Wednesday, March 28, 2012

Tutorial CIDOS: Muat Turun ITD

Inspirasi Transformasi Diri (ITD). Ia merupakan satu alat, barangkali juga sebagai panduan kepada pelajar dalam mengharungi sesi pengajian di politeknik. Sekarang ini, ITD sedang diuji lari di beberapa buah politeknik. Tapi, kalau politeknik yang lain nak lakukan ITD juga, boleh saja buka CIDOS dan muat turun dokumen ITD dari situ.

Oleh itu, dengan sukacitanya (sila baca dengan gembira, hahahahaha), aku buat sikit tutorial cara-cara nak muat turun ITD.

1. Masuk dalam CIDOS, http://www.cidos.edu.my/

2. Login, kalau tak boleh login, sila hubungi Unit Teknologi Maklumat di politeknik masing-masing

3. Klik pada "Academic"


4. Klik pada "Garis Panduan Akademik"

5. Kemudian, lihat bahagian 4

6. Kemudian, klik pada "Inspirasi Trasformasi Diri"

7. Fail dia agak besar, 76.4MB, kalau internet laju macam ribut, 2 minit boleh siap muat turun, kalau macam siput, 4 jam pun belum tentu lagi. Huhuhuhu

Ok, selamat mencuba!






Ulasan Buku: Dwilogi Padang Bulan




Satu-satunya novel yang buat aku ketawa.

Novel ini ada dua bahagian. Bahagian satu: Padang Bulan. Manakala bahagian dua: Cinta dalam gelas.

Permulaan Padang Bulan sangat menyedihkan dan tragik. Menceritakan tentang Enong yang gemar matapelajaran bahasa Inggeris, terpaksa berhenti belajar dan menjadi pendulang timah selepas kematian bapanya. Bapanya, mati tertimbus tatkala mendulang timah. Lebih tragis, bapa Enong mati setelah menghadiahkan ibunya (secara kejutan, suprise) sebuah basikal baru.

Cerita seterusnya berkembang mengenai kegigihan Enong menjadi pendulang timah pertama di kampungnya dan kecekalan beliau mempelajari bahasa Inggeris walaupun tidak ke sekolah.

Entah bagaimana, wujud watak Ikal, seorang graduan universiti luar negara yang juga penganggur. Beliau bercinta dengan A Ling. Tapi, tiba-tiba A Ling berubah hati kepada Zinar. Bermula dari babak itu, pelbagai kelucuan timbul apabila Ikal cuba mencuri kembali hati A Ling dari Zinar dengan bantuan rakannya, seorang detektif persendirian bernama M. Nur.

Bahagian pertama tamat apabila Ikal rupanya salah faham terhadap A Ling dan Enong mula mendaki tangga kejayaan.

Bahagian kedua lebih tertumpu pada Enong yang telah mula memperlihatkan keyakinan diri. Ikal, dalam bahagian kedua telah bekerja di sebuah kedai kopi.

Cerita bahagian kedua lebih menjurus kepada percubaan Enong untuk menjadi jaguh catur tempatan, sebagai menebus maruahnya terhadap semua dan segala penghinaan terhadap beliau sebelum ini. Dengan bantuan Ikal, detektif M. Nur, gangster pendek, Jose Rizal, dan jaguh catur antarabangsa kenalan Ikal, beliau berjaya menjadi juara catur tiga tahun berturut-turut. Lebih manis, kejuarannya diperoleh setelah menumbangkan bekas suami beliau dan orang yang pernah cuba memperkosa beliau.

Walaupun sinopsis bahagian kedua kelihatan serius, tapi, percayalah, ia sangat kelakar! Hahahahaha.

p/s: Sedang mencari tetralogi Laskar Pelangi, tulisan awal Andrea Hirata. Padang Bulan - Endosor - Sang Pemimpi - Maryamah Karparov

Tuesday, March 27, 2012

COKLAT HOMEMADE QIS & MIN

Selalu, bukan sekali dua, Pn. Nurul merengek ingin aku membelikan beliau hadiah sempena ulang tahun perkahwinan kami atau ulang tahun kelahiran beliau. Tapi, seperti biasa aku akan buat bodoh sahaja. Hahahahaha.

Akan tetapi, tempoh hari aku tergerak hati untuk membuat kejutan dengan beliau. Oleh itu, aku memesan coklat buatan tangan dari Zayla Oven n Butik a.k.a COKLAT HOMEMADE QIS & MIN

Mereka ini beroperasi di Kemaman, tapi, mereka tiada masalah untuk menghantar sejauh Dungun atau Kuantan.





Rasanya, memang sedap! Segar dari oven!

p/s: Teruja? Angkat telefon, dial 019- 917 8581 (Pn. Har)

Monday, March 26, 2012

Ulasan Buku: Dia Yang Dulu




Aku mula kenal Aie, penulis buku ini tatkala aku rajin membeli majalah "Apo?" masa belajar dahulu. Tapi, bila majalah tu dah mula naik harga dan isi dia dah macam majalah Ujang, aku mula tidak melanggan "Apo?"

Lama sungguh.

2007, aku ada sertai program korban di Kemboja. Penganjur menghadiahkan buku ini, novel Faisal Tehrani dan sebuah kompilasi puisi arab. Aku baca novel Faisal Tehrani. Buku ini dan puisi aku tinggalkan dahulu.

Lama.

2012, aku mula membaca buku "Dia Yang Dulu". Rupanya, ia sebuah cerita bersiri. Ada 5 siri, dan "Dia Yang Dulu" adalah yang kedua.

Teruja aku, sebab lama tak baca novel komik sebegitu. Seperti biasa, Aie menghasilkan lukisan dalam kelas tersendiri dan jalan cerita yang serasa rapat di sekitar kehidupan orang yang biasa di Malaysia.

Dalam siri kedua, diceritakan mengenai Hassan dan Hussin menemui cinta lama dan menggamit cinta baru. Sub-plot memaparkan politik di tempat kerja Hassan dan Hussin.

Memandangkan cerita ada 5 siri, pengakhiran "Dia Yang Dulu" sedikit tergantung. Aku tak pasti sama ada sambungannya ada di pasaran atau tidak....


Sunday, March 25, 2012

Kucing kurang zat dan gizi

Tempoh hari, ada urusan di Holliday Villa Cherating. Servis yang longkang. Kualiti tak segah namanya.

Lupakan.

Sedang berurusan di perkarangan villa itu, terlihat seekor kucing. Kasihan...



Tulang rusuknya sangat jelas kelihatan, boleh buat gitar. Ini bukan seminggu tak makan. Rasanya sudah sebulan agaknya beliau tak makan. Kasihan....

Saturday, March 24, 2012

Ulasan Buku: Master Your Mind, Design Your Destiny (Edisi Bahasa Melayu)

Ini motivasi yang sangat sarat. Macam-macam idea, kisah inspirasi dan cara untuk berjaya dipaparkan. Penulisnya Adam Khoo, seorang warga Singapura. Buku ini jadi best seller, tidak hanya di Singapura, tapi di seluruh dunia.

Kalau nak review buku ini, sangat panjang. Harganya (RM39.90) adalah sangat berbaloi dengan kandungannya. Juga, apabila membaca buku ini, kau perlu sediakan pen/pensil, sebab banyak latihan yang perlu dibuat!

Menariknya, buku ini, walaupun padat dengan fakta dan ilmiah, tapi persembahannya sangat santai. Jadi, kau akan lebih mudah memahami praktik NLP.

Menarik lagi, tulisan Adam Khoo ini adalah berdasarkan pengalaman beliau. Asalnya, pada zaman persekolahan, beliau adalah murid yang paling lemah di sekolah yang paling lemah. Dengan azam dan cara yang betul, beliau memperolehi keputusan yang cemerlang pada peperiksaan akhir persekolahan (macam SPM). Kecemerlangan diteruskan bilamana beliau menjadi jurulatih NLP termuda, pada usia 23 tahun.

Semua kejayaan beliau itu adalh berdasarkan kemampuan beliau menguasai dan memanipulasi MINDA beliau. Dan itulah yang ditulis dalam buku ini.

Sekali lagi ditegaskan, ilmu dalam buku ini, melebihi nilainya!


Friday, March 23, 2012

Terengganu semakin sesak?

Pernah aku tengok berita tv arus perdana. Seorang Timbalan Naib Canselor (TNC) sebuah IPT di Terengganu berkata
"Terengganu makin maju sekarang. Ini boleh dilihat pada pengeluaran no plat kenderaan yang makin laju"

Aku rasa mat rempit pun sedar akan hakikat itu.

Tapi, jika difikir secara mendalam kata-kata TNC itu, ada benarnya. Dulu, enam tahun lepas aku boleh secara konsisten memandu 90km/j dari Dungun ke Kuala Terengganu. Tapi, kini kadang-kadang kelajuan menjunam 40km/j gara-gara ada pemandu yang melepaskan tekanan di rumah dengan bersiar-siar pada kelajuan itu di jalanraya utama.

Bukan satu. Tapi aku kira lebih dari dua aku akan jumpa keadaan lalu lintas perlahan dan kerap menekan brek. Lalu, jalan jadi sesak. Ini ditambah lagi dengan kenderaan yang semakin banyak berbanding enam tahun lepas.

Juga, Kuala Terengganu aku rasa semakin serabut. Dulu, tidak sukar untuk mencari parkir di sekitar Pasar Besar Kedai Payang. Tapi kini, terasa sedikit sukar. Lebih sukar apabila apabila pemandu yang meletak kenderaan sesuka hati hingga membolot dua petak parkir atau menghalang lalu lintas.

Keadaan di Kuala Terengganu semakin kusut apabila cuti sekolah. Tidak menghairan kerana Terengganu adalah negeri pelancongan. Juga, ramai warganya yang bekerja di luar negeri Terengganu dan pulang apabila tiba musim cuti. Sebagai menantu orang Kuala Terengganu, keadaan tersebut sedikit menggangu. Lalu, aku memutuskan untuk tidak pulang ke Kuala Terengganu tatkala musim cuti sekolah. Huhuhuhuhu

Kereta makin banyak. Jalan serupa tu juga. Itulah aku rasa penyebab utama menyebabkan kesesakan. Barangkali, perancang bandar di Malaysia harus mempunyai kebolehan untuk mengganggar jumlah kenderaan dan populasi penduduk bagi menyeimbangkannya dengan jalan raya dan kemudahan lainnya....

Thursday, March 22, 2012

Ulasan Buku: Ayat-Ayat Cinta



Ini buku kedua Habiburrahman El Shirazy yang aku baca selepas Bumi Cinta. Walaupun Ayat-Ayat Cinta terlebih dahulu menjengah pasaran, tetapi, barangkali buku ini best seller, agak sukar untuk mendapatkannya.

Sebetulnya, aku mula menggemari Habiburrahman El Shirazy kerana promo filem Ayat-Ayat Cinta. Sangat hebat promonya, sehingga aku terpengaruh untuk menonton filemnya. Tapi, pada aku filemnya agak mendatar. Kebetulan juga aku kurang gemar melihat filem cinta. Namun, melalui filem itu aku bertekad untuk membaca novelnya yang aku percaya lebih memberi kepuasan. Lalu, aku terjumpa Bumi Cinta dahulu. Sebuah kisah anak muda di Russia.

Lama kemudian, lebih kurang setahun aku kira, barulah aku aku menjumpai Ayat-Ayat Cinta. Ternyata lebih syok berbanding filim!

Cerita mengenai seorang anak muda Indonesia, Fahri namanya. Seorang mahasiswa Al-Azhar peringkat sarjana. Di sekitarnya, selain teman serumah dan sheikh serta guru taliqi beliau, Fahri didampingi oleh empat watak wanita yang utama. Maria, yang tinggal bersama ibu bapanya, seorang penganut Kristian Koptik tetapi menghafal surah Marayam, berjiran dengan Fahri. Noura, juga seperti Maria, cuma beliau adalah muslim yang menuntut di Al-Azhar tetapi dipaksa melacur oleh ayahnya. Aisha, gadis berdarah Jerman dan Palestin, mencari asal-usul dan menguatkan kefahaman Islam di bumi Mesir. Nurul, gadis Indonesia yang juga aktivis mahasiswi, minat dalam diam terhadap Fahri.

Pada awal plot, banyak menunjukkan hubungan Fahri dan Maria. Cerita berkembang bila Fahri melindungi Aisha dalam keretapi dan mereka berjaya mengislamkan seorang wartawan barat. Kemudian, secara sampingan wujud Nurul, yang digosipkan dengan Fahri oleh rakan serumah beliau. Seterusnya muncul Nouri yang menjadi mangsa keadaan dan memangsakan orang lain.

Terasa cerita hampir ke penghujung apabila Fahri menikahi Aisha. Tiba-tiba debaran berlaku apabila Nurul menaruh minat kepada Fahri. Semakin mendebarkan apabila Fahri dihumban ke penjara angkara Nouri. Tambah menarik apabila Fahri terpaksa mengahwini Maria bagi menyelamatkan nyawa Maria dan nyawa beliau sendiri.

Jujurnya, sewaktu membaca, aku terasa seolah-oleh berada di Mesir. Sama perasaannya semasa membaca Bumi Cinta yang membuatkan aku terasa sejuk di bawah paras beku seperti di Russia.

Sastera novel ini agak sederhana dan boleh aku fahami. Jalan cerita amat baik baik dan terjalin baik antara satu plot dengan plot yang baik. Memang aku rekemen buku ini pada semua orang. Mat rempit boleh baca, mat skema pun boleh baca. Huhuhuhuhuhu.

Wednesday, March 21, 2012

Pertandingan Fotografi dan Mencipta LogoJKM PSMZA

JKM, dalam konteks ini bukan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
JKM, dalam konteks ini adalah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
Nampak macam sama, tapi kedua-duanya 180 darjah berbeza!

Manakala, PSMZA merujuk kepada Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, tempat kerja aku. Bukan poliklinik, bukan juga aiskrim polipop, jauh sekali dari Girls Generation K-Pop.

Macam biasa, aku akan merapu dahulu sebelum memulakan cerita.

Kisahnya, aku, bos kecil dan rakan-rakan menganjurkan pertandingan fotografi. Tujuannya sebetulnya adalah untuk mendapatkan stock photo bagi simpanan JKM (baca: Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, BUKAN Jabatan Kebajikan Masyarakat). Juga untuk mewujudkan satu logo rasmi jabatan bagi tujuan penjenamaan dan promosi kelak.

Pertandingan hanya terbuka kepada staf dan pelajar JKM PSMZA. Juga, syarat utama pertandingan fotografi adalah "gambar mesti di sekitar jajahan takluk JKM PSMZA"

Syarat-syarat lanjut boleh tengok di http://www.psmza.edu.my/jkm/photocontest/

Pertandingan, kalau nak diikutkan berlangsung dari 1 Mac - 15 Mac 2012. Akan tetapi, setakat ini masih belum lagi ada penyertaan mencipta logo, makanya pertandingan dilanjutkan hingga hujung bulan ini.

Di sini secara exclusive dipaparkan hadiah-hadiah yang ditawarkan.


    PERTANDINGAN FOTOGRAFI 
1.      Tempat pertama (x1) : Sijil + Hamper RM50 + Gambar dan bingkai + Wang tunai RM100
2.      Tempat kedua (x1)    : Sijil + Hamper RM40 + Gambar dan bingkai + Wang tunai RM80
3.      Tempat ketiga (x1)    : Sijil + Hamper RM30 + Gambar dan bingkai  + Wang tunai RM50
4.      Saguhati (x5)            : Sijil + Hamper RM20

6.2              PERTANDINGAN MENCIPTA LOGO

1.      Tempat pertama (x1)         : Sijil + Hamper RM50 + Wang tunai RM100
2.      Tempat kedua (x1)            : Sijil + Hamper RM40 + Wang tunai RM80
3.      Tempat ketiga (x1)            : Sijil + Hamper RM30 + Wang tunai RM50
                     4.   Saguhati (x5)                    : Sijil + Hamper RM20
Amacam? Lumayan tak boi?  Nges nges nges

Kalau kau rasa kau layak menyertai, sila muat naik hasil karya kau di http://www.psmza.edu.my/jkm/photocontest/



Monday, March 19, 2012

Untuk Dijual: Beg Laptop Targus Dell





Lagi sekali, sebelum ini aku jual beg laptop belkin. Yang tu stok sudah habis.

Ini stok baru, beg laptop Targus design for Dell

Beg ini boleh muat (muat-muat) laptop 17 inci. Tapi kalau laptop 16 inci ke bawah memang boleh sangat la.

Tengok gambar dulu,












Harga hanya RM120 atau 5 dirham. Cash on delivery (COD) sekitar Dungun dan Kuala Terengganu. Maklumat lanjut jangan segan untuk hubungi 019-7223166 (Nizam)

Ulasan Buku: Bongkar Misteri Tarikh Lahir Anda




Dulu, masa kecil, asal dengar perkataan "misteri" pasti aku akan terbayang cerita hantu. Dulu masa kecil juga bapa aku suka cerita pasal hantu kum kum dan harimau jadian mencakar rumah.

Kini, perkataan "misteri" menjadi satu tarikan untuk orang lebih mengetahui. Harian Metro paling suka guna perkataan "misteri". Pemasaran yang baik. Itu sebab dia punya pembaca boleh cecah 4juta orang. Kiranya, seorang dari 7 orang rakyat Malaysia baca Harian Metro.

Eh, apa aku melalut ini. Sebenarnya aku nak cerita mengenai buku "Bongkar Misteri Tarikh Lahir" karya Rozzani Din terbita Mustread. Tajuk dia gempak! Ada "misteri". Ada "bongkar". Itu pasal aku beli buku ini.

Menurut penulis, kaedah mengira tarikh lahir merupakan satu kaedah untuk mentahkik personaliti seseorang. Buku ini tunjuk langkah demi langkah untuk menganalis tarikh lahir.

Lalu, aku mencuba untuk menganalis tarikh lahir aku. Jadi, nombor asas yang aku dapat adalah 7. Banyak huraian mengenai aku dan nombor tujuh itu. Kebanyakkan benar, tapi ada juga yang tidak benar. Yang paling benar adalah kenyataan
"Sangat suka berahsia"
Hahahaha. Sampaikan Pn. Nurul sendiri kadang-kadang bingung dengan sifat aku itu.

Yang kelihatannya tidak benar adalah
"Individu ini penuh ghairah dan cinta"
Pn. Nurul pernah komen. "Cis! Abang ni tak romantik langsung". Hahahahahaha.

Manakala kod jutawan aku ada nombor 3. Sama dengan Bill Gates. Fuyoo!

Manakala dalam aspek kerjaya, ternyata menjadi guru kurang sesuai dengan aku. Menjadi imam dan pustakawan juga tidak sesuai dengan aku. Aku sangat sesuai menjadi doktor sakit jiwa atau pembuat filem. Jurutera mekanikal pula jatuh dalam kategori "kerjaya yang kedua sesuai" selain dari broker saham. Hahahahaha

Dalam aspek perniagaan juga, paling sesuai aku menceburi bidang loji jana kuasa. Kebetulan, degree aku dalam bidang itu. Huhuhuhu. Sebetulnya, dalam otak aku ini ada berangan-angan untuk mencipta sebuah jana kuasa "renewable" yang mudah alih.

Semakin aku belek buku ini, terasa macam membaca horoskop zodiak dalam majalah remaja. Hahahahaha. Untuk memastikan akidah aku tidak terpesong, aku cuba untuk tidak terpengaruh sangat dengan buku ini. Cumanya telahan yang baik aku jadikan teladan, dan telahan yang tak elok aku jadikan sempadan.

Menurut penulis, kaedah mentahkik tarikh lahir merupakan suatu kaedah metafizik. Namun aku yakin bahawa buku ini hanyalah asas sahaja. Jadi, itu sebab ia semacam membaca horoskop atau kuiz cinta dalam majalah remaja. Hahahahaha.


Sunday, March 18, 2012

Untukmu Wanita

Sebagai menghargai peranan anda sebagai wanita yang mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat maka Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin berbesar hati menjemput anda semua wanita-wanita hebat menghadiri event yang julung-julung kali diadakan

“UNTUKMU WANITA”

Ia sebagai menghargai jasa anda sebagai anak, isteri, ibu, pelajar , wanita berkerjaya, suri rumahtangga, ahli masyarakat dan sebagainya dalam memastikan kemajuan Negara tidak menjejaskan pembangunan keluarga. Buktikan anda WANITA HEBAT dengan menyertai kami.

Program akan berlangsung pada
Tarikh: 24 MAC 2012
Tempat: DEWAN BESAR PSMZA
Masa: 8.00 pagi-5.30 petang

Aktiviti-aktiviti menarik menanti anda:
1.AKULAH BIDADARI SYURGA
(keistimewaan-keistimewaan sebagai wanita)
2. PESONA GAYA MUSLIMAH
(bergaya, berdandan dan mekap dengan betul)
3. FASHION SHOW dari butik-butik Muslimah terbaik (FD LAIQA COLLECTION, SK SITI KHADIJAH & HOUSE OF ABAYA)
4. DOOR GIFT
5. CABUTAN BERTUAH
6. MAKAN PAGI DAN TENGAHARI
7. PERSEMBAHAN ANAK-ANAK SEKOLAH AL-AMIN
8. GERAI-GERAI (Tupperware, House of Abaya, FD Laiqa Collection, Giffarine, World of Mom, Grollier, Acai berry dll)

Semua ini anda dapat hanya dengan RM 25 shj. Tempat terhad segera dapatkan tiket-tiket anda dengan menghubungi PN. Haizan/Pn. Nazilah atau dari agen tiket kami / dimana poster ini di tampal.

Maklumat lanjut untuk tiket sila hubungi: Pn. Effa 019-920 7547
Pn. Yati - 010-926 6926
Tiket boleh didapati di:
1. Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidn ( sila hubungi person in-charge)
2. Sek. Ren. Al-Amin (Pn. Nazilah - 019- 934 5401)


Sila ikuti group ini dari masa ke semasa bagi mengetahui perkembangan terkini program ini dan kejutan-kejutan yang akan berlaku!

Saturday, March 17, 2012

Ulasan Buku: Leaving Microsoft To Change The World: Dari Meja Si Kaya Raya, Ke Meja Anak Papa Kedana




Antara buku yang menarik yang pernah aku baca. Buku ini berkisar tentang pengalam John Wood, seorang eksekutif yang kanan Microsoft yang berhenti kerja dan melakukan kerja amal.

Beliau mula mendapat inspirasi apabila melawat ke sebuah sekolah di Nepal, setelah berjumpa secara tidak sengaja seorang nazir sekolah tatkala beliau melancong dan mengembara ke negara itu. Di sekolah itu, ada perpustakaan yang hanya ada sebuah almari buku. Itu pun buku yang sangat tidak sesuai untuk kanak-kanak. Lebih memilukan, almari itu berkunci kerana cikgu khuatir murid-murid akan merosakkan buku-buku yang tak berapa banyak itu.

Bertitik-tolak dari peristiwa itu, entah bagaimana (kau perlu membaca buku ini untuk mengetahui, hahahahah) beliau berhenti kerja dan membangunkan sebuah organisasi bernama "Room To Read". Menariknya, beliau membangunkan Room To Read seperti mana beliau membangunkan dan memperkasakan Microsoft Australia dan Hong Kong.

Bila membaca buku ini, aku sangat meraskan beliau sungguh berhati mulia, dan membuat kebaikan tanpa mengharapkan balasan. Kau bayangkan, beliau sanggup berhenti dari kerja yang sangat stabil dengan syarikat yang kukuh. Hal tersebut membuatkan beliau tidak punya apa-apa untuk dirinya. Malah, hal tersebut membuatkan beliau tidak mampu untuk membeli rumah dan hanya menyewa rumah yang sederhana sahaja. Kesibukan, keghairahan dan obsesi beliau untuk membantu lebih banyak sekolah dan kanak-kanak menyebabkan tiada wanita yang inginkan beliau.

Terkadang, aku terkesima membaca buku ini. Walaupun beliau bukan Islam, tapi perlakuan dan pemikiran asas beliau sangat mulia, seperti orang Islam yang sejati. Aku cuma mampu berdoa agar Allah memberi beliau pintu hidayah supaya segala usaha beliau mendapat balasan di akhirat kelak.

Bab 1: Janji Seorang Pengembara
Bab 2: Idea Muncul dalam Keheningan Malam
Bab 3: Pulanglah Segera!
Bab 4: Pengembaraan Dua Beranak yang Mengujakan
Bab 5: Mempertimbangkan Perubahan yang Radikal
Bab 6: Kesepian di Kota Besar
Bab 7: Bill Gates Datang ke China
Bab 8: Melangkah Pergi
Bab 9: Tahun-Tahun Permulaan
Bab 10: Meminta Derma
Bab 11: Berkembang ke Luar Nepal
Bab 12: Poskad dari Nepal
Bab 13: Apa yang Diperlukan Setiap Usahawan: Seorang Pembantu yang Cekap
Bab 14: Tragedi 11 September
Bab 15: Membina NGO Ala Microsoft
Bab 16: Membina Rangkaian Room to Read
Bab 17: Hidupku yang Huru-Hara
Bab 18: Menghantar Anak Perempuan ke Sekolah, Bukan ke Ceruk Dapur
Bab 19: "Saya Ikut Langkah Kamu, Don!"
Bab 20: Para Pelajar di Kemboja
Bab 21: Rangkaian Room to Read
Bab 22: Demokrasi Berjalan Lancar di India
Bab 23: Tsunami
Bab 24: Buku yang Kesejuta
Epilog: Hidup Bermula pada Usia 40 Tahun

Friday, March 16, 2012

Dirang membunuh persepsi positif terhadap polis

Dirang, kanak-kanak riang 5 tahun telam dibunuh dan dibakar dengan kejam. Pada mula kehilangan kanak-kanak riang itu, aku tidak berapa peduli sangat. Tetapi, apabila mengetahui lewat arus media perdana bahawa kanak-kanak riang itu mati dibunuh dan dibakar, aku terkesima sekitar 5 saat.

Aku cuba membayangkan sekiranya aku adalah pembunuh kanak-kanak riang itu. Aku merasakan yang aku SANGAT tidak sanggup untuk membunuh kanak-kanak sekecil itu. Lebih keji, pembunuh itu sanggup membakar kanak-kanak riang itu. Apakah beliau tiada perasaan tatkala melakukukannya? Barangkali hati pembunuh itu sangat hitam hingga tiada pun sekelumit belas terhadap kanak-kanak riang itu.

Menurut media arus perdana, Dirang dibunuh kerana pembunuh merasa dendam terhadap nenek kanak-kanak riang itu yang dikatakan menegur beliau. Bak kata seorang sahabat di Facebook

"Marahkan nyamuk kelambu dibakar"
"Marahkan nenek cucu dibakar!"

Tapi, datuk kanak-kanak riang itu, melalui media arus perdana, mengatakan bahawa mereka tiada musuh di sekitar penempatan berlakunya kejadian.

Barangkali, atas dasar itulah ibu kanak-kanak riang itu membenarkan kanak-kanak riang itu pergi membeli telur dan mee segera sendirian.

Barangkali juga, ibu kanak-kanak riang merasakan keadaan di luar sana sangat selamat, kerana indeks jenayah di Malaysia semakin menurun. Kalau kau taip di Google "Indeks Jenayah", aku pasti 9.5 dari sepuluh carian akan mengatakan indeks jenayah MENURUN.

Jujur, aku tak tahu bagaimana indeks jenayah dikira. Tapi aku pasti bahawa menurunkan indeks jenayah adalah antara bidang keberhasilan utama negara. Ternyata cucu pengasas Umno berhasil menurunkan indeks jenayah.

Tapi, cabaran sebenar polis adalah untuk membetulkan persepsi masyarakat. Umum, sebelum ini masyarakat (termasuk aku) menganggap bahawa "polis tak buat kerja dan jenayah banyak berlaku". Tetapi, melalui media arus perdana, polis telah sedikit demi sedikit berjaya mengubah persepsi masyarakat bahawa "polis buat kerja, itu sebab jenayah kurang".

Aku tabik pada polis dengan usaha-usaha mereka yang gigih itu. Namun, persepsi masyarakat mula berubah 180 darjah apabila media arus perdana memaparkan kes Dirang. Ternyata Dirang telah membunuh persepsi yang positif terhadap polis sebelum ini.

Lantas, dengan segera Ketua Polis Negara menaiki LRT sambil bertanya kepada orang awam tentang kadar keselamatan. Melalui media arus perdana (sekali lagi), semua orang awam yang masuk dalam tv mengatakan bahawa persekitaran mereka adalah selamat. Ketua Polis Negara kemudiannya menasihatkan semua Ketua Polis Negeri dan daerah melakukan perkara yang beliau lakukan. Ini dengan harapan supaya persepsi yang negatif itu dapat dipositifkan kembali...

Tuesday, March 06, 2012

6 Tahun di Terengganu

Hari ini, genap aku enam tahun di Terengganu. Juga, genap enam tahun aku menjadi jurutera manusia. Terasa semacam tiada apa yang berlaku dalam tempoh enam tahun ini. Tapi, bila difikirkan kembali, sangat banyak rupanya yang telah berubah. Tanggungjawab, ilmu, pengalaman dan juga hutang semakin membesar. Hahahahaha

Tapi, sejujurnya, aku masih lagi boleh pakai baju dan seluar enam tahun lepas! Amacam? Maintain tak aku. Hahahahahahah