepanjang jalan juga menjadi sebab kami ingin ke Kiosk Halal Ramly.

Tapi, yang paling penting, pengalaman pertama kami di Kiosk Halal Ramly dua tahun lalu memanggil kami kembali.

Sewaktu kami tiba, aku rasa ada sepasang pelanggan. Kami pelanggan ke 3 dan ke 4 waktu itu. Suasana lengang dan tenang.

Jangan kau anggap kiosk ini macam kiosk jual minyak wangi One Drop Perfume (eh ada lagi ke jenama ni?) di pusat beli belah.

Kiosk Halal Ramly adalah sejenis restoran makanan segera. Layan diri. Masuk pintu, terus ke kaunter. Kau dongak atas. Nampak senarai menu, set, combo dan sebagainya. Pesan, bayar dan ambil makanan di situ.

Aku memilih set sate. Sate lapan cucuk, siap dengan kuah, timun dan bawang. Sebab ambil set, ia bersekali dengan air berkarbonat.

Pn. Nurul pilih set nasi ayam bakar. Ada nasi. Ada ayam bakar disirami kuah yang sedap. Ada timun. Ada salad dua helai. Ada tomoto beberapa hiris. Sekali dengan air berkarbonat.

Harga semua, RM30.97. Anggapan pertama - harga Yahudi.

Tapi, jika difikirkan balik, itu memang harga setara restotan makanan segera.

Dua dinner plate KFC. Berapa harganya?
Pizza Hut regular. Berapa harganya?
Dua Big Mac McD. Berapa harganya?
---------

Tapikan, pada aku sate di sini adalah definasi sate yang sebenar.

Rempah sederhana namun rasanya istimewa. Selalu aku makan sate rasa rempah. Tak rasa ayam. Yang ini rasa ayam, rempah hanya penambah rasa.

Daging sahaja pada batang lidi. Ia ini benar. Tiada lemak mahupun kulit tercucuk sekali.

Kuahnya tidak cair, tidaklah terlalu pekat. Ia juga tidaklah terlalu manis sampai terasa mencucuk gigi seperti mana kuah sate di Pantai Timur. Kacangnya dikisar sempurna. Tidak kasar, tidaklah halus.

Dihidang sekali cara lama. Sate. Kuah. Timun. Bawang. Ringkas namun sedap.

Lapan cucuknya lagi besar dari sate kajang. Kenyang. Menyandar.

Selain sate, nasi ayam bakarnya juga bukan main dia punya sedap. Puas hati ayamnya. Besar. Gebu. Lembut dan masak hingga ke dalam. Nasinya pula guna beras basmathi. Membukit pula tu. Fuhhh! Entah untung entah tidak Ramly ni meniaga.

Restorannya juga selesa, dan susunannya seperti restoran makanan segera terkenal.

Menariknya, ada bahagian dalam restoran menjual barangan keluaran Ramly. Kebanyakkan sejuk beku. Ada juga sos-sos. Pendek kata macam stokis barang jual burger.

Jangan kau ingat Ramly upah aku tulis post ni. Ini pandangan jujur dari aku.

Yang tak seronoknya, servisnya agak lambat sikit. Taklah lambat sangat, tapi aku kira lambatlah juga. Mujur tak ramai pelanggan waktu itu.

Tengok, perenggan di atas bukti aku tak dibayar. Sebab aku kutuk. Kalau paid review mana maunya nak kutuk.

Kan?

Aku ada rakam video Kiosk Halal Ramly ni. Video kontot je. Seminit. Tak luak data kau.


Jangan lupa subscibe channel aku tu.
Ok, aku janji, post akan datang sampai Perlis.

Nizam Sani,
Yang Bininya Pantang Sate Ayam Ada Kulit.

Monday, November 11, 2019

Ke Utara Bahagian 8: Kenangan Yang Sunyi

Kira-kira 40 minit perjalanan, kami sampai di hentian Titiwangsa. Hentiannya boleh dianggap separuh perjalanan lebuhraya Timur-Barat.

Hujan turun renyai. Sangat renyai. Titis-titis.

Bagi kau yang tak pernah lalu lebuhraya Timur-Barat, kau jangan anggap jalannya macam lebuhraya Utara-Selatan. Jalannya hanya selorong ke timur dan selorong ke barat. Cuma, ada sesetangah tempat akan ada lorong tambahan untuk kau potong lori balak.

Suasana lengang pada pertengahan minggu itu di hentian Titiwangsa. Kedai makan tutup. Masa kami berhenti, lebih kurang ada 5-6 kenderaan sahaja. Aku ambil peluang untuk basuh muka dan mengosongkan pundi kencing. Walaupun air paip, air di hentian ini cukup sejuk dan menyegarkan.

Perjalanan diteruskan. Melalui Tasik Banding. Aku berniat untuk berhenti di situ. Entah macam mana, terlepas simpang. Malas nak patah balik.

Tasik Banding terhasil akibat limpahan sungai apabila empangan Temenggor dibina untuk janakuasa elektrik pada 1976. Tasik ini terletak di sempadan Perak-Kelantan. Tetapi, Stesen Janakuasa Temenggor terletak di negeri Perak. Stesen janakuasa ini boleh menghasilkan lebih kurang 350kW elektrik.

Perjalanan diteruskan. Menariknya, masa aku mencari siaran radio, terjumpa radio siam. Dengar lagu siam. Anggguk-angguk juga kepala aku. Rupanya GPS gila itu membawa kami melalui Pengkalan Hulu, yang tak jauh dari Thailand.

Kemudian, kami masuk ke negeri Kedah melalui daerah Baling. Kami tegak dan naik lebuhraya Plus di Gurun. Cadangnya, kami akan terus ke Changlun, jumpa kawan lonely aku masa belajar, Shaharom Idris (Sarom). Dia ajak makan di suatu kedai yang sedap katanya di Changlun.

Sarom dengan aku lain kursus; rumah sewa pun lain-lain; saiz badan berbeza; aku merokok (waktu itu) dan dia anti-rokok; dia kacak dan aku tidak (tapi manis ada). Namun, kami ada suatu persamaan - tak laku, takde makwe.

Tatkala hujung minggu kawan serumah aku dan kawan serumah Sarom keluar bercengkerama, kami kesepian. Lalu kami menghabiskan masa berdua. Kau jangan salah anggap. Kami bukan gay. Sebab kami tak sado.
---

Selepas masuk lebuhraya Plus di Gurun, kami bercadang rehat sebentar di RnR Gurun. Di situ, tiba-tiba, kami ternampak Halal Kiosk Ramly. Owh, tak boleh lepaskan peluang ini. Kami pernah ke situ dua tahun lepas. Makanannya sedap dan unik berbanding restoran makanan segera yang sedia ada.

Jadi, perjumpaan dengan Sarom di Changlun terpaksa dibatalkan. Halal Kiosk Ramly sangat menggamit.

Nantikan episod akan datang untuk aku ulas pasal Halal Kiosk Ramly.

Ingatkan boleh sampai Perlis post ni, tak sampai juga...